Saturday, September 6, 2008

'Angan-Angan Besar' di Atas Kad Rekod Pelajar

Salam Buat Semua,

1) Sejak kecil lagi saya ingin menjadi seorang pendidik kepada anak bangsa. Seingat saya, ruangan cita-cita di dalam kad rekod pelajar yang perlu diisi pada setiap tahun sewaktu menempuh alam persekolahan dahulu, secara konsistennya ruangan nombor dua akan diisi dengan perkataan PENSYARAH manakala ruangan nombor satu dipenuhkan pula dengan perkataan AHLI POLITIK. Selama lima tahun berturutan (Tingkatan Satu - Tingkatan Lima) saya begitu setia dan 'penuh berharap' agar cita-cita itulah yang akan dicapai di hari kemudiannya.

2) Secara ikhlasnya, saya tidak mahu mengisi sebarang perkataan di ruangan nombor tiga kerana saya hanya mengimpikan untuk bergelar seorang pensyarah universiti di fasa pertama kerjaya saya dan seterusnya terjun ke arena politik secara aktif. Itu sahaja cita-cita yang tersemat di sanubari ini sejak berusia awal belasan tahun lagi.

3) Memandangkan ruangan nombor tiga itu perlu juga dipenuhkan, maka saya tulis juga kerjaya-kerjaya lain yang difikirkan serasi dengan jiwa dan juga minat. Seingat saya, ruangan ke tiga itu pernah saya isikan dengan perkataan-perkataan seperti PEGUAM, AKAUNTAN dan juga GURU. Saya meminati tiga kerjaya tersebut tetapi tidaklah bercita-cita untuk menggapainya, hanya kerjaya sebagai ahli politik dan pensyarah sahaja yang tersemat kukuh di dalam 'angan-angan besar' budak belasan tahun yang seorang ini ketika itu.

4) Encik (ayah) kelihatannya cukup kepingin untuk melihat saya menjadi seorang doktor perubatan. Sejak di alam sekolah rendah lagi dia selalu menitipkan ke telinga si bongsunya ini, 'Jadi doktor boleh tolong ramai orang, dapat berjasa pada orang susah, ramai orang sayang. Tapi jangan jadi doktor fikir nak kutip banyak duit bukak klinik sendiri aje, hospital kerajaan gaji kurang sikit tapi lagi banyak pahala.' Saya tidak mampu 'memenuhkan impian' Encik itu kerana tidak meminati bidang tersebut tetapi berjanji kepada diri sendiri untuk bergelar seorang 'doktor' juga walaupun bukan doktor perubatan, idaman Encik juga !

5) Encik cukup suka bercerita tentang 'jasa, tolong orang dan berbakti.' Saya percaya betapa pembawaan darah Bugis dan 'mat tentera' yang kukuh di dalam jiwanya menyebabkan Encik rajin sungguh berbicara tentang 'matlamat dan sebab' dalam memilih cita-cita masa depan kepada anaknya ini. Encik seakan tidak menggalakkan anaknya meletakkan Ringgit Malaysia (RM), harta dan pangkat sebagai 'matlamat dan sebab' yang perlu diutamakan di dalam proses pencarian 'cita-cita' itu.

6) Proses pembinaan diri saya kemudiannya secara tanpa saya sedari telah sebati dengan konsep 'jasa, tolong orang dan berbakti.' Saya langsung tidak pernah mengidam untuk menjadi orang kaya, jutawan terbilang. Ketika di alam persekolahan juga, 'minda kecil' saya selalu berangan untuk menjadi seorang pendidik yang bisa mengubah persepsi anak-anak Malaysia terhadap kehidupan dan matlamat masa depan. Jawapannya, saya mahu menjadi pensyarah universiti yang mengajar anak-anak muda Malaysia yang sedang berada di peringkat pembinaan kepercayaan dan harapan hidup mereka. Itulah 'angan-angan besar' pertama budak Kampung Alai, Segamat yang seorang ini ...

7) Seterusnya saya selalu berangan betapa baik buruknya keadaan bangsa, agama dan negara banyak bergantung kepada polisi dan dasar-dasar pentadbiran yang secara langsungnya cukup dipengaruhi mereka-mereka yang bergelar ahli politik. Alim ulamak bukan partisan, professor, pegawai tinggi kerajaan mahupun swasta, kontraktor, doktor, peguam dan ahli-ahli professional lainnya hanya mampu kelihatan 'bijak bercakap, bijak mengkritik dan bijak mencadang' tetapi tiada taring juga tiada saluran untuk mengubah apa-apa. Bagi saya apa guna memiliki kelebihan, kemahiran, ilmu dan juga semangat semata-mata andai ianya tidak menyumbang kepada kemakmuran bangsa, agama dan negara secara kolektifnya. Jawapannya, saya mahu menjadi seorang ahli politik yang memahami hala-tuju bangsa, agama dan negara yang sekaligus meletakkan kepentingan matlamat kolektif melebihi kepentingan peribadinya. Itulah 'angan-angan besar' kedua budak Kampung Alai, Segamat yang seorang ini ...

8) 4 tahun hampir mencecah noktahnya, usia kerjaya mendidik anak bangsa yang saya mulakan pada tanggal 18 Oktober 2004. Sepanjang proses itu, sedikit demi sedikit saya semakin faham dan yakin tentang 'matlamat dan sebab' yang perlu dilaksanakan sebagai seorang pensyarah. Selalu sangat saya katakan kepada anak-anak murid saya betapa saya mahu mendidik mereka tentang erti kehidupan dan kejayaan masa hadapan, bukan semata-mata tentang peperiksaan dan ujian bertulis untuk lulus pengajian.

9) Sebaik selesai sahaja sessi pengajaran untuk subjek 'Corporate Finance' (Kewangan Korporat) pada malam 4 September 2008, seorang pelajar perempuan berbangsa India (Padmene, saya bangga memiliki anda sebagai anak murid) datang menemui saya. Dia bukan ingin bertanya tentang topik yang baru sahaja selesai saya ajarkan tetapi ingin bertanya tentang isu-isu semasa berkaitan dengan pasaran saham di Malaysia dan tips-tips asas dalam 'permainan saham.' Beliau berkata, setiap minggu dia cukup tertarik dengan isu-isu semasa dunia kewangan, dan pelaburan di Malaysia yang saya kisahkan di dalam kelasnya. Beliau menyatakan betapa minatnya dia kepada dunia saham dan pelaburan Malaysia sejak saya kerap bercerita tentang saham-saham di Bursa Malaysia yang paling aktif daripada segi pengeluaran dividennya. Pelajar tersebut telah mengembangkan 'kisah-kisah' yang saya coretkan di dalam kelas kepada ibunya. Ibu beliau kini turut berminat untuk mencuba belajar 'main saham' dan mengembangkan cara simpanan kewangannya. Padmene telah memberikan saya satu semangat baru, teruslah mencari inisiatif untuk membuka minda dan membebaskan anak-anak muda Malaysia ini daripada dunia pendidikan yang 100% bermotifkan 'lulus periksa, dapat ijazah' semata-mata ! Saya masih lemah, belum cukup ilmu dan amat kerdil untuk melakukan sesuatu yang hebat buat tatapan dan pengetahuan anak-anak Malaysia, anak-anak didik diri ini. Doa saya, moga Tuhan merestui niat murni ini dan diberikanNYA kemampuan dan idea bagi melaksanakannya.

10) Di dalam kelas tersebut juga satu pengajaran tentang persefahaman kaum dapat saya sebar-luaskan kepada kira-kira 200 anak-anak Malaysia tercinta. Entah di mana mulanya, secara tidak langsung saya bercerita tentang kenapa permainan judi seperti 'empat nombor ekor' ditafsirkan sebagai haram di dalam agama Islam dan mengapa perniagaan pasaran hadapan dan derivatif (Futures, Options dan Forward) juga diklasifikasikan sebagai haram. Pada asalnya, anak-anak didik berbangsa Cina dan India tidak dapat memberikan sebabnya, mereka hanya tahu ianya haram, haram dan haram. Setelah diterangkan sebab musababnya seperti ada unsur penindasan, tiadanya transaksi barangan sebenar dan keuntungan satu pihak adalah di atas tanggungan kerugian pihak yang lain; Mereka semuanya menggangguk tanda setuju dan serius memerhatikan 'cikgu' mereka yang seorang ini berceloteh di hadapan kelas. Saya mengatakan kepada mereka betapa konsep haram di dalam Islam tidak pernah direka cipta tanpa alasan yang kukuh dan logik, semuanya adalah berlandaskan kesaksamaan dan keadilan buat semua. Saya nyatakan kepada mereka bahawa apa yang saya terangkan itu tidak termasuk di dalam silibus, tidak akan ditanya di dalam peperikasaan akhir dan tidak perlu diingati jika mereka tidak memahaminya tetapi ianya adalah penting untuk menjadi rakyat Malaysia yang harmoni selalu kehidupannya dan saling memahami sesama kaum. Mereka bertepuk tangan, 90% yang berada dihadapan saya adalah anak-anak Malaysia daripada keturunan bukan Melayu iaitu daipada kaum Cina dan India. Saya sentiasa 'berangan-angan' untuk menjadi pendidik yang dapat melahirkan bangsa Malaysia yang saling hormat-menghormati, kuat perpaduannnya dan sentiasa sensitif dengan perasaan dan gaya kehidupan masing-masing.

Neba2020: Perpaduan Teras Kejayaan, Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh !

6 comments:

Muhammad Hazimin Wahab said...

hidup Mr Effandi !

-thethinker- said...

jikalah persada politik nasional mempunyai ahli politik yg berfikiran spt saudara , untunglah rakyat malaysia.
Kita semua bertungkus-lumus mencari sesuap nasi utk keluarga , memelihara keharmonian antara kaum... tup-tup , usaha nii kantoi dibinasa oleh seorang pemimpin kerdil yg bermain api-Ahmad Bkt Bendera

Anonymous said...

Salam Ramadhan Fendy
Ah..Siapa yang tidak kenal En.Fendy kita yang senantiasa melirikkan senyuman tatkala bertegur sapa dengannya dikala berselisih ditangga ketika di STS dahulu... Kadangkala kata orang dulu-dulu "Jangan menilai buku dari kulitnya" namun begitu anak segamat yang seorang ini... dari jauh sudah nampak silau karakter pemimpinnya.Barangkali suatu hari nanti kita akan menerima seorang PM tersohor yang rendah diri namun menggunung wawasan dan citanya membangun anak watan MALAYSIA yang tercinta... teori apa agaknaya selepas "RAHMAN" ya? mungkin "HASSAN" agaknya. Kalau ya? saya menunggu si "N" itu... "DSDrNEBA" hahah.. Barangkali ya Fendy.Amiiiinn...

Anonymous said...

thethinker, adakah ada telah menyiasat secara total apa yang dikatakan oleh ahli umono bukit bendera atau percaya sahaja media secara membuta tuli? ;)

apabila media menyatakan artikel negatif terhadap pemimpin pembangkang, cepat saja di pertahankan tetapi bila perkara yang sama berlaku kepada pihak kerajaan, terus setuju sahaja tanpa berfikir panjang.

Anonymous said...

cerita cita-cita AWAK tu saya dah dengar dulu. teringat lagi macam mana mr fendy bersungguh-sungguh cerita nak jadi politician. :)

p/s: lama tak panggil mr Fendy, AWAK :p

Anonymous said...

wah2...samalah ahdek..ahkak dulu2 pun mmg tulis cita2 nak jadik pensyarah..Alhamdulillah, Allah makbulkan..Then after PensyaArah nak jadik Tokey Tadika..huhu!! Hope cita2ku ini dimakbulkan..Amin