1) Kita selalu merujuk struktur-struktur seperti Putarajaya, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, KLIA dan Litar F1 Sepang sebagai 'monumen-monumen' kebanggaan tanda negara bebas yang pesat membangun sejak 31 Ogos 1957, Merdeka ! Kadang-kadang kita terlupa untuk memikirkan bahawa 'monumen-monumen' itu tidak akan berdiri dengan sendirinya tanpa keupayaan ekonomi, kemampuan mentadbir dan juga kekuatan polisi-polisi yang 'menemani' proses-proses pasca kemerdekaan itu sendiri.
2) Merdeka bukanlah sesuatu yang akan membawa kepada kemestian kemajuan dan kemakmuran negara. Merdeka tidak akan bererti jika negara tidak ditadbir dengan baik, tiadanya agenda pembangunan yang bagus dan kurangnya kesepakatan pelbagai kaum di dalam satu entiti politik yang kukuh.
3) Pada tahun 1957, 50% daripada populasi rakyat Malaysia berada di bawah paras kemiskinan, setengah abad kemudian, ianya telah berada di bawah paras 5% sahaja.
4) Kadar pertumbuhan ekonomi berada di bawah paras 1% ketika Merdeka dicapai, kini berlegar di tahap 6% setahun. Sekitar 1990an, pertumbuhan ekonomi Malaysia secara puratanya adalah sebanyak 8% setahun sehingga digelar antara 'harimau ekonomi Asia.'
5) Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 1957 adalah sebanyak RM12.8 Billion, meningkat sehingga hampir mencecah RM300 Billion pada masa kini.
6) Pendapatan Per Kapita rakyat Malaysia pada musim-musim awal kemerdekaan ialah sebanyak RM788 , kini ianya berada di sekitar RM20 000.
7) 50 tahun lepas, negara ini hanya memiliki 1 universiti awam, kurang 50 tahun kemudiannya menginjak jauh mencecah 20 buah universiti awam yang berselerakan di serata negara. Itu belum lagi dicampur dengan ratusan institusi pendidikan tinggi swasta, kolej-kolej komuniti, politeknik-politeknik dan juga institusi-institusi pendidikan guru.
8) Kemerdekaan membawa erti kebebasan. Kebebasan cara kita adalah kebebasan yang berlandaskan kepada lunas-lunas budaya orang timur yang penuh berhemah, sopan-santunnya tinggi, menjaga hati perasaan sahabat, tidak berlebihan dalam tindakan, menjauhi sifat-sifat melampau dalam bersuara dan bertindak setelah berfikir baik-buruknya ia kepada keharmonian serta ketenteraman negara.
9) Penafian tentang pencapaian Malaysia sepanjang 51 tahun berdiri sebagai negara yang bebas merdeka adalah satu yang 'gila' dan cuba menutup realiti sebenar. Walaupun pencapaian dan liku-liku jalan yang ditempuh Malaysia belumlah mencapai tahap 100% berjaya juga 100% lengkap, tetapi deretan perbezaan nyata telah berlaku.
10) Infrastruktur negara berkembang dengan modennya, kuasa ekonomi semua kaum mengalami peningkatan yang baik, peluang pendidikan dan kesihatan menjadi cukup tersebar, daya intelektualiti masyarakat semakin luas, pelaburan-pelaburan syarikat Malaysia ke luar negara terus berkembang, institusi-institusi agama turut tersebar luas ke serata pelusok negara dan kehadiran jutaan pelancong asing saban tahun menjadi saksi betapa negara ini mempunyai sesuatu yang istimewa juga hebat untuk disaksikan.
11) Terlalu banyak yang perlu disyukuri, terlalu banyak yang perlu direnungi dan terlalu banyak juga yang perlu diinsafi kita semua kerana memiliki Malaysia sebagai negara tempat bernaung. Semoga kita tidak mudah alpa betapa apa yang dicapai dan dikecapi hari ini bukanlah sesuatu yang datang bergolek, wujud secara tiba-tiba tanpa dirancang dengan baik.
12) Kita mudah mencela, kita mudah mengejek, kita mudah berburuk sangka dan kita mudah mengidamkan sesuatu yang kelihatan lebih 'perfect' (lengkap, syumul) tatkala kita tidak memberi sedikitpun ruang kepada diri sendiri untuk merenungkan betapa terlalu banyak nikmat yang telah kita peroleh di sepanjang penitian 51 tahun negara kecil yang satu ini.
13) Kepada kita semua rakyat Malaysia, kita adalah pewaris negara ini ! Jangan persiakan ia, jangan perlekehkan ia, jangan mendurhakai ia !
SELAMAT HARI MERDEKA NEGARAKU !
Neba2020: Saya Anak Malaysia, Saya Anak Malaysia, Saya Anak Malaysia !
2 comments:
Selamat hari Merdeka...!!!
Malangnya sambutan tahun ini terlalu hambar berbanding tahun-tahun lepas. Kalau sebelum ini bila tiba saja bulan Ogos maka di mana saja pergi mesti dipenuhi Jalur Gemilang, tetapi sekarang pula bila dah hampir ke hujung bulan ni pun masih tak banyak Jalur Gemilang. Apa puncanya...? Menurut Tun Dr. Mahathir, tahun ini rakyat berasa marah berikutan harga makanan dan harga minyak yang tinggi sehingga kadar inflasi mencanak-canak naik dengan cemerlang sehingga lebih 8.6%. Akibanya, rakyat semakin hilang kuasa beli dan ekonomi negara semakin merudum walaupun media kawalan Pak Lah seperti biasa cube menipu rakyat dengan menipu statistik supaya nampak benar walaupun sebenarnya penuh pembohongan.
Mengenai isu Jalur Gemilang yang dikibarkan dengan banyak sebelum ini, mungkin tahun ini, kebanyakan rakyat ingin berjimat dan hanya mengeluarkan duit pada apa yang patut sahaja. Mungkin juga kerana hari raya teramat dekat dan bajet yang ada hanya cukup untuk satu perayaan sahaja.
Kerajaan sendiri tidak boleh menyalahkan rakyat kerana menteri-menteri sendiri yang mengajak rakyat untuk "mengubah cara hidup". ;)
p.s.: adakah seseorang yang mengibarkan bendera lebih patriotik dari yang tidak mengibarkannya?
Post a Comment