Hari ini, ketika membaca surah Yassin selepas solat Maghrib secara tiba-tiba memori saya 'menoleh kebelakang' terkenangkan zaman bagaimana saya mula belajar membaca Al-Qur'an dengan didahulukan pengajian menguasai Muqaddam kira-kira 18 tahun lepas.
Siapa yang mengajar saya Muqaddam dengan penuh semangat dan penuh 'kegarangan' ? Jawapannya sudah pastilah ayahanda tersayang saya yang dipanggil Encik. Bermula saat saya memasuki Darjah Satu di tahun 1989, Encik mula mengajar saya membaca Muqaddam pada setiap hari seusai solat Maghrib. Maka bermulalah detik 'air mata mengalir' setiap hari.
Encik cukup garang dan suaranya sungguh menakutkan bila dia acapkali mengherdik saya setiap kali saya melakukan kesilapan dalam membaca susunan-susunan ayat / perkataan yang semestinya begitu asing lagi payah untuk lidah saya menuturkannya dengan lancar. Maka adalah suatu 'kebiasaan' untuk saya menangis teresak-esak pada setiap hari di antara waktu selesai solat Maghrib hinggalah ketibaan Isya'. Kadang-kadang hati saya menjerit-jerit mengharapkan azan Isya' cepat-cepatlah berkumandang agar 'seksaan' belajar Muqaddam itu akan tamat sebelum disambung pada malam esoknya !
Naskhah Muqaddam yang saya gunakan itu kalau dilihat kertas-kertasnya sudah bertukar menjadi agak gelap dek kerana banyaknya air mata yang jatuh di atas helaian-helaiannya pada setiap waktu dan ketika Encik mengajar anak bongsunya ini mempelajari asas-asas ke arah pembacaan Al-Qur'an yang lengkap. Walaupun Encik mengajar saya dengan cukup tinggi tahap 'harimau Bugisnya' tapi itulah teknik ayahanda tersayang yang membuatkan saya 'celik Al-Qur'an.'
Kini baru saya sedar betapa beruntungnya saya kerana Encik saya sendiri yang mengajar saya 'celik Al-Qur'an' dan itu jugalah yang membuatkan 'hubungan darah' antara saya dan Encik menjadi lebih rapat dan mesra. Anugerah Tuhan buat saya yang amat saya syukuri selalu.
Saya tidak tahu tentang orang lain tetapi saya merasakan betapa adalah amat BODOH, amat DAJAL, amat HINA, amat BERDOSA dan amat SI TANGGANG saya kiranya saya 'terlupa' kepada semua 'layanan-layanan istimewa' yang Encik berikan kepada saya selama proses pembesaran dan pematangan saya sebagai seorang manusia di muka bumi ini. Selain kisah di atas, berikut adalah 3 lagi memori-memori indah yang saya rasakan bukan semua yang bergelar 'ayah, bapak, papa, abah ...' mampu berikan kepada si anak:
Foto-Foto 'Besday Boy'
Setiap tahun Encik tidak pernah lupakan hari ulang tahun kelahiran saya. Walaupun dia tidak pernah membuat majlis sambutan hari jadi mahupun membelikan saya sebarang hadiah istimewa tetapi dia tetap menjadikan tarikh 8 Oktober sebagai hari yang cukup istimewa buat saya.
Menjelang malam hari, Encik akan memakaikan saya baju baru dan menghiaskan anak bongsunya ini supaya kelihatan 'comel dan kemas.' Sebabnya? Saya akan dibawa ke studio gambar di bandar untuk di ambil foto kenangan hari jadi. Perkara ini berlarutan selama 12 tahun berturutan sehinggalah saya mencecah usia 12 tahun dengan penamatnya adalah mengambil gambar untuk membuat kad pengenalan, tanda sudah mula menganjak ke alam sedikit 'dewasa.'
Selepas sessi berfoto, Encik akan membawa saya (semestinya emak turut serta) ke tempat makan dan pastinya pelbagai menu istimewa disertakan untuk si 'besday boy' ! Terima kasih buat Encik kerana menjadikan detik-detik 8 Oktober saya cukup bermakna di sepanjang proses pembesaran saya dahulu.
Majlis Ilmu, Majlis Hiburan, Majlis Politik
Cukup istimewa kerana Encik saya bukan seorang bapa yang membosankan. Buktinya, dia selalu menggesa saya untuk mengikutnya ke masjid mendengar ceramah-ceramah agama sempena hari-hari istimewa untuk umat Islam seperti Maulidur Rasul, Awal Muharam dan juga Isra' dan Mi'Raj. Tidak ketinggalan, saya selalu dibawanya untuk melihat konsert-konsert hiburan, pertandingan nyanyian daerah, pertunjukan hiburan kebudayaan dan sebagainya yang kebiasaannya diadakan di Padang Dataran Daerah Segamat. Menarik untuk dikenang, ceramah-ceramah politik sama ada daripada parti pemerintah juga parti pembangkang turut dapat saya rasai pengalamannya. Itu semua menjadikan perjalanan awal hidup saya cukup bervariasi memorinya.
Tidak lupa ialah kepada kenangan selalu berpeluang menonton wayang bersama-sama Encik. Sebut saja nama-nama pawagam yang kesemuanya sudah tidak beroperasi lagi sejak tahun 2000 di Segamat, semuanya pernah saya jejaki seawal usia satu angka lagi. Panggung-panggung yang bernama Rex, Cathay, New Lilok dan Capitol menjadi saksi kepada keseimbangan didikan yang Encik berikan kepada saya. Filem-filem Inggeris, Cina dan Melayu semestinya menjadi pilihan tontonan kami bersama.
Ciuman Encik
Perkara paling unik yang saya kira tidak semua anak berpeluang menikmatinya ialah menerima 'ciuman sayang' daripada seorang insan bergelar bapa. Kiranya saya amat bertuah kerana acapkali menerima hadiah tanda sayangnya seorang bapa kepada anaknya.
Setiap hari Encik tidak lupa untuk mencium pipi saya. Malah sehingga kini walaupun sudah berusia 25 tahun saya tidak pernah berasa segan ataupun malu untuk mencium pipi Encik saya kiri dan kanan di hadapan sesiapa sahaja. Sesuatu yang amat menarik untuk saya rekodkan di sini ialah tabiat istimewa Encik yang suka mendukung saya sehinggalah saya mencecah usia 12 tahun ! Encik hanya berhenti daripada mendukung saya apabila 'dirasanya' ketinggian saya sudah sehampir sama tahapnya dengan diri beliau sendiri. Kelakar sungguh untuk dikenang.
Itulah Encik saya, seorang bekas askar yang kemudiannya menyertai Telekom Malaysia sebelum menamatkan zaman kerjayanya. Encik adalah seorang bapa yang sungguh garang dalam mendidik dan membentuk disiplin saya tetapi di sisi lainnya beliau adalah seorang bapa yang sungguh liberal dan menyeronokkan. Sehingga ke hari ini adalah suatu kebiasaan untuk kami saling 'bertekak' tentang politik dan pengurusan ekonomi negara. Kami anak-beranak tidak pernah mempunyai 'kekangan komunikasi.' Sebut sahaja sebarang topik untuk diperbincangkan... Daripada isu politik ke isu hiburan, terus berpanjangan ke isu agama dan budaya, juga isu global mahupun sukan; semuanya bebas untuk kami berbicara tanpa rasa segan, takut dan halangan jarak usia. Walaupun keluarga kami kecil (Encik, emak, abang dan saya) tetapi riuhnya kehidupan kami adalah cukup menghiburkan dan bahagia selalu di sebuah kampung yang bernama Kampung Alai, Mukim Gemereh, Segamat, Johor Darul Ta'zim.
Allah Peliharakan Sultan Johor !!! Daulat Tuanku !!!
Neba2020: 3 pesanan Encik yang sentiasa saya ingat dan insafi: 1) Semua yang ada pada diri kita sama ada kekayaan, kepandaian dan jawatan adalah datangnya daripada Allah; Jangan bermegah diri dan bila-bila boleh ditarik olehNya. 2) Jangan sesekali melawan cikgu / pensyarah kita walaupun kita betul sebab cikgu / pensyarah perlu dihormati pandangannya dan ilmunya. 3) Orang yang paling saya perlu sayang dan hormati ialah emak saya, emak adalah tanggung jawab saya dan jangan sesekali benarkan isteri saya di suatu hari nanti memandang rendah, sombong mahupun benci kepada emak saya ! Encik juga berpesan supaya saya tidak mudah jadi anak yang lebih mementingkan isteri daripada emak sendiri.
No comments:
Post a Comment