“Barang dijauhkan UMNO dan negara jatuh ke tangan orang-orang yang akan membawa kerosakan...”
“Selama hampir 500 tahun selepas itu kita telah dijajah dan nasib bangsa ditentukan oleh kuasa luar..."
“Dalam tempoh 50 tahun merdeka, kita telah kembali berkerajaan sendiri. Kita telah berjaya mengembalikan kegemilangan sebuah negara bangsa..."
“Nasib negara pada tahun 2057 – iaitu ketika Malaysia merayakan ulang tahun ke-100 tahun kemerdekaan – akan ditentukan dengan apa yang UMNO dan orang Melayu lakukan hari ini...”
Sekalung tahniah diberikan kepada Y.A.B Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana berjaya memberikan peringatan yang cukup kritikal kepada seluruh umat Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya melalui ucapannya yang bertema "Memperkukuh Keyakinan - Meneroka Era Baru" pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tanggal 7 November, 2007.
Secara peribadi saya cukup tertarik kepada empat potongan ayat di atas yang saya petik secara langsung daripada ucapan dasar Presiden UMNO ke 6 itu. Ikhlas saya katakan di sini bahawa ini adalah ucapan dan peringatan terbaik yang pernah Pak Lah berikan sepanjang 4 tahun kepemimpinannya menerajui UMNO, tunggak pentadbiran negara tercinta ini sejak Merdeka lagi !
Secara konklusinya, selaku penyokong setia UMNO dan selaku anak muda yang cukup berterima kasih kepada UMNO dan kepemimpinannya; Saya ingin menyampaikan 5 pesanan di bawah kepada seluruh pemimpin UMNO khasnya dan umat Melayu amnya:
1) UMNO WAJIB dijauhkan daripada dipimpin oleh 'orang-orang' yang hanya meletakkan kepentingan dirinya mengatasi kepentingan bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Pemimpin-pemimpin muda yang lebih bercirikan 'ideologi kebaratan,' 'gila korporat' dan 'kaki ampu' sememangnya semakin berleluasa kewujudannya. Adalah menjadi tanggung jawab setiap ahli UMNO terutamanya di peringkat bawahan untuk 'mencantas' secepat mungkin 'orang-orang' seperti ini daripada terus melebarkan sayapnya di dalam parti yang amat besar jasanya kepada seluruh umat Melayu dan bangsa Malaysia ini.
2) Para pemimpin UMNO di segenap lapisan (Bahagian, Negeri, Kebangsaan) WAJIB untuk melakukan proses 'pembinaan imej' dan 'pembersihan jiwa' secara total jika mereka sayangkan UMNO dan terasa masih 'berminat' untuk terus menjadi pemimpin. Sekarang bukanlah zamannya untuk para pemimpin 'berlagak mewah,' 'bergaya umpama Raja,' 'menabur kata-kata manis tak tertunai,' 'sombong tak bertempat' dan juga 'korup amanah korup peribadi.'
3) Biar apapun yang terjadi, janganlah sesekali kita lupa kepada identiti UMNO itu sendiri. UMNO adalah sebuah parti UNTUK MELAYU, DARIPADA MELAYU dan UMNO itu ditubuhkan di ISTANA SULTAN sekaligus UMNO itu sendiri datangnya adalah diperkenan oleh institusi tertinggi negara tercinta ini. Janganlah sesekali kita lupa bahawa UMNO itu adalah Melayu dan dalam apa jua tindakan dan keputusan maka jangan sesekali kita lupakan konotasi UNTUK MELAYU, DARIPADA MELAYU ! Jika kita sudah mula berfikir bahawa UMNO tidak wajar menegak dan memperjuang nasib umat Melayu semata-mata, maka itu adalah tanda awal bahawa jiwa kita sudah mula 'rosak dan binasa' daripada semangat asal UMNO seperti yang digagaskan Dato' Onn Jaafar pada 1 Mei, 1946 dahulu ! Walaupun begitu, hakikat bahawa Malaysia ini kita kongsi juga dengan bangsa-bangsa lain tetaplah diakui secara adil dan ikhlas. Cabaran 'menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tak berselerakan' adalah sesuatu yang cukup mencabar untuk mereka yang bergelar 'kepemimpinan UMNO' itu sendiri. Dalam kita berjuang untuk kepentingan bangsa Melayu secara total, jangan pula kita 'menyeksa dan memukul' sahabat-sahabat bangsa lainnya. Mereka juga sebahagian daripada keluarga Malaysia yang makmur dan sentosa ini.
4) Sensitiviti Melayu adalah perkara tunjang yang wajar difahami kesemua pemimpim UMNO. Melayu ini adalah satu bangsa yang cukup tinggi nilai sensitifnya. Jangan diusik perkara yang tidak disukai oleh adat, budaya dan teras kepercayaan kepada Islam. Adalah amat malu apabila ada pemimpin yang suka menggunakan bahasa-bahasa kasar dan tidak mesra adat dan budaya Melayu itu sendiri. Lebih kritikal adalah apabila segelintir pemimpin yang imejnya 'rabak dan rosak' bukan kerana dirinya sendiri tetapi adalah akibat daripada tingkah laku dan juga gaya isteri mahupun anak-anak mereka yang 'tidak molek' dan 'tidak selari' dengan kaca mata umat Melayu keseluruhannya. Biarlah pemimpin Melayu itu betul-betul berjati dirikan semangat Melayu dan identiti Melayu yang manis lagi sempurna.
5) Perjuangan kita belum selesai, maka tiada siapa yang boleh mudah mendabik dada merasakan merekalah yang terbaik dan merekalah perwira bangsa Melayu. Sikap mudah berpuas hati, mudah memuji, mudah lalai, mudah lupa dan pelbagai lagi anekdot 'mudah' yang lain haruslah dibuangkan sejauh-jauhnya jika UMNO dan pemimpinnya di segenap lapisan ikhlas ingin berjuang dan berbakti kepada anak bangsa. UMNO akan menjadi kesayangan umat Melayu jika UMNO itu sendiri lebih dekat di jiwa dan sanubari Melayu. Melayu bukan bangsa yang 'keras hatinya, bongkak jiwanya' kerana Melayu itu adalah bangsa yang 'lembut hatinya, mulia jiwanya.' Jika umat Melayu nampak akan keikhlasan kepimpinan dan kepimpinan UMNO sendiri sentiasa memahami akan masalah umat Melayu itu sendiri maka perjuangan yang belum selesai itu pasti akan sama-sama direntasi secara kolektif dan bersungguh-sungguh oleh yang memimpin dan yang dipimpin...
Neba2020: " UMNO adalah tunjang kekuatan Melayu, Melayu adalah tunjang kekuatan UMNO ! Selagi Melayu yakin kepada UMNO, di situlah asas survival parti yang dipanggil UMNO itu ... UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia..."
No comments:
Post a Comment