Monday, April 13, 2009

1 Malaysia

Salam Buat Semua,

1) Dato' Seri Mohd. Najib perkenalkan tema 1 Malaysia sebagai tunjang penunjuk arah pentadbirannya.

2) Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu pentadbirannya terkenal dengan terma-terma seperti 'Cemerlang, Gemilang, Terbilang,' 'Bekerjalah Bersama-Sama Pak Lah,' dan 'Islam Hadhari.'

3) Tun Dr. Mahathir Mohamad pula akan sentiasa diingati sejarah dengan kata-kata keramat seperti 'Kepimpinan Melalui Tauladan,' 'Bersih, Cekap dan Amanah,' 'Wawasan 2020' dan 'Malaysia Boleh !'

4) Tema pentadbiran kelihatannya perlu untuk memberi petunjuk awal akan ke manakah hala tuju pemikiran dan idealisme seorang pemimpin itu.

5) Konsep pentadbiran yang baik akan memberikan satu persepsi awal yang positif kepada si pemimpin. Proses 'menarik perhatian' rakyat ini diperlukan untuk mengurangkan rasa ketidakpuasan kepada pentadbiran lepas dan pada masa yang sama dapat memantapkan imej / personaliti pemimpin baru.

6) Mohd. Najib perlu mengambil iktibar daripada keupayaan unggul 'pasukan pembina imej' Abdullah yang berjaya mempotretkannya sebagai 'pemimpin harapan' yang dipercayai lagi dihormati rakyat.

7) Tema 'Cemerlang, Gemilang, Terbilang' yang diilustrasikan di awal pentadbiran Abdullah (akhir 2003 dan awal 2004) didapati cukup berjaya meyakinkan rakyat untuk 'bekerja bersama-sama Pak Lah.' Buktinya, Barisan Nasional (BN) di bawah kendalian Abdullah berjaya mencatatkan pencapaian cukup gemilang dengan menguasai lebih 90 % daripada kerusi Parlimen sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.

8) Kerana kegagalan Abdullah dan pasukannya untuk merealisasikan apa yang telah diilustrasikan di awalnya jugalah yang menyebabkan Perdana Menteri ke 5 itu turut berjaya mencatatkan kemerosotan sokongan rakyat yang paling terbilang buat BN di PRU 2008. Pasukan pembangkang atas nama tidak rasmi Pakatan Rakyat (PR) berjaya menafikan penguasaan 2 pertiga BN di Parlimen.

9) Mohd. Najib bukan baru di dalam politik, dia sudah 33 tahun menjadi ahli politik secara rasmi. Dia mula menjadi ahli Parlimen pada tahun 1976. Abdullah sendiri mula menyertai Parlimen pada tahun 1978. Secara matematik, Abdullah menjadi Perdana Menteri (2003) setelah 25 tahun menjadi wakil rakyat manakala Dr. Mahathir pula mula mentadbir negara setelah 17 tahun menjadi ahli Parlimen (1964-1981). Berdasarkan kepada pengalaman rasmi sebagai wakil rakyat sebelum berada di puncak kuasa, nyatalah bahawa Mohd. Najib jauh mengatasi Abdullah dan Dr. Mahathir.

10) Mohd. Najib tidak perlu takut untuk melaksanakan konsep 1 Malaysia yang diidamkannya itu. Laksanakannya dengan penuh tanggung-jawab, ikhlas dan jujur. Jangan dilayan sangat mana-mana pihak yang cuba mengkritik konsep 'ciptaannya' itu. Laksanakan tugas mengikut niat yang betul, janganlah membuang masa melayan kerenah-kerenah manusia yang memang tidak mampu untuk menyukai beliau. Biarkan mereka terus melalak selagi mereka mampu dan berkeupayaan ....

Neba2020: Makin dilayan makin menjadi, makin dimanja makin mengada, makin diturutkan makin meminta-minta, makin diperhati makin menyakitkan ....

Wednesday, April 8, 2009

Pilihan Raya Kecil (3 dalam 1): Melayu Menyokong BN, Cina dan India Menolak BN ?

Salam Buat Semua,

1) Pada awalnya, saya tidak mahu mengulas tentang keputusan Pilihan Raya Kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Sejak awal lagi saya percaya bahawa keputusannya adalah 'dijangka' dan tiada sebarang kejutan akan berlaku.

2) Malangnya, ada rakan-rakan yang menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) juga yang bertanya melalui sistem 'utusan Yahoo' (Yahoo Messenger) meminta weblog ini mengulasnya sedikit.

3) Cukup tidak memeranjatkan apabila PAS, PKR dan BN masing-masing berjaya meneruskan penguasaan di Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai.Kesemua parti berjaya membuktikan bahawa majoriti rakyat di kawasan tersebut masih 'percaya dan yakin' kepada sebab juga sentimen yang membawa mereka memangkah lambang bulan, bulan sabit dan juga dacing pada pilihan raya yang lepas.

4) Jumlah undi yang diperoleh oleh si pemenang dan yang tertewas juga kelihatannya tidak banyak berubah. Kesemua kawasan juga menyaksikan majoriti pemenangnya meningkat sedikit.

5) Apa yang menarik ialah berlakunya penolakan berterusan secara besar-besaran di kalangan pengundi berbangsa Cina dan India terhadap Barisan Nasional di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Mereka seakan telah menolak terus parti-parti komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC. Pengundi Cina dan India secara majoritinya lebih 'sanggup' mengundi PAS atas rasa bencinya mereka kepada MCA, Gerakan dan MIC khasnya dan BN amnya.

6) Pengundi Melayu yang menguasai 50% pemilih di Bukit Selambau dan kira-kira 60% di Bukit Gantang kelihatannya masih secara majoriti memangkah BN. Dipercayai sebanyak 60% undi kaum Melayu 'jatuh' ke tangan calon MIC (Bukit Selambau) dan UMNO (Bukit Gantang) yang mewakili BN.

7) Sesungguhnya teori untuk mengatakan bahawa UMNO telah terhakis sokongannya di kaca-mata majoriti orang Melayu adalah silap sama sekali. UMNO di kaca mata bangsa Melayu adalah masih relevan dan masih diyakini akan visinya.

8) Orang-orang Cina pernah menolak BN pada PRU 1969 dan juga 1990. Secara tradisinya, kaum Cina menolak BN (MCA dan Gerakan secara spesifiknya) apabila mereka merasakan 'ekonomi keluarga dan peribadi' telah tergugat dan iklim perniagaan tidak memberangsangkan. Sewaktu PRU 1999, orang Cina sepakat memangkah lambang dacing akibat daripada kesan pemulihan ekonomi juga aktifnya aktiviti perniagaan selepas era muram 1997 / 1998. Mereka sepakat menyokong pemerintahan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) sehingga jagoan agung DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh sendiri tersungkur rebah hilang kerusi Parlimen.

9) Kaum India akan terus menolak BN selagi Datuk Seri S. Samy Vellu terus 'degil dan ego' untuk mengundurkan dirinya sebagai Presiden MIC. Samy Vellu di abad ke 21 ini tidak boleh lagi menggunakan kaedah 'hero filem Tamil' seperti mana dekad 1970an dan 1980an dahulu. Masyarakat India kini majoritinya bukan berada di estet-estet lagi, mereka berharap agar ketua kaum India di Malaysia ini biarlah seorang yang lebih intelek, sedikit muda dan berkemahiran. Selain itu, isu HINDRAF juga masih menghantui BN dan menjadi bonus buat PKR dan DAP.

10) Keputusan kaum Iban di Sarawak untuk meningkatkan majoriti kemenangan BN di Batang Ai sebanyak 125% berbanding di Pilihan Raya Negeri 2006 adalah bukti betapa kedudukan BN di Borneo (Sabah dan Sarawak) adalah semakin kukuh dan tidak menunjukkan sebarang kesan kejatuhan untuk satu tempoh yang lebih panjang.

Neba2020: Peratusan keluar mengundi adalah di sekitar 70% dan 75% sahaja. Kira-kira 25% lagi rakyat tidak mengundi sama sekali. Ada pendapat mengatakan bahawa penyokong Barisan biasanya bersikap sedikit 'malas' dalam mengundi kerana ada sifat 'yakin' menang. Penyokong Pakatan pula biasanya cukup 'rajin' menjalankan tanggungjawab demi untuk memastikan Barisan tewas. Ada juga yang merasa bahawa ada segelintir rakyat yang tidak ambil kisahpun tentang siapa yang menang atau siapa yang akan memerintah kerana hidup mereka tetap begitu juga; dulu, kini dan selamanya .... Entahlah .... Orang politik majoritinya hipokrit, tidak kira Barisan mahupun Pakatan, mungkin juga !

Tuesday, April 7, 2009

Si Kuning

Salam Buat Semua,

1) Kira-kira jam 5 pagi, tidur kami sekeluarga terganggu. Saya turut tersedar tetapi badan terasa malas untuk meninggalkan katil, telinga tetap berfungsi dengan baiknya.

2) Kedengaran kucing-kucing peliharaan 'menjerit-jerit' umpama mangsa histeria. Ada anjing liar sesat yang 'mengacau' si Putih dan 3 anak kecilnya. Usia anak-anak Putih adalah sekitar 6 bulan. Seekor darinya seperti 'menjerit kesakitan,' nyaring lagi seakan terseksa bunyinya.

3) Encik dengan bertenaganya telah berada di luar rumah. Anjing sesat itu mahu dikejarnya. Saya pasti si anjing itu 'terperanjat' lantas cabut lari tatkala 'si askar 1970an' itu terpekik penuh perkasa menjelang Suboh hari.

4) Encik memanggil keluarga si Putih satu-persatu. Putih muncul. Seterusnya si kecil betina Kelabu dan Cerah. Saya terdengar Encik bertalu-talu menyebut 'Kuning ! Kuning ! Kuning !' Kuning dicari sekeliling rumah, hampa yang diperoleh Encik.

5) Tatkala Suboh semakin hampir, Encik masuk ke bilik saya beradu. Encik 'si askar lama' itu dengan sayunya meluahkan perasaan sedihnya.

6) 'Andi, Kuning dah mati kena makan anjing. Hilang tak jumpa. Tulah kucing jantan yang tinggal, Encik harap dapat jaga rumah ni. Yang Jantan mesti jaga rumah.'

7) 'Encik jaga dia baik-baik. Dia jantan, dia dapat makan lebih. Kuning gaklah yang paling pandai manja-manja. Sebut aje nama, laju berlari datang. Dialah yang boleh jaga rumah ni macam Tompok jantan dulu. Tikus semua takut.'

8) Encik saya menangis. Air matanya jelas mengalir di Suboh yang hening itu. Saya hanya terdiam.

9) Menjelang jam 9 pagi, tiba-tiba si Kuning muncul. Dia masih bernyawa ! Dia rupa-rupanya bijak. Dia tidur di atas almari lama di belakang dapur. Encik kembali ceria, dia mencium Kuning sambil berkata, 'Kuning Kuning, kau dah buat aku nangis arini.'

10) Kata-kata Encik, 'Yang jantan mesti jaga rumah' cukup memberi kesan mendalam kepada saya. Syukur, ilmu dan hikmah sentiasa terpancar buat saya menjalani masa depan. Sayakan anak jantan ! Sayakan anak Encik !

Neba2020: Peristiwa berlaku di awal pagi 7 April, 2009. Tiada komputer di rumah kampung kesayangan saya ini, teknologi telefon bimbit jua yang membenarkan kisah istimewa ini dicoretkan buat tatapan kita bersama ....

Monday, April 6, 2009

Syukur Ya Tuhan - Dr. M Kembali ke UMNO ....

Salam Buat Semua,


1) Dengan rasa kesyukuran, saya akui betapa kehidupan peribadi sejak 2 minggu terakhir ini penuh dengan kegembiraan dan keriangan.

2) Kalau ada yang merasa saya 'terlebih' menempiaskan rasa gembira melalui 'posting' ini, maafkan saya. Anggaplah ianya adalah 'lontaran perasaan' peribadi saya semata-mata.

3) Saya bersyukur kerana Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak akhirnya rasmi sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia. Setelah bertubi-tubi imejnya cuba 'dirabakkan' pihak-pihak pembencinya akhirnya takdir dan limpah kurnia Tuhan Yang Maha Kuasa mengatasi segalanya.

4) Selepas solat Suboh di pagi Jumaat yang mulia (3 April, 2009), saya mendoakan semoga Tuhan Yang Maha Pengasih memberikan petunjuk juga kekuatan buat Mohd. Najib dalam menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN). Saya membacakan surah Yassin dengan penuh rasa gembira dan melontarkan pengharapan penuh kepada Tuhan Yang Maha Agung.

5) Kegembiraan berterusan juga hadir apabila idola tercinta iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad sah menyertai semula UMNO. Dr. M kelihatan sungguh ceria, sehat dan bertenaga sewaktu didampingi Mohd. Najib. UMNO sejak akhir Mac, 2009 kelihatan lebih segar, bertenaga dan meyakinkan.

6) Sejak 2006, saya kerap berdoa kepada Tuhan Yang Maha Adil semoga Dr. M tidak meninggal dunia dalam keadaan dia 'tersingkir dan tersisih' daripada kemasyhuran dan penghormatan ramai. Saya memohon kepadaNYA semoga Dr. M kembali dihormati dan berada di tempat yang sewajarnya. Saya percaya Tuhan tidak akan matikan seseorang yang penuh jasa dan penuh mulia dalam keadaan dirinya diketepikan juga diabaikan (majoriti insan, minoriti yang berbeza pendapat semestinya wujud).

7) Akhir Mac semestinya membawa khabaran gembira juga. Kemenangan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO adalah sesuatu yang cukup saya harapkan. Imej beliau kelihatan sukar untuk dirobek walau sedikitpun dek barisan pembangkang. Ketegasan dan keseriusan Muhyiddin pastinya bakal membawa satu sinar yang cukup bererti buat UMNO.

8) Gandingan Mohd. Najib (pemurah, mesra, ternama) dan Muhyiddin (tegas, tepat, diyakini) adalah umpama pasangan yang saling melengkapi dan saling memperbaiki kelemahan masing-masing.

9) Jika ada perasaan sedihpun semestinya hadir daripada 'keajaiban' kemenangan Khairy Jamaluddin untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO dengan menewaskan calon 'favorite' iaitu Datuk Mukhriz Mahathir (juga Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo). 'Akar umbi' UMNO mahukan Mukhriz apabila memberikan pencalonan terbesar kepadanya tetapi terdapat para perwakilan Pemuda UMNO yang 'mengkhianati' tugas masing-masing. 'Orang bawah' mahukan Mukhriz tetapi yang menjadi wakil untuk mengundi memilih memangkah nama Khairy ! Terasa 'puas dan gembira' pula melihat Khairy mendapat sorakan 'BOOO' yang cukup 'gemuruh' sewaktu persidangan agung UMNO di PWTC. Terasa 'syukur' juga kerana majoriti perwakilan UMNO masih 'berakal waras.' Jika dilihat kepada gabungan undi yang diperoleh Mukhriz dan Dr. Khir (menghampiri 500 undi), jelas menunjukkan majoriti perwakilan Pemuda UMNO sebenarnya 'menolak' Khairy 'jauh-jauh.' Sinar masih ada !

10) Saya bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Mendengar kerana tidak pernah sekali menafikan permohonan doa hambanya yang lemah ini. PemberianNYA sentiasa menepati majoriti impian yang diingini, syukur dan syukur ....

Neba2020: Kepada Tuhan Kita Berserah, Niat Yang Baik Tidak Akan DinafikanNYA ....

Thursday, April 2, 2009

Terima Kasih Pak Lah

Salam Buat Semua,

1) Hari ini (2 April 2009) adalah hari terakhir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sebagai Perdana Menteri Malaysia.

2) Pak Lah bertahan selama 5 tahun, 5 bulan dan 2 hari. Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri selama 13 tahun, Tun Abdul Razak cemerlang dengan tempoh 6 tahun, Tun Hussein Onn mengetuai negara bagi tempoh 5 tahun dan zaman pemodenan negara ditunjangi Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun.

3) Saya akui 'agak kritikal' apabila berbicara tentang Pak Lah. InspiRasi 1982 ~~ kelihatannya lebih banyak 'menghentam dan memerli' Pak Lah. Agak susah untuk melihat weblog ini kelihatan 'baik' terhadap Pak Lah.

4) Saya tidak membenci Pak Lah, saya menghormati dia sebagai Perdana Menteri Malaysia dan juga Presiden UMNO.

5) Saya mengkritik Pak Lah kerana saya merasakan betapa gaya pentadbiran dan juga kaedah pemikiran beliau sedikit sebanyak mampu mendatangkan 'malapetaka' kepada bangsa saya, agama saya dan juga keharmonian negara ini sedikit demi sedikit.

Perdana Menteri : " Kerajaan Tidak Membuat Sesuatu Tanpa Sebab " - 9 Januari 2007.

Perdana Menteri Sedang 'NGOROK' ??? - 12 Februari 2007.

Nik Aziz, Pak Lah dan Dr. M - 7 Ogos 2007.

31 Oktober 2007 : 4 tahun Pak Lah sebagai P.M.... - 1 November 2007.

Pak Lah Yakin BN Akan Kembali ... - 5 Disember 2007.

Surat Terbuka Buat Perdana Menteri - 5 Mac 2008.

Pak Lah Dan Rekod Gemilangnya - 5 Jun 2008.

Perdana Menteri Yang Goyah, Terserang Dan Nazak - 11 Jun 2008.

Pak Lah Harus Undur Segera ! - 21 Jun 2008.

Episod Peralihan Kuasa: Antara 22 Jun 2002 dan 10 Julai 2008 - 14 Julai 2008.

Cukuplah Pak Lah dan Anwar: Pergilah ! - 24 September 2008.

Abdullah Ahmad Badawi - Di Hujung Garisan - 9 Oktober 2008.

Abdullah Ahmad Badawi - Sudah Terlambat ! - 20 Oktober 2008.

Obama, Bush, Clinton dan Abdullah .... - 11 November 2008.

Harga Minyak Turun - Pak Lah dan Anwar Dalam Kenangan - 18 November 2008.

Transisi : 2003 dan 2009 - 4 Mac 2009.


Terima Kasih Pak Lah, Moga Hidup Sentiasa Dirahmati Tuhan Yang Maha Kuasa, Bahagia Penuh Dengan Damai Abadi ....


Neba2020: Budaya dan Adat Bangsa Mengajar Kita Supaya Tidak Lupa Berterima Kasih Dan Sentiasa Berlembut Hati Juga Pemikiran. Walau Ada Rasa Tidak Selesa Kerana Kecewa Dan Terasa, Jangan Benci Dan Dendam Menguasai Diri ....