1) Pada awalnya, saya tidak mahu mengulas tentang keputusan Pilihan Raya Kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Sejak awal lagi saya percaya bahawa keputusannya adalah 'dijangka' dan tiada sebarang kejutan akan berlaku.
2) Malangnya, ada rakan-rakan yang menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) juga yang bertanya melalui sistem 'utusan Yahoo' (Yahoo Messenger) meminta weblog ini mengulasnya sedikit.
3) Cukup tidak memeranjatkan apabila PAS, PKR dan BN masing-masing berjaya meneruskan penguasaan di Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai.Kesemua parti berjaya membuktikan bahawa majoriti rakyat di kawasan tersebut masih 'percaya dan yakin' kepada sebab juga sentimen yang membawa mereka memangkah lambang bulan, bulan sabit dan juga dacing pada pilihan raya yang lepas.
4) Jumlah undi yang diperoleh oleh si pemenang dan yang tertewas juga kelihatannya tidak banyak berubah. Kesemua kawasan juga menyaksikan majoriti pemenangnya meningkat sedikit.
5) Apa yang menarik ialah berlakunya penolakan berterusan secara besar-besaran di kalangan pengundi berbangsa Cina dan India terhadap Barisan Nasional di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Mereka seakan telah menolak terus parti-parti komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC. Pengundi Cina dan India secara majoritinya lebih 'sanggup' mengundi PAS atas rasa bencinya mereka kepada MCA, Gerakan dan MIC khasnya dan BN amnya.
6) Pengundi Melayu yang menguasai 50% pemilih di Bukit Selambau dan kira-kira 60% di Bukit Gantang kelihatannya masih secara majoriti memangkah BN. Dipercayai sebanyak 60% undi kaum Melayu 'jatuh' ke tangan calon MIC (Bukit Selambau) dan UMNO (Bukit Gantang) yang mewakili BN.
7) Sesungguhnya teori untuk mengatakan bahawa UMNO telah terhakis sokongannya di kaca-mata majoriti orang Melayu adalah silap sama sekali. UMNO di kaca mata bangsa Melayu adalah masih relevan dan masih diyakini akan visinya.
8) Orang-orang Cina pernah menolak BN pada PRU 1969 dan juga 1990. Secara tradisinya, kaum Cina menolak BN (MCA dan Gerakan secara spesifiknya) apabila mereka merasakan 'ekonomi keluarga dan peribadi' telah tergugat dan iklim perniagaan tidak memberangsangkan. Sewaktu PRU 1999, orang Cina sepakat memangkah lambang dacing akibat daripada kesan pemulihan ekonomi juga aktifnya aktiviti perniagaan selepas era muram 1997 / 1998. Mereka sepakat menyokong pemerintahan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) sehingga jagoan agung DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh sendiri tersungkur rebah hilang kerusi Parlimen.
9) Kaum India akan terus menolak BN selagi Datuk Seri S. Samy Vellu terus 'degil dan ego' untuk mengundurkan dirinya sebagai Presiden MIC. Samy Vellu di abad ke 21 ini tidak boleh lagi menggunakan kaedah 'hero filem Tamil' seperti mana dekad 1970an dan 1980an dahulu. Masyarakat India kini majoritinya bukan berada di estet-estet lagi, mereka berharap agar ketua kaum India di Malaysia ini biarlah seorang yang lebih intelek, sedikit muda dan berkemahiran. Selain itu, isu HINDRAF juga masih menghantui BN dan menjadi bonus buat PKR dan DAP.
10) Keputusan kaum Iban di Sarawak untuk meningkatkan majoriti kemenangan BN di Batang Ai sebanyak 125% berbanding di Pilihan Raya Negeri 2006 adalah bukti betapa kedudukan BN di Borneo (Sabah dan Sarawak) adalah semakin kukuh dan tidak menunjukkan sebarang kesan kejatuhan untuk satu tempoh yang lebih panjang.
Neba2020: Peratusan keluar mengundi adalah di sekitar 70% dan 75% sahaja. Kira-kira 25% lagi rakyat tidak mengundi sama sekali. Ada pendapat mengatakan bahawa penyokong Barisan biasanya bersikap sedikit 'malas' dalam mengundi kerana ada sifat 'yakin' menang. Penyokong Pakatan pula biasanya cukup 'rajin' menjalankan tanggungjawab demi untuk memastikan Barisan tewas. Ada juga yang merasa bahawa ada segelintir rakyat yang tidak ambil kisahpun tentang siapa yang menang atau siapa yang akan memerintah kerana hidup mereka tetap begitu juga; dulu, kini dan selamanya .... Entahlah .... Orang politik majoritinya hipokrit, tidak kira Barisan mahupun Pakatan, mungkin juga !
5 comments:
hahaha, betul tu. Masih ada sebilangan besar orang yang 'malas' keluar mengundi kerana merasakan ianya tidak akan memberi impak kepada mereka secara amnya, jika calon A atau B yang menang.
Bak pepatah Inggeris, "it's business as usual". Aku mempunyai beberapa kenalan warga emas yang tidak pernah memangkah, walaupun sekali.
Aku nak komen satu saja. Anda cakap pengundi bukan Melayu membenci MCA/Gerakan. Begitu pastikah anda mereka bukan membenci UMNO disebabkan isu-isu yang mungkin mencerminkan anti-bukan Melayu, satu contoh ialah masa perhimpunan agong UMNO terdahulu(adakah ini antara sebab ianya tidak ditayangkan secara lansung masa pemilihan UMN0 2009?)
Aku sendiri pernah juga bertanya kepada penyokong pembangkang bukan Melayu, ratanya mereka akan mengatakan kebencian mereka terhadap UMNO. Jarang mendengar mereka cakap keburukan parti komponen BN yang lain.
Salam,
Buat Wira Internet:
Mungkin kesimpulan anda benar, mereka membenci UMNO.
Tapi bagaimana pula dengan tindakan majoriti Melayu yang tidak membenci UMNO?
Nampak gaya, PAS (Bukit Gantang)terutamanya YB Mohd Nizar menang kerana 'bantuan' pengundi bukan Melayu.
OO lupa pula, sudah banyak 'gula-gula' dibawah 'arahan' DAP telah dibuat dulu rupa-rupanya. Alahai nasib ... Baguslah.
Orang politik majoritinya hipokrit, tidak kira Barisan mahupun Pakatan, mungkin juga !
saya sokong.. sebab tu saya rasa untuk 10 tahun yang akan datang saya x kan mendaftar untuk mengundi.. waste of time.. huhu..
Takde lah, BN memang dah tak dapat saporter melayu. Percayalah. Lain kali bergaul lah dengan org sikit. Jgn dok baca suratkhabar ngan tgk tv je.
Salam,
Buat anonymous:
1) Ikhlas kata, saya nasihatkan anda meluaskan lagi ilmu dengan berlaku lebih adil kepada semua jenis media.
2) Weblog ini bukan bermain sentimen dengan fakta tipu. Mungkin anda boleh minta Pas, Pkr dan Dap melawan apa yang saya katakan di sini. Saya jamin fakta majoriti Melayu bersama BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambar adalah benar.
3) Majoriti bukan bermaksud 100%. Harap maklum.
Post a Comment