Monday, April 6, 2009

Syukur Ya Tuhan - Dr. M Kembali ke UMNO ....

Salam Buat Semua,


1) Dengan rasa kesyukuran, saya akui betapa kehidupan peribadi sejak 2 minggu terakhir ini penuh dengan kegembiraan dan keriangan.

2) Kalau ada yang merasa saya 'terlebih' menempiaskan rasa gembira melalui 'posting' ini, maafkan saya. Anggaplah ianya adalah 'lontaran perasaan' peribadi saya semata-mata.

3) Saya bersyukur kerana Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak akhirnya rasmi sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia. Setelah bertubi-tubi imejnya cuba 'dirabakkan' pihak-pihak pembencinya akhirnya takdir dan limpah kurnia Tuhan Yang Maha Kuasa mengatasi segalanya.

4) Selepas solat Suboh di pagi Jumaat yang mulia (3 April, 2009), saya mendoakan semoga Tuhan Yang Maha Pengasih memberikan petunjuk juga kekuatan buat Mohd. Najib dalam menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN). Saya membacakan surah Yassin dengan penuh rasa gembira dan melontarkan pengharapan penuh kepada Tuhan Yang Maha Agung.

5) Kegembiraan berterusan juga hadir apabila idola tercinta iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad sah menyertai semula UMNO. Dr. M kelihatan sungguh ceria, sehat dan bertenaga sewaktu didampingi Mohd. Najib. UMNO sejak akhir Mac, 2009 kelihatan lebih segar, bertenaga dan meyakinkan.

6) Sejak 2006, saya kerap berdoa kepada Tuhan Yang Maha Adil semoga Dr. M tidak meninggal dunia dalam keadaan dia 'tersingkir dan tersisih' daripada kemasyhuran dan penghormatan ramai. Saya memohon kepadaNYA semoga Dr. M kembali dihormati dan berada di tempat yang sewajarnya. Saya percaya Tuhan tidak akan matikan seseorang yang penuh jasa dan penuh mulia dalam keadaan dirinya diketepikan juga diabaikan (majoriti insan, minoriti yang berbeza pendapat semestinya wujud).

7) Akhir Mac semestinya membawa khabaran gembira juga. Kemenangan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO adalah sesuatu yang cukup saya harapkan. Imej beliau kelihatan sukar untuk dirobek walau sedikitpun dek barisan pembangkang. Ketegasan dan keseriusan Muhyiddin pastinya bakal membawa satu sinar yang cukup bererti buat UMNO.

8) Gandingan Mohd. Najib (pemurah, mesra, ternama) dan Muhyiddin (tegas, tepat, diyakini) adalah umpama pasangan yang saling melengkapi dan saling memperbaiki kelemahan masing-masing.

9) Jika ada perasaan sedihpun semestinya hadir daripada 'keajaiban' kemenangan Khairy Jamaluddin untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO dengan menewaskan calon 'favorite' iaitu Datuk Mukhriz Mahathir (juga Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo). 'Akar umbi' UMNO mahukan Mukhriz apabila memberikan pencalonan terbesar kepadanya tetapi terdapat para perwakilan Pemuda UMNO yang 'mengkhianati' tugas masing-masing. 'Orang bawah' mahukan Mukhriz tetapi yang menjadi wakil untuk mengundi memilih memangkah nama Khairy ! Terasa 'puas dan gembira' pula melihat Khairy mendapat sorakan 'BOOO' yang cukup 'gemuruh' sewaktu persidangan agung UMNO di PWTC. Terasa 'syukur' juga kerana majoriti perwakilan UMNO masih 'berakal waras.' Jika dilihat kepada gabungan undi yang diperoleh Mukhriz dan Dr. Khir (menghampiri 500 undi), jelas menunjukkan majoriti perwakilan Pemuda UMNO sebenarnya 'menolak' Khairy 'jauh-jauh.' Sinar masih ada !

10) Saya bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Mendengar kerana tidak pernah sekali menafikan permohonan doa hambanya yang lemah ini. PemberianNYA sentiasa menepati majoriti impian yang diingini, syukur dan syukur ....

Neba2020: Kepada Tuhan Kita Berserah, Niat Yang Baik Tidak Akan DinafikanNYA ....

5 comments:

Afif said...

Sebilangan orang UMNO mungkin gembira bila Tun M balik kepada UMNO, tapi hakikatnya orang melayu terutamanya golongan muda telah dan akan tetap menolak UMNO walau siapapun menerajui UMNO. Tunggulah PRU 13.

fendy_ahmad said...

Salam,

1)Terima kasih Afif.

2) Golongan muda yang akan mengundi juga dapat dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu 30% menyokong BN, 30% menyokong Pembangkang. 40% adalah golongan yang tidak mengambil kisah tentang politik.

3) 40% inilah yang mengundi berdasarkan sentimen semasa dan gaya pemerintahan Perdana Menteri semasa. Mereka ini tidak menghiraukan sangat tentang blog, akhbar alternatif dan mainan politik mana mana pihak.

4) 30% yang menyokong BN kebanyakannya jenis 'senyap' kerana mereka tidak perlu 'bising-bising' terlebih di dalam blog mahupun media alternatif. Mereka biasanya adalah golongan yang sudah berpuas hati dan tiada apa sangat yang perlu dibising-bisingkan.

5) 30% yang menyokong pembangkang itulah yang biasanya 'kelihatan bising' dan nyata kewujudannya. Mereka ini aktif di blog, media alternatif dan juga rapat umum.

6) 40% itulah yang menyebabkan DAP tersungkur rebah di PRU 1999 manakala PAS dan PKR lingkup di PRU 2004 dan mereka jugalah yang memberikan petanda negatif kepada BN di PRU 2008 juga tidak lupa di PRU 1969 dan PRU 1990.

7) Kempen pilihan raya biasanya lebih tertumpu untuk menarik perhatian golongan 40% tersebut.

Anonymous said...

Afif, kalau anda banyak bergaul di luar "clique" anda, pasti akan terjumpa ramai golongan seperti yang dimaksudkan oleh Penulis.

Walaupun saya sendiri meragui peratusan(mungkin purata, tetapi saya memang kurang mempercayai statistik.:P) yang diberikan oleh penulis, tapi saya akui golongan belia tersebut (atas pagar dan pro-bn) amat besar bilangannnya.

Berbalik kepada topik, UMNO harus mengkikis tanggapan umun orang ramai, bahawa keahliannya hanya untuk menyenangkan dapat kontrak kerajaan.

Saya berharap Datuk Seri Najib dapat membuat sesuatu untuk menarik ramai lagi golongan Melayu yang berwibawa dan berkemampuan dari segi akademik yang berminat untuk berkhidmat kepada negara supaya dapat membawa UMNO, dan secara tidak langsung, Malaysia kembali ke kancah kegemilangan.

Anonymous said...

mengapa tun mahathir tidak mengambil tindakan terhadap wang politik? i wonder

fendy_ahmad said...

Salam,

Buat kesemua anonymous, terima kasih atas respon.

Berkenaan dengan soalan di atas, saya tidak berminat untuk terjun ke dalam 'perangkap.'

Politik wang mudah berlaku malangnya amat sukar untuk dibuktikan.

Rayuan dari hati sehingga keluar air mata dan diadakan perhimpunan khas pernah diadakan di era Presiden UMNO ke 5.

Tapi kita wajar yakin bahawa pengamal rasuah tidak akan dapat mendaki puncak tertinggi kuasa dengan izin Tuhan. Yakinlah...