1) George W. Bush (Parti Republikan) muncul sebagai Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2000. Dia menewaskan Al Gore daripada Parti Demokrat. Sebelum itu, Bill Clinton menjadi Presiden negara 'Uncle Sam' itu selama 8 tahun. Clinton adalah daripada Parti Demokrat.
2) Bush berjaya mengekalkan kedudukannya sewaktu pemilihan tahun 2004. Dia menewaskan John Kerry dengan jayanya, faktor 'keselamatan' Amerika Syarikat selepas peristiwa 11 September, 2001 dikatakan menjadi penyumbang kepada 'pengekalan' Bush sebagai ketua negara bagi penggal kedua.
3) Penggal terakhir pentadbiran Bush (sistem di Amerika Syarikat hanya membenarkan seseorang menjadi Presiden selama 2 penggal sahaja) dipenuhi dengan keangkuhannya yang masih berpegang kuat kepada misi 'memerangi pengganas' sehingga ramai rakyatnya sendiri menjadi mangsa terutamanya para anggota tentera.
4) Bush juga semakin tidak menumpukan kepada pengurusan ekonomi negara. Dua tahun terakhir pentadbirannya telah menjerumuskan Amerika Syarikat ke lembah kemelesetan ekonomi dan 'gangguan' sistem kewangan yang cukup kritikal.
5) Barack Obama daripada Parti Demokrat telah dipilih sebagai Presiden baru kuasa besar ekonomi dunia itu. Beliau akan mengangkat sumpah jawatan pada Januari, 2009 ini.
6) John McCain yang mewakili Parti Republikan tewas bukan semata kerana Obama terlalu hebat ataupun Parti Demokrat terlalu diyakini rakyat. McCain tewas kerana dia membawa 'bebanan' warisan Bush yang terlalu berat.
7) McCain tersungkur kerana majoriti rakyat telah tidak senang dengan segala tindak-tanduk Bush semenjak diberi mandat ke dua pada tahun 2004. Mereka merasakan mengundi McCain samalah seperti menghalalkan segala dasar Bush kerana mereka berdua datang daripada parti yang sama.
8) Obama ternyata bijak menggunakan segala 'kelemahan dasar' Bush sebagai aset untuk dia menuju ke 'White House.' Motto kempen Obama menjurus kepada mengajak rakyat melakukan perubahan, lari daripada segala huru-hara yang dicipta pentadbiran Bush.
9) George Bush walaupun di akhir pentadbirannya cukup merudum popularitinya tetapi mampu juga bertahan di tahap maksima sebagai Presiden Amerika Syarikat (8 tahun). Sekurangnya dia lebih berjaya berbanding ayahnya (George H.W. Bush) yang menjadi Presiden pada tahun 1988 menggantikan Ronald Reagen tetapi tewas di tangan Clinton empat tahun berikutnya.
10) Di Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mampu bertahan sebanyak dua kali pilihan raya. Bezanya, Abdullah akan melepaskan jawatan pada Mac, 2009 iaitu sewaktu usia penggal ke dua pemerintahannya baru menjengah angka satu tahun. Bush pula berjaya melengkapkan pemerintahannya selama dua penggal penuh dan tidak pernah didesak untuk melepaskan jawatan seperi Clinton yang pernah 'diasak' akibat 'skandal Monica Lewinsky' dahulu.
Neba2020: Obama diharap membawa perubahan kepada cara dan gaya Amerika Syarikat 'melihat' dunia. Bush dilabel sebagai 'pengganas sebenar' dunia dan 'hero' tidak diundang yang suka menunjuk lagak di mana-mana. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya kerana sejarah menunjukkan betapa sudah banyak Presiden Amerika Syarikat yang kelihatan cukup 'sopan dan santun' di awalnya tetapi semakin lama kuasa di tangan semakin kuat pula menunjukkan kuasa umpama 'polis dunia' dan 'hakim alam' ....
No comments:
Post a Comment