Wednesday, November 26, 2008

Wawasan 2020

Salam Buat Semua,

1) Antara kenangan indah sewaktu zaman sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Gemereh, Segamat, Johor) ialah aktiviti menyanyikan lagu-lagu patriotik sebelum kelas bermula di pagi hari dan juga ketika waktu rehat.

2) Aneka jenis lagu patriotik akan berkumandang di seluruh kawasan sekolah. Keadaannya adalah cukup santai dengan para pelajar bebas untuk bernyanyi sama ada sewaktu berjalan, menikmati juadah di kantin, bermain kejar-kejar mahupun duduk-duduk mengambil angin di bawah pokok. Kadang-kadang di sebalik bilik tandas juga akan kedengaran suara anak-anak kecil menyanyikannya, comel dan sungguh menggelikan hati !

3) Seisi sekolah menjadi bersemangat, semuanya menjadi 'pencinta negara' dan terasa betapa bangganya menjadi rakyat kepada sebuah negara yang bernama Malaysia.

4) Tahun 1991 (saya berada di Darjah Tiga), Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) memperkenalkan terma Wawasan 2020. Niat akhirnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Lagu Wawasan 2020 menjadi 'buah hati' dan setiap pagi saya menjadi begitu 'ghairah' andainya pihak sekolah memutarkan lagi tersebut di corong pembesar suara.

5) 17 tahun sudah berlalu, tidak sampai 12 tahun lagi tahun 2020 akan muncul tiba. Adakah anak-anak kecil yang cukup bersemangat berbelas tahun dahulu sewaktu menyanyikan lagu Wawasan 2020 itu masih tinggi semangatnya ? Adakah cita-cita Dr. Mahathir itu masih di landasan yang betul ? Adakah pengganti Dr. Mahathir sudah melaksanakan penerusan idea dan gerak kerja yang mantap sepanjang 5 tahun yang telah berlalu ?



Wawasan 2020

Bendera berkibar di angkasa
Lambang negara jaya
Rakyat sepakat sehati sejiwa
Dengan berbakti dengan megah

Hadapi cabaran masa muka
Penuh tenaga murni
Bakti dicurah sehara-sehala
Dengan wawasan yang suci

Wawasan meningkat kemajuan
Tiada lagi kepincangan
Kemewahan rasa-dirasai
Bersama kita nikmati

Wawasan 2020
Satu pandangan jauh
Bukan impian malah kenyataan
Bersama kita jayakan
Neba2020: Wawasan akan tinggal wawasan andai manusia mudah penat dan senang merasa puas dengan apa yang sedang dilalui. Wawasan juga akan hanyut menjadi impian silam andai manusia sentiasa mahukan perubahan segera dan hilang kesabaran dalam meneruskan sesuatu yang memerlukan perancangan jangka masa panjang. Wawasan adalah satu siri usaha dan kesabaran yang tiada hentinya ....

No comments: