Berikut saya turunkan petikan kata-kata daripada Y.A.B Perdana Menteri pada sesi temu bual bersama Pengarang Eksekutif Forbes merangkap Pengarang Forbes Asia, Tim Ferguson, selepas berucap pada majlis penyampaian anugerah Forbes Asia Fabulous 50 dan Businessman of the Year di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 4 Disember, 2007 :
" Banyak wang yang boleh dibuat dan keuntungan yang boleh diraih di negara ini. Mereka yang datang ke sini mesti tahu apa sebenarnya yang berlaku... pilihan raya semakin hampir dan orang berkata macam-macam. "
" Tetapi jangan bimbang, kami akan kembali dengan majoriti dua pertiga... "
Adalah sesuatu yang menarik untuk direnungkan mengapa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) seakan 'terpaksa' untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa yang boleh menimbulkan pelbagai andaian sama ada berbaur positif mahupun negatif. Positifnya mungkin dapat dilihat daripada tingginya iltizam beliau untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing kepada negara ini dan negatifnya pula mungkin seakan menyerlahkan ketidakyakinannya terhadap keupayaan parti pemerintah untuk mengekalkan prestasi unggul di dalam pilihan raya umum yang bakal menyusul bila-bila masa daripada sekarang.
Buat imbasan bersama; Ketika pilihan raya umum terakhir yang dijalankan pada 21 Mac, 2004, Barisan Nasional (BN) yang buat pertama kalinya diketuai oleh Pak Lah telah mencapai kemenangan terbesar BN sejak pilihan raya umum 1978. Pak Lah semestinya cukup berpuas hati dengan keupayaan Barisan Nasional yang dengan cemerlang, gemilang dan terbilangnya telah meraih undi popular sebanyak 63.9 %, suatu pencapaian yang cukup untuk dijadikan kenangan terindah buat seorang yang baru kira-kira 4 bulan menjadi Perdana Menteri ! Secara ringkas, bolehlah dikatakan bahawa kira-kira 6 atau 7 orang daripada 10 orang yang mengundi ketika itu telah sepakat untuk mengundi (memangkah) lambang dacing (penimbang) yang merupakan simbol mewakili Barisan Nasional di dalam kertas undi. Syabas BN ! Syabas Pak Lah !
Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO telah meraih kemenangan sebanyak 198 kerusi Parlimen. Gabungan pembangkang iaitu PAS, DAP dan Keadilan hanya mampu meraih 20 (PAS= 7, DAP= 12, Keadilan= 1) kerusi manakala 1 kerusi jatuh ke tangan anggota bebas. Keupayaan BN menguasai kira-kira 90 % jumlah kerusi Parlimen adalah sesuatu yang sungguh dramatik lagi mengkagumkan.
Sebagai rekod, BN hanya memperolehi 56 % undi popular sewaktu pilihan raya umum 1999. Daripada 192 buah kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN memperoleh 147 kerusi manakala 45 kerusi di tangan barisan pembangkang (PAS= 27, DAP= 10, Keadilan= 5, Parti Bersatu Sabah= 3).
Sebagai perbandingan mudah, BN menguasai 90 % kerusi Parlimen seusai pilihan raya umum 2004 berbanding dengan penguasaan sebanyak 77 % melalui pilihan raya umum 1999.
Majoriti dua pertiga yang diperkatakan Pah Lah itu bermakna penguasaan sekurang-kurangnya sebanyak 67 % daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen pada pilihan raya umum yang akan datang ini yang mana dipercayai akan diadakan pada suku pertama tahun 2008 mendatang. Rasanya jika Pak Lah cukup yakin yang sentimen semasa rakyat adalah amat memihak kepadanya sebagai Perdana Menteri yang cukup popular dengan label-label seperti Misi Nasional, Islam Hadhari, modal insan, koridor-koridor pembangunan, 'bekerja bersama saya' dan juga 'elegent silence,' maka sudah pastilah beliau tidak perlu 'bersusah payah' meyakinkan para pelabur asing sehingga ke tahap itu kerana adalah sesuatu yang pasti BN akan terus berkuasa dengan majoriti yang jauh lebeh tinggi daripada 2/3 itu.
Berikut adalah 3 persoalan yang ingin saya timbulkan buat renungan mahupun perhatian mendalam kita bersama:
1) Adakah Pak Lah kelihatan tidak yakin dengan keupayaan BN untuk menyamai (atau mungkin mengatasi) rekod yang dicapai pada pilihan raya umum 2004 ?
2) Wajarkah ini dilihat sebagai persediaan rapi Pak Lah untuk mengetuai jentera pilihan raya BN atau sebagai satu tanda bahawa BN sudah kelihatan sedikit lemah sehingga 'terpaksa' mengeluarkan kenyataan bahawa BN akan kembali dengan majoriti 2/3 walhal keputusan terakhir menunjukkan BN sungguh cemerlang dengan majoriti 9/10 ?
3) Mungkinkah ini adalah perang psikologi ke atas pihak pembangkang yang akhirnya akan memerangkap barisan pembangkang sendiri yang sudah sedia diketahui betapa goyahnya prinsip perjuangan dan muafakat sesama mereka?
Neba2020: Pertama kali berpeluang mengundi pada tahun 2004, sungguh bangga kerana berkesempatan mengundi pada usia minimum 21 tahun yang ditetapkan. Tanpa berfikir panjang, lambang dacing dipangkah sebagai tanda sokongan padu kepada UMNO khasnya dan kerajaan Barisan Nasional amnya yang tanpa disedari sudah cukup banyak berbakti kepada saya sekeluarga juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang 'sedar dan celik'. Undian itu juga sebagai refleksi tanda keyakinan saya kepada idola kesayangan yang pernah berkata bahawa parti adalah lebih penting daripada pemimpin, 'mendalam maksudnya, tajam ertinya' buat saya secara peribadi. Tepuk dada tanyalah minda...
4 comments:
BN memang akan menang pilihanraya akan datang dengan majoriti besar (lebih 2/3) tapi dengan syarat:-
1.) Pak Lah kena pastikan koridor2 ekonomi yang dibuat tu bukan sekadar retorik saja. Macam mana? Pak Lah kena pastikan dua2 sektor pertanian dgn industri sama2 naik, bukan setakat tumpukan pada industri tapi industri terabai. Nak maju, kita kena sentiasa pandang ke depan dan sekali-sekala toleh sikit ke belakang untuk ambil iktibar sejarah lepas. Kalau kita sentiasa pandang ke belakang, memang langgar tianglah jawabnya.
2.) Pak Lah kena banyak membaca dan ambil tahu apa saja perkembangan dalam dan luar negara. Kita tak nak Pak Lah terus dikatakan sebagai kuat tidur lagi.
3.) Jangan jadikan slogan Islam Hadhari sebagai retorik saja, sebaliknya buktikannya. BN menang besar tahun 2004 disebabkan slogan Islam Hadhari, jangan jadikan orang ramai hilang kepercayaan terhadap slogan Islam Hadhari lalu menjadi sebab BN kalah, atau kalau menang pun dengan majoriti yang lebih kecil.
tak ku sangka dalam keadaan malaysia macam ni yang penuh dengan nepotisme,budaya kroni, jenayah yang semakin dahsyat korupsi yang bermaharaja lela,kerajaan yang bebal dan segala bentuk penipuan masih ada lagi oarang yang kononnya terpelajar menyokong kerajaan..kesiannn ko melayu..
"paklah yakin BN akan menang.." kalau menang pun dengan rasuah politik,guna jentera kerajaan, serangan media yang berat sebelah.. takde maknanya..
Penafian :
3 pendapat di atas saya izinkan penyiarannya bukan bermakna saya menyetujuinya tetapi sekadar tidak mahu menyekat segala pendapat yang dilayarkan pembaca weblog ini.
Pendapat-pendapat adalah secara peribadi dan tidak mewakili pendapat penulis weblog ini.
Post a Comment