Terasa cepat masa berlalu, 2007 terpaksa jua diucapkan 'Selamat Tinggal Selamanya' dengan bermulanya detik 1 Januari, 2008.
Dalam kita berkira-kira untuk memasang azam dan 'mengindahkan diari kehidupan' untuk edisi tahun 2008, adalah elok rasanya jika kita cuba menoleh ke belakang tentang apa yang telah berlaku, apa yang telah dicapai dan apa yang telah dirancang untuk kehidupan kita di sepanjang tahun 2007.
Pasti ada sesuatu yang boleh kita gembirakan untuk tahun 2007 dan semestinya juga ada yang wajar untuk disedihkan kerana perjalanan hidup adalah sesuatu yang sentiasa berputar mengikut 'roda-roda masa' yang sekejap membawa kita 'ke puncak' dan pada situasi yang lain meletakkan kita 'di bawah.' Tetapi percayalah bahawa setiap apa yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya yang tersendiri.
Hikmah dan pengajaran bukanlah timbul apabila kita melalui detik-detik 'muram dan kecewa' sahaja sebaliknya cubalah meluaskan skop minda kita dengan kepercayaan bahawa setiap 'kejayaan dan kemanisan' yang diperoleh itu juga sebenarnya membawa makna tertentu yang bukan sekadar untuk diraikan kejayaannya semata-mata. Percayalah bahawa 'kejayaan dan kemanisan' yang kita kecapi itu sebenarnya adalah 'penunjuk arah' untuk kita lebih ke hadapan , lebih berbakti, lebih rasional, lebih matang dan lebih tekun dalam apa juga yang diceburi di kemudiannya.
Secara peribadi, saya merasakan betapa 2007 adalah tahun yang cukup menggembirakan dan seakan tiada cabaran-cabaran besar yang terpaksa ditempuh. Syukur saya ke hadrat Tuhan yang Maha Kuasa kerana mengurniakan satu tahun yang 'licin dan indah' untuk kehidupan saya.
1) Januari - Saya memulakan tugas baru di Multimedia University (MMU) sebagai Tutor di Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang. Terasa seperti memulakan tugasan baru walhal saya hanyalah bertukar bangunan di kawasan yang sama setelah berkhidmat sebagai Penolong Pensyarah di Pusat Pengajian Asas dan Pendidikan Lanjutan, MMU. Proses pertukaran yang 'tak tersangka' ini amat saya syukuri kerana di izinkan Tuhan Yang Maha Penyayang walaupun menimbulkan sedikit 'kontroversi' di awalnya.
2) Februari - Air mata saya menitis tidak berhenti dan begitu sebak sekali sewaktu melihat abang saya naik ke pentas konvokesyen untuk menerima Diplomanya daripada Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahid Omar di Kolej Multimedia, Kuala Lumpur. Beliaulah satu-satunya adik-beradik yang saya miliki dan memang tidak pernah termimpi oleh keluarga kecil kami betapa si anak sulung itu akan memiliki kelulusan yang lebih daripada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) untuk hidupnya. Menerima Diploma ketika usianya hampir mencecah 33 tahun dengan kepastian kenaikan pangkatnya di Telekom Malaysia daripada Juruteknik kepada Pembantu Teknikal sudah kami anggap sebagai satu kejayaan yang amat dibanggakan. Kami Boleh ! Anak Kampung Boleh !
3) Mac - Pastinya kenangan menaiki pentas konvo buat kali kedua untuk menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Univerisi Utara Malaysia (UUM) daripada Pro-Canselornya iaitu Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh adalah memori paling indah bagi hidup saya untuk tahun 2007. Impian untuk bergelar Doktor Fendi nampaknya hanya setangga lagi untuk dikejar ! Yakin Boleh, Kita Boleh !
4) Mei - Secara rasmi saya diiktiraf sebagai Pensyarah universiti ! Inilah sesuatu yang saya idamkan sejak di Tingkatan 4 iaitu untuk menjadi seorang pensyarah universiti. Setelah 2 tahun bergelar Penolong Pensyarah dan 7 bulan sebagai Tutor, dapat akhirnya saya 'mengisytiharkan' diri ini sebagai Pensyarah penuh.
5) Jun - Saya berjaya diterima sebagai Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Johor. Percubaan yang saya lakukan dengan menghantar permohonan pada bulan Mac dan diikuti dengan panggilan temuduga 'tunjuk cara mengajar (mock-teaching)' dan temuduga peringkat akhir pada bulan Mei sebenarnya hanyalah lebih kepada 'percubaan menguji pasaran.' Saya ingin melihat sejauh manakah 'keupayaan dan kemampuan' saya diterima pakai oleh pihak-pihak di universiti awam. Walau bagaimanapun, kerana masih terikat dengan perjanjian biasiswa Yayasan Telekom Malaysia dan ditambah dengan perasaan berbelah-bagi untuk meninggalkan MMU, saya masih lagi kekal di sini. Kekal untuk sekurangnya buat masa setahun dua lagi....
6) September - Bulan Ramadhan pada tahun ini seakan membuka satu lembaran baru kepada hidup saya. Saya mula terasa betapa hidup ini ada 'sesuatu' yang sering kali kita lupa. Kita lupa kepada satu 'petunjuk' terhebat yang boleh memajukan jiwa dan masa depan kita. Apakah 'petunjuk' itu? Saya serahkan kepada kebijaksanaan anda untuk mencarinya.... Yang pasti, saya merasakan betapa selama ini ketika proses pencarian Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana, saya seakan lupa memperuntukkan sedikit masa dalam sehari untuk 'bermanja-manja' bersama 'petunjuk' itu padahal ia sebenarnya jauh lebih penting daripada 'petunjuk-petunjuk ilmu universiti' yang saya kejar sebelum itu. Kini, setelah hampir 4 bulan 'bermanja-manja' tanpa henti dengan 'petunjuk' itu, saya akan berasa janggal dan bersalah jika tidak menatapnya sekali dalam sehari. Puas dan tenang bila bersamanya....
Akhir kata : Selamat Tinggal 2007, terima kasih kerana 2007 memberikan saya satu kehidupan yang cukup bermakna dan penuh dengan senyuman dan kepuasan.
Neba2020: 1997, Malaysia dikejutkan dengan kemelesetan ekonomi dan kejatuhan nilai Ringgit yang cukup serius dan menakutkan. Rakyat terbeban ! 2007, Malaysia terus dikejar dengan masalah kenaikan kos sara hidup yang cukup kritikal dan tiada penghujung juga dengan pelbagai demonstrasi jalanan yang mendebarkan semua. Rakyat tetap terbeban ! 2017, teruslah lihat dan menanti....
No comments:
Post a Comment