Selamat Tahun Baru 2008 Diucapkan Kepada Semua Pelayar Weblog InspiRasi 1982 ~~
Terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada saya di sepanjang tahun 2007 dan percayalah bahawa kepuasan menulis di sini tercapai sudah apabila semakin ramai yang menegur saya tentang topik-topik yang saya usulkan dan bertanya 'maksud-maksud' tertentu yang cuba saya sampaikan. Semakin hari semakin ramai yang menyatakan sokongan kepada 'usaha kecil' ini dan saya berasa seolah-olah diri ini umpama 'selebriti kecil' yang mempunyai 'peminat-peminat setia' yang tidak jemu dan bosan untuk meluangkan sedikit masa dalam diari mingguan mereka untuk membaca apa saja yang saya nukilkan di InspiRasi 1982 ~~
Melalui pemerhatian dan respon-respon langsung yang saya peroleh, weblog ini telah dikunjungi oleh khalayak pembaca yang pelbagai. Terima kasih kepada pelajar-pelajar di Multimedia University, terima kasih kepada rakan-rakan sekerja di Multimedia University, terima kasih kepada pensyarah-pensyarah yang pernah mengajar saya di Multimedia University, terima kasih kepada staf-staf sokongan di Multimedia University, terima kasih kepada semua rakan-rakan yang mengenali saya di seluruh Malaysia dan terima kasih juga kepada pembaca-pembaca yang mungkin ada yang tidak saya kenali secara peribadi. Terima kasih daun keladi, sokongan kalian tak terbalas dek budi...
Dalam kita membina azam baru, cuba-cubalah memikirkan sesuatu yang jarang kita fikirkan selama ini. Setiap tahun kita selalu membina azam yang sebenarnya menunjukkan betapa kita ini 'bongkak dan sombong' sekali ! Kita hanya berfikir tentang diri kita semata-mata dan kita amat 'lokek' untuk berazam demi kebahagiaan mahupun kesenangan mereka-mereka yang hampir dengan kehidupan kita ! Mengapa saya berkata begitu? Cuba tanyakan diri kita 3 persoalan di bawah:
1) Pernahkah anda membina azam yang melibatkan ibu dan bapa?
2) Wajarkah azam anda selalunya hanya memikirkan tentang diri sendiri sahaja?
3) Tidakkah anda terfikir betapa keluarga dan masyarakat terhampir dengan kita juga sebenarnya sebahagian daripada diri kita dan mereka layak untuk 'masuk' ke dalam senarai azam-azam yang kita reka dan cipta dengan penuh warna-warninya itu?
Akhir kata, moga 2008 akan memberikan kita satu kehidupan yang cemerlang selalu, gembira berkekalan, berbudi sentiasa dan tiada duka, tiada nestapa.
Fikirkan Boleh, Kita Boleh ! Fikirlah Posititf, Kita Produktif !
Neba2020: Azam baru silih berganti, jangan pula kita menjadi mangsa azam yang tak pernah tercapai dek kerana kelemahan kita dalam mengurus masa dan merancang aktiviti kehidupan ! Percayalah bahawa setiap azam yang dicanang di awal tahun akan berkubur andai kita gagal mengurus dengan baik 24 jam sehari yang dimiliki dan kita gagal merancang perjalanan diari hidup dengan unggul lagi penuh sistematik. Azam baru bererti 'keazaman yang tinggi untuk berubah dan beralih ke sesuatu yang lebih baik !' Jika kita tetap 'malas dan liat' untuk 'berubah dan beralih' maka janganlah sesekali kita berangan untuk menjadi manusia yang lebih cemerlang mahupun sempurna kehidupannya. Jika kita seawalnya sudah tahu bahawa kita memang belum bersedia untuk 'berubah dan beralih,' maka pada awal pagi 31 Januari 2008 umumkan saja ke seantero dunia bahawa 'AZAM AKU UNTUK TAHUN 2008 TELAH GAGAL DICAPAI...'
4 comments:
Bagus tu. Azam-azam kita perlu melibatkan ibu bapa kami. Tanpa mereka, tak ada kita.
kesiann awak takde orang nak komen ek meh saye komen skit..blog awak ni takde lah best sangat tengok gaye awak ni mcm syok seniri je.. bahaye tu..
Terima aksih sebab sudi komen...
Kalau ikut 'adat blogging,' orang yang tinggalkan komen dengan menggunakan samaran 'anonymous' sahaja ini adalah orang-orang 'pengecut identiti' namanya...
Kepada semua pembaca sekalian, andai saya dianggap 'syok sendiri' maka terpulanglah sebab weblog inipun saya jalankan tanpa disuruh mahupun tanpa sebarang insentif yang etrsedia, maka namanyapun weblog peribadi....Kalau ada yang ingin membaca, terima kasihlah, kalau ada yang membenci pun bermakna saya berjaya juga membuatkan orang 'terbaca' weblog ini.
sumber inspirasi 1982 sudah hilangkah?
Post a Comment