Salam Aidil Adha untuk edisi Zulhijjah, 1428 Hijrah yang jatuh pada tanggal 20 Disember, 2007 saya ucapkan kepada semua yang meraikannya.
Aidil Adha lebih sinonim dengan panggilan Hari Raya Korban di kalangan umat Melayu Malaysia. Pastinya nama tersebut wujud akibat langsung daripada galakan untuk mengerjakan ibadat korban yang dilaksanakan secara meluas di musim Aidil Adha (Hari Raya Korban diikuti dengan 3 hari yang seterusnya). Semestinya ternakan seperti lembu, kambing mahupun kerbau menjadi pilihan di kalangan mereka yang melakukan ibadat tersebut untuk 'dikorbankan' sebagai refleksi kepada ketaatan Nabi Allah Ibrahim yang walaupun dengan 'berat hati' tetapi tetap akur kepada perintah Yang Maha Kuasa supaya Baginda 'menyembelih' anaknya sendiri iaitu Nabi Allah Ismail.
Tetapi Tuhan Yang Maha Pengasih hanyalah mahu menguji iman Nabi Allah Ibrahim; Lalu ketika proses 'sembelihan' dilakukan, Nabi Allah Ismail telah digantikan secara pantas dengan seekor kibas akibat daripada kuasaNya. Maka daripada peristiwa itulah bermulanya sambutan 'Hari Raya Korban' yang turut dipanggil Hari Raya Haji kerana berjuta-juta umat Islam turut menunaikan ibadat Haji yang merupakan Rukun Islam ke 5 di Tanah Suci Mekah.
Bersempena dengan Aidil Adha ini, elok rasanya untuk kita sama-sama 'melihat dan merenung' jauh ke dalam diri bagi mengenal pasti sejauh manakah 'pengorbanan' yang pernah dilakukan di sepanjang kehidupan yang singkat ini. Kadang-kadang kita menjadi 'biol dan gila' dek kerana terlalu taksub dengan istilah 'pengorbanan' yang menyimpang jauh daripada kesucian maksud asalnya yang cukup murni dan bersih dalam membentuk keperibadian insan yang unggul lagi hebat !
Berikut adalah antara persoalan yang menarik untuk saya 'lemparkan ke benak minda' kita bersama sekadar untuk mengenal pasti sama ada kita adalah mangsa 'pengorbanan' yang tidak bertempat ataupun sebaliknya:
1) Wajarkah 'berkorban' menggadai / mencemar maruah diri demi seorang kekasih dianggap sebagai 'pengorbanan' yang hakiki lagi logik ?
2) Perlukah kita 'berkorban' berhabis harta / wang demi mengejar cinta sejati yang kadang-kala tidak pasti akan 'ketulusannya' ?
3) Haruskah kita 'berkorban' masa mahupun wang untuk orang lain dahulu walhal kita lupa tentang 'pengorbanan' seorang ibu ketika kita dilahirkannya dahulu dan juga 'pengorbanan' seorang bapa untuk membesarkan si anak yang adakalanya mencecah 'setengah dozen' mahupun 'sedozen' bilangannya ?
4) Tidakkah 'berkorban' demi menegakkan suatu pandangan / cita-cita / ideologi sempit itu sebenarnya membawa kita kepada 'pengorbanan' yang tidak bermakna ?
5) Mengapakah kita selalu rela 'berkorban' masa demi perkara-perkara yang selalu menyimpangkan kita daripada objektif dan cita-cita hidup walhal masa yang emas itu sepatutnya menjadi nadi 'pengorbanan' untuk kejayaan di hari muka ?
Ringkasnya, pengorbanan biarlah memenuhi faktor-faktor di bawah:
1) Pengorbanan biarlah memberi faedah kepada diri, keluarga mahupun masyarakat.
2) Pengorbanan haruslah dapat membawa kebahagiaan kepada diri dan memberi ketenangan jiwa yang berpanjangan
3) Pengorbanan itu perlu diukur kepada kemampuan diri sendiri dan tidak membawa kepada penyeksaan jiwa, fizikal dan rohani.
4) Pengorbanan kepada Tuhan bererti pengorbanan yang paling unggul dan pastinya akan membawa kita ke arah menjadi insan yang cemerlang selalu.
5) Pengorbanan wajar diisi dengan kefahaman awal yang mendalam tentang hasil / akibat yang dijangka diterima / muncul di akhirnya supaya tiada 'kejutan' mahupun 'kekesalan' wujud.
Neba2020: Lirik lagu Berkorban Apa Saja dendangan seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee - Berkorban apa saja.. Harta atau pun nyawa.. Itulah kasih mesra, Sejati dan mulia.. Kepentingan sendiri, Tidak diingini.. Bahagia kekasih, Saja yang diharapi.. Berkorban apa saja.. Harta atau pun nyawa.. Itulah kasih mesra, Sejati dan mulia.. hmm... hmm... hmm...Untuk menjadi bukti Kasih yang sejati.. Itulah tandanya, Jika mahu diuji.. Berkorban apa saja.. Harta atau pun nyawa.. Itulah kasih mesra, Sejati dan mulia...
No comments:
Post a Comment