Thursday, October 9, 2008

Abdullah Ahmad Badawi - Di Hujung Garisan

Salam Buat Semua,

1) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akhirnya berada di bumi yang nyata dengan mengambil keputusan bijak untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO di pemilihan parti tersebut yang dijadualkan pada Mac 2009. Secara automatiknya, beliau akan mengosongkan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang secara tradisinya dipegang oleh Presiden UMNO sekaligus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia tercinta ini.

2) Pak Lah adalah aset kepada pembangkang dan kehadiran beliau sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri telah memberikan sinar harapan yang cukup besar kepada gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP. Barisan 3 parti tersebut kini secara tidak rasminya dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

3) Kejayaan Pakatan Rakyat yang berjaya menguasai 6 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) dan menafikan BN majoriti 2 pertiga di Parlimen sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac 2008 sebenarnya banyak bergantung kepada penolakan rakyat terhadap pelbagai polisi dan 'pendekatan tidak popular' yang dipraktiskan Pak Lah selaku Perdana Menteri.

4) Majoriti daripada rakyat adalah terdiri daripada golongan 'di atas pagar' yang mengundi berdasarkan sentimen semasa dan bukan merupakan penyokong tegar (kuat) kepada mana-mana 'mazhab politik.' Golongan ini dipercayai menguasai hampir 50% daripada jumlah pengundi di Malaysia, mengundi bukan kerana menyokong parti politik tetapi mengundi berdasarkan keadaan semasa negara juga melihat kepada keadaan diri sendiri mahupun keluarga.

5) BN ditolak oleh 49% pengundi (disokong oleh 51% rakyat) kerana tahap 'meluat' dan tidak senang hatinya mereka kepada prestasi juga cara kerajaan BN sejak berakhirnya PRU 2004. Pilihan raya tersebut dijalankan semasa Pak Lah baru sahaja menjadi Perdana Menteri, 1001 harapan dan janji-janji manisnya berjaya meresapi jiwa para pengundi sehinggakan parti-parti pembangkang kelihatannya mencecah situasi 'gulung tikar.'

6) 4 tahun berlalu, Pak Lah seakan semakin hilang arah dengan gaya pentadbirannya yang penuh dengan hura dan hara, tiadanya konsistensi dalam membuat keputusan, kurangnya inisiatif untuk mendekati hati dan perasaan rakyat, sikap terlebih mesra dan mudah diperdaya oleh sektor korporat, gagal mengekalkan era Malaysia yang 'berani bersuara', kurangnya sensitiviti Pak Lah terhadap masalah golongan pertengahan, kelemahan beliau dalam mengurus imej peribadi mahupun ahli keluarganya dan pergantungan yang terlebih-lebih kepada individu-individu tertentu dalam membuat keputusan. Inilah faktor-faktor yang berjaya menjunamkan imej Pak Lah sebagai Perdana Menteri sekaligus membawa kepada peralihan rakyat kepada alternatif lain iaitu dengan mengundi parti selain BN yang ketuanya bernama Abdullah Ahmad Badawi.

7) Pak Lah juga seakan lupa kepada tugasnya sebagai Presiden UMNO. Beliau lupa bahawa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia adalah di atas kapasitinya sebagai Pengerusi BN yang secara mutlaknya adalah Presiden UMNO selaku ketua kepada parti terbesar di dalam komponen BN itu.

8) Presiden UMNO bermakna 'ketua' kepada bangsa Melayu kerana majoriti orang Melayu adalah pendokong UMNO dan UMNO adalah satu-satunya parti yang berani mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah parti untuk orang Melayu. Maknanya, Pak Lah mempunyai tanggungjawab dan amanah yang besar untuk 'menjaga, memelihara dan memartabatkan' Melayu secara keseluruhannya. Budaya Melayu wajib dijaga Pak Lah, agama Islam wajib diutamakan Pak Lah, kedaulatan Melayu wajib dipelihara Pak Lah, masalah Melayu wajib ditangani Pak Lah, masa depan anak-anak Melayu yang gemilang wajib disemai Pak Lah dan kedaulatan Raja-Raja Melayu wajib Pak Lah semarakkan selalu. Paling penting, sensitiviti Melayu wajib dikawal rapi Pak Lah !

9) Apabila Pak Lah selaku Presiden UMNO gagal menjalankan tugasnya dengan cemerlang kerana terlalu dihenjut oleh kepercayaannya bahawa 'Saya adalah Perdana Menteri' dan 'Rakyat menyokong saya,' maka Pak Lah telah kehilangan sokongan asasnya iaitu bangsa Melayu itu sendiri. Pemahaman tentang asas-asas berdirinya seseorang itu sebagai Perdana Menteri ini adalah wajib ditelusuri sebaiknya oleh pengganti beliau kelak. Tiang seri jawatan Perdana Menteri itu adalah Pengerusi BN manakala cerucuk utama bagi jawatan Pengerusi BN itu pula adalah Presiden UMNO. Tiang seri akan runtuh andai cerucuknya tidak kukuh apabila tanah-tanah di sekeliling cerucuk mula menolaknya kerana merasakan cerucuk itu tidak tahu 'menjaga hati' tanah-tanah yang mengelilinginya !

10) Apabila teras sokongan itu tidak berjaya dikawal juga dibajai dengan baik maka jadilah Pak Lah seorang Perdana Menteri yang tidak kukuh kedudukannya, tidak digeruni, tidak dipercayai dan tidak diyakini rakyat jelata. Lebih menyedihkan, Pak Lah selalu sahaja dijadikan bahan jenaka untuk ditertawakan segelintir rakyat yang secara sinis mengaitkan beliau dengan kata-kata seperti 'kaki tidur, malas membaca, cepat letih, 'flip-flop' dan ketua boneka.'

Neba2020: Presiden UMNO ke 7 akan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 6, kepada Tuhan kita berserah. Ketentuan Tuhan tiada siapa yang mampu mengatakan tidak dan tiada siapa pula mampu menafikannya ...

5 comments:

fooi said...

It is sad that our PM has to step down and leaving without any legacy. :(

Anonymous said...

penolakan rakyat bukan terhadap pelbagai polisi dan 'pendekatan tidak popular' yang dipraktiskan Pak Lah selaku Perdana Menteri, tetapi oleh parti beliau...oleh itu parti itu harus dimansuhkan dengan segera

fendy_ahmad said...

Salam,

Perbincangan saya lebih tertumpu kepada pendapat majoriti yang mewakili golongan 'non-partisan' ataupun kelompok pengundi 'atas pagar.'

Saya kira saudara/saudari anonymous di atas adalahd aripada kelompok penyokong pembangkang yang anti-UMNO / BN, maka coretan saya sememangnya tidak akan dipersetujui anda. Terima kasih atas komentar tersebut.

Anonymous said...

bukan anti-parti tapi saya merujuk kepada fakta...rupa2nyer kamu pun at the stage of denial...

ain said...

anonymous...
it is not the stage of denial to be fair...its just that u hv to weigh the pros n cons 4 both sides...umno had done lots of good things to malaysia and wrongdoings too in general...
apa yg telah disumbangkan oleh pakatan rakyat?hanyalah janji2 palsu...di sini saya berikan contoh utk anda perimbangkan...
jika dalam pilihan raya...calon dari kerajaan yang sudah terbukti pernah corrupt bertanding dengan calon pakatan rakyat yg mempunyai reputasi tinggi...
sudah pasti kita harus memilih calon yg lebih elok reputasinya dan bukan berdasarkan parti semata2...anda,si anonymous harus berfikiran secara terbuka dan melihat dr pelbagai sudut dan bukan menuding jari semata2...
memansuhkan parti yg banyak berjasa?sungguh kurang bijak utk berkata sedemikian terhadap parti yg byk menolong bangsa sendiri...