Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu sidang media khas pada 8 Januari, 2006 telah cuba menjawab dua persoalan besar yang seakan 'menghantui dan menggemparkan' negara di awal tahun 2007. Dua persoalan besar yang kelihatan 'memaksa' Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjawabnya dengan segera ialah:
ISU PERTAMA : Kenaikan harga TOL (antara 20 % - 60 %) di Lembah Klang bermula pada 1 Januari 2007
ISU KEDUA : Perdana Menteri tetap meneruskan PERCUTIANnya ke luar negara bersama kerabat keluarganya pada minggu terakhir 2006 sehingga minggu pertama 2007 di kala negara sedang berhadapan dengan krisis / bencana banjir yang terhebat dalam tempoh 100 tahun
Berikut adalah JAWAPAN LISAN yang diberikan oleh Datuk Seri Abdullah yang turut disiarkan oleh media massa elektronik Malaysia :
ISU PERTAMA : Kabinet memutuskan kenaikan tol adalah dengan sebab tertentu, bukan bertujuan menyusahkan rakyat. Menurut Perdana Menteri, keputusan itu terpaksa diambil kerana ada kewajarannya walaupun tindakan berkenaan tidak menyenangkan rakyat. Beliau turut menambah bahawa kerajaan cuba menguruskan negara dengan cara terbaik dan setiap tindakan yang dibuat adalah mempunyai sebab tertentu.
" Kita naik tol bukan nak seronok-seronok. Ada sebabnya tol naik. Kerajaan tak buat sesuatu tanpa sebab. Ada kewajarannya kerana kerajaan bertanggungjawab. Kita bukan kerajaan nak cari populariti, apa orang nak, kita buat "
ISU KEDUA : Menerusi pemahaman saya, Perdana Menteri tidak memberikan jawapan konkrit yang 'direct' kepada persoalan sebenar yang telah menjadi 'buah mulut' rakyat dan bakal menjadi modal besar kepada pihak-pihak tertentu untuk 'menghentam' kredibiliti Perdana Menteri dan Kerajaan pimpinannya atas dasar tidak cukup prihatin dengan kesengsaraan dan bencana yang menimpa rakyat akibat daripada banjir besar yang turut mengorbankan banyak nyawa di Johor khususnya.
Perdana Menteri mengatakan bahawa beliau telah membincangkan masalah tersebut dengan Timbalan Perdana Menteri, mengarahkan apa yang sepatutnya dilakukan dan sentiasa memantau keadaan bencana tersebut.
Berlandaskan kepada dua ISU tersebut, melalui pengamatan dan penafsiran peribadi saya, beberapa kesimpulan yang baik untuk difikir dan direnung secara kritis dapat di kedepankan;
* Majoriti rakyat adalah daripada golongan yang sentiasa dapat berfikir secara 'waras dan wajar.' Malangnya, 'kewarasan dan kewajaran' pemikiran rakyat seakan menjadi tumpul dan tempang apabila bebanan hidup seakan-akan semakin hari semakin menjulang naiknya. Perit kenaikan harga petrol / diesel, tarif elektrik dan tarif air sepanjang tahun 2006 yang telah menyebabkan 'pesta kenaikan harga' majoriti barangan keperluan harian sememangnya masih terasa dan menyebabkan rakyat masih BELUM BERSEDIA untuk berhadapan dengan satu lagi perkhabaran HEBAT betapa harga penggunaan lebuhraya di Lembah Klang (Tol) yang digunakan setiap hari dinaikkan secara mendadak dengan peratusan yang begitu tinggi ( hingga mencecah 60%). Ini menyebabkan rasa sabar dan rasa waras mereka semakin menipis dan mula merasakan betapa 'tiada pihak yang memahami' rintihan dan kepayahan rakyat (terutamanya golongan berpendapatan di bawah RM3000 sebulan)
* Walaupun kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri kelihatan sungguh bersemangat dan serius dalam menangani bencana banjir yang telah membebankan berpuluh ribu rakyat di Johor tetapi keberjauhannya Perdana Menteri daripada negara atas alasan 'bercuti' sememangnya secara tidak diingini telah menghadirkan spekulasi murahan di kalangan rakyat betapa 'penderitaan mangsa bencana' tidak cukup terasa di hati Perdana Menteri yang masih mampu bersenang dan beristirihat bersama ahli keluarganya nun jauh di negara asing. Lebih haru apabila wujud spekulasi liar yang merasakan adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri bercuti di luar negara ketika rakyat beragama Islam menyambut perayaan Hari Raya Aidil Adha dan negara di ambang menyambut ketibaan tahun baru 2007.
* Niat dan kelakuan haruslah diseiringkan kerana 'niat' yang baik adalah penting untuk membentuk keperibadian yang tulus dan mulia manakala 'kelakuan' yang sepaksi dengan norma masyarakat dan kehendak masa adalah penting sebagai bukti pengabdian kita kepada tugas dan amanah yang diharapkan oleh yang dipimpin.
Konklusi bicara, rakyat sentiasa menaruh kepercayaan yang besar kepada pihak kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pihak yang sentiasa 'memandu dan memacu' negara ke arah kejayaan seperti mana slogan keramat Perdana Menteri sendiri iaitu ' Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.' Walaubagaimanapun, rakyat menaruh harapan yang tidak kurang pentingnya supaya kerajaan turut mampu menjadi 'pemudah hidup dan pemacu kebahagiaan' yang memahami dan adil kepada semua pihak.
" Biarlah Suara dan Keluh-Kesah si Majoriti Menjadi Agenda Utama dan Ketepikanlah Suara dan Keluh-Kesah si Minoriti Demi Cinta Kepada Yang Bernama Rakyat "
" Susah-Senang dan Kesengsaraan Kerajaan Biarlah Dikongsi Bersama Bukan Sahaja Dengan si Kerdil Rakyat Majoriti Sahaja Tetapi si Gergasi Korporat dan Raksasa Lainnya "
Salam InspiRasi ~~
2 comments:
Good work. Should get your students to do create their own blogs too.
CONGRATS :)
Ni komen aku pasal 2 kenyataan Pak Lah tu...
1.) Tu cuma alasan kerajaan untuk lepaskan diri pastu letakkan beban sejelepuk kat rakyat. Walaupun sistem BOT memang diamalkan sejak lebuhraya PLUS diswastakan tahun 1988, tapi tu tak bermakna kerajaan boleh menekan rakyat dengan alasan bodoh macam tu. Aku tengok LDP tu, kat exit Damansara Link, exit Freescale (yang rupa macam jambatan Penang) dengan exit Puchong Intan tu hari2 jam giler, memang area bottleneck... macam mana si Samy Vellu tu boleh cakap bawah unjuran trafik pulak? Inilah yang dikatakan, rintihan si kaya didengar tapi rintihan rakyat yang susah langsung tak dipedulikan...
2.) Tu nampak sangat Pak Lah seorang PM yang tak bertanggungjawab dan tak berhati perut. Dia tak ambil iktibar apa jadi pada taufan Katrina tahun 2005? Masa tu, Bush boleh sedap2 bercuti masa rakyat terpaksa menanggung azab dari taufan yang melumpuhkan ekonomi selatan Amerika dan gak punca utama harga minyak naik penghujung 2005. Percayalah, dia sendiri akan rasa akibatnya bila rakyat makin hilang kepercayaan kepada dia. Kat Sarawak tu dah satu petanda kecik, jangan libatkan satu Malaysia nanti dah laa...
Post a Comment