Thursday, July 31, 2008

Selamat Kembali Idolaku

Salam Buat Semua,

1) Datuk Seri Anwar Ibrahim dikhabarkan akan bertanding di dalam Pilihan Raya kecil di Permatang Pauh, Pulau Pinang selepas Datuk Seri Dr. Wan Azizah mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi peluang suaminya itu 'kembali' ke Parlimen.

2) Anwar pernah menguasai Permatang Pauh sebanyak 4 kali di Pilihan Raya Umum (PRU) negara (1982, 1986, 1990 dan 1995) melalui tiket Barisan Nasional sebagai wakil UMNO.

3) Dr. Wan Azizah selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (dulunya Parti Keadilan Nasional) meneruskan penguasaan di Permatang Pauh dengan menewaskan calon UMNO di 3 PRU terakhir (1999, 2004 dan 2008).

4) Anwar dijangka tidak berdepan masalah untuk terus menambat hati para pengundi di Permatang Pauh yang cukup mengagumi karisma tokoh kelahiran Ceruk Tok Kun itu. UMNO berdepan dengan 'misi' mustahil untuk menewaskan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia (1993-1998) itu.

5) Persoalannya, andai Anwar kembali ke Parlimen menjelang September 2008 ini, adakah tanda-tanya bahawa beliau akan mampu membentuk kerajaan baru menjelang 16 September 2008 dengan berpaksikan Pakatan Rakyat (gabungan DAP, PAS dan PKR) akan menjadi kenyataan ?

Saudara Anwar, walau kini kita berbeza pendapat, berbeza sokongan, berbeza kepercayaan, kau tetap ku akui ada hebatnya disebalik kelemahan tertentu ...

Neba2020: Kepada idolaku, selamat kembali ! Walau apapun persepsiku terhadapmu sejak September 1998, kau tetap banyak menyumbang ke arah pembentukan peribadiku. Kau dan manusia yang bernama Dr. Mahathir Mohamad (Tun) tetap selamanya menjadi 2 paksi pembentuk cara, gaya dan pemikiranku sepanjang aku bergelar kanak-kanak dan remaja belasan tahun dahulu (sekitar tahun 1990-an).

Wednesday, July 30, 2008

Sasaran Kehidupan

Salam Buat Semua,

Ketika berborak dengan seorang 'sifu' kira-kira jam 3 petang, 30 Julai 2008, beliau mengeluarkan kata-kata, 'Dia memang sejak di universiti lagi mahu jadi orang kaya.' 'Sifu' itu adalah pensyarah yang pernah mendidik saya di alam ijazah pertama dahulu, seorang yang banyak berkongsi pengalaman hidupnya dengan si Fendi budak Segamat ini. 'Dia' itu pula adalah seorang insan yang kehidupannya kini memang kelihatan mewah dengan dikurniakan sang suami yang bolehlah ditafsirkan berjaya sehingga mampu membina sebuah mahligai bernilai jutaan Ringgit buat keselesaan keluarganya.

Saya terfikir, 'Dia' yang dimaksudkan itu telah meletakkan satu sasaran kehidupan yang cukup jelas, 'mahu jadi orang kaya,' bererti 'dia' mempunyai fokus yang nyata tentang bagaimana hidupnya hendak dilayarkan. Fokus 'dia' ialah apa jua yang dibuat mestilah menuju ke satu paksi untuk menjadi individu yang mewah dan berharta.

Sasaran kehidupan saya definisikan sebagai matlamat utama yang hendak kita capai di dalam perjalanan kehidupan di dunia ini. Sudah pastilah akan ada yang berkata sasaran utama ialah untuk menjadi makhluk Tuhan yang disayangiNYA juga dirahmatiNYA.

Secara peribadi, saya tidak merasakan itu layak untuk kita jadikan sasaran kerana itu adalah sesuatu yang WAJIB dan PERLU ditanamkan secara hakiki di dalam pemikiran kita. Apabila ianya adalah sesuatu yang WAJIB, maka kita tidak perlu mensasarkannya kerana kita WAJIB mencapainya dengan seikhlas mungkin kerana kita adalah makhluk Tuhan, diciptaNYA untuk menyembahNYA dan memakmurkan bumiNYA ini sebaik mungkin. Kepada Tuhan kita berserah, kepada Tuhan kita meminta pertolongan dan kepada Tuhan kita beramal sesempurna adanya !

Ringkasnya:

1) Sasaran kehidupan tidak perlulah terlalu kompleks sehingga sukar untuk kita ingati juga payah untuk dirancang hala dan tujuannya.

2) Sasaran kehidupan wajar dimudahkan dengan satu pernyataan ringkas yang mudah meresap ke dalam jiwa sekaligus sentiasa terbayang-bayang di benak pemikiran.

3) Sasaran kehidupan perlulah logik dan PASTI boleh dicapai andai strategi yang betul dilaksanakan dalam menggapainya.

4) Sasaran kehidupan yang sempurna adalah sesuatu yang 'direka' dengan mengambil-kira faktor-faktor sekeliling yang lain seperti kaitannya dengan agama, sumbangannya kepada keluarga juga kesannya kepada masa depan individu tersebut.

5) Sasaran kehidupan haruslah sesuatu yang praktikal, berpijak di bumi yang nyata, sesuai dengan kemampuan diri dan mempunyai fleksibiliti dalam proses mencapainya. Kita tidak perlu menjadi 'robot' dalam menuju ke 'puncak' yang disasarkan itu !

Akhir kata, pilihlah SATU sasaran kehidupan yang ingin kita capai, bukan dua atau tiga ! Sasaran kehidupan adalah MISI UTAMA yang ingin kita realisasikan dalam hidup ini. Sasaran kehidupan yang sempurna akan 'membiakkan' misi-misi berantai yang lain, ke arah menjadi insan yang sentiasa berjaya, penuh dengan kegembiraan, tenang jiwa serta pemikiran dan bahagia selalu melayari kehidupan di dunia ini.

Apa sasaran kehidupan anda ? 'Tepuk dada bukalah minda ...'

Neba2020: Sasaran kehidupan diri ini terkandung di dalam motto rasmi yang wujud sejak di awal alam persekolahan menengah dahulu, 'melayari impian bernas.' Saya ingin menjadi orang yang bahagia selalu, tenang jiwa serta disayangi masyarakat dan mampu mencipta kejayaan peribadi buat kebahagiaan keluarga tercinta. Moga Tuhan memberi kita semua petunjuk ke arah 'menemui' sasaran kehidupan yang berpadanan dengan keupayaan dan minat masing-masing, juga ditunjukNYA cara untuk kita mencapai segala yang disasarkan itu ...

Tuesday, July 29, 2008

Imbasan Faktor Berangkai - Kita Semakin Miskin ?

Salam Buat Semua,

Di awal 2008, 'perjalanan' weblog ini bermula dengan coretan bertajuk Faktor 4 Berangkai -Lebih Kaya Atau Lebih Miskin ? yang diyakini akan cukup memberi impak besar kepada kehidupan seluruh rakyat Malaysia di sepanjang tahun 'Olimpik Beijing' ini.

Menjelang Ogos, kelihatannya semua prediksi InspiRasi 1982 ~~ telah menjadi kenyataan dan ianya tanpa disedari telah menjawab persoalan 'Lebih Kaya Atau Lebih Miskin' itu.

FAKTOR BERANTAI 1 - Harga Minyak Kekal Tinggi

1) Permulaan Januari 2008, harga minyak mentah dunia berada di paras US$100 per tong.

2) Sekitar Julai 2008, harganya telah berlegar di paras US$140 per tong. Kenaikan 40% dalam masa kurang setahun !

FAKTOR BERANTAI 2 - Inflasi Akan Berkembang Dengan Jayanya

1) Berikutan kenaikan harga petrol dan diesel melebihi 40% yang diumumkan sekitar Jun 2008, kadar inflasi di Malaysia mencecah kenaikan 7.7% pada Julai 2008 berbanding dengan Julai 2007.

2) Kadar inflasi (ramalan InspiRasi 1982~~) dijangka mampu mencecah 8% / 9% pada akhir 2008 seandainya faktor tarif elektrik serta tambang pengangkutan awam yang masing-masing mula mengalami kenaikan pada Julai dan Ogos diambil kira.

FAKTOR BERANTAI 3 - Ringgit Malaysia (RM) Semakin Kuat

1) Kadar pertukaran Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika masih berlegar di dalam julat RM3.23 - RM3.26 untuk setiap Dollar.

2) Walaupun kelihatannya Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika semakin mengukuh sejak awal 2007 sehinggalah ke tahun 2008, ianya lebih menjurus kepada kelemahan Amerika sendiri yang menyaksikan ekonomi serta sistem kewangannya mengalami 'gerhana' sehingga membawa kepada kelemahan Dollar itu sendiri. Akibatnya, Ringgit Malaysia 'kelihatan' kuat. Kenaikan Ringgit Malaysia adalah tidak berkaitan langsung dengan kenaikan eksport negara.

FAKTOR BERANTAI 4 - Kadar Faedah Dijangka Naik

1) Sehingga penghujung Julai 2008, Bank Negara Malaysia (BNM) masih 'yakin' betapa kadar faedah di Malaysia wajar dikekalkan dan jentera ekonomi negara masih mampu mengekang kenaikan inflasi tanpa memerlukan pergerakan kadar faedah yang 'menyeksa' pengguna.

2) Bank pusat itu yakin betapa kekuatan ekonomi Malaysia masih boleh disandarkan kepada permintaan domestik yang masih tinggi terhadap produk dan juga perkhidmatan. BNM seolah beranalogi bahawa kadar inflasi yang tinggi tidak akan memberikan impak terlalu negatif kepada ekonomi negara selagi rakyat masih mampu merancakkan perbelanjaan seharian mereka.

3) Walaupun kadar asas faedah masih terus kekal, sesetengah bank tempatan telah mula menaikkan kadar faedah bagi pinjaman sewa beli kenderaan.

4) Kadar faedah yang dikenakan bank bagi pembelian kenderaan impot tanpa disedari telah naik ke tahap 2.7% - 2.8% berbanding 2.3% - 2.4% sebelum ini.

5) Kadar faedah bagi pembelian kenderaan tempatan (Proton dan Perodua) yang sebelum ini berada di paras 3.5% turut mengalami kenaikan. EON Bank sebagai contoh mengumumkan di akhir Julai 2008 bahawa kadar faedah pinjaman dinaikkan ke paras 3.9%. Kurang sebulan sebelum itu, ianya telah dinaikkan ke paras 3.7%.

6) Seandainya bank-bank mengambil pendekatan menaikkan kadar faedah pinjaman sebagai usaha mereka untuk 'mengekang' inflasi (atau mungkin untuk megurangkan beban kenaikan kos operasi?), adakah bayangan BNM bahawa ekonomi Malaysia akan terus stabil dengan permintaan domestik yang rancak mampu berterusan berlaku?

7) Ditambah dengan kenaikan kos hidup yang semakin rancak berlaku akibat daripada kenaikan harga petrol, diesel dan elektrik maka sudah pasti para pengguna akan lebih 'berwaspada' untuk membeli asset-asset baru seperti kenderaan dan rumah. Tindakan bijak bank-bank menaikkan kadar faedah semestinya akan 'merencatkan' jangkaan BNM itu ! Ringkasnya, pergerakan ekonomi domestik akan menjunam jatuh ! Dengan permintaan global yang semakin melemah akibat daripada ketidaktentuan di Amerika Syarikat, maka sesuatu yang 'ajaib' perlu dilakukan untuk merancakkan perjalanan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.

Neba2020: Teringat pula di zaman 1997-1998 apabila seorang Menteri Kewangan yang 'terbijak' pernah dilahirkan di bumi Malaysia ini menyokong tindakan menaikkan kadar faedah untuk mengatasi masalah kewangan dan ekonomi ketika itu. Preskripsi sokongan 'orang-orang luar' diikutnya. Akibatnya, sektor perumahan dan automobil negara semakin kronik dan berpenyakit jadinya. Keadaan beransur pulih apabila Tuan Perdana Menteri ketika itu mengambil alih 'kekuasaan' polisi kewangan negara dengan caranya yang 'kelihatan gila' oleh orang-orang barat tetapi berkesan merancakkan semula ekonomi domestik. Syabas buat Tuan Perdana Menteri ketika itu ! Siapakah Menteri Kewangan yang bijak itu ? Dialah manusia yang memang selamanya bijak berkata-kata tetapi bila menghadapi masalah, otaknya hanya mampu memburukkan lagi keadaan negara ketika itu. 'Sokonglah' dia !

Friday, July 25, 2008

Belajarlah Bukan Untuk Menjadi Robot ....

Salam Buat Semua,

Selaku pendidik yang berada di pertengahan usia 20-an dan memiliki anak-anak murid yang hadir daripada generasi yang sama (Generasi-Y, kelahiran tahun 1977 - 1994), kerap saya ditanya soalan tentang kaedah-kaedah yang digunakan untuk belajar sewaktu bergelar pelajar di universiti dahulu. Ramai yang ingin tahu tentang 'tips-tips belajar' yang berkesan juga caranya untuk menjadi rajin dan bersemangat selalu dalam mengejar ilmu pengetahuan.

Adalah sukar untuk saya menjawab soalan-soalan sebegitu kerana sepanjang bergelar pelajar di universiti, tiada sebarang rahsia istimewa mahupun petua-petua tertentu yang diamalkan sehingga mencecah tahap yakin bahawa ia adalah sesuatu yang berkesan lagi mujarab untuk meraih 'kejayaan.'

Demi memenuhi permintaan daripada para 'penyokong setia' di kalangan pelajar-pelajar yang tidak pernah bosan untuk bertanyakan pengalaman saya sepanjang 4 tahun bergelar pelajar di Multimedia University (MMU) ini, maka saya terasa terpanggil untuk cuba-cuba 'mengimbas' kembali apa yang saya lakukan di antara tahun 2000 dan 2004 yang lepas.

1) Saya tidak pernah percaya kepada konsep belajar di tahap 'gila.' Saya amat 'geli' jika mendengar ada rakan-rakan yang amat selalu menolak ajakan untuk bersosial seketika (menonton wayang, menonton CD, 'window shopping', 'lepak-lepak di kedai makan' dan sebagainya) dengan alasan 'aku hendak belajar' dan juga 'aku banyak kerja nak disiapkan.'

2) Belajar bagi saya adalah satu tugas biasa yang perlu dilakukan dengan berdisiplin dan normal. Pelajar tidak perlu menjadi manusia yang tidak normal dalam mengejar sekeping ijazah.

3) Disiplin dalam belajar bererti kita perlu memiliki sistem belajar yang konsisten dan stabil. Tidak mengira sama ada kita berada di awal, pertengahan mahupun penamat semester, proses pembelajaran perlu sentiasa dilakukan secara berterusan.

4) Konsisten dalam belajar akan memastikan momentum semangat dan minat terhadap subjek dan bidang yang difokuskan akan sentiasa segar dan maksimum selalu.

5) Saya akan memastikan bahawa tiada satu malam / hari yang dijadikan hari 'bebas daripada membaca buku' walaupun berada di awal semester. Saya tidak percaya kepada konsep belajar untuk tempoh masa yang terlalu lama, kerana biarlah kita hanya membaca kurang daripada 2 jam dalam sehari tetapi ianya dibuat secara konsisten tanpa paksaan.

6) Agak lucu untuk saya nyatakan di sini bahawa sepanjang berada di universiti, saya lebih suka melakukan proses pembelajaran secara bersendirian di atas katil sendiri. Saya berasa cukup selesa membaca buku sambil berbaring berseorangan tanpa gangguan sesiapa.

7) Saya adalah seorang yang tidak percaya kepada konsep belajar di perpustakaan kerana bagi saya, perpustakaan bukan satu tempat yang mampu memaksimumkan konsentrasi ketika membaca. Lebih buruk jika perpustakaan menjadi tempat berborak-borak di kalangan pelajar dan juga tempat 'model-model' berjalan ke sana dan ke mari tanpa haluan.

8) Setiap kali saya membaca, saya akan menjadi 'guru' kepada diri sendiri. Saya akan 'mengajar' diri sendiri, sudah pastilah saya akan bercakap berseorangan dengan penuh semangatnya. Mungkin kerana darah di dalam badan ini sejak dahulu lagi sudah 'berkobar-kobar' hendak menjadi sang pensyarah agaknya ! Secara peribadi saya merasakan bahawa teknik 'bercakap mengajar diri sendiri' ini adalah amat berkesan kerana kita cuba menguasai sesuatu ilmu dengan menggunakan kuasa mata (melihat dan membaca), kuasa telinga (mendengar), kuasa aplikasi / kinetik (tangan akan melakarkan apa yang difahami daripada apa yang dibaca) dan juga kuasa minda (otak akan cuba mangolah apa yang dilihat, dibaca, didengar dan ditulis untuk mewujudkan kefahaman serta aplikasi sebenar apa yang dipelajari).

9) Mengajar rakan-rakan lain juga telah menjadi kebiasaan bagi saya. Adalah sesuatu yang normal untuk saya membuka 'kelas khas' buat kawan-kawan yang memerlukannya. Saya tidak pernah merasa mereka membebankan saya mahupun merasa mereka akan jadi lebih pandai daripada saya kerana semakin saya selalu mengajar, semakin melekat segala ilmu yang saya kongsikan itu di dalam pemikiran ini.

10) Kebiasaannya, rakan-rakan akan membuat 'appointment' khas tentang topik tertentu yang mereka ingin 'Cikgu Fendy' terangkan. Saya akan membuat persedian terlebih dahulu sebelum mereka datang ke rumah saya kerana saya tidak mahu mengecewakan kawan-kawan. Saya mahu mereka 100% faham dan puas hati dengan apa yang saya ajarkan. Bibit-bibit wajah senyum mereka yang memahami apa yang saya ajarkan di akhir sessi 'kelas khas' itu merupakan satu kepuasan maksimum bagi seorang guru tidak bertauliah ketika itu.

Tiba-tiba saya teringat, hari ini (25 Julai 2008) tepat sudah 4 tahun saya berkonvokesyen di Dewan Seri Negeri, Melaka untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengkhususan Perbankan dan Kewangan daripada Canselor kesayangan MMU iaitu Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Saya masih ingat lagi ketika bersalam dengan Tun Siti, inilah ayat-ayat yang saya ucapkan kepada beliau:

" I Love You and Dr. M So Much ! "

Neba2020: Belajarlah untuk menjadi manusia, bukan belajar untuk menjadi robot. Belajarlah untuk mencari kedamaian di dalam kehidupan, bukan belajar untuk mencipta huru-hara di dalam kehidupan ....

Wednesday, July 23, 2008

Cerita Inflasi : Manipulasi ?

Salam Buat Semua,

1) Majoriti rakyat mengertikan inflasi secara mudahnya sebagai kenaikan harga barangan.

2) Rakyat akan dimaklumkan tentang paras inflasi semasa di negara ini daripada masa ke semasa, peratusan tertentu akan dikeluarkan pihak yang sepatutnya.

3) Pada 23 Julai 2008, Jabatan Statistik Malaysia mengumumkan bahawa kadar inflasi bagi bulan Jun 2008 berada pada paras 7.7 %, satu angka yang boleh dianggap tinggi bagi negara ini yang kebiasaannya pada era 1990-an dan awal millennium ke 21 hanya berlegar pada paras 2 % - 3 % sahaja.

4) Kadar inflasi dikira berdasarkan kepada perubahan peratusan Indeks Harga Pengguna (IHP) / 'Consumer Price Index (CPI)'. Kadar inflasi yang diumumkan itu merujuk kepada peningkatan IHP sebanyak 7.7 % berbanding dengan bulan Jun 2007.

5) Secara mudahnya, majoriti barangan dan perkhidmatan di Malaysia telah mengalami kenaikan harga sebanyak 7.7 % di dalam tempoh satu tahun (Jun 2007 - Jun 2008).

6) Berikut adalah 12 komponen barangan dan perkhidmatan serta peratusan pemberat yang digunakan dalam mengira IHP / CPI tersebut:

Makanan dan Minuman Bukan Alkohol - 31.4 %
• Minuman Alkohol dan Tembakau - 1.9 %
• Pakaian dan Kasut - 3.1 %
Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain - 21.4 %
• Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah - 4.3 %
• Kesihatan - 1.4 %
Pengangkutan -15.9 %
• Komunikasi - 5.1 %
• Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan -4.6 %
• Pendidikan - 1.9 %
• Restoran dan Hotel -3 %
• Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan - 6 %
* JUMLAH BESAR - 100 %

7) Inflasi akan dikira berdasarkan kepada peratusan perubahan harga-harga barangan secara purata yang didasarkan kepada satu 'bakul barangan' yang ditetapkan, dipercayai sentiasa digunakan pada kuantiti yang tetap oleh rakyat negara ini. Kandungan barangan mahupun perkhidmatan yang 'diletakkan' di dalam bakul tersebut adalah berdasarkan kepada 12 komponen yang dinyatakan di atas.

Persoalan Yang Elok Untuk Difikirkan:

1) Adakah secara mudah, rakyat merasakan bahawa dalam masa setahun ini, secara purata perbelanjaan harian masing-masing hanya meningkat sebanyak 7.7 % ?

2) Gabungan 3 komponen utama yang merangkumi barangan makanan, tenaga, bahan api serta pengangkutan sahaja telah hampir mencecah 70% daripada pemberat bagi mengira indeks kenaikan harga barangan / perkhidmatan, adakah dalam masa setahun ini rakyat secara purata hanya perlu menambah bajet perbelanjaan sebanyak 7.7 % sewaktu hendak membeli keperluan asasi seperti beras, daging, roti, ikan, minyak, sayur-sayuran serta telur dan juga keperluan wajib yang merangkumi elektrik, gas, petrol dan air ?

3) Kenaikan secara purata sebanyak 7.7 % untuk kos perbelanjaan keseluruhan isi rumah sebenarnya tidak akan merungsingkan sesiapa jua kerana jika dilihat daripada corak kenaikan gaji majoriti golongan pekerja sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta sepanjang tempoh satu tahun terakhir ini, ianya berada pada tahap 10 % - 15 % secara puratanya. Maka, andai benar inflasi hanya berada di takat 7.7 %, rakyat tidak akan terasa 'perit mahupun sengsara' sedikitpun. Masalahnya, 'situasi sebenar' purata kenaikan harga barangan dalam masa setahun ini adalah dipercayai menjangkau 30% secara keseluruhannya (Mungkin lebih andai kenaikan berulang kali dalam masa setahun diambil kira !). Apabila kenaikan purata harga barangan melebihi daripada kadar kenaikan gaji, maka ia melahirkan rasa 'perit' yang tidak terkira untuk sesiapa jua yang bergelar pengguna / pembeli.

4) Apakah jenis barangan sebenar yang dimasukkan di dalam 'bakul barangan' yang digunakan pihak berwajib untuk tujuan mengira Indeks Harga Pengguna / 'Consumer Price Index' itu ? Seterusnya, adakah kualiti barangan yang disenaraikan itu termasuk di dalam kategori yang diguna-pakai oleh majoriti masyarakat ?

5) Selain daripada perbezaan dalam masa setahun, tidakkah lebih rasional jika kadar inflasi juga ditunjukkan dalam julat masa yang berbeza, contohnya inflasi dalam masa 5 tahun dan 10 tahun ? Sudah pasti angka yang lebih menakutkan akan terkeluar !

Neba2020: Kadang-kadang mengetahui sesuatu dengan lebih mendalam membuatkan kita menjadi lebih 'takut dan serun' dengan keadaan semasa. Apakah yang diberitahu itu tepat, adakah yang difahami itu lebih betul dan mungkinkah 'tangan-tangan belakang' selalu memainkan peranan untuk menjaga reputasi individu-individu tertentu ? Mungkin ya, mungkin tidak !

Monday, July 21, 2008

Kerajaan 2012 = UMNO + PAS + Bumiputera Sabah, Sarawak ?

Salam Buat Semua,

1) UMNO dan PAS bolehlah diibaratkan sebagai parti politik yang 100% memiliki wakil-wakil rakyat di Parlimen yang beragama Islam, bangsa Melayu. Parti-parti lain seperti DAP, PKR dan GERAKAN adalah lebih condong bersifat 'rojak' pada luarnya tetapi didasarnya masih bertarung dengan hakikat bahawa masing-masing masih bertongkat kepada sokongan kaum-kaum tertentu.

2) Selesai Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12, UMNO menguasai 79 kerusi Parlimen manakala PAS seharusnya berbangga dengan penguasaan di 23 kawasan. Gabungan UMNO dan PAS telah menguasai 102 kerusi Parlimen, 46.36% daripada jumlah keseluruhan di Parlimen.

3) Hakikatnya, jika tidak kerana sifatnya yang banyak mengalah tentang soal pembahagian kerusi Parlimen untuk ditandingi, UMNO boleh menambah banyak lagi kerusi selamat yang 'dihadiahkan' kepada sahabat-sahabat lain di dalam Barisan Nasional:

Grik, Perak - GERAKAN, Datuk Tan Lian Hoe (72% pengundi Melayu, 2004 ianya milik UMNO)
Alor Gajah, Melaka - MCA, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn (58% pengundi Melayu)
Simpang Renggam, Johor - GERAKAN, Liang Teck Meng (54% pengundi Melayu)
Ayer Hitam, Johor - MCA, Dr. Wee Ka Siong (57% pengundi Melayu)
Tanjung Malim, Perak - MCA, Datuk Ong Ka Chuan (51% pengundi Melayu)

4) Menjelang PRU ke 13 kelak, seandainya UMNO bertanding di kesemua tempat bermajoriti Melayu yang menjadi 'kubu' kuatnya dan PAS pula meneruskan penguasaan sedia ada, maka adalah diyakini bahawa gabungan ke dua-dua parti ini akan mencapai majoriti mudah mencecah 50% di Parlimen.

5) Jangan dilupa pula kepada Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) yang merupakan kembar seiras UMNO di negeri 'Puteri Santubong' itu. PBB membekalkan 14 kerusi Parlimen kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

6) Parti Rakyat Sarawak (6 kerusi) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (4 kerusi) pula merupakan parti-parti yang mewakili kaum Bumiputera bukan Islam di Sarawak.

7) Parti-parti mewakili Bumiputera bukan Islam di Sabah seperti Parti Bersatu Sabah (3 kerusi), Parti Bersatu Rakyat Sabah (1 kerusi) dan Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (3 kerusi)

8) Secara mudah, jumlah keseluruhan kerusi Parlimen yang dikuasai oleh UMNO, PAS dan parti-parti mewakili Melayu / Bumiputera di Sarawak juga Sabah ialah sebanyak 133. Ini bersamaan dengan 60.45% 'penguasaan' di Dewan Rakyat.

9) Harus diingat juga bahawa PAS turut berkorban diri dengan menawarkan beberapa kubu kuatnya untuk ditandingi PKR sewaktu PRU ke 12. Berikut adalah kawasan-kawasan yang diyakini mampu dimenangi PAS dengan mudahnya tetapi diberikan kepada PKR atas semangat setia kawan pakatan pembangkang menjelang PRU tersebut:

Ketereh, Kelantan
Tanah Merah, Kelantan
Machang, Kelantan
Kuala Kedah, Kedah
Kulim-Bandar Baharu, Kedah

10) Andai senario yang sama berulang di PRU ke 13, dan UMNO serta PAS mengambil keputusan untuk bertanding di 10 'kawasan selamat' yang mereka mampu menangi, maka gabungan parti-parti Melayu-Islam-Bumiputera ini dengan mudahnya dapat menakluk 143 kerusi yang bersamaan dengan penguasaan 65% 'suara di Parlimen.'

Kesimpulannya,

1) Jangan cuba mencabar kedaulatan dan ketuanan Melayu, juga maruah Islam sebagai agama rasmi !
2) Jangan cuba pertikaikan Kontrak Sosial seawal musim Kemerdekaan Tanah Melayu !
3) Jangan cuba bermain dengan bara api !
4) Jangan cuba perlekehkan Dasar Ekonomi Baru !
5) Jangan cuba buat-buat lupa bahawa Malaysia ini penduduknya mencecah 70% adalah Bumiputera ....

Neba2020: Perpaduan kaum tidak mudah untuk dibina, ianya terhasil setelah 'disemai dan dibajai' berdekad lamanya ... Janganlah ada yang cuba menghitamkannya hanya untuk kepentingan politik dan mengejar cita-cita peribadi semata, hormatilah hak dan sensitiviti mereka yang bergelar penduduk majoriti negara ini ....

Tuesday, July 15, 2008

Selamat Hari Jadi Encik

Salam Buat Semua,

Tepat detik 15 Julai 2008, saya mengirimkan satu pesanan ringkas (sms) kepada Encik (ayah), sengaja saya tunggu waktu tepat 12 tengah malam untuk melancarkan sms tersebut kepadanya. Bait-bait sms yang saya dedikasikan khas buat Encik berbunyi:

" 15 Julai, di doa semoga sehat sentiasa, tenang kehidupan daripada Allah Taala ... Dr. Mahathir 10 Julai, 1925, sama bintang dengan dia "

9 minit kemudian, Encik membalas sms tersebut dengan kata-kata:

" Tima kasih .... Tiade lagi nikmat bagi encik dpt menandingi ucapan Andi "

Bersyukur saya kepada Tuhan kerana masih mampu mengingat tarikh ulang tahun kelahiran Encik tersayang. Syukur juga saya kerana Tuhan masih mengurniakan kesihatan yang cukup baik kepada beliau. Sudah 59 tahun usianya, tetap segak persis zaman 'abang askarnya' di era 1970-an dahulu ....

Sebelum tidur sempat saya melakukan solat khas sebagai hadiah utama kepada Encik, mendoakan kesejahteraan hidupnya bersama-sama dengan Emak. Kesyukuran saya kepada Tuhan kerana mengurniakan Encik sebagai ayah kepada diri ini adalah tidak terkira dek bilangan jari-jemari. Sepanjang malam juga saya berasa segar dan bersemangat, teruja dengan tarikh keramat 15 Julai yang secara tanpa diundang telah mendatangkan semula memori-memori silam perjalanan hidup saya bersama-sama anak Bugis Johor sejati bernama Ahmad Bin Md. Yusoff itu.

1) Encik tidak pernah lupa mencium saya setiap hari tidak kira pagi, siang mahupun malam. Terasa diri ini cukup dekat lagi rapat dengannya. Ciuman seorang bapa itu membuatkan diri ini sentiasa merasa selamat dan bahagia.

2) Saat-saat Encik membawa saya 'meronda' kampung mahupun bandar Segamat dengan motor Vespanya (jenama skuter era 1970-an dan 1980-an yang cukup popular) semestinya kenangan terindah yang bisa membuatkan saya tersenyum keseorangan pabila mengenangnya. Saya akan membonceng si Vespa dengan duduk dihadapan, riang sungguh kerana dibawa 'makan angin' di petang hari seolah dunia terasa penuh kenikmatan juga keriangan.

3) Pilu sungguh mengenang Encik menghalau saya dari rumah dan mengunci pintu utama apabila diperhatinya saya membuat muka masam sewaktu Tok Pah (arwah) menyuruh saya memicit-micit badannya walhal ketika itu saya ingin menyiapkan tugasan sekolah. Encik menyuruh saya tidur di luar rumah, akhirnya Tok Pah berjaya 'memasukkan' saya ke dalam rumah semula selepas marah Encik beransur reda. Moralnya, Encik memang pantang saya berkelakuan kurang ajar terhadap emaknya. Bagi Encik, insan bernama ibu itu wajib dihargai sepanjang masa.

4) Setiap musim akhir peperiksaan adalah satu musim yang cukup menggerunkan saya. Encik hanya boleh menerima kedudukan nombor peperiksaan antara posisi 1 dan 5 sahaja. Andai tergelincir sedikit pasti saya akan dihadiahkan sebatan tali pinggang kulitnya. Saya akan diarahkan membuka baju dan dengan perwatakan 'harimau Bugisnya,' saya akan 'dibelasah' secukupnya. Terasa ngilu dan perit sungguh rasanya, satu badan akan kemerahan dan air mata sudah semestinya tidak terkira berjuraian. Moralnya, Encik ingin saya menjadi pelajar yang bijak, tidak semestinya yang terbaik di dalam kelas. Posisi 5 terbaik sahaja yang diinginkannya, andai dapat jadi yang terhebat itu adalah bonus !

5) 'Sayang emak lebih daripada segalanya...' Inilah kata-kata Encik yang cukup selalu dititipkannya kepada si bongsu ini. Encik pernah berkata, 'Andi kena jaga Emak sampai bila-bila, anak laki-laki kena jaga Emak, lebih daripada isteri sendiri.' Saya sudah menanamkan di dalam diri ini bahawa sesiapa juga yang menjadi isteri saya kelak wajib menerima keadaan di mana Emak saya adalah keutamaan dan barang siapa yang cuba menghalang saya daripada mengutamakan Emak, padah akan diterima ! Itulah janji saya di dalam sanubari ini sebagai bukti kepercayaan saya kepada kata-kata Encik itu.

6) Tok Pah meninggal dunia di hadapan saya, Encik, Emak dan abang di satu senja Jumaat bulan Mac 1999. Sepanjang satu tahun terakhir riwayatnya, Tok Pah tidak mampu berjalan, serba serbi tidak mampu dilakukannya setelah terjatuh sewaktu mengambil air sembahyang sebelum menunaikan solat Suboh di satu pagi di bulan Mei 1998. Pemikirannya juga kadang-kala tidak stabil dan bercampur aduk dengan peristiwa yang berlaku berpuluh tahun sebelumnya. Saya dapat menyaksikan sendiri betapa Encik menunaikan apa yang diucapkannya kepada saya, 'Anak lelaki kena jaga Emak !'

7) Encik akan mengangkat sendiri Tok Pah untuk dimandikan, seluruh badan Tok Pah akan dibasuhnya dengan cukup tertib tanpa wajah terpaksa mahupun terseksa. Selalu saya melihat Encik berborak-borak dengan Tok Pah sewaktu mereka di dalam tandas, kerap juga mereka bergurau senda dengan riangnya. Selepas memandikan Tok Pah, kami akan memakaikan lampin dewasa ke tubuh Tok Pah bersama-sama. Tugas membedak dan menyikatkan rambut Tok Pah adalah tugas wajib saya. Pilu saya apabila melihat Encik tanpa rasa geli, membasuhkan segala kotoran najis Tok Pah, juga segala pakaian yang telah kotor. Encik tidak mahu membebankan Emak saya dengan segala kotoran ibunya sendiri. Emak pula setia dengan tugas memasakkan makanan yang sewajarnya buat Tok Pah. Dapat saya perhatikan betapa sabarnya Encik menyuapkan makanan ke mulut Tok Pah walaupun kerap sangat Tok Pah mengambil masa yang cukup panjang untuk menghadamkannya. Saya tidak pernah melihat Emak saya melahirkan rasa tidak puas hatinya sepanjang keluarga kecil kami (Encik, Emak, abang dan saya) menjalankan amanah Tuhan yang satu itu. Emak berjaya menjadi seorang isteri yang sentiasa memahami juga tinggi sabarnya.

8) Saya akan menangis pilu pada setiap kali Encik terkenangkan Tok Pah. Walau saya sendiri melihat betapa Encik telah melakukan sesuatu yang HEBAT dan BERAT untuk digalas sewaktu musim-musim cubaan daripada Tuhan itu tetapi dia tetap selalu mengatakan kepada saya bahawa 'Encik banyak dosa kat Atuk Pah, Encik tak dapat jaga dia baik-baik...' Ya Tuhanku, moga Kau berikan aku jiwa kasihkan ibu yang telah kau anugerahkan Encikku itu !

9) Encik adalah bapa yang agak sukar untuk digambarkan perilakunya secara ringkas. Saya tidak boleh mengkategorikan dia secara total sebagai seorang ayah yang garang juga bengis. Juga tidak sesuai untuk saya tafsirkan dia sebagai seorang ayah yang terlalu demokratik, lemah lembut dan berpemikiran bebas selalu. Saya tidak mampu untuk menafsirkan dia sebagai seorang ayah yang berperwatakan autokratik , 'rigid' mahupun berpendirian sehala sentiasa.

10) Kesimpulannya, Encik adalah seorang ayah yang cukup fleksibel dalam mendidik saya menjadi seorang manusia. Encik tidak pernah menetapkan apa yang perlu saya jadi, apa yang perlu saya pakai, apa yang perlu saya belajar, apa yang perlu saya makan, siapa yang perlu saya jadikan kawan, tempat mana yang perlu saya pergi dan apa yang perlu saya tonton mahupun dengari. Encik rupa-rupanya telah membina jati diri dan pegangan hidup diri ini secara halus dan berhemah, bukannya secara 'memberi arahan, menetap haluan' semata-mata.

Ya Allah, walau kau tidak lahirkan aku dengan berayahkan seorang Menteri, Professor, CEO, Pengarah Jabatan mahupun Doktor tetapi kau berikan aku seorang Encik yang cukup menghiburkan, amat kuat patriotiknya, sungguh menghargai budaya dan adat berzaman, kuat sentimen bangga kepada keturunan dan bangsa, berpemikiran terbuka dan yang terpenting tidak pernah tiada masa untuk sentiasa bersama-sama Andi-nya ini ! Syukur dan syukur selamanya ....

Neba2020: Ya Tuhanku, aku berdoa dan memohon rahmatmu agar kau panjangkan usia Encik dan Emak, ampunkan dosa-dosa mereka, kurniakan cahaya keimanan, sembuhkan segala penyakit, anugerahkan tubuh badan yang sehat selalu, murahkan rezeki mereka, permudahkan kehidupan, dijauhkan daripada bala bencana juga maksiat, disukai orang ramai serta bahagia berpanjangan di dunia juga di akhirat kelak. Amin ....

Monday, July 14, 2008

Episod Peralihan Kuasa: Antara 22 Jun 2002 dan 10 Julai 2008

Salam Buat Semua,

Senario 1

1) Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) menggemparkan negara apabila mengumumkan persaraan sebagai Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia di akhir ucapan penggulungannya bersempena penutup Perhimpunan Agong UMNO tahun 2002.

2) Seluruh isi Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tergamam dan secara automatik tanpa dipaksa telah menunjukkan rasa terkejut yang cukup menyentap perasaan masing-masing. Seluruh rakyat yang menyaksikannya secara langsung melalui siaran RTM 1 turut mengalami sindrom 'mimpi atau realiti, percaya atau tidak.'

3) Seluruh negara seolah tersentak. Majoriti rakyat tidak mempercayainya dan banyak juga yang cuba-cuba untuk menganggap apa yang diucapkan tokoh seorang itu adalah 'tersilap bicara' semata-mata.

4) Pengumuman perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri setelah berada di puncak selama 20 tahun 11 bulan dan 6 hari disambut dengan rasa sedih dan kecewa oleh majoriti rakyat.

5) Para perwakilan UMNO di PWTC secara spontan menjerit beramai-ramai meminta Dr. Mahathir menarik semula perletakan jawatannya, semua berdiri tanda sepakat menyokong beliau tanpa berbelah bagi bagi meneruskan 'perjuangan yang belum selesai.' Kelihatan jelas ramai yang tanpa dipaksa telah menitiskan air mata tanda sedih dan refleksi betapa mereka belum mahu berpisah daripada pentadbiran di bawah seorang lelaki yang bernama Mahathir Bin Mohamad itu.

6) Akhirnya Dr. M bersetuju untuk terus menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri buat seketika lagi setelah dipujuk oleh Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau menetapkan satu pelan peralihan kuasa yang terancang kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

7) Dr. Mahathir mengundur diri secara rasmi pada petang Jumaat di bulan Ramadhan yang mulia pada 31 Otober 2003. Peristiwa berlaku selepas 1 tahun 4 bulan dan 9 hari beliau menyuarakan hasrat untuk mengundur diri secara mengejut. Pentadbirannya selama 22 tahun 3 bulan dan 15 hari akan terus diingati dengan terma-terma seperti Putrajaya, Dasar Pandang ke Timur, Proton Saga, Sukan Komanwel 1998, Malaysia Boleh !, Dasar Perindustrian Negara, Dasar Penswastaan Negara, Belilah Barangan Buatan Malaysia, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, LRT, Le Tour De Langkawi, Litar F1 Sepang, Stadium Nasional Bukit Jalil, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Tambatan Ringgit Kepada US Dollar (1998) dan Wawasan 2020 !

Senario 2

1) Abdullah Ahmad Badawi (Datuk Seri) yang mesra dipanggil Pak Lah mengumumkan beliau akan menyerahkan kuasa pentadbiran sebagai Perdana Menteri kepada Mohd. Najib Abdul Razak (Datuk Seri) menjelang Jun 2010.

2) Pak Lah mengumumkan pengundurannya setelah berada di tampuk kekuasaan selama 4 tahun 8 bulan dan 10 hari.

3) Taklimat khas Pak Lah kepada wakil-wakil bahagian UMNO seluruh negara sebelum bermulanya mesyuarat tahunan cawangan-cawangan untuk edisi 2008 itu kelihatan cukup tenang tanpa berlakunya sebarang 'kejutan emosi' di kalangan yang menghadirinya walaupun Perdana Menteri ke 5 itu sempat mengumumkan secara rasmi bahawa pelan peralihan kuasa daripadanya kepada Mohd. Najib bermula serta-merta pada tanggal 10 Julai 2008.

4) Pengumuman Pak Lah di Dewan Merdeka itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh wakil-wakil bahagian UMNO, tanda menyokong tanpa berbelah bahagi 'kerelaan' beliau untuk mengundur diri setelah 'terhantuk dan terduduk' dek prestasi terburuk Barisan Nasional sewaktu Pilihan Raya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008 yang membawa kepada hilangnya kuasa 2/3 kerajaan pemerintah di Parlimen.

5) Tiada tangis, tiada desakan dan tiada jeritan dibuat kepada Pak Lah untuk terus menjadi Perdana Menteri juga Presiden UMNO seperti mana yang berlaku kepada Dr. Mahathir pada tahun 2002.

6) Dr. Mahathir ketika mengumumkan perletakan jawatannya sudah hampir mencecah 21 tahun di 'takhta' tetapi Pak Lah hanya berusia kira-kira 5 tahun sahaja 'berkuasa,' impak emosi yang ditunjukkan para penyokong UMNO khasnya dan rakyat Malaysia amnya adalah cukup berbeza, umpama langit dan bumi !

7) Pentadbiran Pak Lah (dijangka) selama 6 tahun dan 8 bulan pula akan diingati dengan program-program seperti Islam Hadhari, sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi, bioteknologi, kebebasan media dan bersuara, Monsoon Cup, batik dan songket dan rangkaian koridor pembangunan wilayah yang tersusun panjang senarainya !

Neba2020: 31 Oktober 2003, tangisan mangiringi persaraan Perdana Menteri bernama Mahathir Mohamad, detik-detik menjelang Jun 2010 semestinya menarik untuk diperhatikan. Adakah persaraan Perdana Menteri bernama Abdullah Ahmad Badawi itu juga akan diiringi dengan air mata dan rasa sedih menyentap jiwa di kalangan rakyat senegara ? Mungkin ya, mungkin juga tidak ....

Thursday, July 10, 2008

Selamat Hari Jadi Perwiraku !

Salam Buat Semua,

Selamat Hari Jadi Perwiraku (10 Julai 1925, sebuah kelahiran pemimpin berjasa) ....

Kau adalah InspiRasi 1982 ~~
Kau adalah kebanggaan neba 2020
Kau adalah idola fendy ahmad
Kau adalah sanjungan diri ini

Dulu, kini dan selamanya ....
Wawasan dan semangatmu sentiasa menjadi temanku
Di kala senang mahupun sewaktu sukar
Auramu sentiasa merajai jiwaku

Kau ajarku erti tidak mengalah dalam berusaha
Kau didikku maksud kental bersemangat mengejar impian
Kau titipkan pujangga keramat buatku terus laju berlari
Kau tunjukkan aku jalan penuh bermaruah, kita bangsa bermaruah !

Perwiraku,

Kaulah Mahathir Mohammad yang kusayangi selamanya
Kaulah Mahathir Mohammad yang kusanjung selamanya
Kaulah Mahathir Mohammad yang kudoakan selamanya
Kaulah Mahathir Mohammad yang kurindui selamanya

Selamat Hari Jadi Perwiraku !
Kuyakin bahawa niat yang mulia akan di restui Tuhan Yang Maha Kuasa ....

Bait-bait katamu ini akan terus mencorakkan pemikiranku, menguatkan semangatku dan menyedarkanku selalu, satu pedoman berharga yang kau hadiahkan kepadaku ....

" Tugas kita belum selesai rupanya

bagi memartabat dan memuliakan bangsa

kerana hanya bangsa yang berjaya akan sentiasa dihormati "

" Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita

bukan sekadar memerdeka dan mengisinya

tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan buat selama-lamanya "

" Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku

kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga

bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa "

" Perjuangan kita belum selesai

kerana hanya yang cekal dan tabah

dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya "

~~ Dr. Mahathir - Mei 1996 ~~

Neba2020: Selamat Hari Jadi Dr. M ! Kau inspirasikanku betapa hidup ini biarlah bermaruah, beranilah kerana benar, musuh harus ditentang, semangat harus membara, minda wajib ditajamkan, agama wajib dimartabatkan dan kemajuan haruslah dicari ... Barulah kita menjadi bangsa yang dihormati lawan, digeruni musuh !

Wednesday, July 9, 2008

Perdana Menteri Malaysia ke 6 : Anwar Tidak Layak !

Salam Buat Semua,

1) Anwar pernah menjadi idola saya suatu masa dahulu. Beliau kelihatan cukup berkarisma, mempunyai kuasa 'orator' yang mantap dan kelebihan utama anak jati Seberang Prai ini adalah keupayaannya untuk menguasai minda masyarakat. Beliau memiliki ilmu psikologi tersendiri yang cukup menakjubkan !

2) Anwar kini kelihatan berpegang kepada prinsip 'ambil kesempatan' dan 'memenangi hati rakyat melalui pendekatan simpati.' Minda dan emosi rakyat yang kelihatan 'geram' dengan pendekatan Pak Lah yang cuba menstabilkan masalah ekonomi dengan kaedah 'tindakan ekstrim' (menghadirkan inflasi akibat daripada kenaikan kos, bukannya disebabkan permintaan barangan yang meningkat) telah dimanipulasi sedalam-dalamnya oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan cemerlangnya.

3) Anwar adalah oportunis yang cuba membunuh secara senyap kestabilan perpaduan kaum di Malaysia dengan tindakannya yang merestui program-program penstrukturan kaum dan ekonomi yang 'berbau' Dasar Ekonomi Baru (DEB) dimatikan hayatnya ataupun sekurangnya diperlekehkan oleh segelintir ahli masyarakat demi meraih undi serta sokongan puak minoriti di Malaysia. Ini dikhuatiri akan menimbulkan perasaan 'dendam secara senyap' di kalangan kaum majoriti kepada kaum minoriti yang bakal membawa impak buruk kepada perkembangan negara di masa mendatang.

4) Anwar dalam berbicara untuk 'kelihatan popular' gagal sama sekali untuk melihat pentadbiran sumber ekonomi mahupun hasil mahsul negara melalui skop jangka masa panjang. Bagi yang cuba beruasaha untuk memahami konsep pentadbiran hasil bumi negara, orang seperti Anwar ini sebenarnya adalah seorang ahli pemikir yang cukup pendek langkauan mindanya. Mungkin juga, itu adalah lakonannya semata-mata demi menggapai cita-cita utamanya untuk bergelar Perdana Menteri Malaysia.

5) Prinsip keadilan sama rata yang diperjuangkan Anwar dalam usahanya untuk meraih sokongan kaum minoriti seakan cuba membunuh konsep keadilan berhikmah yang telah dijalankan melalui DEB sejak tahun 1970. Anwar lupa bahawa sedikit 'kelebihan' yang diperuntukkan kepada kaum majoriti itu sebenarnya telah memberi banyak impak positif kepada perniagaan juga kekayaan kaum minoriti di Malaysia. Isu pembesaran kek ekonomi Malaysia yang berlaku atas inisiatif dasar-dasar awal parti Perikatan yang ditunjangi UMNO, MCA dan MIC sebelum tahun 1974 seolah cuba 'ditutup' terus Anwar daripada diketahui rakyat.

6) Anwar mungkin 'terlupa' sejarah perjuangan dirinya di akhir era 1960-an dan sepanjang 1970-an yang menyaksikan seorang anak muda 'berdarah panas' itu amat lantang berbicara tentang keburukan kerajaan serta parti pemerintah yang banyak mengabaikan rakyat. Anwar tiba-tiba 'berubah bulu, bertukar topi' pada tahun 1981 apabila menyertai UMNO dengan 'iringan hamparan emas' yang disediakan Presiden UMNO ketika itu iaitu Dato' Seri Dr. Mahathir Mohammad (kini Tun). Anwar jelas kelihatan 'gila kuasa' dengan terus mencabar jawatan Ketua Pemuda UMNO tanpa menghormati individu yang telah lebih lama berjuang di dalam aliran UMNO. Kerana karisma dan kepetahannya, dia berjaya menakluk pemikiran juga hati perasaan ahli-ahli UMNO ketika itu. Selanjutnya, adalah kisah 17 tahun beliau berada di dalam UMNO sehingga tertabal sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993. Kita tidak akan lupa betapa selama 17 tahun bergelumang di dalam UMNO itu, beliau kelihatan cukup 'setia, sayang dan selesa' dengan keadaan UMNO serta segalanya indah belaka sehinggalah 'malapetaka hebat' berlaku padanya pada tanggal 2 September 1998. Anwar sudah biasa menjadi musang yang di pagi hari bulunya putih dan di malam hari menjadi hitam keperangan !

Neba2020: Bebaskanlah Malaysia daripada ditadbir oleh manusia-manusia yang pendiriannya bisa berubah sekelip mata mengikut kehendak peribadi juga keperluan semasa ....

Monday, July 7, 2008

" Anwar Liwat Saiful " - Siapa Yang Kelihatan Lebih Benar ?

Salam Buat Semua,

1) Pemuda berusia 23 tahun iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang membuat laporan polis bahawa beliau telah diliwat secara berulang kali oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kejadian terakhir berlaku pada 26 Jun 2008 dengan beraninya menyatakan kesanggupan untuk mengikut syor Mufti Perlis iaitu Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya bermubahalah (pengertian longgar - bersumpah dengan nama Allah serta menjunjung Al- Qur'an) bagi menyatakan bahawa segala tuduhan yang dibuat beliau adalah benar dan tidak berbohong dengan tujuan 'menganiaya' pihak yang dituduh. Syor tersebut turut mendapat 'restu' daripada seorang yang bertaraf Tok Guru Islam iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan.

2) Sehingga 5 Julai 2008, Anwar yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih enggan menjawab sebarang pertanyaan wartawan berkenaan dengan saranan Mufti Perlis itu. Anwar mengatakan bahawa beliau telah pernah bersumpah bagi menunjukkan bahawa beliau sama sekali tidak bersalah sewaktu berhadapan dengan skandal 'homoseksual' yang pertama kira-kira sedekad yang lepas. Beliau menyatakan tidak berminat lagi untuk melayan permintaan sedemikian rupa bagi kali ini kerana percaya bahawa ia adalah helah semata-mata.

3) Pada 6 Julai 2008 sewaktu menghadiri perhimpunan Protes Sejuta Rakyat anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya, Anwar menyatakan bahawa beliau sanggup bersumpah seandainya dinasihatkan ulama, diadakan mengikut syariat Islam dan kerajaan perlu menghadapkannya ke Mahkamah Syariah.

Soalan Satu
Adakah Anwar sangsi dengan usul yang diberikan Mufti Perlis itu dan merasakannya adalah satu helah politik ?

Soalan Dua
Andai Saiful sememangnya membuat fitnah, kenapakah jejaka itu begitu cepat menyatakan kesanggupannya untuk bersumpah atas nama Tuhan Yang Maha Kuasa ?

Soalan Tiga
Tidakkah Anwar kelihatan seumpama cuba bermain tarik tali dengan memberi syor yang sebenarnya seakan mustahil akan berlaku sekaligus cuba mengalih tumpuan masyarakat untuk terus bersimpati kepadanya ?

Soalan Empat
Adakah Anwar merasakan bahawa Nik Abdul Aziz yang merestui idea Dr. Asri itu belum layak untuk diiktirafnya sebagai seorang ulama sehingga beliau memerlukan 'nasihat' lain ?

Soalan Lima
Sampai bilakah rakyat hendak disogokkan dengan idealisme 'politik simpati' juga 'politik skandal' yang sebenarnya merugikan masa dan merencatkan proses pembangunan minda untuk jangka masa panjang ?

Neba2020: Drama-drama politik Malaysia sepanjang separuh masa pertama tahun 2008 kelihatannya cukup 'berseri' lagi 'berwarna-warni.' Moga kehidupan rakyat juga semakin 'berseri-seri' dan 'indah warnanya.' Janganlah lakonan politik yang cuba 'dimeriahkan' itu rupa-rupanya adalah untuk menutup duka sengsara yang semakin menguasai kehidupan seharian warga negara mahupun sebagai satu 'orkestra' pihak tertentu untuk mengejar kuasa mahupun meneruskan kekuasaan ....

Thursday, July 3, 2008

Anwar Meliwat, Najib Berskandal ?

Salam Buat Semua,

2 paparan hangat yang mewarnai kehidupan rakyat Malaysia menjelang akhir Jun 2008 semestinya menunjukkan kepada dunia betapa negara ini adalah sebuah negara yang cukup unik lagi meriah untuk didiami juga difahami.

Kisah Satu
Raja Petra Kamarudin (seorang penulis 'blog' yang berdarah kerabat Selangor) membuat pengakuan berkanun di mahkamah pada 18 jun 2008 dengan menyatakan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor merupakan salah seorang daripada tiga individu yang berada di tempat kejadian di mana Altantunya Shaariibuu diletupkan. Selain isteri Timbalan Perdana Menteri itu, seorang pakar letupan C4 iaitu Leftenan Kolonel Aziz Buyong dan isterinya yang menjadi pengawal peribadi Rosmah turut menyaksikan kejadian yang didakwa sebagai 'tutup bukti bunuh' itu.

Gosip kes pembunuhan warga Mongolia itu dengan 'meriahnya' dikaitkan dengan suami Rosmah, pihak pembangkang terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal kemunculan isu tersebut acapkali mendefinisikan Najib = Altantunya !

Kisah Dua
Seorang pemuda berusia 23 tahun yang dikatakan pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan aduan rasmi bahawa beliau telah diliwat beberapa kali oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan kejadian terakhir berlaku pada 26 Jun 2008. Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang membuat laporan polis terhadap Anwar pada 28 Jun 2008 menyatakan bahawa kejadian liwat terakhir yang dilakukan Anwar terhadapnya berlaku di sebuah kondominium di Damansara, Kuala Lumpur. Bagi menguatkan lagi dakwaan tersebut, Saiful telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Laporan pemeriksaan kesihatan beliau yang disahkan pihak HKL akan diguna pakai pihak polis untuk prosedur seterusnya.

Para penyokong setia Anwar terutamanya di pihak PKR tanpa berlengah telah mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai 'ketua komplot' yang mencipta isu liwat ini bagi meranapkan 'kebangkitan politik' Anwar.

SOALAN SATU
Mungkinkah Najib dan Anwar saling mereka cerita?

SOALAN DUA
Mungkinkah Najib dan Anwar saling menyimpan dendam?

SOALAN TIGA
Mungkinkah Najib dan Anwar sama-sama menjadi mangsa keadaan?

SOALAN EMPAT
Mungkinkah Najib dan Anwar kedua-duanya adalah pelakon yang hebat bagi menipu rakyat?

SOALAN LIMA
Mungkinkah Najib dan Anwar sebenarnya sedang dipermainkan oleh pihak ketiga?

Neba2020: Percayalah kepada Tuhan 100%, jangan sekali meletakkan kepercayaan hakiki kepada yang bernama manusia kerana manusia mudah melempar kata-kata, mudah berlakon berlagak baik dan mudah berubah pendirian mengikut kehendak semasanya ....