Thursday, September 25, 2008

Salam Aidilfitri, Selamat Hari Raya ...

Salam Buat Semua,

1) Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Buat Semua Yang Beragama Islam, Lebaran Bererti Satu Kemenangan Buat Kita Semua Untuk Memulakan Satu Misi Pembaharuan Diri Yang Seterusnya.

2) Selamat Menikmati Kegembiraan Bercuti Juga Merasai Kemeriahan Perayaan Nombor Satu Malaysia Ini Kepada Seluruh Rakyat Malaysia, Bumi Bertuah Sentiasa Harmoni.

3) Jadikan Aidilfitri ini sebagai titik permulaan untuk menguatkan ikatan kekeluargaan, menambah keserasian sesama pasangan dan mengolah kemesraan antara yang pernah menabur jasa dengan yang pernah menerima jasa.

4) Aidilfitri adalah masanya untuk kita menginsafi asal-usul dan keturunan. Moga Aidilfitri dapat menurunkan keegoan diri yang tanpa disedari telah mencengkam kuat keperibadian diri kita. Kita mudah terlupa betapa asal-usul kita penuh dengan hikmah dan tauladan, penuh dengan kesederhanaan, penuh dengan keperitan juga dugaan dan penuh dengan kasih-sayang yang suci daripada mereka-mereka disekeliling sewaktu kita menginjak dewasa dahulu.

5) Aidilfitri biarlah menjadi satu pencetus perubahan untuk kita lebih menyanyangi ibu dan ayah, membina azam dan harapan untuk sentiasa mendekati mereka selepas ini. Jangan kita jadikan ibu dan ayah sebagai bahan kenang-kenangan di musim-musim tertentu sahaja. Mereka tidak layak untuk 'disamakan' dengan muzium mahupun taman simpanan haiwan yang akan dilawati apabila kita mahu menikmati cuti ataupun di waktu lapang semata-mata.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN

Neba2020: Indahnya kenangan sewaktu alam kanak-kanak dahulu sewaktu Encik dan Emak membawa saya membeli pakaian raya di pasaraya sekitar Bandar Segamat. Gembiranya hati ini apabila mendapat sepasang dua baju berjenama Kiko, Kiki Lala mahupun Lady Bird. Harganya agak mahal tetapi di musim Raya memang Encik dan Emak tolak ketepi soal kos, kegembiraan hati si bongsu menjadi keutamaan mereka. Kini, saya wajib menggembirakan mereka berdua kerana mereka terlalu banyak menggembirakan kehidupan saya selama ini !

Wednesday, September 24, 2008

Cukuplah Pak Lah dan Anwar: Pergilah !

Salam Buat Semua,

1) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sewajarnya menginsafi diri dan meletakkan kepentingan parti dan negara mendahului kepentingan peribadinya. Adalah wajar Pak Lah mengumumkan persaraannya sebelum 9 Oktober 2008, tarikh di mana pencalonan untuk jawatan tertinggi UMNO di peringkat bahagian mula dijalankan.

2) Pak Lah telah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling diperlekehkan rakyat jelata, tidak dibanggai sesiapa, menjadi bahan lawak jenaka di mana-mana sahaja dan dianugerahkan dengan pelbagai 'anugerah' berbentuk panggilan-panggilan yang cukup memalukan (kadang-kadang ada kebenarannya).

3) Pak Lah harus sedar betapa UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah kendaliannya telah berada pada tahap yang cukup lemah, tidak bermaya dan kehilangan semangat berjuang. Lebih mendukacitakan, UMNO dan BN yang dahulunya gah menjadi kucar-kacir dek pentadbiran Pak Lah yang seolah tiada misi yang kukuh lagi sentiasa diragui rakyat.

4) Demi kestabilan ekonomi, perpaduan dan ketenteraman negara, adalah diharapkan moga kes tuduhan liwat (sodomi) yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan sahaja. Sama ada beliau bersalah ataupun tidak, penulis secara peribadi amat berharap agar kes tersebut 'dicantas' secepat mungkin demi kebaikan negara ini secara kolektifnya.

5) Penulis yakin betapa 'kegilaan' Anwar untuk menuju Putrajaya melalui 'pintu belakang' dengan cuba 'mencuri' ahli-ahli Parlimen daripada BN adalah disebabkan motivasinya untuk 'menutup' kes sodomi itu sebaik sahaja jawatan Perdana Menteri berada digenggamannya. Anwar sendiri seolah 'tahu' apa suratannya andai dia gagal menjadi Perdana Menteri, kes sodomi itu pastinya akan menguburkan terus riwayat politiknya memandangkan umurnya sudah menginjak ke angka 61 pada tahun ini. Andai peristiwa 1998 berulang skripnya, tidak mungkin Anwar akan bangkit semula pada tahun 2018 !

6) Andainya kes sodomi itu dapat ditarik balik, diharapkan agar Anwar dapatlah menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pembangkang yang efisien lagi beramanah. Malaysia memerlukan juga pembangkang yang berkualiti dan berniat baik, bukannya pembangkang yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa majoriti rakyat Malaysia masih mempercayai BN sebagai pemerintah negara yang mereka kehendaki juga percayai.

7) Sesungguhnya keadaan politik Malaysia sejak selesai Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 pada tanggal 8 Mac adalah dipenuhi dengan hura-hara dan ketiadaan petunjuk bila ianya akan beransur reda dan aman. Cerita-cerita politik yang tiada penamat sememangnya cukup enak untuk didengar dan diperhatikan tetapi kesannya adalah tidak bagus kepada struktur ekonomi, pentadbiran dan keamanan negara. Pentadbir akan hilang fokus untuk memajukan negara manakala pihak pembangkang pula hilang fokus untuk menjadi ejen 'periksa dan seimbang' yang berkualiti kerana berdepan dengan sindrom 'gila kuasa, gila Putrajaya.'

8) Apabila gajah dengan gajah bertembung, pelanduk akan tersepit dengan penuh merananya di tengah-tengah. Siapakah yang menjadi pelanduk? Fikir-fikirkanlah !

9) Pembangkang perlu percaya kepada takdir dan juga realiti masa, mereka telah gagal untuk memikat majoriti daripada rakyat supaya memangkah lambang-lambang parti seperti PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu PRU 2008. Percayalah bahawa andai rakyat makin mempercayai mereka, maka pada PRU edisi ke 13 nanti (tahun 2012 atau 2013) maka 'tangga-tangga Putrajaya' akan dapat juga ditakluk.

10) Pak Lah janganlah terus 'merosakkan' UMNO dan BN dengan terus berdegil dan berpura-pura seolah-olah tiada apa yang berlaku. Janganlah Pak Lah masih berkeras untuk percaya kepada maklumat-maklumat yang disogokkan 'barisan penasihat eksklusifnya' yang selama ini telah memainkan peranan maha hebat sehingga Pak Lah 'dikelilingi' dengan nasihat-nasihat dan juga petunjuk-petunjuk yang membawa kepada kehancuran kredibilitinya sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO. Pak Lah sewajarnya berundur dengan sesegera mungkin sebelum tirai tahun 2009 disingkap demi kebaikan semua pihak, kebaikan Malaysia !

Neba2020: Pak Lah dan Anwar, kalian datang daripada negeri yang sama, agama yang sama dan bangsa yang sama. Cukuplah, kehadiran anda berdua sudah cukup memporak-perandakan bangsa dan negara tercinta ini. Buat anda berdua, lihatlah jauh ke dalam pandangan jernih anak-anak kecil yang sama kulitnya, agamanya dan bahasanya dengan kalian. Mereka perlukan pemimpin yang jujur tindakannya, bijak tadbirnya, misinya bermaruah, berani menegakkan kedaulatan bangsa dan pada masa yang sama dihormati rakan-rakan yang lain. Kalian seolah sudah kehilangan 'mutiara-mutiara impian' itu ....

Tuesday, September 23, 2008

Renungan Bersama : Ibu dan Ayah

Salam Buat Semua,

1) Tidak tahu kenapa, saya asyik ingatkan Mak dan Encik, sehari seperti tidak lengkap jika saya tidak terkenangkan dua insan itu. Sepanjang Ramadhan ini lagi kuat memori saya memancarkan wajah ke dua-duanya ke dalam benak minda ini.

2) Seolahnya sudah berbulan saya tidak ketemuan Mak dan Encik, walhal baru hendak mencecah seminggu, 7 hari saja berjauhan !

3) Saya tidak malu jika orang katakan saya anak manja, anak Mak mahupun anak Encik ! Saya juga tidak malu kalau orang katakan saya ini anak jantan yang tidak boleh berjauhan terlalu lama dengan orang tuanya. Apa yang boleh saya katakan, saya bangga jika orang melabelkan saya sebegitu rupa. Saya bersyukur kerana Tuhan kurniakan saya naluri yang cukup istimewa rasanya.

4) Mak dan Encik hanya memiliki 2 cahaya mata, Abang dan saya. Kami dua beradik tidak bekerja di daerah kesayangan tetapi sedikit berjarak. Abang di Johor Bahru manakala adiknya ini di Melaka bumi yang bersejarah. Kami akan sentiasa pulang ke daerah asal-usul sehingga perkelanaan kami di bumi mencari rezeki hanyalah 4 malam seminggu dan selebihnya di Segamat yang sentiasa dekat di hati. Kebiasaannya, lewat senja Jumaat lengkaplah kapasiti 4 beranak di rumah kampung itu. Hanya seusai Subuh di pagi Isnin barulah kami akan beredar pergi. Bagi kami, istilah balik kampung di musim perayaan tiada maknanya, balik kampung adalah rutin normal bagi kami dua beradik, setiap minggu adalah balik kampung !

5) Jarak satu jam setengah antara Melaka dan Segamat juga 2 jam setengah antara Johor Bahru dan Segamat bukanlah masalahnya ! Dekat saja sebenarnya. Kenaikan petrol dan juga tol yang perlu dilunaskan sewaktu pergi dan balik, komitmen kos setiap minggu juga bukanlah peluntur semangat kami untuk membahagiakan Mak dan Encik. Yang penting, mereka ada kami, kami ada untuk mereka !

6) Setiap detik bersama-sama dengan Mak dan Encik adalah cukup berharga lagi membahagiakan. Saya rasa indah sekali tatkala dapat pergi membeli-belah bersama Mak dan Encik, menonton TV sambil menikmati buah-buahan yang enak belaka, menikmati minum petang sambil bertemankan tiupan pepohon hijau di luar rumah, membaca akhbar seiringan sambil mulut cantas-mencantas berdebat isu semasa dan menemankan Emak memasak sambil mulut ini tidak berhenti bergossip pasal dunia hiburan juga politik yang panas. Segalanya cukup memuaskan saya, terima kasih Tuhanku !

7) Saya selalu terfikir, biarlah saya berhabis wang untuk Mak dan Encik walaupun ketika ini pendapatan bulanan belumlah 'serancak' mana kerana saya khuatiri nanti di kala Ringgit di tangan semakin menebal, Mak dan Encik sudah menjengah jemputan Tuhan Yang Maha Kuasa.

8) Setiap kali minda saya memikirkan 'ketentuan' Tuhan yang tidak ketahuan bila masanya itulah membuatkan saya semakin menolak ketepi apa jua alasan dan sebab untuk tidak selalu mengingat juga mendekati dua insan yang semakin meningkat usianya itu.

9) Saya selalu kecewa melihat anak-anak masa kini yang mudah sungguh menjadikan alasan SEBOK, PENAT, TIADA MASA, TIADA BAJET dan 1001 lagi agenda peribadi sebagai penyebab untuk amat jarang menemui ibu dan ayah. Komitmen kehidupan yang semakin mencabar pada masa kini merupakan satu dugaan kepada kita semua, hendak seribu daya tetapi jika hati sudah berat maka seribu dalihlah yang akan dihujahkan.

10) Ibu dan ayah adalah manusia biasa yang secara luarannya akan menunjukkan bahawa mereka memahami segala alasan yang ditampilkan anak-anak. Mereka akan berkata 'Kalau sebok tidak mengapalah,' 'Belajarlah kuat-kuat, tak perlu balik rumah,' 'Kalau tak cukup duit jangan membazir balik rumah selalu' dan bermacam-macam lagi ungkapan yang ditujukan kepada sang anak tatkala menerima 1001 sebab musabab mengapa tidak dapat pulang selalu. Tetapi percayalah, apa yang tersirat di dalam hati nurani mereka adalah berbeza sekali dengan yang diluahkan secara luarannya. Kerana kasih dan sayangnya ibu dan ayah kepada anak-anak, mereka terpaksa meluahkan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak dalaman kerana tidak mahu menyusahkan zuriat yang dikasihi dunia dan akhirat. Kepentingan diri sendiri amat selalu mereka ketepikan semata-mata demi menjaga 'kepentingan' anak-anak.

" Moga kita semua diberikan petunjuk oleh Tuhan agar mempunyai masa untuk menghiburkan ibu dan ayah sementara mereka masih bernafas di bumi yang penuh pancaroba ini kerana mereka telah terlalu banyak menghiburkan juga menyenangkan perjalanan hidup kita selama ini "

Neba2020: Kita jarang berasa apa yang sedang kita miliki adalah amat berharga dan perlu dijaga rapi sentiasa. Kita selalu menyedari bahawa ianya adalah cukup berharga lagi istimewa apabila kita telah kehilangannya di kemudian hari nanti. Menyesal kemudian tiada gunanya, air mata darah sekalipun tidak mampu menjelmakannya semula ....

Sunday, September 21, 2008

Muhyiddin Yassin: Sebuah Perjalanan Yang Tenang Tanpa Kontroversi

Salam Buat Semua,


1) Tahniah kepada anak Johor ! Tahniah buat Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Johor yang kini mengepalai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana kejujuran dan juga keberaniannya untuk meluahkan apa yang 'berkocak' dan apa yang sebenarnya 'dirintih' oleh rakyat bawahan yang mengambil berat tentang UMNO dan kepimpinannya.

2) Muhyiddin bukan sebarangan personaliti. Seorang yang cukup merendah diri, jarang berkata-kata dan tidak pernah terpalit dengan 'kisah-kisah' berbaur negatif. Para penggosip politik juga tak termampu mencari cerita-cerita 'sisi gelap' beliau. Tiada siapa berani mengotorkan nama insan yang dilahirkan pada tanggal 15 Mei 1947 ini, juga seakan 'terpelihara' daripada sebarang fitnah kotor bagi menjatuhkan karier politiknya. Beliau bukan seorang pendebat, tidak bijak beretorik di dalam ucapannya. Beliau adalah seorang 'pembuat kerja' yang efisien, tegas dan serius selalu tetapi jiwanya lebih mudah terkesan dengan 'masyarakat bawahan.'

3) Karier politik anak ulamak terkenal Johor ini (sesuatu yang tidak suka diperbesarkannya) begitu berkembang di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad mengemudi Malaysia apabila beliau diangkat sebagai Menteri Besar Johor seusai Pilihan Raya Umum tahun 1982. Seterusnya, selepas Pilihan Raya Umum 1995, pemegang kelayakan akademik di bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu daripada Universiti Malaya ini diberikan kepercayaan untuk mengemudi Kementerian Belia dan Sukan, utusan misi khas Dr. Mahathir bagi melancarkan perjalanan Sukan Komanwel 1998.

4) Portfolio lain yang pernah diberikan kepada Muhyiddin ialah sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Di dalam arena politik, beliau telah menjadi Naib Presiden UMNO sejak tahun 1993 lagi. Sewaktu Pemilihan Agung UMNO 1993, Muhyiddin meraih undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden, manakala Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mencukupkan 2 lagi posisi tersebut. Pada tahun 1993 itulah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) pernah 'tersingkir' daripada jawatan Naib Presiden UMNO. Tiga tahun kemudiannya, Pak Lah kembali di posisi ke tiga Naib Presiden manakala Najib dan Muhammad masing-masing di tangga pertama dan ke dua. Muhyiddin 'terkeluar' seketika, tetapi kembali semula meraih kepercayaan perwakilan pada tahun 2000.

5) Sejak selesai Pilihan Raya Umum 2008, Muhyiddin kelihatannya cuba 'menongkah arus' dengan secara terbuka memberi 'signal' bahawa Pak Lah wajar berundur daripada jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri, signifikasi betapa beliau wajar memikul tanggungjawab besar terhadap prestasi buruk Barisan Nasional (BN) yang kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Muhyiddin sentiasa konsisten dengan pendapatnya dan berani untuk menghadapi apa jua kesan negatif yang mungkin diterimanya akibat daripada sikap berterus-terangnya itu.

6) Andai takdir Tuhan menetapkannya, kemungkinan besar anak jati Muar ini akan 'tertabal' sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia sedikit masa lagi. Seawalnya, ramalan InspiRasi 1982 ~~ adalah di sekitar Oktober 2008 ini manakala selewatnya mungkin menjelang tahun baru 2009. Ramalan adalah permainan manusia, Tuhan jua yang menentukannya. Kata-kata keramat negeri Johor Darul Ta'zim, 'KEPADA ALLAH BERSERAH.'

7) Bagi mereka yang setia mengikuti jejak-jejak perjalanan karier politik Muhyiddin dan juga cara kerjanya yang sentiasa 'tenang dan senyap di dalam serius', beliau pada hakikatnya turut layak untuk mengemudi Malaysia sebagai Perdana Menteri ! Malangnya, Muhyiddin adalah ahli politik yang 'kurang bijak' mempopularkan diri sendiri sejak dahulu lagi menjadikan kehadirannya 'kurang terasa.'

Neba2020: Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Abdul Razak, adalah anak Johor pertama yang menaiki carta Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau kembali ke Rahmatullah ketika di dalam jawatan, lalu Razak memilih seorang lagi anak Johor yang juga birasnya iaitu Datuk Hussein Onn (Allahyarham Tun) menggantikan posisi Dr. Ismail yang telah kosong. Kerana suratan takdir telah menentukan bahawa Perdana Menteri ke 3 adalah di tangan anak Johor, ianya tetap terjadi. Kita hanya merancang, Tuhan jua yang menentukan penamatnya ...

Friday, September 19, 2008

Melayu Yang Mudah Mengalah

Salam Buat Semua,

1) Bangsa Melayu cukup dikenali dengan sopan dan santunnya, manis kata-kata, mudah mengalah, tidak suka berkonfrontasi, cukup memuliakan tetamu dan mudah terasa.

2) Dr. Syed Husin Ali (kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat) yang merupakan ahli antropologi menakrifkan orang Melayu itu dari segi zahirnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa.

3) Melayu cukup mudah mengalah, memandang tinggi kepada bangsa-bangsa lain yang tidak 'serupa' fizikalnya, berbeza bahasanya dan juga berlainan gaya hidupnya. Melayu mudah 'tunduk' kepada 'orang lain' kerana rasa kagum yang tinggi, mudah merasa 'orang lain' adalah lebih hebat dan juga lebih istimewa berbanding Melayu itu sendiri.

4) Sikap terlebih menghormati dan juga terlebih rasa rendah diri Melayu ini adalah aset di awalnya sebagai petunjuk kepada 'orang lain' bahawa ia adalah bangsa yang cukup berhemah tinggi lagi menyenangkan. Aset itu diharapkan akan menjadi 'petunjuk' kepada masyarakat lain supaya bijak untuk menghormati sensitiviti Melayu yang pelbagai bentuknya.

5) Malangnya, semakin jauh perjalanan pembentukan Melayu sebagai bangsa yang Merdeka, semakin aset itu berubah arah menjadi liabiliti yang merugikan lagi melemahkan. Melayu terlalu mudah mengalah, senang memberi dan rela menyerah tanpa melawan. Liabiliti ini membawa kepada penafsiran baru bahawa Melayu adalah bangsa yang mudah tewas dan tidak mementingkan kelangsungan / survival diri sendiri semata-mata kerana malas / alpa untuk melawan menegakkan sesuatu yang sememangnya 'dimiliki.'

6) Melayu membentuk kira-kira 60% daripada populasi Malaysia, majoriti yang cukup kuat untuk sebuah negara yang minoritinya dibentuk oleh pelbagai gugusan kaum lainnya seperti Cina, India, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak, Sikh, Peribumi Asli dan pelbagai lagi. Kekuatan kelompok Melayu ini tidak wajar dipandang ringan oleh sesiapapun.

7) Hakikat bahawa Melayu adalah pengamal agama Islam, ikutan rasmi negara Malaysia juga sewajarnya diambil kira sebagai sesuatu yang penting oleh semua pihak. Sinonimnya Melayu dan Islam adalah mencapai tahap 100%, sensitiviti Islam adalah sensitiviti Melayu dan begitulah sebaliknya.

8) Politik Melayu adalah politik yang penuh susila. Malangnya, apabila politik Melayu mula bergolak maka ia akan memberikan kesan yang tidak terhingga kepada kestabilan ekonomi dan juga kemakmuran Malaysia secara keseluruhannya. Politik Melayu tidak boleh dipisahkan dengan dasar-dasar yang akan mempengaruhi pentadbiran Malaysia kerana Melayu itu sendiri mempunyai 'suara politik' dan 'kuasa memilih' mencecah 60% tahap ketinggiannya.

9) Semakin Melayu terlalu menyerah dan mengalah, ianya tidak akan memberikan sesuatu yang positif kepada kekuatan negara Malaysia secara kolektifnya. Golongan-golongan Melayu yang bersikap terlebih liberal terhadap 'tuntutan dan gesaan' pihak-pihak yang tidak memahami konsep kestabilan negara ini sebenarnya hanya memberikan 'kelemahan' yang nyata kepada Malaysia ini di kemudian harinya. Melayu yang 'terseksa' dan 'terkebelakang' di kemudian hari nanti akan membawa 'bencana' kepada Malaysia ini kelak.

10) Sasterawan Negara, Usman Awang pernah menceritakan, " Melayu itu orang yang bijaksana ... Nakalnya bersulam jenaka ... Budi bahasanya tidak terkira ... Kurang ajarnya tetap santun ... Jika menipu pun masih bersopan ... Bila mengampu bijak beralas tangan ... Melayu itu berani jika bersalah, Kecut takut kerana benar ... Janji simpan di perut, Selalu pecah di mulut ... Biar mati adat, Jangan mati anak ... "

Neba2020: Pak Usman berkata, " Walaupun sudah mengenal universiti, Masih berdagang di rumah sendiri ... Berkelahi cara Melayu Menikam dengan pantun, Menyanggah dengan senyum ... Marahnya dengan diam, Merendah bukan menyembah, Meninggi bukan melonjak ... "

Thursday, September 18, 2008

Buat Dia Yang Tersayang ....

Salam Buat Awak,



1) Terima kasih di atas kesudian awak menerima saya, sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan di awalnya. Ketika itu niat saya hanyalah sekadar untuk mencuba, memberanikan diri dan meluahkan apa yang menghantui perasaan ini. Awak memberikan saya satu peluang yang cukup istimewa dan akan disyukuri selalu.

2) Kita bina ikatan perkenalan ini dengan cara yang berbeza dan unik, pertembungan dua anak muda era moden yang mementingkan cara dan hala yang tersendiri.

3) Kita bertemu tidak kerap, jari-jemari tangan masih mampu membilang jumlahnya dalam setahun. Setiap pertemuan adalah istimewa dan berpaksikan batasan akhlak yang sama-sama kita kekalkan sebaik mungkin.

4) Kita menjadi akrab melalui sistem pesanan ringkas dan perkongsian suara di talian telefon, setiap hari dilalui dengan rasa dekat walau di mata ianya berjarak.

5) Awak sedia maklum bahawa lelaki yang satu ini tidak pandai berlagak romantis, dia bukan 'mat jiwang' dan bukan juga 'mat asmara,' dia tidak pandai berlakon untuk kelihatan romantis kerana dia tidak mahu menjadi seorang yang berbeza pada dua situasi yang berbeza.

6) Awak, saya adalah seorang pencinta yang suka menghiburkan hati orang yang saya sayangi. Setiap detik yang membuatkan awak mampu ketawa mendengar celoteh-celoteh saya adalah satu kenikmatan yang sungguh membahagiakan.

7) Andai awak menganggap saya sebagai 'mat lawak' yang terbaik buat dirimu itu, saya amat menghargainya kerana saya ingin kita bina hubungan ini di atas dasar ceria bersama, jangan bersedih melalui kehidupan.

8) Awak, terima kasih kerana sudi menjadi pendengar yang cukup setia kepada kisah-kisah sejarah penitian negara kecil ini yang cukup kerap saya 'hulur' tanpa diminta. Awak mendengar cerita-cerita Tun Dr. Ismail, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, 13 Mei 1969, perjuangan UMNO, kisah-kisah ke arah kemerdekaan Malaya, patriotisme tentera-tentera menentang anasir Komunis dan pelbagai lagi dengan penuh rela dan minat yang sentiasa tinggi momentumnya.

9) Terima kasih juga di atas kesudian awak mendengar 'ceramah-ceramah' ringkas saya tentang hadis-hadis pilihan, ayat-ayat istimewa Al-Qur'an, ilmu Fekah dan siri tauladan perjuangan Nabi Muhammad dalam mentadbir juga meluaskan agama Agung ini.

10) Sepanjang perkenalan kita ini, awak layak saya angkat sebagai 'pendengar terpaksa' nombor 1 kepada 'mat politik' yang seorang ini ! Awak sudah cukup masak dengan ideologi politik saya. Tiga nama yang cukup 'popular' di pendengaran halwa telinga awak semestinya Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 'Mahathir, Pak Lah dan Anwar,' mereka cukup setia menjadi bahan-bahan terpilih untuk saya 'bersyarah' buat pendengaran awak yang istimewa, tempat saya mengasah 'bakat politik' secara percuma.

11) Semakin lama saya mengenali awak, semakin saya rasa awak cukup istimewa. Semakin lama saya menyanyangi awak, semakin saya rasa bahagia tanpa kebosanan. Semakin lama saya memahami awak, semakin saya merasai awak adalah wanita yang cukup tinggi sopan dan sabarnya.

12) Saya mengidamkan seorang wanita yang tidak lupa pada solatnya, tidak sombong perilakunya, manis senyuman kepada semua dan sentiasa ingat kepada ibu dan ayah.

13) Saya mengidamkan seorang wanita yang pandai memasak dan suka mengemas rumah, disayangi adik-adiknya kerana sikap bertanggungjawab yang istimewa juga penyanyang dan sentiasa menjaga personalitinya di hadapan khalayak.

14) Saya suka kepada wanita yang bijak menjaga keterampilan dirinya sebagai seorang wanita Melayu beragama Islam, sederhana dalam berpakaian, ada modennya di sebalik ciri-ciri Islamik dan budaya Melayu yang terjaga rapi.

15) Saya tidak mengharapkan AWAK menjadi wanita yang lengkap segalanya kerana saya sendiri berharap awak dapat menerima saya dengan 1001 kekurangan diri ini yang amat banyak perlu diperbaiki. Kehidupan ini adalah untuk saling melengkapi, saling memperbaiki. Cukuplah saya katakan di sini bahawa AWAK sudah menepati ciri-ciri wanita yang saya idamkan, AWAK memiliki segalanya. Saya tidak layak untuk mengidamkan sesuatu yang lebih hebat segalanya kerana saya sendiri bukanlah sehebat Muhammad bin Abdullah untuk memiliki wanita agung seperti Siti Khadijah. TERIMA KASIH AWAK !

Neba2020: Selamat Hari Jadi Buat Awak. Saya Doakan Hidup Awak Diberkati Allah Taala Selamanya. Moga Yang Maha Mengasihi dan Yang Maha Penyanyang Mengurniakan Awak Kesehatan Yang Baik, Murah Rezeki, Dipermudahkan Segala Urusan Kehidupan, Bahagia Selalu Bersama Ayah dan Ibu, Dijauhkan Daripada Bala Bencana dan Gejala Maksiat dan Sentiasa Hidup Dengan Keceriaan dan Kegembiraan Tanpa Kesedihan. Awak Adalah Pendorong InspiRasi ~~ ....

Saturday, September 13, 2008

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Salam Buat Semua,

1) Penahanan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dianggap sesetengah pihak sebagai satu bentuk kekejaman nyata kerana individu yang terbabit akan 'disumbat' ke Kem Kamunting tanpa memerlukan pembicaraan. Penahanan boleh berlanjutan selama 60 hari dan tempoh seterusnya boleh dilanjutkan dengan arahan Menteri Dalam Negeri melalui nasihat pihak Polis.

2) ISA dikatakan menjadi alat cukup eksklusif kepada pemerintah untuk 'mendera' dan 'menghukum' musuh-musuh politik yang kritikal terhadap cara serta gaya kerajaan semasa.

3) Raja Petra Kamaruddin ditahan di bawah ISA akibat daripada 'kebijaksanaan terlampau' yang ditunjukkannya melalui lawan weblog kendaliannya yang menggunakan ayat-ayat menghina para penganut agama Islam serta meluluskan penyiaran komentar-komentar yang menghina Islam dan Nabi Muhammad. Mungkin inilah hadiah terbaik buat seorang Muslim yang terlalu liberal gaya kehidupan juga cara pemikirannya.

4) Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor) yang bolehlah dianggap sebagai wanita besi DAP turut menerima padah apabila dengan biadapnya telah cuba menunjukkan taring kebodohannya dengan mencetuskan isu penggesaan larangan azan Suboh dikumandangkan di masjid dan surau di kawasan Kota Damansara, Sri Serdang dan Puchong Jaya. Beliau turut cuba menjadi jaguh 'Malaysian Malaysia' pusaka peninggalan Lee Kuan Yew dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Malaysia dengan menggesa supaya dilaksanakan penggantian tulisan jawi di papan tanda nama jalan dengan tulisan Tamil, Cina dan Inggeris.

5) Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang nampaknya mempunyai masalah pemahaman Bahasa Kebangsaan yang kritikal turut menerima 'undangan terpaksa' di bawah ISA. Wartawan muda tersebut didapati telah 'menghuru-harakan' ucapan asal Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail sewaktu kempen Piliihan Raya Kecil Permatang Pauh sekitar Ogos 2008. Tulisan Tan secara jelasnya telah memanipulasi secara maksima kata-kata rujukan sejarah Ahmad yang mengatakan kaum Cina pada asalnya adalah 'kaum pendatang' di tanah air ini. Daya usaha 'berani mati' beliau itu didapati mempunyai unsur-unsur tidak sihat yang mampu mencetuskan isu perkauman. Wanita itu mendakwa Ahmad melabelkan masyarakat Cina di Malaysia hanyalah 'penumpang' semata-mata, secara jelasnya pemilihan ayat yang kemudiannya dibaca oleh ratusan ribu pembaca daripada kaum ke dua terbesar di Malaysia itu mampu mencetuskan satu polemik negatif yang serius kepada hubungan kaum di negara tercinta ini.
(Semakan lanjut: Tan telah dibebaskan kurang 24 jam setelah ditahan apabila pihak Polis berpuas-hati dengan penerangannya. Tahanan awalnya turut dikaitkan dengan ancaman keselamatan terhadap beliau yang dikatakan di tahap merbahaya)

6) Secara jelasnya, penahanan tiga individu terbabit pada tarikh 12 September 2008 tidak sewajarnya dilihat 100% daripada aspek politik semata-mata. Secara kebetulannya, yang membenarkan penahanan adalah Menteri Dalam Negeri (seorang anggota kerajaan daripada UMNO dan Barisan Nasional) manakala yang ditahan adalah ahli politik kanan pembangkang, pengendali blog yang kritikal terhadap kerajaan dan wartawan yang seakan mencemburui dasar-dasar dan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

7) ISA terpaksa digunakan sebagai mekanisme segera bagi mengekalkan kestabilan negara. ISA perlu untuk membanteras sebarang kemungkinan lebih buruk yang bakal timbul di kemudian harinya akibat daripada keterlanjuran sesetengah individu yang mampu membawa kepada huru-hara di dalam negara juga bertambah panasnya hubungan di kalangan ahli masyarakat berbilang bangsa. Nasi sudah menjadi bubur pastinya bukan impian kita !

8) Melalui ISA, 'benih-benih' negatif yang sedang bercambah dengan mekar dan segar itu perlu dicantas daripada terus berkembang kerana dikhuatiri apabila ianya telah menjadi pohon yang tegap, masanya sudah terlewat dan keadaan telah menjadi lebih sukar. Sesal kemudian tiada gunanya !

9) Seandainya penahanan segera tidak dibuat dan segalanya memerlukan proses 'pengadilan' yang kompleks dan berjela-jela, 'benih-benih' keburukan yang cuba disemai itu pasti akan mempunyai masa yang cukup untuk terus berkembang dan meluas. Walaupun diakhirnya individu-individu terbabit didapati bersalah lalu dihukum tetapi apa maknanya sekiranya proses 'pengadilan' itu memakan masa selama berbulan-bulan atau mungkin bertahun-tahun. Sepanjang lamanya proses 'pengadilan' itu, sepanjang itu jugalah 'keizinan' untuk isu-isu kontroversi itu terus didebatkan, dihangatkan dan diguna-pakai oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Penamatnya hanyalah satu situasi yang tidak baik untuk kestabilan dan keharmonian negara berdaulat ini.

10) Walaupun ISA tidaklah 100% telus di sepanjang 'penggunaannya' sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya 51 tahun yang lepas tetapi penahanan-penahanan pada tanggal 12 September 2008 perlulah dilihat daripada perspektif di luar ruang lingkup politik semata-mata. Kerajaan mempunyai tanggung-jawab sosial untuk memastikan hubungan kaum di Malaysia ini berada di tahap yang aman dan sentosa selalu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi yang dianuti lebih 60% daripada rakyat dan juga martabat Bahasa Kebangsaan yang menjadi penghubung utama di kalangan 27 juta orang rakyat Malaysia.

Neba2020: Konsep perpaduan teras kejayaan sesebuah negara tidak akan menjadi kenyataan andai kerterbukaan diberikan 100%. Keterbukaan dan kebebasan tanpa sekatan dan tanpa had hanya akan membuka 1001 isu dan kecelaruan yang tiada penamatnya. Agama sendiri terbentuk dengan peraturan-peraturan dan juga batasan-batasan tertentu demi menjamin kehidupan yang saksama buat semua pihak. Kesaksamaan bukan bererti keadilan kerana keadilan tidak semestinya membawa kepada kesaksamaan.

Thursday, September 11, 2008

Andai Kau Menjadi PM

Salam Buat Semua,

Andai Kau Menjadi PM,

1) Jangan kau lupa pada janji-janji manismu, setiap yang dikata wajib dilakukan

2) Jangan kau mudah mengikut telunjuk mereka yang di sekelilingmu

3) Jangan kau leka dengan puji-pujian yang datang tanpa diundang di setiap ketika

4) Jangan kau jadi pemimpin yang buta sejarah demi meraih undi dan sokongan

5) Jangan kau tutup realiti masa lampau dengan fantasi masa depan yang tidak pasti

6) Jangan kau khayalkan anak bangsa sendiri dengan tema-tema yang mustahil dicapai

7) Jangan kau bunuh perjuangan berdekad bangsa sendiri dek mengisi matlamat peribadi

8) Jangan kau cuba pisahkan bangsa dan agama, ianya ibarat irama dan lagu saling berkait

9) Jangan kau mudah hilang simpati kepada golongan bawahan yang perlukan pembelaan

10) Jangan kau terpedaya dengan sokongan pihak-pihak luar yang 'mencemburui' kita.

Andai Kau Menjadi PM,

Kau adalah harapan bangsa, penjaga agama, nakhoda negara ...
Khianat pada sumpah pasti membawa rebah dan cacian berdekad, berkurun lamanya ...

Neba2020: Tengku Razaleigh Hamzah si anak Kelantan, Datuk Seri Anwar Ibrahim si anak Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak si anak Pahang ... Kepada kalian, selamat 'tertabal' sebagai Perdana Menteri ke 6 Malaysia ! Berkhidmatlah dengan penuh dedikasi atas nama Tuhan Yang Maha Kuasa, Maha Mengadili ....

Saturday, September 6, 2008

'Angan-Angan Besar' di Atas Kad Rekod Pelajar

Salam Buat Semua,

1) Sejak kecil lagi saya ingin menjadi seorang pendidik kepada anak bangsa. Seingat saya, ruangan cita-cita di dalam kad rekod pelajar yang perlu diisi pada setiap tahun sewaktu menempuh alam persekolahan dahulu, secara konsistennya ruangan nombor dua akan diisi dengan perkataan PENSYARAH manakala ruangan nombor satu dipenuhkan pula dengan perkataan AHLI POLITIK. Selama lima tahun berturutan (Tingkatan Satu - Tingkatan Lima) saya begitu setia dan 'penuh berharap' agar cita-cita itulah yang akan dicapai di hari kemudiannya.

2) Secara ikhlasnya, saya tidak mahu mengisi sebarang perkataan di ruangan nombor tiga kerana saya hanya mengimpikan untuk bergelar seorang pensyarah universiti di fasa pertama kerjaya saya dan seterusnya terjun ke arena politik secara aktif. Itu sahaja cita-cita yang tersemat di sanubari ini sejak berusia awal belasan tahun lagi.

3) Memandangkan ruangan nombor tiga itu perlu juga dipenuhkan, maka saya tulis juga kerjaya-kerjaya lain yang difikirkan serasi dengan jiwa dan juga minat. Seingat saya, ruangan ke tiga itu pernah saya isikan dengan perkataan-perkataan seperti PEGUAM, AKAUNTAN dan juga GURU. Saya meminati tiga kerjaya tersebut tetapi tidaklah bercita-cita untuk menggapainya, hanya kerjaya sebagai ahli politik dan pensyarah sahaja yang tersemat kukuh di dalam 'angan-angan besar' budak belasan tahun yang seorang ini ketika itu.

4) Encik (ayah) kelihatannya cukup kepingin untuk melihat saya menjadi seorang doktor perubatan. Sejak di alam sekolah rendah lagi dia selalu menitipkan ke telinga si bongsunya ini, 'Jadi doktor boleh tolong ramai orang, dapat berjasa pada orang susah, ramai orang sayang. Tapi jangan jadi doktor fikir nak kutip banyak duit bukak klinik sendiri aje, hospital kerajaan gaji kurang sikit tapi lagi banyak pahala.' Saya tidak mampu 'memenuhkan impian' Encik itu kerana tidak meminati bidang tersebut tetapi berjanji kepada diri sendiri untuk bergelar seorang 'doktor' juga walaupun bukan doktor perubatan, idaman Encik juga !

5) Encik cukup suka bercerita tentang 'jasa, tolong orang dan berbakti.' Saya percaya betapa pembawaan darah Bugis dan 'mat tentera' yang kukuh di dalam jiwanya menyebabkan Encik rajin sungguh berbicara tentang 'matlamat dan sebab' dalam memilih cita-cita masa depan kepada anaknya ini. Encik seakan tidak menggalakkan anaknya meletakkan Ringgit Malaysia (RM), harta dan pangkat sebagai 'matlamat dan sebab' yang perlu diutamakan di dalam proses pencarian 'cita-cita' itu.

6) Proses pembinaan diri saya kemudiannya secara tanpa saya sedari telah sebati dengan konsep 'jasa, tolong orang dan berbakti.' Saya langsung tidak pernah mengidam untuk menjadi orang kaya, jutawan terbilang. Ketika di alam persekolahan juga, 'minda kecil' saya selalu berangan untuk menjadi seorang pendidik yang bisa mengubah persepsi anak-anak Malaysia terhadap kehidupan dan matlamat masa depan. Jawapannya, saya mahu menjadi pensyarah universiti yang mengajar anak-anak muda Malaysia yang sedang berada di peringkat pembinaan kepercayaan dan harapan hidup mereka. Itulah 'angan-angan besar' pertama budak Kampung Alai, Segamat yang seorang ini ...

7) Seterusnya saya selalu berangan betapa baik buruknya keadaan bangsa, agama dan negara banyak bergantung kepada polisi dan dasar-dasar pentadbiran yang secara langsungnya cukup dipengaruhi mereka-mereka yang bergelar ahli politik. Alim ulamak bukan partisan, professor, pegawai tinggi kerajaan mahupun swasta, kontraktor, doktor, peguam dan ahli-ahli professional lainnya hanya mampu kelihatan 'bijak bercakap, bijak mengkritik dan bijak mencadang' tetapi tiada taring juga tiada saluran untuk mengubah apa-apa. Bagi saya apa guna memiliki kelebihan, kemahiran, ilmu dan juga semangat semata-mata andai ianya tidak menyumbang kepada kemakmuran bangsa, agama dan negara secara kolektifnya. Jawapannya, saya mahu menjadi seorang ahli politik yang memahami hala-tuju bangsa, agama dan negara yang sekaligus meletakkan kepentingan matlamat kolektif melebihi kepentingan peribadinya. Itulah 'angan-angan besar' kedua budak Kampung Alai, Segamat yang seorang ini ...

8) 4 tahun hampir mencecah noktahnya, usia kerjaya mendidik anak bangsa yang saya mulakan pada tanggal 18 Oktober 2004. Sepanjang proses itu, sedikit demi sedikit saya semakin faham dan yakin tentang 'matlamat dan sebab' yang perlu dilaksanakan sebagai seorang pensyarah. Selalu sangat saya katakan kepada anak-anak murid saya betapa saya mahu mendidik mereka tentang erti kehidupan dan kejayaan masa hadapan, bukan semata-mata tentang peperiksaan dan ujian bertulis untuk lulus pengajian.

9) Sebaik selesai sahaja sessi pengajaran untuk subjek 'Corporate Finance' (Kewangan Korporat) pada malam 4 September 2008, seorang pelajar perempuan berbangsa India (Padmene, saya bangga memiliki anda sebagai anak murid) datang menemui saya. Dia bukan ingin bertanya tentang topik yang baru sahaja selesai saya ajarkan tetapi ingin bertanya tentang isu-isu semasa berkaitan dengan pasaran saham di Malaysia dan tips-tips asas dalam 'permainan saham.' Beliau berkata, setiap minggu dia cukup tertarik dengan isu-isu semasa dunia kewangan, dan pelaburan di Malaysia yang saya kisahkan di dalam kelasnya. Beliau menyatakan betapa minatnya dia kepada dunia saham dan pelaburan Malaysia sejak saya kerap bercerita tentang saham-saham di Bursa Malaysia yang paling aktif daripada segi pengeluaran dividennya. Pelajar tersebut telah mengembangkan 'kisah-kisah' yang saya coretkan di dalam kelas kepada ibunya. Ibu beliau kini turut berminat untuk mencuba belajar 'main saham' dan mengembangkan cara simpanan kewangannya. Padmene telah memberikan saya satu semangat baru, teruslah mencari inisiatif untuk membuka minda dan membebaskan anak-anak muda Malaysia ini daripada dunia pendidikan yang 100% bermotifkan 'lulus periksa, dapat ijazah' semata-mata ! Saya masih lemah, belum cukup ilmu dan amat kerdil untuk melakukan sesuatu yang hebat buat tatapan dan pengetahuan anak-anak Malaysia, anak-anak didik diri ini. Doa saya, moga Tuhan merestui niat murni ini dan diberikanNYA kemampuan dan idea bagi melaksanakannya.

10) Di dalam kelas tersebut juga satu pengajaran tentang persefahaman kaum dapat saya sebar-luaskan kepada kira-kira 200 anak-anak Malaysia tercinta. Entah di mana mulanya, secara tidak langsung saya bercerita tentang kenapa permainan judi seperti 'empat nombor ekor' ditafsirkan sebagai haram di dalam agama Islam dan mengapa perniagaan pasaran hadapan dan derivatif (Futures, Options dan Forward) juga diklasifikasikan sebagai haram. Pada asalnya, anak-anak didik berbangsa Cina dan India tidak dapat memberikan sebabnya, mereka hanya tahu ianya haram, haram dan haram. Setelah diterangkan sebab musababnya seperti ada unsur penindasan, tiadanya transaksi barangan sebenar dan keuntungan satu pihak adalah di atas tanggungan kerugian pihak yang lain; Mereka semuanya menggangguk tanda setuju dan serius memerhatikan 'cikgu' mereka yang seorang ini berceloteh di hadapan kelas. Saya mengatakan kepada mereka betapa konsep haram di dalam Islam tidak pernah direka cipta tanpa alasan yang kukuh dan logik, semuanya adalah berlandaskan kesaksamaan dan keadilan buat semua. Saya nyatakan kepada mereka bahawa apa yang saya terangkan itu tidak termasuk di dalam silibus, tidak akan ditanya di dalam peperikasaan akhir dan tidak perlu diingati jika mereka tidak memahaminya tetapi ianya adalah penting untuk menjadi rakyat Malaysia yang harmoni selalu kehidupannya dan saling memahami sesama kaum. Mereka bertepuk tangan, 90% yang berada dihadapan saya adalah anak-anak Malaysia daripada keturunan bukan Melayu iaitu daipada kaum Cina dan India. Saya sentiasa 'berangan-angan' untuk menjadi pendidik yang dapat melahirkan bangsa Malaysia yang saling hormat-menghormati, kuat perpaduannnya dan sentiasa sensitif dengan perasaan dan gaya kehidupan masing-masing.

Neba2020: Perpaduan Teras Kejayaan, Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh !

Friday, September 5, 2008

Indahnya Puasa ...

Salam Buat Semua,

1) Bulan Puasa adalah umpama satu anugerah yang cukup bermakna buat Malaysia, jarang sekali ianya disedari juga disentuh daripada perspektif perpaduan negara.

2) Bazar-bazar Ramadhan yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan di merata tempat juga unik kelihatannya. Walaupun ianya 'tertubuh' dek kerana memberi peluang kepada umat Islam membeli juadah buat berbuka puasa tetapi kelihatan juga kaum-kaum lain turut serta memeriahkannya. Terasa indah sekali melihat rakan-rakan Cina dan India membeli juadah masakan tradisional Melayu, berbicara di dalam bahasa Melayu dan sentiasa melirikkan senyuman.

3) Rahmat bulan Ramadhan juga menimpa para peniaga daripada kalangan rakan-rakan berbangsa Cina. Pesta membeli belah rakan-rakan Melayu bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Puasa pastinya mendatangkan rezeki yang melimpah kepada mereka.

4) Ramadhan juga bertambah ertinya apabila rakan-rakan Cina dan India mengutuskan kad-kad ucapan sempena Hari Raya, ingatan ringkas yang sungguh membahagiakan.

5) Semangat Ramadhan turut kelihatan apabila rakan-rakan Cina dan India mencuba sebaik mungkin untuk tidak makan mahupun minum di hadapan rakan-rakan Muslim yang sedang berpuasa.

Neba2020: Teringat sewaktu zaman persekolahan menengah dahulu, majoriti rakan-rakan Cina dan India 'sanggup' tidak pergi ke kantin sebaliknya mengisi masa bersama-sama rakan-rakan Melayu di dalam kelas sahaja, mereka sanggup 'berpuasa' seketika di sekolah ....

Tuesday, September 2, 2008

Anwar Menjelang 16 September 2008: Bintang Kejora atau Bintang Gerhana ?

Salam Buat Semua,



1) Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah umpama 'protege' Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu. Dilahirkan sebagai anak kepada seorang pekerja hospital yang akhirnya bergerak cergas di dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga berpeluang menjadi Setiausaha Parlimen di Kementerian Kesihatan (Ibrahim Abdul Rahman). Anwar berkelulusan Ijazah Pengajian Melayu daripada Universiti Malaya, tidak hairanlah beliau cukup meyakinkan ketika bertutur dan bijak bermain psikologi anak-anak bangsa sejak zaman beliau menjadi 'aktivitis' masyarakat dahulu lagi bermula sebagai Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia pada tahun 1968.

2) Pada tahun 1982, Anwar 'mengejutkan' majoriti masyarakat dengan kesudiannya menyertai UMNO di atas pelawaan Dr. Mahathir, seantero Malaysia sudah sedia maklum ketika itu betapa Anwar adalah seorang yang cukup kritikal kepada pemerintahan UMNO khasnya dan BN amnya. Keceluparan beliau dalam 'menghina' dan 'menghukum' gaya pentadbiran UMNO membuatkan ramai yang berasa sangsi dengan 'perubahan kulit' mendadak jejaka kelahiran Cherok Tok Kun, Seberang Prai ini.

3) Dengan 'restu' Dr. Mahathir jugalah kerjaya Anwar di dalam kerajaan meningkat dengan pantasnya, umpama roket laju yang membawa angkasawan menuju ke galaksi luar daripada dunia. Sepantas kilat beliau dipilih sebagai calon UMNO untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1982 itu juga. Tanpa disangka, seorang muka baru dalam UMNO yang tiada rekod berjuang untuk parti telah ditabalkan sebagai Menteri penuh di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983. Pada tahun 1986, permata kesayangan Dr. Mahathir ini diangkat pula sebagai Menteri Pendidikan, suatu petunjuk bahawa bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu akan mengisi kerusi Timbalan Perdana Menteri Malaysia kemudiannya.

4) Bintang kejora Anwar terus bergemerlapan apabila posisi Menteri Kewangan yang dikosongkan Tun Daim Zainuddin beralih pula kepadanya pada tahun 1991. Ramalan ramai bahawa Anwar adalah anak emas Dr. Mahathir terbukti juga akhirnya apabila beliau seumpama direstui dalam senyap oleh Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO itu untuk mencabar Encik Ghaffar Baba (Allahyarham Tun) sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993. Anwar berjaya mencapai misinya dan seterusnya beliau secara rasmi dipilih Dr. Mahathir untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia sewaktu usianya baru menjejak 46 tahun.

5) Bintang kejora yang cahayanya kelihatan cukup terang lagi bersinar-sinar itu akhirnya menjadi gerhana apabila tanpa disangka, anak emas itu disingkirkan sendiri oleh 'penaung' utamanya. Anwar dipecat oleh Dr. Mahathir daripada semua jawatannya di dalam kerajaan pada lewat petang 2 September 1998. Pada 3 September, keahliannya di dalam UMNO ditarik balik secara serta-merta.

6) Dr. Mahathir menyifatkan penyingkiran Anwar terpaksa dibuat kerana beliau mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan Malaysia ini tidak diperintah oleh seorang Perdana Menteri yang mempunyai moral yang tidak baik, seorang pengamal seks luar tabi'i. Di sebalik alasan tersebut, gerak-geri Anwar selaku Menteri Kewangan dalam menangani masalah serangan spekulator asing terhadap Ringgit yang membawa kepada masalah berantai kepada ekonomi negara (krisis kewangan, inflasi, kurangnya daya tahan perdagangan dan peningkatan hutang tidak mampu bayar di institusi-institusi kewangan) turut dipercayai menguatkan lagi tindakan tersebut. Anwar dipercayai bertindak melulu dengan 'taksub' merujuk kepada preskripsi tajaan pihak asing yang membuatkan keadaan menjadi lebih parah.

7) 10 tahun telah berlalu, pusingan kisah-kisah Anwar telah menjadi lengkap dan cukup berwarna-warni. Dipecat, didakwa di mahkamah, dipenjara, dibebaskan, menyertai politik semula dan kembali bergelar Yang Berhormat apabila memenangi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan pada masa yang sama berhadapan pula dengan tuduhan kes liwat terbaru yang terhasil daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang jejaka bernama Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Anwar sendiri. Anwar yang dulu pernah bergelar Presiden kepada badan bukan kerajaan, seterusnya menjadi Menteri dan juga orang nombor dua terpenting di dalam kerajaan; Kini Anwar bergelar Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia. Inilah sesuatu yang cukup menarik tentang Anwar yang pernah menimbulkan polemik hangat sewaktu menerajui Kementerian Pendidikan apabila menukarkan nama subjek Bahasa Malaysia kepada Bahasa Melayu. Tindakan beliau yang cukup terkenal dengan dasar-dasar pro-Melayu sewaktu itu telah menimbulkan kebencian bangsa-bangsa lain terhadapnya. Itu kisah Anwar di era 1980an, Anwar di era tahun 2008 adalah Anwar yang lain, cukup liberal dan sungguh bijak menawan 'hati dan jiwa' sesiapa jua di Malaysia ini.

8) Kini Anwar 'menuju' Putrajaya, itulah yang menjadi kepercayaan kesemua penyokongnya dan juga parti-parti yang bernaung di bawah label Pakatan Rakyat (PKR, PAS dan DAP). Anwar mensasarkan untuk mengambil alih pentadbiran Malaysia ini daripada BN menjelang Hari Malaysia, 16 September 2008. Andai ianya menjadi kenyataan, maka Anwar dapat mencapai impiannya untuk bergelar Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, yang pertama bukan daripada parti UMNO tetapi di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih berpresidenkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri beliau sendiri yang kelihatan cukup tabah dalam mengharungi 'roda-roda kehidupan' seorang yang bernama Anwar Ibrahim itu.

9) Semua mata akan tertumpu kepada Anwar. Beliau pernah menjadi bintang kejora dan berubah kepada bintang gerhana selama sedekad ! Adakah gerhana itu akan terpancar semula pada 16 September 2008? Hanya Anwar yang tahu tentang percaturannya, dan hanya dengan izin Tuhan juga ianya akan berlaku ataupun sebaliknya. Kepada Tuhan kita berserah.

10) Buat Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun pandangan dan idealisme kita kelihatan ada jurangnya dan sukar untuk bersatu, kau tetap idolaku di paksi kiri. Di paksi kanan, Tun. Dr. Mahathir memberikanku semangat untuk bijak berfikir, sensitif kepada kepentingan bangsa demi meningkat martabat Islam, sentiasa bervisi ke hadapan dan jangan mudah memandang rendah keupayaan diri sendiri. Di paksi kiri, kau mendidikku tentang semangat dalam berjuang, kuasa komunikasi untuk menjadi manusia yang bisa meyakinkan khalayak dan karisma seorang pemimpin yang tidak mudah luntur dek peredaran zaman. Kalian berdua amatku kagumi dan aku bukan seorang yang fanatik tidak bertempat, tidak menyokong bukan bererti segalanya dibenci, segalanya dikritik ! Menyokong pula tidak bererti semuanya tidak boleh disangkal, tidak boleh diragui.

Neba2020: Andai Anwar menjadi PM, maka teori RAHMAN akan berkubur. RAHMA sudah lengkap tetapi akan menjadi RAHMAA andai Anwar mengangkat sumpah sebagai PM ke 6. Andai Datuk Seri Najib pula yang diberikan izin oleh Tuhan untuk mengemudi Malaysia selepas era 'suram' di bawah Pak Lah, maka teori RAHMAN lengkap sepenuhnya ....