Friday, March 4, 2011

'Mukhriz Mahathir Timbalan Perdana Menteri Akan Datang'

Salam Buat Semua,

1) Berikut adalah hasil daripada undian yang dijalankan di weblog ini berkenaan dengan persoalan individu yang menjadi pilihan hati pelawat sekiranya mereka ialah Perdana Menteri. Maknanya, siapa yang dirasakan layak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri sekiranya anda diberi peluang untuk memilihnya:

Datuk Mukhriz Mahathir - 16 undian (28%)
Datuk Seri Abdul Hadi Awang - 8 undian (14%)
Lim Guan Eng - 8 undian (14%)
Datuk Seri Hishammuddin Hussein - 7 undian (12%)
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - 4 undian (7%)
Datuk Seri Mohd. Ali Rustam - 4 undian (7%)
Azmin Ali - 4 undian (7%)
Karpal Singh - 3 undian (5%)
Khairy Jamaluddin - 1 undian (1%)
Lim Kit Siang - 1 undian (1%)

2) Daripada keseluruhan undian yang diterima, kelihatannya 55.36% berpihak kepada personaliti daripada Barisan Nasional (BN) dan 44.64% pula lebih tertarik kepada nama-nama besar di pihak Pakatan Rakyat (PR).

3) 'Kajian politik' mudah ini sebenarnya lebih kepada 'usaha' InspiRasi ~~ untuk menilai 'siapakah' yang mengunjungi weblog ini dan orientasi politik yang mereka miliki.

4) Secara kasar nampaknya weblog ini turut memiliki 'peminat-peminat' yang cenderung kepada PR. Walaupun 'peminat-peminat' yang berwajahkan BN lebih banyak tetapi keupayaan nama-nama daripada PR secara kolektif memperoleh undian hampir mencecah 45% menunjukkan InspiRasi ~~ bukanlah diakses oleh 'umat-umat BN' semata-mata.

5) Gabungan Lim Guan Eng, Karpal Singh dan Lim Kit Siang berjaya memperoleh 21.43% undian. Bolehlah kesimpulan mudah dibuat betapa InspiRasi ~~ turut mendapat perhatian daripada rakan-rakan yang bukan berbangsa Melayu. Ini membuktikan weblog menggunakan Bahasa Kebangsaan yang standard juga tidak akan mendatangkan masalah kepada para peminat blog tempatan walaupun bukan daripada etnik Melayu. Walaubagaimanapun, tidaklah boleh dinafikan bahawa kemungkinan juga wujud untuk orang Cina memilih orang Melayu ataupun orang Melayu memilih orang Cina. Kitakan rakyat Malaysia yang bersatu!

Neba2020: Kenapa Anwar Ibrahim tidak diletakkan di dalam senarai? Anwar Ibrahim semestinya tidak 'sesuai' lagi untuk dijadikan Timbalan Perdana Menteri (dia pernah mendudukinya selama 5 tahun!) kerana dia seharusnya telah layak untuk menjadi Perdana Menteri, sekurangnya pada pandangan dan pemikiran para peminat dan pemujanya....


Friday, February 25, 2011

PAS SEMAKIN HILANG SOKONGAN MELAYU

Salam Buat Semua,

1) Parti Islam SeMalaysia (PAS) dulunya mahu tegakkan sebuah negara Islam di Malaysia ini. Itulah agenda perjuangan nombor satu PAS. Sekitar 1980an dan 1990an bila sebut PAS maka sinonimnya ialah 'negara Islam' dan 'hukum hudud.'

2) Abad ke 21 setelah melepasi tahun 2000, PAS di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang nampaknya 'sedar' betapa PAS tidak mungkin dapat menakluk Putrajaya dengan tiket 'bulan' semata-mata. Mustahil PAS boleh 'membina' kerajaan tanpa perlu 'mencontohi' model Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO, musuh utama PAS zaman-berzaman.

3) Maka PAS mula membuat satu pakatan dengan dua parti lain yang berbeza ideologi juga matlamat. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjadi sahabat PAS.

4) Uniknya, sebelum tahun 1998 sememangnya DAP adalah musuh tidak langsung PAS, UMNO ialah musuh langsungya. UMNO adalah musuh langsung PAS kerana kebiasaannya pencabar PAS sewaktu pilihan raya ialah UMNO, kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya terdiri daripada orang Melayu.

5) DAP adalah musuh tidak langsung kerana kedua-dua parti selalunya tidak akan bertembung sewaktu pilihan raya kerana DAP akan bertanding di kawasan yang bermajoritikan orang Cina. Walaubagaimanapun, DAP adalah penentang nombor satu terhadap impian 'negara Islam' dan 'hukum hudud' oleh PAS.

6) Selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO pada tahun 1998, bermulalah episod PAS dan DAP mula 'berkenal-kenalan' dan 'bersenyum-senyuman.' Tiba-tiba Anwar Ibrahim yang pernah menjadi musuh mereka bertukar pula menjadi sahabat. Semuanya kerana Anwar sewaktu itu sudah bermusuh dengan UMNO di bawah pimpinan Dr. Mahathir Mohamad dan DAP serta PAS juga memusuhi UMNO-BN.

7) Tertubuhnya PKR (asalnya bernama Parti Keadilan Nasional) melengkapkan satu pakatan baru untuk menumbangkan BN. Strateginya adalah mudah. PAS bertanding di kawasan bermajoriti Melayu, DAP pula tertumpu di kawasan pengundi utama adalah kaum Cina dan PKR menjadi paksi pertengahan untuk menguasai tempat-tempat yang peratusan pengundi berbilang bangsanya adalah sama rata di antara Melayu, Cina dan India.

8) Dengan senario politik tahun 2008 yang cukup tidak stabil ditambah dengan perasaan tidak puas hati rakyat kepada kepimpinan 'lesu' Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi maka pakatan PAS-DAP-PKR telah berjaya meruntuhkan tembok kukuh kekuasaan BN di Parlimen sehinggakan berjaya menidakkan majoriti dua pertiga BN sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 (2008). BN memperoleh 142 kerusi manakala pakatan PAS-DAP-PKR menguasai 80 kerusi.

9) Tiga tahun telah berlalu, ada mengatakan bahawa cengkaman PAS kepada para pengundi berbangsa Melayu telah semakin rapuh. Penyokong fanatik PAS sememangnya akan terus bersama PAS tetapi mereka yang bersifat di atas pagar kelihatannya tidak akan memihak kepada PAS.

10) Selepas Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak memimpin UMNO (April 2009) kelihatannya pengaruh UMNO semakin kuat dan berjaya 'menggoda' para pengundi di atas pagar ini. Buktinya, kesemua pilihan raya kecil selepas April 2009 menyaksikan majoriti orang Melayu menyokong calon-calon BN. Tempat-tempat yang majoriti utamanya adalah Melayu seperti Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Hulu Selangor (Selangor), Galas (Kelantan) dan Tenang (Johor) semuanya menyaksikan kemenangan BN dengan majoriti meningkat naik. Prestasi PAS sewaktu mengekalkan kerusi Manek Urai (Kelantan) juga merosot sehingga menang hanya dengan majoriti kurang 100 undi berbanding sewaktu PRU 2008, majoriti melebihi 1500 undi.

Neba2020: Orang tamak selalu rugi, biar bercita-cita sedikit kecil tetapi matlamat tercapai daripada bercita-cita memeluk gunung tetapi kaki gunung pula yang semakin tergelincir apabila mula mendaki....

Friday, February 18, 2011

Ekonomi Berpendapatan Tinggi: Gaji Naik, Inflasi Naik ?

Salam Buat Semua,

1) Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri 'transformasi' Malaysia mahu jadikan negara ini sebagai sebuah negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi, ekonomi yang bergerak melalui pekerja-pekerja yang memiliki pendapatan 'mewah dan besar' angkanya.

2) Berpendapatan tinggi bolehlah disenang-katakan sebagai gaji tinggi, orang putih sebut 'high income.' Maka seronoklah para pekerja kerana majoriti orang memang sifat hakikinya ialah suka dengan gaji yang besar, gaji tinggi.

3) Majikan digalakkan, diseru dan diharapkan untuk menaikkan gaji pekerja mereka. Kita percaya tempoh 5 tahun mendatang (2011-2015) akan menyaksikan sektor kerajaan dan pihak-pihak swasta menaikkan gaji para pekerja.

4) Maklumlah, Perdana Menteri sendiri sudah menghebahkan ke pelosok negara bahawa di antara matlamat kerajaan yang dipimpin beliau ialah untuk menghasilkan satu keadaan yang disebut 'ekonomi berpendapatan tinggi.'

5) Sekali lagi, ramai yang akan gembira dan bersuka hati. Gaji naik!

6) Pihak swasta akan alami kenaikan kos. Gaji naik bersamaan dengan kos naik. Bila kos naik maka barangan mahupun perkhidmatan yang dikeluarkan atau disediakan akan mengalami kenaikan harga juga. Normal bagi para pengusaha untuk 'menjatuhkan' bebanan kenaikan kos itu kepada para pengguna akhir.

7) Maka akan berlakulah kenaikan harga barangan ataupun perkhidmatan di pasaran. Ekonomi berpendapatan tinggi dan harga barangan juga perkhidmatan yang tinggi adalah sinonim. Dua perkara ini tidak akan dapat dielakkan walaupun sesuatu negara itu menghimpunkan 1000 pemegang Ijazah Kedoktoran (Ph.D) Ekonomi, Kewangan dan Strategi Pemasaran untuk mengatasinya.

8) Niat Perdana Menteri itu adalah baik dan tulus ikhlas, memastikan rakyat Malaysia bertambah senang juga makmur dan Malaysia 'laju' mengejar status negara maju. Dato' Seri Mohd. Najib tidak silap dalam cuba bereksperimentasi dengan terma 'ekonomi berpendapatan tinggi.'

9) Ekonomi berpendapatan tinggi akan menjadi sesuatu yang berfaedah dan bagus apabila senario peratusan kenaikan gaji adalah melebihi peratusan kenaikan kos barangan atau perkhidmatan sekaligus bererti peratusan kenaikan harga barangan adalah kecil berbanding peratusan kenaikan gaji para pekerja. Contohnya, inflasi tahunan naik 5% dan gaji naik 9% secara purata ataupun kos pengeluaran keseluruhan  naik 10% dan gaji naik 14%.

10) Justeru, para pengusaha, ahli perniagaan, pemimpin jabatan dan segenap pihak yang bertanggungjawab dengan pengurusan kos perlulah lebih kreatif, inovatif dan berhemah sentiasa. Segala sistem dan proses yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk mahupun perkhidmatan perlulah berpaksikan kepada kecekapan, ketepatan dan kemahiran. Pembaziran kos daripada segala bentuk perlulah dijauhkan. Kos perunit juga dapat dikurangkan dengan membesarkan pasaran, pastikan barangan keluaran Malaysia mendapat tempat di negara asing. Akhirnya, inilah 'ekonomi berpendapatan tinggi' yang terbaik bagi seluruh rakyat Malaysia.

Neba2020: Tiada yang mustahil selagi otak rajin berfikir dan tubuh rajin bergerak .... 

Saturday, February 5, 2011

Sultan dan Rekod Malaysia

Salam Buat Semua,

Kita rakyat Malaysia, kadang-kadang 'banyak' juga tentang Malaysia ini yang kita tidak tahu ataupun tidak tersedar. Kita berbangga dengan sistem beraja yang dimiliki tetapi kita tidak tahu fakta-fakta menarik tentang sesetengah Sultan yang memayungi keharmonian negeri juga negara tercinta ini.

Berikut adalah 5 fakta istimewa seterusnya diiktiraf sebagai REKOD MALAYSIA seperti yang disiarkan oleh The Malaysia Book of Records (Icons of Malaysia) untuk edisi tahun 2011:

1) Sultan termuda: Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu) dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu pada 15 Mei 1998 sewaktu berusia 36 tahun.

2) Kerabat pertama berlayar mengelilingi dunia: Sultan Sharafuddin Idris Shah (Selangor) berjaya berlayar mengelilingi dunia dalam tempoh 644 hari, tamat pada 6 November 1996.

3) Sultan tertua: Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Kedah) diputerakan pada 28 November 1927.

4) Hakim termuda: Sultan Azlan Shah (Perak) dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Julai 1965 sewaktu berusia 37 tahun dan menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 November 1973 (45 tahun).

5) Sultan pertama menerima lesen memandu lokomotif - Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (Johor) berjaya memperoleh lesen memandu lokomotif (keretapi) pada 28 Jun 2010 selepas Baginda selesai memandu lokomotif milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) sejauh 391.3 km dari Stesen JB Sentral, Johor ke Stesen KTM Gemas, Negeri Sembilan.

Neba2020: Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku !

Saturday, January 29, 2011

Malaysia ini Unik ... (Thaksin Shinawatra Orang Cina?)

Salam Buat Semua,

1) Di Thailand, majoriti kaumnya adalah daripada etnik Siam. Minoriti utama pastinya Cina dan Melayu. Bahasa rasmi negara Gajah Putih itu semestinya Bahasa Siam. Sekolah berlandaskan satu aliran. Maknanya 100% sekolah menggunakan bahasa dan sistem kebangsaan. Tiada sekolah Cina, tiada sekolah Melayu tajaan kerajaan.

2) Di Indonesia, majoriti kaumnya adalah orang Jawa. Kelompok Melayu (Jawa, Bugis, Minang dan banyak lagi) di negara Garuda ini mencecah kira-kira 90%. Minoriti terbesarnya ialah kaum Cina. Hanya ada satu jenis sekolah di Indonesia dan Bahasa Indonesia diiktiraf sebagai bahasa tunggal sistem pendidikannya. Bahasa Indonesia ini bukan berorientasikan Jawa sepenuhnya. Ianya lebih mirip kepada Bahasa Melayu seperti di Malaysia tetapi 'versi' berbeza.

3) Di Singapura, majoriti besar rakyatnya adalah daripada keturunan Cina. Minoriti utama ialah orang Melayu dan India. Semua sekolah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Tiada sekolah aliran Cina, Melayu mahupun India.

4) Lebih menarik, asimilisasi di Thailand dan Indonesia kelihatannya cukup menebal dan utuh. Lihat kepada nama orang Indonesia dan Thailand, kita mesti ingat mereka adalah orang Siam (jika di Thailand) dan orang Jawa (jika di Indonesia).

5) Banyak orang akan kehairanan kalau diberitahu bahawa Thaksin Shinawatra yang pernah menjadi Perdana Menteri Thailand adalah berketurunan Cina bukannya Siam. Pemenang pingat Emas pertama acara badminton di Sukan Olimpik (1996) iaitu Alan Budi Kusuma juga adalah beretnik Cina, dia bukannya orang Jawa walaupun 'bunyi' namanya seperti merujuk kepada orang Jawa.

6) Sesuatu yang tidak memeranjatkan jika diberitahu bahawa MAJORITI bangsa Cina di Indonesia dan Thailand tidak tahu bertutur dengan bahasa ibunda mereka. NAMApun sudah merujuk kepada negara tumpah darah mereka. Unik dan mungkin cukup menghairankan untuk diketahui rakan-rakan sebangsa mereka di Malaysia.

7) Di Malaysia, Melayu menguasai 60% daripada populasinya. Bumiputera lain merangkum kira-kira 5%. Minoriti terbesar ialah keturunan Cina (25%) dan India (10%). Bahasa Malaysia yang berteraskan Bahasa Melayu standard diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. Untuk sistem pendidikan semestinya ianya dijadikan bahasa utama di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.

8) Uniknya Malaysia ialah kita mempunyai sekolah rasmi milik dan 'tajaan' kerajaan versi ke dua dan ke tiga. Kita membenarkan sejak Merdeka lagi kewujudan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT). Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) juga ada di bumi Harimau Malaya ini. Sekolah-sekolah ini dibenarkan untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahan komunikasi utama.

9) Jelas menunjukkan bahawa dasar kerajaan Malaysia yang diterajui Melayu sebagai Perdana Menteri dengan perkongsian kuasa yang menyeluruh bersama-sama Bumiputera Sabah dan Sarawak, Cina dan India telah menjadikan Malaysia ini cukup unik dan berbeza dengan mana-mana negara di dunia ini sekalipun.

10) Malaysia dibina dengan dasar-dasar yang cukup liberal dan amat toleran kepada masyarakat minoritinya. Kaum Bumiputera yang menguasai kira-kira 65% populasi negara tidak sama sekali terlintas untuk menghapuskan sistem pendidikan berteraskan etnik minoriti yang sedia wujud kini. Tidak pernah terfikir untuk menjadikan negara ini seperti jiran-jiran terhampir (Thailand, Indonesia dan Singapura). Sebenarnya, Malaysia ini telah lama kelihatan lebih terbuka, lebih berhati-perut dan lebih menjaga hati sentimen rakyatnya walaupun yang bukan daripada etnik majoriti.

Neba2020: Apa yang ada perlu disyukuri, jangan melampau dalam berfikir dan jangan berlebihan waktu membuat tuntutan. Yang majoriti dihormati, yang minoriti disayangi, yang besar diakui kedudukannya, yang kecil dipelihara haknya; Inilah yang membuatkan Malaysia unik lagi istimewa....

Wednesday, January 26, 2011

PAS, PKR dan DAP Berhajat Menguasai Johor?

Salam Buat Semua,

1) 30 Januari, 2011 ini sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan menyaksikan sebuah pertarungan di antara calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO dan wakil PAS yang disokong oleh 'pakatan' Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga DAP. Ini adalah pilihan raya kecil yang ke 14 sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

2) DUN Tenang sewaktu PRU 2008 dimenangi BN dengan majoriti 2492 undi. 4 tahun sebelum itu, BN menewaskan PAS dengan majoriti 5517 undi.

3) Walaupun sewaktu 'tsunami politik' menghentam Malaysia sewaktu PRU 2008, BN tetap utuh di Tenang khasnya dan negeri Johor amnya. BN kini menguasai 50 kerusi DUN, manakala PAS dan DAP masing-masing dengan 4 kerusi dan 2 kerusi. Bagi peringkat Parlimen, BN menang di 25 kawasan dan Bakri, Muar menjadi satu-satunya kerusi yang terlepas ke tangan 'Pakatan Rakyat' melalui DAP.

4) Daripada 10 daerah di Johor, hanya dua daerah sahaja yang menyaksikan BN sedikit 'rapuh' sewaktu PRU 2008 iaitu di Muar dan Johor Bahru. Daerah Segamat di mana DUN Tenang berada menyaksikan BN menguasai 100% kawasan Parlimen (Segamat, Labis dan Sekijang) dan DUN (Jementah, Buloh Kasap, Tenang, Bekok, Pemanis dan Kemelah).

5) PAS mengatakan bahawa misi mereka di Tenang adalah untuk mengurangkan lagi majoriti BN. Tetapi PAS harus sedar bahawa peluang terbaik mereka hanyalah pada PRU 2008 dan mereka ternyata telah berjaya mengurangkan majoriti besar BN sebelum itu. Kini situasi dan iklim politik sudah jauh berbeza. Warga Segamat khasnya dan Johor amnya pendirian politik mereka secara majoriti adalah unik dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan retorik olahan Anwar Ibrahim, Nik Abdul Aziz, Lim Guan Eng dan Karpal Singh. PAS, PKR dan DAP janganlah terperanjat kalau UMNO-BN pula yang berjaya meninggikan lagi majoriti kemenangan. Itu yang InspiRasi ~~ percaya akan berlaku kerana InspiRasi ~~ adalah anak jati Segamat yang faham benar akan jiwa dan mentaliti orang-orang Segamat !

Alangkan di Kelantan (Manek Urai dan Galas) UMNO-BN dapat kurangkan 'kegembiraan' PAS selepas PRU 2008 ...

Neba2020: Bagaimana susahnya BN mahu menawan Kelantan daripada genggaman PAS, begitulah sukar dan peritnya untuk PAS mahupun 'Pakatan Rakyat' bagi menguasai Johor, bumi di mana UMNO diasaskan....

Saturday, January 22, 2011

CIKGU ZAIMON - Guru Debat Saya !

Salam Buat Semua,

1) Saya berada di alam penamat sekolah menengah dua belas tahun lepas. Sekolah Tinggi Segamat, Johor dengan cogankata 'STS Sentiasa Maju' menjadi 'istana ilmu' buat saya selama 5 tahun berturutan bermula daripada tahun 1995.

2) Guru Kelas saya sewaktu di Tingkatan 5 bernama Cikgu Zaimon Ismail. Dia juga mengajar saya subjek Bahasa Melayu. Sewaktu di Tingkatan 4, Cikgu Zaimon juga yang mengajar subjek tersebut.

3) Saya seorang yang tidak 'pandai' untuk 'menjual' nama sendiri. Daripada Tingkatan 1 sehinggalah Tingkatan 4, tidak pernah langsung menyertai sebarang pertandingan 'cakap-cakap' di peringkat sekolah. Saya rasa saya tidak 'pandai' bercakap dan saya tidak rasa saya layak untuk masuk mana-mana pertandingan 'berlawan cakap.'

4) Sewaktu awal tahun 1999 (permulaan Tingkatan 5), Cikgu Zaimon memilih saya untuk mewakili Sekolah Tinggi Segamat ke pertandingan Forum Remaja Daerah Segamat selaku Pengerusi Forum.

5) Saya katakan saya tidak berani dan rasa tidak mampu. Cikgu Zaimon kata dia tahu saya boleh. Saya teruskan sahaja dan ikutkan sahaja apa yang dikehendakinya.

6) Dengan rekod langsung tidak pernah secara formal masuk sebarang pertandingan 'cakap-cakap,' saya dan pasukan berjaya menjadi juara daerah. Seterusnya kami ke peringkat negeri Johor. Menang lagi, dapat tewaskan pasukan elit seperti Sekolah Tun Fatimah dan Sekolah Sains Muar. Pencapaian terbaik kami semestinya dapat mewakili negeri Johor ke peringkat separuh akhir Kebangsaan.

7) Cikgu Zaimon juga memilih saya memasuki pasukan debat sekolah. Dia sentiasa yakin dengan kebolehan saya. Di saat saya sendiri tidak tahu dan tidak yakin dengan kemampuan untuk 'berlawan cakap,' dia pula tidak pernah jemu melatih, memberi bimbingan dan menguatkan semangat saya. Saya dipilih Cikgu Zaimon untuk menjadi pendebat utama Sekolah Tinggi Segamat untuk tahun 1999.

8) Kalau diundi menjadi pihak pencadang, maka sayalah 'Perdana Menteri.' Kalau terpilih menjadi pihak pembangkang, sepantas kilat pula saya bertukar topi menjadi 'Ketua Pembangkang.' Sekejap saya berlagak seperti Dr. Mahathir Mohamad dan seketika kemudian boleh pula menjelma menjadi Lim Kit Siang. Mereka masing-masing adalah Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang 'sebenar' ketika itu.
9) Pertandingan Debat Ala Parlimen yang saya sertai sehingga menjadi 'juara' Daerah Segamat dan mara ke peringkat empat terbaik di peringkat negeri Johor sememangnya meninggalkan satu kenangan terindah buat diri ini. Baru saya sedar bahawa saya ini boleh bercakap, mampu untuk 'berlawan cakap' dan ada keberanian untuk 'bersuara' di depan khalayak ramai.

10) Kalau tidak ada guru yang bernama Cikgu Zaimon Ismail itu, mana mungkin saya akan mewakili Sekolah Tinggi Segamat ke pertandingan 'cakap-cakap.' Kalau tidak kerana keyakinan dan didikan Cikgu Zaimon itu, mana mungkin saya akan memiliki memori berharga pernah bergelar pengerusi forum remaja dan ketua debat sekolah.

TERIMA KASIH CIKGU ZAIMON ISMAIL, CIKGU AKAN SELAMANYA SAYA KENANG SEBAGAI ORANG YANG MENCUNGKIL BAKAT SAYA DALAM BIDANG 'CAKAP-CAKAP.' JASA CIKGU TIDAK TERNILAI, TUHAN JUGA YANG SAYA HARAPKAN UNTUK MEMBALASNYA ....

Neba2020: Pendidik yang ikhlas, prihatin dan bersungguh-sungguh dalam membentuk anak bangsa akan selamanya dikenang dan didoakan kesejahteraannya oleh anak-anak didik ....

Saturday, January 15, 2011

Facebook dan Falsafah

Salam Buat Semua,

1) Lawan web sosial Facebook sememangnya kini menjadi sebutan ramai, pilihan umum, jenama sensasi, media yang berkuasa dan ikutan moden. Semua perkataan yang 'terbaik dan terkini' menjadi milik Facebook.

2) Applikasi Facebook yang paling mendapat respon positif juga menjadi 'kegilaan' warga Internet ialah perkongsian status terkini penggunanya. Apa saja yang terlintas difikiran boleh dikongsi dengan semua rakan-rakan mahupun peminat sistem Facebook. Mahu mengarut, mencarut ataupun menghina? Silakan. Mahu memuji, menyebar ilmu ataupun meraih simpati? Silakan. Mahu 'syok' sendiri, perasan bagus ataupun meluahkan emosi? Silakan. Facebook sentiasa 'bersedia' untuk mejadi 'posmen ekspress' menyebarkan apa jua status anda secara percuma ke seluruh dunia!

3) Pada 12 Januari (2011), saya letakkan status berbunyi: "Kita shampoo rambut, kadang2 siap pakai conditioner. Badan bersabun siap dengan shower foam shokubotsu, protex, dettol, st ives.. Pastu sembur perfume harga beratus RM.. Ada yg muka disapu toner, sun block, make up berlapis. Tapi pernah tak kita bersihkan HATI dan Jiwa kita?"

4) 14 Januari (2011), saya kongsi pula satu lagi 'falsafah baru' ciptaan saya: "Bila Hujan Turun Kita Komplen ... Bila Cuaca Panas Sangat Kita Komplen .... Bila Ribut Kuat Kita Komplen ... Bila Hari Lambat Terang Kita Komplen .... Rupa-Rupanya Kita Akan Sentiasa Hidup dalam Komplen ... Kita Lupa atau Sengaja Buat-Buat Tidak Tahu Betapa Kita Lebih Banyak Komplen daripada memberi cadangan, bersyukur kepada Tuhan dan memahami masalah orang lain."

5) Falsafah 'moden ala Facebook' yang saya letakkan sebagai status itu nampaknya mendapat respon yang baik daripada rakan-rakan. Setakat 15 Januari (2011) jam 9.00 pagi, 'falsafah' pertama mendapat sebanyak 7 komentar dan 20 orang yang menyukainya. 'Falsafah' seterusnya juga memperoleh 7 komentar dengan 14 orang yang memilih untuk menanda 'like' iaitu mereka suka padanya. Ketepikan seketika soal penggunaan bahasa status yang semestinya tidak berpaksikan sistem rasmi yang jitu kerana Facebook adalah tempat kita 'bersantai' sambil 'bersosial' secara aman dan terkawal. Apa yang penting ialah maksud baik yang boleh direnung dan difikirkan bersama.

Neba2020: Setiap apa jua yang dicipta mahupun direka semestinya akan mempunyai dua pilihan. Kita boleh menggunakannya untuk kebaikan ataupun ke arah yang negatif. Hidup ini akan sentiasa ada sisi putih dan sisi hitamnya. Tiada yang lengkap dan sempurna tetapi tiada juga yang 100% buruk mahupun hina. Pilihlah jalan yang boleh membawa keharmonian kepada persekitaran juga kehidupan. Kita boleh pilih untuk membuat orang tersenyum dan kita boleh juga pilih untuk buat orang berduka nestapa serta bermasam muka ....

Saturday, January 8, 2011

MELAYU YANG BERDARAH BUGIS

Salam Buat Semua,

1) Encik (ayah) cukup bangga menjadi anak Melayu berketurunan Bugis. Sejak saya kecil hinggalah kini dia tidak pernah bosan untuk mengaitkan (mengingatkan!) saya dan dirinya sebagai lelaki Melayu berdarah Bugis.

2) Encik kata darah Bugis yang mengalir di dalam diri si anak lelaki Bugis perlu dibawa dengan penuh yakin dan semangat mesti tinggi selalu. Jangan mudah diperbodohkan orang.

3) Anak lelaki mempunyai tiga kebijaksanaan dan kemampuan yang jika tercapai maka dia akan menjadi lebih hebat daripada orang lain. Kata Encik, anak lelaki Bugis amat kerap menjadi 'pahlawan, pemimpin, pengubat.' Penyataan ini saya kira sudah beratus kali Encik ulang dan ulang kepada saya sejak saya mula 'faham' erti dunia dan kehidupan.

4) Arwah Encik kepada Encik adalah seorang pawang (saya masih gagal untuk membezakan di antara bomoh dan pawang. Mungkin juga bomoh dan pawang adalah sinonim?). Maknanya datuk saya itu adalah seorang 'doktor tradisional.'

5) Menurut Encik, ayahnya itu adalah umpama doktor pakar yang menjadi rujukan satu daerah untuk merawat sebarang penyakit sama ada penyakit misteri mahupun penyakit biasa-biasa. Buat mereka yang mengalami gangguan 'hitam,' dia jugalah 'doktornya.'

6) Encik saya sendiri membuktikan dia ada darah kepahlawanan. Di awal tahun 1970an, dia sanggup meninggalkan kerja yang lebih selesa dan mudah sebagai seorang Juruteknik di Majlis Daerah untuk mengejar impiannya menjadi seorang tentera yang berkhidmat untuk mempertahankan bangsa dan negara tercinta daripada sebarang anasir jahat.

7) Kami bangga dengan Datuk Seri Mohd. Najib selaku Perdana Menteri Malaysia. Sebabnya ialah Mohd. Najib juga adalah lelaki Melayu berdarah Bugis seperti Encik Ahmad dan anaknya. Maknanya, daripada 6 orang Perdana Menteri Malaysia sejak era 1950an, 2 daripadanya adalah berketurunan Bugis. Semestinya yang pertama dahulu ialah ayahanda Mohd. Najib sendiri iaitu Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan Malaysia. Ini membuktikan teori turun-temurun keturunan Bugis bahawa anak lelaki Bugis secara 'aslinya' memiliki 'darah' 3P (pahlawan,pemimpin,pengubat) adalah terserlah kebenarannya. Saya tidak pasti sama ada saya memiliki mana-mana unsur 'P' tersebut ataupun tidak. Perjalanan hidup ini masih jauh, InsyaALLAH.

8) Presiden Indonesia yang ke 3 iaitu B.J Habibie juga berketurunan Bugis. Bukan mudah untuk melihat Bugis mampu menjadi Presiden di negara yang majoriti besar rakyatnya adalah berketurunan Jawa. Secara automatiknya, Encik dan saya menjadi cukup bangga dengan Pak Habibie, anak Bugis yang pernah menjadi pemimpin utama Indonesia pada lewat era 1990an dahulu.

9) Kesultanan Johor dan Selangor begitu sinonim dengan Bugis. Apabila dikaitkan dengan darah Bugis maka ianya akan dkaitkan dengan tegas, berpendirian dan sukar untuk diperdaya juga dipujuk-rayu.

10) Maka tidak hairanlah jika daripada dahulu hinggalah kini, Sultan Johor mahupun Sultan Selangor sentiasa kelihatan tegas, cukup teguh pendirian dan berani untuk menyatakan perkara yang sewajarnya diperjelas mahupun dipertahan. Titah Sultan Johor dan titah Sultan Selangor selalunya beraura, disanjung rakyat dan sentiasa mendapat liputan besar-besaran. Keramat darah BUGIS!

Neba2020: Sultan Johor dan Sultan Selangor, keduanya begitu teliti dalam proses pengurniaan pingat kebesaran negeri masing-masing. Sesiapa yang bergelar 'Datuk Johor' dan 'Datuk Selangor' semestinya berada di 'kelas' yang tersendiri dan akan dipandang tinggi. DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!

Saturday, January 1, 2011

2011: Azam, Harapan, Impian, Cita-Cita ....

Salam Buat Fendy,

1) Berazamlah untuk menjadi hamba yang sejati kepada Tuhan. Setiap tindakan dan keputusan hidupmu, landaskan ke jalan yang diredhaiNYA. Yakinlah kepada kuasa Tuhan. Janganlah kau putus asa daripada sentiasa mengharapkan bantuan dan rahmatNYA. Tuhan itu Maha Berkuasa lagi Maha Pengasih. Berdoalah di setiap saat dan ketika. Percayalah, sesaat kau ingat Tuhan maka berzaman DIA mengingatimu. Jangan sombong kepada Tuhanmu.

2) Berazamlah untuk menjadikan Muhammad Bin Abdullah, Rasulmu itu sebagai model terunggul di dalam hidupmu. Fahamilah segala sejarah kehidupannya semoga hidupmu mempunyai paksi perjalanan yang jelas dan tidak tersasar ke arah yang tiada hala. Muhammad itu utusan Tuhanmu dan setiap ajarannya penuh dengan hikmah yang sesuai digunakan di sepanjang zaman.

3) Berazamlah untuk menjadi anak yang terbaik kepada Encik Ahmad bin Md. Yusoff dan Puan Asmah Binti Hassan. Utamakan mereka di dalam hidupmu. Jangan kau menjadi leka dengan urusan duniamu sehingga kau terlupa untuk menambah detik-detik berharga bersama mereka. Jangan kau ikuti golongan manusia yang 'terlebih bijak' mengutamakan kerja dan acapkali 'terjerat' dek kegilaan 'merajakan' impian dan cita-cita peribadi hingga lupa bahawa ibu dan ayah adalah kurniaan terbesar Tuhan kepada setiap insan. Jangan nanti kau menyesal di kemudian hari.

4) Berazamlah untuk terus berusaha menjadi pendidik terbaik kepada setiap anak muridmu. Jangan kau kira sama ada mereka itu Melayu, Cina, India mahupun yang datangnya daripada seantero dunia. Tunjukkan kepada mereka bahawa kau adalah pendidik yang ikhlas, bertanggung-jawab dan penuh dengan semangat. Kau harus menjadi pembakar semangat kepada mereka! Inspirasikan masa depan mereka. Jangan kau bekerja hanya kerana mahu 'makan gaji.' Jadikan kerjamu itu sebagai satu ibadat yang suci lagi mulia. Jika ilmumu berjumlah 10, maka curahkanlah 10 yang kau ketahui kerana Tuhan akan menambahkan lagi ilmumu itu. Yakinlah kepada Tuhanmu. Jika kau mahu anak-anakmu kelak mendapat pendidikan yang terbaik daripada guru yang bagus dan berjiwa pendidik sejati maka mulakanlah dengan anak didikmu dahulu kerana ibu-bapa mereka juga pastinya menaruh harapan yang sama.

5) Berazamlah untuk sentiasa melakukan perubahan positif ke arah kebaikan dirimu, keluargamu, sahabat-handai dan masyarakat secara menyeluruh. Janganlah kepentingan diri menjadikan kau sombong, bongkak, ego dan tidak mengendahkan masalah orang lain. Ingatlah betapa hidup ini adalah umpama roda, ada masa kita di atas dan ada kalanya kita di bawah. Jadilah insan yang sentiasa mampu menghadirkan senyum dan tawa kepada insan lain. Sinarilah dunia dengan keikhlasan, kebaikan dan keperibadian yang unggul.

Moga TUHAN membantumu melaksanakan segala azammu untuk tahun 2011 ini.

Neba2020: Azam adalah harapan. Harapan adalah impian. Impian adalah cita-cita. Cita-Cita pula adalah sesuatu yang baik demi mencapai kebahagiaan yang diharapkan. Pastikan apa jua azam yang digarap adalah menuju ke jalan kebahagiaan yang lurus lagi bermanfaat kepada diri sendiri, keluarga dan sesiapa jua di persekitaran ....