Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010

Salam Buat Semua,

1) Selamat Tahun Baru Buat Semua.

2) Selamat Memasuki Tahun 2010.

3) Selamat Membina Azam Baru.

4) Selamat Melaksanakan Segala Keinginan, Cita-Cita dan Harapan.

5) Selamat Memikirkan dan Merenungi Sebab dan Alasan Yang Membawa Kepada Gagalnya Azam 2009 Dicapai.

6) Selamat Memperbaiki Segala Kelemahan Diri Yang Tak 'Cantik-Cantik' Lagi.

INGAT JUGA:

7) Dalam Mengejar Azam dan Harapan, Jangan Lupa Bahawa Kita Ini Ada TUHAN.

8) Dalam Mengatur Perjalanan Kerjaya dan Kekayaan, Jangan Lupa 'Kira-Kira' Masa Yang Kita Peruntukkan Untuk Bersama Ibu dan Ayah.

9) Dalam 'Gila' Dengan Dunia Yang Makin Mencabar, Jangan Lupa Betapa Ada Insan-Insan Di Rumah Yang Perlu Kita Utamakan, Belaian dan Perhatian Perlu Diberikan.

10) Dalam Berusaha Untuk Mementingkan Diri Sendiri, Jangan Lupa Bahawa Kita Ini Hidup Bermasyarakat dan Ramai Manusia Yang Perlu Kita Hormati dan Muliakan.

Neba2020: Ingatlah TUHAN, Maka TUHAN akan sentiasa ingat kepada kita, tidak keseorangan tanpa pedoman, tidak juga bingung meratap sengsara ....

Wednesday, December 30, 2009

Rahsia Nama Saya

Salam Buat Semua,

1) Sekadar untuk suka-suka, ini respon yang saya peroleh daripada 'teleken' sistem laman web sosial nombor satu masa kini, semestinya 'Facebook.'

2) Terpulang kepada mereka yang mengenali saya untuk menilai 'teleken' ini.

3) Jika seperti sama dengan karekter diri ini, mungkin ianya adalah kebetulan sahaja.

N : Anda suka bekerja, tetapi selalu mahukan kerehatan.
O : Seorang berfikiran terbuka.
O : Seorang berfikiran terbuka.
R : Anda seorang yang gemar bersosial.

E : Anda seorang yang menarik.
F : Semua menyayangi anda
F : Semua menyayangi anda
A : Anda menjadi sangat pendiam apabila anda sedang memikirkan sesuatu.
N : Anda suka bekerja, tetapi selalu mahukan kerehatan.
D : Sukar mempercayai orang lain.
I : Selalu tersenyum dan membuat orang lain tersenyum.

Anda suka bekerja, tetapi selalu mahukan kerehatan.Seorang berfikiran terbuka.Anda seorang yang gemar bersosial.Anda seorang yang menarik.Semua menyayangi anda.Anda menjadi sangat pendiam apabila anda sedang memikirkan sesuatu.Sukar mempercayai orang lain.Selalu tersenyum dan membuat orang lain tersenyum.

Neba2020: Di akhir tahun, minda lebih 'suka' untuk bersenang-senang dan bermalas-malasan sahaja .... Musim cuti, musim berbelanja dan musim berehat .... Jangan sampai lupa kepada 'hari semalam' dan 'masa depan ....'

Tuesday, December 29, 2009

Sekeping Gambar ....

Salam Buat Semua,


1) Terima kasih buat sahabat lama Faradela Ismail. Kerajinan 'awek Kelate' ini 'menampal' gambar di 'Facebook' memungkinkan saya berkongsi sesuatu yang sedikit bersejarah.

2) 'Adegan' spontan ini dirakamkan pada 8 April, 2004, sebaik sahaja 'lega' selesai peperiksaan semester akhir.

3) Dari kiri: Mun Yee, Karen, Pack Wah, Jesse Nath, Rhu An, Syikin dan Farah. Semestinya saya yang di tengah-tengah itu.

4) Waktu itu, kami; Melayu, Cina dan India memang sentiasa bersama. Ketawa bersama, kutuk-mengutuk bersama, menjerit bersama dan berkongsi susah senang zaman belajarpun bersama.

5) Komunikasi kami majoritinya dalam bahasa Kebangsaan. Tidak nampak pula ada sahabat Cina ataupun India yang tidak mahu bercakap Melayu. Tapi bila waktu 'presentation' di kelas, kami tidak takut berbahasa Inggeris. Nampak kemas, yakin dan tidak seperti robot walaupun bercakap 'orang Putih.'

Neba2020: Satu Malaysia yang 'ori' ialah kemampuan untuk sama ketawa, sama bersedih, sama menjerit, sama bersorak, sama bergossip, sama mengeluh dan sama tersenyum senang hati ....

KPI ooh KPI ...

Salam Buat Semua,

1) Semua orang bercerita pasal KPI.

2) KPI itu singkatan untuk 'Key Performance Index' atau 'Indeks Penunjuk Prestasi' jika di'bahasa Melayu'kan.

3) Mulanya, KPI ini hanya kedengaran di sesetengah syarikat swasta yang bertaraf multinasional. Di Malaysia, sebelum tahun 2004 istilah KPI ini agak ganjil dipendengaran, belum popular dan belum diketahui sangat sebab musabab kewujudannya.

4) Tahun 2004, Pak Lah mula mempopularkan istilah KPI ini. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mula di'KPI'kan. Banyak lantikan baru dibuat untuk mengetuai deretan GLC ini. Bos-bos GLC mula di'KPI'kan.

5) Maka adalah sesetengah bos-bos GLC lantikan era Pak Lah ini yang mengambil jalan 'segera' untuk menunjukkan yang mereka telah berjaya meningkatkan kedudukan kewangan syarikat ataupun memulihkan keadaan 'kunci kira-kira' yang sedikit tenat sebelumnya dengan menjual aset-aset utama. Maka terjuallah bangunan milik sendiri.

6) Ada yang lebih bijak, ambil teori jual dan sewa semula. Jimat kos katanya. Mereka mahu berjaya mencapai KPI!

7) Masuk tahun 2009, Perdana Menteri ke 6 Malaysia mula cuba meng'KPI'kan sektor awam pula. Maka kedengaranlah KPI-KPI yang akan melibatkan Pak-Pak Menteri (juga Mak-Mak Menteri semestinya).

8) KPI ini banyak baiknya. Sekurangnya manusia ataupun pekerja itu dapatlah didisiplinkan cara kerja mereka. Organisasi juga dapat bergerak ke arah mencapai matlamat utamanya secara kolektif. Sekarang ini, hampir semua organisasi bercakap tentang KPI. Kerja di kilang ada KPI, pertubuhan bukan kerajaan ada KPI, orang-orang bank ada KPI, pensyarah universitipun ada KPI. Semua mahu ada KPI.

9) Malangnya, KPI ini juga jika tidak diurus tadbir dengan cermat dan telus akan melahirkan pula golongan pekerja yang lebih berpandangan singkat. Hanya fokus kepada pencapaian jangkamasa pendek, buat apa yang patut sahaja dan tidak melihat di luar skop yang lebih meluas.

10) Ada KPI ataupun tidak, ketelusan dan rasa bertanggungjawab dalam memberi khidmat itulah tunjang utama kepada masa depan yang lebih baik. Apa guna hidup di'KPI'kan jika hakikatnya kejujuran, keikhlasan dan semangat sayangkan organisasi itu tidak ada. Maka terhasillah cara kerja yang lebih mementingkan diri dan segalanya 'berkira.'

Neba2020: Mari kita 'KPI'kan diri masing-masing sebelum orang meng'KPI'kan kita ....

Thursday, December 24, 2009

Ekonomi : Kisah Amerika dan Jepun ....

Salam Buat Semua,

1) Ada orang kata Amerika adalah penghutang terbesar di dunia. Itulah hakikatnya. Amerika akan ranap suatu hari nanti kerana hutangnya. Detik itu tidak lama lagi. Itu kata sesetengah pakar ekonomi.

2) Ekonomi setiap negara akan berkembang jika transaksi jual belinya aktif dan duit mengalir daripada satu tangan ke tangan yang lain dengan lancar. Ada barang untuk dijual, ada yang mahu beli, maka ekonomi menjadi aktif. Ada peluang pekerjaan dan akan wujud pelbagai perkhidmatan dan barangan. Semuanya secara berantai.

3) Orang Amerika memang pembeli yang hebat. Secara mudahnya, Amerika membeli lebih daripada kemampuan yang dimilikinya. Maka jadilah Amerika negara penghutang terbesar.

4) Banyak negara yang sanggup untuk memberi hutang kepada Amerika.

5) Mereka suka beri hutang kepada Amerika kerana orang Amerika memang suka berbelanja.

6) Sifat suka berbelanja orang Amerika inilah yang secara tidak disedari telah merancakkan lagi perjalanan ekonomi sedunia.

7) Negara Jepun ekonominya makin lama makin lembap. Selain daripada faktor eksport yang makin jatuh, sikap 'lokek' orang Jepun secara majoritinya telah melembapkan lagi ekonominya.

8) Di Jepun, adalah normal jika kita diberitahu bahawa jika anda menyimpan (deposit) duit ke dalam bank, anda perlu membayar yuran perkhidmatan. Senang kata, faedah / perolehannya adalah negatif. Duit anda bukannya semakin bertambah apabila genap setahun tetapi duit anda semakin berkurangan. Itupun orang Jepun masih suka menyimpan wang di dalam bank daripada berbelanja.

9) Sikap terlebih belanja orang Amerika ini telah merancakkan ekonomi negara-negara yang sedang membangun. Tetapi kita takut juga jika ekonomi Amerika runtuh, maka satu dunia juga mungkin runtuh.

10) Maka ambillah sikap pertengahan. Jangan terlalu lokek untuk berbelanja dan jangan pula terlebih belanja hingga perlu berhutang. Sesungguhnya, berada di tengah-tengah itu ada baiknya. Nampaknya, Malaysia sedang diurus ekonominya 'di tengah-tengah' tanpa kita sedari.

Neba2020: Raikan akhir tahun dengan menolong merancakkan ekonomi negara. Pergilah berbelanja apa yang patut, sekadar termampu ... Jadilah manusia yang bersederhana dalam segenap aspek kehidupan ....

Wednesday, December 23, 2009

Saya Kemalangan

Salam Buat Semua,

1) Jangan kita menyesali atau meratapi dengan apa yang telah terjadi.

2) Setiap yang terjadi ada hikmahnya.

3) Yakinlah dengan sepenuhnya bahawa apa jua yang Tuhan berikan kepada kita adalah ketetapan yang tidak boleh kita ragui mahupun kesali.

4) 22 Disember, 2009 buat pertama kalinya dalam sejarah hidup ini, saya mengalami kemalangan kereta yang serius.

5) Sekitar jam 10.20 pagi di jalan lama selepas susur keluar Tangkak, Johor menghala ke Jasin, Melaka ianya berlaku.

6) Saya sifatkannya sebagai penyebab serangkai 3 faktor. Secara tiba-tiba di sebuah selekoh (darjah ketajamannya agak rendah) tayar belakang kenderaan pancit dan keadaan jalan pula agak licin kerana hujan masih turun. Saya gagal mengawal kereta mengakibatkan ianya berpusing-pusing beberapa kali menghala ke arah kanan sebelum terjunam ke dalam sebuah parit besar yang agak dalam. Sekelip mata, saya bersama-sama dengan kereta terhempas ke dalam parit tersebut. Apabila terasa tidak mampu berbuat apa-apa, saya terus memegang stering kereta dengan kukuh dan menstatikkan badan sekuatnya di tempat duduk. Saya tidak panik dan tidak juga mengalami sebarang kecederaan.

7) Ramai yang kehairanan kerana saya langsung tidak mengalami kecederaan nyata malah boleh ketawa dan tersenyum tatkala menceritakan apa yang telah terjadi.

8) Beberapa jam selepas kejadian, badan saya mula berasa bisa-bisa di bahagian kanan daripada paras lutut hinggalah ke leher. Doktor kata ianya adalah normal akibat daripada 'putaran' kereta sewaktu kejadian dan hempasannya di dalam parit tersebut.

9) Saya bersyukur yang amat kerana Tuhan selamatkan saya daripada sebarang kecederaan. Emosi saya juga diberikan Tuhan kuasa positif yang cukup tinggi. Saya anggap kemalangan itu sebagai satu ujian biasa yang Tuhan berikan kepada saya.

10) Bersyukur juga kerana saya mendapat satu pengalaman yang cukup menarik. Kalau tidak kerana kemalangan itu, entah bila dan bagaimanakah saya dapat merasakan saat-saat 'kereta berputar dengan lajunya' sambil bergerak ke sisi lain sebelum menjunam ke bawah lalu terhempas. Pengalaman yang sungguh menarik dan cukup terkesan.

Kepada semua yang menghubungi saya dan cukup prihatin untuk mengetahui situasi saya selepas kemalangan itu, ribuan terima kasih saya ucapkan.

Neba2020: Percaya kepada ketentuan Tuhan membuatkan kita yakin betapa manusia ini cukup kerdil. Kita hanya mampu merancang tetapi Dia juga yang memberikan kata putus kepada apa jua yang akan berlaku ....

Saturday, December 19, 2009

Selamat Maju Jaya Pakatan Rakyat

Salam Buat Semua,

1) 19 Disember, 2009 adalah satu detik bersejarah buat politik Malaysia. Pakatan Rakyat yang buat masa ini dianggotai PKR, DAP dan PAS secara rasminya mengadakan konvensyen pertamanya di Shah Alam. Fokus utama konvensyen tersebut ialah untuk menyatakan dasar-dasar utama gabungan tersebut.

2) Empat prinsip dasar Pakatan Rakyat yang telah diluluskan oleh 1500 perwakilan (500 orang bagi setiap parti) ialah mengamalkan prinsip demokrasi telus dan tulen, memacu ekonomi berprestij tinggi, mapan dan adil, keadilan sosial dan pembangunan insan dan bagi memantapkan hubungan persekutuan, negeri dan dasar luar negara.

3) Turut ditegaskan ialah melalui prinsip-prinsip tersebut, Pakatan Rakyat akan tetap mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman. Ketua Umum Pakatan Rakyat iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan bahawa 'gabungan saingan Barisan Nasional' itu akan tetap melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan kaum-kaum lain di negara ini sejajar dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan memartabatkan bahasa Melayu selari dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

4) Segalanya kelihatan indah dan menarik bunyinya. Semoga prinsip-prinsip Pakatan Rakyat yang ditegaskan Anwar itu turut 'difahami dan diperjuangkan' juga secara sehati-sejiwa oleh rakan-rakannya yang lain di dalam 'kesatuan' baru itu. Kita tunggu dan lihat sahaja bagaimanakah cara perlaksanaan dan pemahaman orang-orang seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang, Nga Kor Meng, Ngeh Koo Ham, V. Sivakumar dan M. Kulasegaran (kesemuanya 'Yang Berhormat' daripada DAP) kepada apa yang 'dijanjikan' Anwar itu. Kita juga masih menunggu akan 'reaksi' Anwar kepada deretan 'serangan' terhadap Melayu dan Islam yang dijalankan oleh 'pendekar-pendekar DAP' ini disepanjang 2 minggu pertama Disember, 2009.

5) Buat Pakatan Rakyat, Anwar dan semua para penyokongnya, selamat maju jaya dan moga berjaya mendapat lebih sokongan daripada orang Melayu khasnya dan bangsa-bangsa lain amnya di Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Neba2020: Buah kelapa di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan .... Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan ....

Thursday, December 17, 2009

10 Je'NAMA' Individu Tempatan Pilihan Saya

Salam Buat Semua,

1) Dr. Mahathir Mohamad

2) Siti Nurhaliza

3) Nik Abdul Aziz Nik Mat

4) Anwar Ibrahim

5) Afdlin Shauki

6) Ning Baizura

7) Maya Karin

8) M Nasir

9) Rosham Nor

10) Nasha Aziz

Neba2020: Sanggup 'berkorban' masa, Ringgit dan 'pemikiran' demi kesukaan juga minat kepada personaliti yang berjaya menjadi jenama yang cukup tersendiri lagi istimewa ....

Tuesday, December 15, 2009

4 Pendekar DAP ....

Salam Buat Semua,

1) Ahli Parlimen 'DAP' Ipoh Barat, M. Kulasegaran tanpa sebab dan tanpa 'dijentik' oleh sesiapa secara tiba-tiba telah membangkitkan persoalan berkaitan dengan 'ketuanan Melayu' di dalam Parlimen pada 3 Disember, 2009.

2) Naib Pengerusi DAP itu menyifatkan bahawa 'ketuanan Melayu' adalah penghalang besar kepada perpaduan di negara ini. Beliau turut 'bersuara' betapa Dasar Ekonomi Baru dan 'ketuanan Melayu' itu sendiri adalah satu bentuk diskriminasi kepada kaum-kaum lain di Malaysia dan ianya tidak membawa kepada proses perpaduan yang betul.

3) Ahli Parlimen 'DAP' Taiping iaitu Nga Kor Ming pula menyatakan di dalam Parlimen bahawa kerajaan telah terlalu menumpukan kepada perbelanjaan pembinaan masjid di negara ini. Beliau mempersoalkan tentang peruntukan yang terlalu besar telah diberikan bagi tujuan pembinaan masjid-masjid di seluruh Malaysia.

4) Kor Ming mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 masjid dalam tempoh lapan tahun hingga 2008.

5) Ahli Parlimen 'DAP' Bukit Gelugor yang juga merupakan Pengerusi DAP iaitu Karpal Singh pula telah membangkitkan sebuah 'cadangan hebat' supaya Bahasa Inggeris 'dinaik taraf' sebagai Bahasa Kebangsaan nombor dua.

6) ADUN 'DAP' Tronoh yang juga bekas Speaker DUN Perak, V. Sivakumar secara 'tergesa-gesa' telah membuat satu gesaan supaya ruang niaga milik MARA di Ipoh turut disewakan/diperuntukkan kepada para peniaga bukan Bumiputera. Mungkin Sivakumar merasakan bahawa aktiviti perniagaan Melayu/Bumiputera di Ipoh telah terlalu 'hebat' hingga menjejaskan aktiviti perniagaan kaum-kaum lain!

7) Nampaknya sepanjang 2 minggu pertama bulan Disember, 2009 ini telah ada 4 'penyataan bijak' yang dikemukakan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat daripada DAP.

8) Sedar atau tidak sedar, mereka ini sebenarnya umpama cuba menjolok sarang tebuan dan bagaikan buat-buat tidak faham bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu 'secara langsung' tertuju kepada kumpulan majoriti Malaysia.

9) Adakah Kulasegaran, Kor Ming, Karpal dan Sivakumar cuba menjadi jaguh (Ataupun satu usaha untuk mengekalkan 'undi'?) bangsa India dan Cina di Malaysia ini? Mungkin juga 'pendekar 4' ini cuba 'membakar' perasaan orang Melayu dan penganut Islam?

10) Soalan seterusnya. Apa lagi daripada mereka selepas ini?

Neba2020: Carilah perpaduan melalui persamaan yang kita bangsa Malaysia miliki, janganlah perpaduan dicari melalui perbezaan yang telah wujud sejak dahulu lagi .... Perpaduan yang dibina melalui titik-titik perbezaan yang 'dipaksa' bercantum' akan hanya membawa kepada rasa benci dan geram ....

Monday, December 7, 2009

'Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Iban'

Salam Buat Semua,

1) Tokoh intelektual, Prof. Dr. Khoo Kay Kim 'mengingatkan' bahawa sistem sekolah yang pelbagai di negara ini dan tidak berteraskan sistem kebangsaan sepenuhnya merupakan salah satu sebab utama mengapa perpaduan di kalangan rakyat Malaysia masih tidak berada pada tahap yang membanggakan.

2) Kehadiran sistem sekolah jenis kebangsaan yang berorientasikan aliran Cina (SRJKC) dan Tamil (SRJKT) kelihatannya tidak menyokong konsep pembentukan satu negara yang bersatu dan mesra bersama di kalangan ahli masyarakatnya.

3) Penyatuan semua sekolah rendah di bawah satu sistem sekolah kebangsaan sebenarnya tidak akan membunuh bahasa ibunda Cina mahupun Tamil.

4) Apa yang dimaksudkan dengan sekolah satu aliran ialah keadaan di mana para pelajar hanya memiliki satu sistem pendidikan yang seragam, bebas bergaul di kalangan rakyat yang berbeza agama juga keturunan dan tiada lagi pembezaan di dalam apa jua aspek pendidikan awal itu.

5) Bahasa Cina dan bahasa Tamil akan terus diajar, lebih menarik lagi ialah semua pelajar yang berminat bolehlah sama-sama mempelajarinya. Orang Melayu akan boleh belajar bahasa Tamil dan orang India boleh belajar bahasa Cina.

6) Mereka semua akan bercampur-gaul sebagai sahabat satu negara yang mesra, bermain bersama-sama, makan di kantin juga bersama-sama dan yang paling penting ialah secara tidak langsung anak-anak muda Malaysia ini akan mengenali adab, budaya, pantang-larang juga perangai 'semula-jadi' sesama sendiri dengan lebih mudah dalam keadaan yang cukup harmoni lagi mesra.

7) Proses 'berjuma dan bergaul' bersama-sama sejak kecil inilah yang cukup 'mahal' nilainya. Hasilnya ialah pengujudan sebuah negara Malaysia yang lebih memahami budaya, fahaman agama, pemikiran juga kelakuan rakan-rakan senegara yang berbeza agama mahupun keturunannya.

8) Tiada isu perkauman di sini. Semuanya adalah berlandaskan kepada keperluan penyatuan sesama ahli masyarakat dan mengurangkan pergeseran pendapat yang kerap berlaku akibat daripada salah tafsiran terhadap budaya, kelakuan mahupun pegangan agama masing-masing yang pelbagai.

9) Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang mempunyai pelbagai aliran persekolahan rendah. Thailand dan Indonesia cukup terkenal dengan sekolah satu sistemnya sehinggakan sukar untuk membezakan antara orang Jawa dengan orang Cina (Indonesia) dan orang Siam dengan orang Cina (Thailand) melalui pertuturannya. Singapura yang majoriti penduduknya adalah bangsa Cina sekalipun tidak memiliki sekolah aliran Cina dan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar utama di sekolahnya.

10) Kalau idea ini dianggap perkauman, tidak mungkin seorang pakar sejarah seperti Prof. Dr. Khoo Kay Kim yang berbnagsa Cina 'berani' mengusulkannya. Andainya pendidikan mahu di'perkauman'kan maka sudah pastilah selama ini di kalangan masyarakat Bumiputera sudah ada usul untuk mengujudkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Iban, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Kadazan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu. Tanpa sekolah yang bernama 'jenis kebangsaan' itupun, anak-anak Iban, Kadazan dan Melayu bebas untuk mempelajari bahasa masing-masing di Sekolah Kebangsaan.

Neba2020: Teringat di zaman sekolah menengah dahulu tatkala rakan-rakan Cina, India dan Melayu sama-sama bertungkus-lumus membersihkan kelas, mencuci lantai, mengelap cermin dan menghiaskan keseluruhan bilik darjah bersempena dengan Bulan Patriotisme Sekolah Tinggi Segamat, Johor tahun 1999. Semangat patriotik kami cukup membara, setiap penjuru kelas bertampal dengan kata-kata azimat cintakan negara, bendera menghiasi setiap sudut meja pelajar juga guru, mini muzium di belakang kelas, langsir yang menarik dan deretan bunga-bunga pula bisa menghadirkan suasana yang cukup damai. Semuanya kami lakukan bersama, bergelak ketawa, usik-mengusik, minum dan menyunyah snek dan berpeluh berbasah semuanya. Perpaduan bukan pada lagu, bukan pada syarahan politik tetapi ianya hadir secara semula jadi apabila peluang untuknya dimulakan sewaktu awal lagi, di permulaan proses pembentukan minda seorang anak kecil Malaysia !

Friday, December 4, 2009

GST

Salam Buat Semua,

1) Menjelang pertengahan 2010, Malaysia dijangka memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST).

2) GST bukanlah sesuatu yang asing kerana banyak negara yang telah memperkenalkannya sejak lama dahulu. Daripada 10 negara ASEAN, sehingga kini 7 daripadanya telah mengenakan GST.

3) Suka atau tidak, GST terpaksa dilihat sebagai usaha 'terakhir' untuk memastikan bajet defisit negara dapat dibendung pada masa mendatang dan dana hasil negara tidak terjejas ataupun tertumpu kepada satu sektor pendapatan semata-mata.

4) Peratusan besar pendapatan kerajaan melalui hasil petroleum juga perlu dilihat dengan penuh waspada kerana ianya akan berakhir dalam tempoh yang bukanlah terlalu lama lagi.

5) Sehingga kini, kira-kira 40% daripada pendapatan kerajaan adalah bersumberkan Petronas.

6) GST akan menggantikan cukai jualan yang sekarang cuma meliputi pembelian barangan / perkhidmatan di premis-premis tertentu sahaja (sekitar 5% - 10%).

7) Apa yang melegakan ialah kerajaan memberi jaminan bahawa GST yang diperkenalkan adalah dalam peratusan yang minima (kurang 5%) dan ianya tidak akan melibatkan barangan keperluan asas.

8) Sedikit atau banyak ianya tetap cukai, bererti bebanan rakyat akan bertambah.

9) Bagi yang rasional, GST akan dapat diterima. Lihat sahaja ke Australia, 10% GST dikenakan. Singapura juga telah mempraktikkannya. Negara ASEAN lain yang lebih miskin daripada Malaysia juga mengamalkan GST. Sumber kewangan mana-mana kerajaan adalah terhad tetapi perbelanjaan untuk pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, pertahanan dan banyak lagi akan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

10) Bagi yang membenci kerajaan, semuanya akan dibangkang dan sentiasa merasakan bahawa pembangunan negara akan dapat dicapai tanpa pengorbanan rakyat. Semua cukai dan semua bayaran daripada rakyat sepatutnya tiada kerana kerajaan banyak dana, kaya selalu.

Neba2020: Ada baiknya GST difokuskan kepada produk-produk bertaraf 'eksklusif' dan yang memberikan persaingan kepada hasil buatan anak tempatan supaya mereka yang betul - betul 'berkemampuan' untuk membayar lebih cukai yang akan 'menikmatinya.'

Tuesday, December 1, 2009

InspiRasi 1982 ~~ 3 Tahun !

Salam Buat Semua,

1) Saya mulakan weblog ini pada 1 Disember 2006, mula-mula hanya mahu mencuba dan tidak pernah terfikir akan terus aktif dan bertahan lama.

2) Hari ini rupa-rupanya telah 3 tahun InspiRasi 1982 ~~ 'bernafas dan bersuara.'

3) Terima kasih kepada semua yang sudi melawat dan membaca apa jua coretan yang saya paparkan di sini. Saya tidak kesah sama ada anda menyukai ataupun kurang selesa dengan setiap apa yang dinukilkan kerana yang penting ialah anda berminat untuk terus melawatinya.

4) Weblog ini tidak saya kategorikan kepada mana-mana identiti yang tetap. Saya tidak fokuskannya kepada 'cerita-cerita' tertentu sahaja. Ianya bukan weblog politik. Bukan juga weblog diari kehidupan. Tidak juga saya mahu jadikan ia sebagai halaman motivasi mahupun saluran cetusan rasa orang yang sedang bekerja. Weblog ini juga bukan mahu dibentuk sebagai medium berkongsi kisah peribadi diri sendiri ataupun tempat mengkritik apa yang perlu.

5) Apa yang pasti, saya hanya mahu jadikan weblog ini sebagai medium ekspresi pemikiran juga 'cetusan rasa' jiwa yang kecil lagi kerdil ini buat perkongsian muhibah bersama teman-teman pembaca yang sudi. Tiada sekatan isu dan tiada fokus yang utama.

Karangan manakah yang paling saya suka dan cukup bermakna di sepanjang 3 tahun ini?

- Emak Adalah Anugerah Tuhan Yang Terbesar Buat Saya ...
- Ayah Saya Adalah ' Harimau Bugis.. '
- Kisah "Jajan" 1989 (Nikmat Transformasi)

Neba2020: Permulaan itu hanyalah satu percubaan, bila apa yang dicuba terasa indah maka kita akan terus cuba untuk mengejar garisan penamatnya ... Penamat pula bukanlah satu pengakhiran andai kita bijak menjadikan penamat itu sebagai satu permulaan baru kepada satu misi yang lebih besar nilainya ...