1) Tokoh intelektual, Prof. Dr. Khoo Kay Kim 'mengingatkan' bahawa sistem sekolah yang pelbagai di negara ini dan tidak berteraskan sistem kebangsaan sepenuhnya merupakan salah satu sebab utama mengapa perpaduan di kalangan rakyat Malaysia masih tidak berada pada tahap yang membanggakan.
2) Kehadiran sistem sekolah jenis kebangsaan yang berorientasikan aliran Cina (SRJKC) dan Tamil (SRJKT) kelihatannya tidak menyokong konsep pembentukan satu negara yang bersatu dan mesra bersama di kalangan ahli masyarakatnya.
3) Penyatuan semua sekolah rendah di bawah satu sistem sekolah kebangsaan sebenarnya tidak akan membunuh bahasa ibunda Cina mahupun Tamil.
4) Apa yang dimaksudkan dengan sekolah satu aliran ialah keadaan di mana para pelajar hanya memiliki satu sistem pendidikan yang seragam, bebas bergaul di kalangan rakyat yang berbeza agama juga keturunan dan tiada lagi pembezaan di dalam apa jua aspek pendidikan awal itu.
5) Bahasa Cina dan bahasa Tamil akan terus diajar, lebih menarik lagi ialah semua pelajar yang berminat bolehlah sama-sama mempelajarinya. Orang Melayu akan boleh belajar bahasa Tamil dan orang India boleh belajar bahasa Cina.
6) Mereka semua akan bercampur-gaul sebagai sahabat satu negara yang mesra, bermain bersama-sama, makan di kantin juga bersama-sama dan yang paling penting ialah secara tidak langsung anak-anak muda Malaysia ini akan mengenali adab, budaya, pantang-larang juga perangai 'semula-jadi' sesama sendiri dengan lebih mudah dalam keadaan yang cukup harmoni lagi mesra.
7) Proses 'berjuma dan bergaul' bersama-sama sejak kecil inilah yang cukup 'mahal' nilainya. Hasilnya ialah pengujudan sebuah negara Malaysia yang lebih memahami budaya, fahaman agama, pemikiran juga kelakuan rakan-rakan senegara yang berbeza agama mahupun keturunannya.
8) Tiada isu perkauman di sini. Semuanya adalah berlandaskan kepada keperluan penyatuan sesama ahli masyarakat dan mengurangkan pergeseran pendapat yang kerap berlaku akibat daripada salah tafsiran terhadap budaya, kelakuan mahupun pegangan agama masing-masing yang pelbagai.
9) Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang mempunyai pelbagai aliran persekolahan rendah. Thailand dan Indonesia cukup terkenal dengan sekolah satu sistemnya sehinggakan sukar untuk membezakan antara orang Jawa dengan orang Cina (Indonesia) dan orang Siam dengan orang Cina (Thailand) melalui pertuturannya. Singapura yang majoriti penduduknya adalah bangsa Cina sekalipun tidak memiliki sekolah aliran Cina dan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar utama di sekolahnya.
10) Kalau idea ini dianggap perkauman, tidak mungkin seorang pakar sejarah seperti Prof. Dr. Khoo Kay Kim yang berbnagsa Cina 'berani' mengusulkannya. Andainya pendidikan mahu di'perkauman'kan maka sudah pastilah selama ini di kalangan masyarakat Bumiputera sudah ada usul untuk mengujudkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Iban, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Kadazan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu. Tanpa sekolah yang bernama 'jenis kebangsaan' itupun, anak-anak Iban, Kadazan dan Melayu bebas untuk mempelajari bahasa masing-masing di Sekolah Kebangsaan.
Neba2020: Teringat di zaman sekolah menengah dahulu tatkala rakan-rakan Cina, India dan Melayu sama-sama bertungkus-lumus membersihkan kelas, mencuci lantai, mengelap cermin dan menghiaskan keseluruhan bilik darjah bersempena dengan Bulan Patriotisme Sekolah Tinggi Segamat, Johor tahun 1999. Semangat patriotik kami cukup membara, setiap penjuru kelas bertampal dengan kata-kata azimat cintakan negara, bendera menghiasi setiap sudut meja pelajar juga guru, mini muzium di belakang kelas, langsir yang menarik dan deretan bunga-bunga pula bisa menghadirkan suasana yang cukup damai. Semuanya kami lakukan bersama, bergelak ketawa, usik-mengusik, minum dan menyunyah snek dan berpeluh berbasah semuanya. Perpaduan bukan pada lagu, bukan pada syarahan politik tetapi ianya hadir secara semula jadi apabila peluang untuknya dimulakan sewaktu awal lagi, di permulaan proses pembentukan minda seorang anak kecil Malaysia !
No comments:
Post a Comment