Tuesday, December 29, 2009

KPI ooh KPI ...

Salam Buat Semua,

1) Semua orang bercerita pasal KPI.

2) KPI itu singkatan untuk 'Key Performance Index' atau 'Indeks Penunjuk Prestasi' jika di'bahasa Melayu'kan.

3) Mulanya, KPI ini hanya kedengaran di sesetengah syarikat swasta yang bertaraf multinasional. Di Malaysia, sebelum tahun 2004 istilah KPI ini agak ganjil dipendengaran, belum popular dan belum diketahui sangat sebab musabab kewujudannya.

4) Tahun 2004, Pak Lah mula mempopularkan istilah KPI ini. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mula di'KPI'kan. Banyak lantikan baru dibuat untuk mengetuai deretan GLC ini. Bos-bos GLC mula di'KPI'kan.

5) Maka adalah sesetengah bos-bos GLC lantikan era Pak Lah ini yang mengambil jalan 'segera' untuk menunjukkan yang mereka telah berjaya meningkatkan kedudukan kewangan syarikat ataupun memulihkan keadaan 'kunci kira-kira' yang sedikit tenat sebelumnya dengan menjual aset-aset utama. Maka terjuallah bangunan milik sendiri.

6) Ada yang lebih bijak, ambil teori jual dan sewa semula. Jimat kos katanya. Mereka mahu berjaya mencapai KPI!

7) Masuk tahun 2009, Perdana Menteri ke 6 Malaysia mula cuba meng'KPI'kan sektor awam pula. Maka kedengaranlah KPI-KPI yang akan melibatkan Pak-Pak Menteri (juga Mak-Mak Menteri semestinya).

8) KPI ini banyak baiknya. Sekurangnya manusia ataupun pekerja itu dapatlah didisiplinkan cara kerja mereka. Organisasi juga dapat bergerak ke arah mencapai matlamat utamanya secara kolektif. Sekarang ini, hampir semua organisasi bercakap tentang KPI. Kerja di kilang ada KPI, pertubuhan bukan kerajaan ada KPI, orang-orang bank ada KPI, pensyarah universitipun ada KPI. Semua mahu ada KPI.

9) Malangnya, KPI ini juga jika tidak diurus tadbir dengan cermat dan telus akan melahirkan pula golongan pekerja yang lebih berpandangan singkat. Hanya fokus kepada pencapaian jangkamasa pendek, buat apa yang patut sahaja dan tidak melihat di luar skop yang lebih meluas.

10) Ada KPI ataupun tidak, ketelusan dan rasa bertanggungjawab dalam memberi khidmat itulah tunjang utama kepada masa depan yang lebih baik. Apa guna hidup di'KPI'kan jika hakikatnya kejujuran, keikhlasan dan semangat sayangkan organisasi itu tidak ada. Maka terhasillah cara kerja yang lebih mementingkan diri dan segalanya 'berkira.'

Neba2020: Mari kita 'KPI'kan diri masing-masing sebelum orang meng'KPI'kan kita ....

No comments: