Saturday, December 19, 2009

Selamat Maju Jaya Pakatan Rakyat

Salam Buat Semua,

1) 19 Disember, 2009 adalah satu detik bersejarah buat politik Malaysia. Pakatan Rakyat yang buat masa ini dianggotai PKR, DAP dan PAS secara rasminya mengadakan konvensyen pertamanya di Shah Alam. Fokus utama konvensyen tersebut ialah untuk menyatakan dasar-dasar utama gabungan tersebut.

2) Empat prinsip dasar Pakatan Rakyat yang telah diluluskan oleh 1500 perwakilan (500 orang bagi setiap parti) ialah mengamalkan prinsip demokrasi telus dan tulen, memacu ekonomi berprestij tinggi, mapan dan adil, keadilan sosial dan pembangunan insan dan bagi memantapkan hubungan persekutuan, negeri dan dasar luar negara.

3) Turut ditegaskan ialah melalui prinsip-prinsip tersebut, Pakatan Rakyat akan tetap mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman. Ketua Umum Pakatan Rakyat iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan bahawa 'gabungan saingan Barisan Nasional' itu akan tetap melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan kaum-kaum lain di negara ini sejajar dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan memartabatkan bahasa Melayu selari dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

4) Segalanya kelihatan indah dan menarik bunyinya. Semoga prinsip-prinsip Pakatan Rakyat yang ditegaskan Anwar itu turut 'difahami dan diperjuangkan' juga secara sehati-sejiwa oleh rakan-rakannya yang lain di dalam 'kesatuan' baru itu. Kita tunggu dan lihat sahaja bagaimanakah cara perlaksanaan dan pemahaman orang-orang seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang, Nga Kor Meng, Ngeh Koo Ham, V. Sivakumar dan M. Kulasegaran (kesemuanya 'Yang Berhormat' daripada DAP) kepada apa yang 'dijanjikan' Anwar itu. Kita juga masih menunggu akan 'reaksi' Anwar kepada deretan 'serangan' terhadap Melayu dan Islam yang dijalankan oleh 'pendekar-pendekar DAP' ini disepanjang 2 minggu pertama Disember, 2009.

5) Buat Pakatan Rakyat, Anwar dan semua para penyokongnya, selamat maju jaya dan moga berjaya mendapat lebih sokongan daripada orang Melayu khasnya dan bangsa-bangsa lain amnya di Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Neba2020: Buah kelapa di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan .... Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan ....

No comments: