1) Kalau saya boleh kembali ke tahun 1989 sewaktu di Darjah Satu, saya tidak mahu menyuruh si Yusof dan Hariz membelikan 'jajan' di tepi padang sekolah setelah tamat waktu persekolahan.
2) Sehingga ke hari ini, Encik (ayah) masih ingat dan terus menyebut peristiwa tersebut. Kisah 'bersejarah' itu berlaku apabila penglihatannya 'menangkap' saya yang sedang menyuruh dua sahabat zaman kecil itu membelikan sesuatu.
3) Daripada jauh dia memerhatikan anak kecilnya sedang berjalan-jalan riang seusai waktu persekolahan bersama-sama dengan dua sahabat karib. Tiba-tiba jelas dilihatnya saya menyerahkan duit kepada dua sahabat itu dan berdiri keseorangan buat seketika.
4) Tatkala saya ternampak Encik ada tidak berapa jauh, sepantas kilat Yusof dan Hariz dikejar untuk mengambil semula duit yang telah bertukar tangan sebentar sebelumnya. Seingat saya, bukanlah 'tugas' Encik untuk menjemput saya pulang daripada sekolah kerana jarak sekolah dengan tempat yang perlu dituju tidaklah jauh dan saya tidak keseorangan berjalan kaki. Mungkin tengahari itu, Tuhan ingin 'menyediakan' satu kisah bersejarah yang akan menjadi sebutan dan gelak tawa kami sekeluarga berpuluh tahun kemudiannya.
5) Saya adalah seorang yang cukup 'penakut' sewaktu kecil dahulu. Tidak pernah walau sekali saya cuba untuk membeli makanan di kantin sekolah menggunakan duit yang diberikan Emak. Hanya sebotol air teh 'O' manis yang menjadi 'teman' setia penghilang dahaga. Mungkin kerana Emak tidak pernah lupa untuk memastikan saya bersarapan di rumah sebelum ke sekolah maka 'perut' ini mampu bertahan hingga ke tengahari tanpa perlu 'terdesak' untuk ke kantin di waktu rehat.
6) Saya takut dan saya tidak berani untuk membuka mulut. Saya tidak pandai membeli. Saya tidak tahu menggunakan duit yang diberikan Emak. Saya serba tidak tahu dan serba tidak berani mencuba.
7) Encik sehingga kini tidak melupai 'adegan' yang berlaku dihadapan matanya itu walau telah 20 tahun berlalu.
8) Si kecil yang penakut itu bakal menjejak usia 27 tahun di tahun 2009 ini. Encik ketika itu baru hendak menempuh alam keemasan 40 tahun, kini telah agak lama juga menempuh alam 'pencen.'
9) 20 tahun dulu, si kecil itu tidak tahu menggunakan duit, pada tahun 2004 dia berjaya menamatkan pengajian ijazahnya dengan pengkhususan Perbankan dan Kewangan.
10) 20 tahun dulu, dia adalah seorang budak kecil yang cukup tinggi nilai malunya. Sentiasa malu untuk bercakap dengan orang, sentiasa takut untuk mengeluarkan suara dan sentiasa sejuk badannya apabila dipanggil namanya oleh Cikgu. 20 tahun kemudiannya, dia telah 2 tahun menjadi seorang Cikgu kepada pelajar-pelajar di peringkat ijazah. Sebelum itu, 2 tahun dia mendidik pelajar-pelajar di peringkat pra.
Moga Saya Dijauhkan Daripada Menjadi Hamba Yang Tidak Tahu Bersyukur Kepada Tuhan, Lupa Kepada Segala Nikmat Yang DianugerahiNya dan Sombong Dengan Manusia Sekeliling. Tuhan Terlalu Banyak Mengurniakan 'Nikmat Transformasi' Yang Cukup Berharga Lagi Murni Kepada Diri Ini. Syukur, Syukur, Syukur ....
Neba2020: Encik dan saya akan tertawa bersama apabila 'kisah' ini diulang walaupun telah beratus kali ianya berputar tanpa jemu sejak 20 tahun yang lepas .... Encik masih terasa hairan bagaimana si penakut yang seorang ini boleh jadi tidak takut pula mengajar beratus-ratus anak murid walhal 20 tahun dulu hendak berhadapan dengan makcik kantin sekolah dan 'apek' penjual 'jajan' sekalipun seolah menjadi beban yang besar buatnya ....
No comments:
Post a Comment