Saturday, January 10, 2009

Cikgu Arba'i - Bengis Tetapi Menghiburkan !

Salam Buat Semua,

1) 1 Januari yang lepas saya di kampung. Abang juga bercuti sama. Rutin kami dua-beradik memang selalu sungguh 'lekat' di kampung walaupun bukannya bekerja di daerah tempat membesar (Segamat). Saya di Melaka dan abang di Johor Bahru.

2) Petang itu abang yang baru pulang dari bandar tiba-tiba mengatakan 'Cikgu Arba'i kirim salam kat ko.' Saya tersenyum dan terdiam seketika. Memori lama terimbas tanpa diminta. Cikgu Arba'i memang 'pencinta' rokok yang hebat. Semua anak muridnya faham benar 'kesukaan' beliau itu. Abang memberitahu saya yang Cikgu Arba'i sudah tidak merokok lagi. Tahniah Cikgu !

3) Cikgu Arba'i itu adalah cikgu yang mengajar saya subjek Matematik Tambahan selama 2 tahun (Tingkatan 4 dan Tingkatan 5). Nama penuhnya ialah Arba'i Samingon. Dia sungguh bangga menjadi anak Jawa ! Saya juga bangga berdarah Bugis ! Mungkin anak Johor tercipta untuk tidak malu dengan asal keturunan.

4) Cikgu yang seorang ini adalah guru disiplin yang cukup 'bengis dan menggerunkan' seluruh warga pelajar Sekolah Tinggi Segamat. Jeritannya, rotannya dan tenungannya memang cukup masyhur dan akan diingati sampai bila-bila. Di dalam kelas pula watak Cikgu Arba'i adalah kontra sama sekali. Dia cukup bijak berkomunikasi, pandai berjenaka dan tidak membosankan langsung. Semangatnya ketika mendidik cukup terserlah. Momentum beliau sentiasa di tahap yang unggul lagi memuaskan anak-anak didiknya. Dia bukan jenis yang mengajar sambil lewa, saya pasti beliau akan kepenatan apabila tamat kelas kerana tenaganya sewaktu mengajar seakan digunakan di tahap yang maksima.

5) Cikgu Arba'i sudah 9 tahun tidak saya temui tetapi dia masih ingat kepada saya dan abang. Cikgu, saya mendoakan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa semoga hidup Cikgu dan keluarga sentiasa diberkatiNya, bahagia selalu, murah rezeki dan sihat berpanjangan.

Neba2020: Saya tidak mendapat A1 untuk subjek Cikgu Arba'i tetapi saya banyak belajar daripada cara dan kaedahnya mengajar anak murid. Semangat mesti terserlah, penat jangan ditunjuk, ikhlas perlu terpancar, suara mesti bisa menakluki pendengar, disiplin belajar menjadi keutamaan, humor adalah kesukaan ramai dan bosan mengajar jangan diamalkan ....

4 comments:

Muhammad Hazimin Wahab said...

erm, adakah terkenangkan cikgu apabila melihat artikel cikgu di blog saya ...?

bagus lah, org yg berjasa, jgn dilupa....

Sahidan Abd Jalil said...

sya masih ingat Cikgu Arbai'e menulis dari permulaan papan hitam hingga kehujung tanpa henti.Bagi saya kiranya itu karangan saya tak berapa hairan. yang hairannya dia menggunakan rumus matematik dan kaedah kerja yang diciptanya sendiri untuk memudahkan anak2 muridnya memahami subjek "perit" ini. selepas itu dia keluar sebentar melepaskan lelahnya,(berfikir dan mengingat juga barangkali) kemudian masuk semula menyambung rumusnya hingga penuh papan hitam. Anak2 muridnya sibuk menyalin dan ada sebahagiannya terpelongo memerhatikan "ketangkasan" jari jemari Cikgu Arbai'e menulis. Sehinggalah kesatu takuk tiba-tiba dia akan berhenti mengejut dan terus bertanya soalan kepada "mangsanya". Hah! terkedu saya dibuatnya.... hahha kerana dialah saya belajar matematik bersungguh-sungguh. Terima Kasih Wak Arbai'e.

fendy_ahmad said...

Salam Idan,

Cikgu yang berkesan cara mengajarnya dan betul-betul 'bekerja' sebagai pendidik mesti tidak kita lupakan gayanya, caranya , kata-katanya, marahnya, tegurannya mahupun lawak sinisnya ....

Cikgu-cikgu seperti ini bukan semata mengajar anak murid untuk cemerlang subjek tetapi lebih sebenarnya ...

Idan Wak Jalil said...

salam fendy,

orang "Magis"(dengan izin moderator hehe) seperti ini cukup jarang ditemui.Bersyukur dan beruntungnya kami sebagai anak didik STS sekolah tercinta kerana memiliki insan sepertinya. Bukan Cikgu Arbai'e sahaja. Ramai lagi sebenarnya di STS tika itu. dengan kredibiliti dan personaliti yang memikat hati, terkadang "mencubit" hati ini tatkala bersendirian menanda assigment dari pelajar-pelajar saya.Kerana merekalah sejara jujurnya, saya terus menanam tekad untuk menjadi pendidik... baru tau jadi cikgu ni susah!