Monday, January 26, 2009

Selamat Tahun Baru Cina Buat Cikgu ...

Salam Buat Semua,

1) Cikgu Tan Lay Ngoh mengajar saya subjek Alam Dan Manusia dan Matematik sewaktu di Darjah 5. Dia juga adalah guru kelas, tinggi dan ramping orangnya. Cara berpakaiannya seolah seorang eksekutif korporat di Kuala Lumpur. Di bawah 'pentadbirannya' saya buat pertama kalinya dilantik sebagai Ketua Darjah.

2) Cikgu Yap Kim Chuan adalah guru kelas sewaktu saya di darjah 6. Subjek yang diajarnya ialah Bahasa Inggeris dan Ko-Kurikulum. Jasa Cikgu Yap yang terbesar di dalam hidup saya ialah apabila dia membuat 'slot' bercerita secara spontan di depan kelas sewaktu subjek Ko-Kurikulum. Saya 'tiba-tiba' menjadi berani dan bersemangat berdiri di depan kelas dan menjadi penglipurlara ekspress.

3) Cikgu Fong Mun Fatt adalah seorang wanita Cina yang cukup ringkas imejnya. Dia saya kenali tatkala menganjak ke Tingkatan 1 di Sekolah Tinggi Segamat. Cikgu Fong sudah mencecah usia melebihi 50 tahun ketika itu. Dia mengajar subjek Bahasa Inggeris, juga menjadi Guru Tingkatan. Saya amat tidak suka 'duduk' di dalam kelas Bahasa Inggeris kendalian Cikgu Fong. Dia 'terlalu' suka mengamalkan konsep 'soal dan jawab' dan setiap pelajar diwajibkan memberi komen terhadap topik yang dibincangkan daripada buku teks.

4) Pernah sekali kerana takut hendak bercakap, saya meminta izin untuk pergi ke tandas apabila giliran 'kena berdiri' semakin hampir. Kerana takutkan kelas Cikgu Fong, saya mula berjinak-jinak membaca akhbar berbahasa 'orang putih' dan sentiasa menjadi 'pembaca berita' yang tiada pendengar dengan kamus berada di tepi.

5) Cikgu Fong sekali lagi mengajar saya ketika berada di Tingkatan 2. Subjek yang diajarnya berubah pula kepada Matematik. Peliknya, jika saya agak 'benci' kepada beliau setahun sebelumnya tetapi pertemuan seterusnya adalah cukup berbeza. Saya sungguh 'sayang' kepada kelas kendalian Cikgu Fong. Dia menyebabkan saya jatuh cinta kepada subjek Matematik. Seingat saya, papan hitam kelas akan sentiasa penuh dengan coretan angka-angka dan aneka formula. Berulang-ulang dipadamnya lantas dipenuhkan semula. Dia tidak pernah letih bersuara dan kadang-kadang bajunya sendiri menjadi comot dengan sisa-sisa kapur pelbagai warna.

6) Saya bukan pelajar 'A' untuk subjek Matematik sewaktu di Tingkatan 1 tetapi bermula era Tingkatan 2, saya tidak pernah 'tertinggal' untuk meraih markah melebihi 90 untuk subjek tersebut sehingga akhir Tingkatan 5. Cikgu Fong menyebabkan saya bermotivasi untuk menguasai angka dan formula. Mesranya saya dengan beliau sehingga pernah berborak-borak tentang hobinya yang suka berkebun, kungfu, filem-filem Hong-Kong dan kisah-kisah zaman mudanya.

7) Di Tingkatan 3, Cikgu Pang Yin mengemudi subjek Matematik. Orangnya garang dan cukup mudah 'menjerit dan mengamuk' jika pelajarnya tidak menyiapkan kerja rumah dan menggunakan kaedah yang salah ketika menjawab permasalahan yang diberikannya. Peliknya, si 'harimau betina' yang seorang ini cukup dekat di hati saya. Melalui didikannya, saya seolah yakin 100% bahawa saya akan mendapat A di dalam PMR. Tidak perlu kelas tambahan di sekolah dan tidak perlu mengeluarkan duit untuk ke kelas tuisyen.

8) 12 tahun lepas, Cikgu Pang Yin sambil ketawa ringkas pernah berkata, 'Fendi kalau dapat A nanti boleh belanja Cikgu minum teh ya.' Sehingga ke hari ini saya tidak dapat 'menunaikan' gurauannya itu. Dia selalu mengatakan bahawa saya akan menjadi pelajarnya yang mendapat 8A. Saya anggap itu sebagai doa ikhlas daripada seorang guru buat anak muridnya.

9) Cikgu Cher Guan Ann pula mengajar saya subjek Geografi di Tingkatan 3. Dia juga guru rumah sukan untuk pasukan Rajawali yang saya sertai dan juga guru penasihat Saint John Ambulance, persatuan beruniform yang saya tidak 'aktif' melibatkan diri. Orangnya kelihatan sopan dan mesra sekali sewaktu mengajar, sesekali boleh berubah menjadi 'singa' jika anak-anak muridnya 'terkurang ajar.' Dalam lemah lembutnya ada waktu mampu menyinga dan ada masanya boleh bergelak ketawa bersama-sama. Cikgu Cher memang selayaknya dikenang sebagai guru yang kualiti pendidiknya adalah cukup terpuji lagi serba lengkap kemampuannya mengemudi kelas dan anak didik.

10) Buat Cikgu Tan, Cikgu Yap, Cikgu Fong, Cikgu Pang Yin dan Cikgu Cher; Kalian adalah guru-guru yang berbangsa Cina tetapi cukup saya sayangi dan kagumi. Kalian mendidik saya seolah tiada beza agama, bangsa mahupun budaya di antara kita. Kalian membuatkan saya sedar bahawa masih banyak lagi anak-anak Malaysia yang sayangkan perpaduan dan tahu erti hormat-menghormati.

SELAMAT TAHUN BARU CINA BUAT CIKGU-CIKGU YANG BANYAK BERJASA KEPADA SAYA DAN ANAK MALAYSIA LAINNYA ....

Neba2020: Selamat Tahun Baru Cina juga buat anak-anak murid yang saya sayangi lagi ingati selalu. Istimewa buat Goh Wei Loon, Chiang Lin Pin, Lionel Lee, Alex Lim, Chan Kar Hoong, Ho Wei Bing, Chua Hui Ying, Steve Lim, Chan Kai Hoong dan banyak lagi; Anda semuanya adalah harapan negara ini dan Cikgu Fendi amat berbangga memiliki pelajar-pelajar seperti anda semua yang bijak, nakal, mesra, kelakar, baik budi dan memahami erti Malaysia yang sejati ....

5 comments:

~PakKaramu~ said...

Salam ziarah

Noor Ashraaf said...

ashraaf ho tai man takmo wish ke? hehe :P

wei^loon said...

Terima Kasih dengan ucapan "SELAMAT TAHUN BARU CINA" Cikgu Fendy kepada murid-murid cikgu. Tanpa disangka, nama "GOH WEI LOON" berada di hadapan sekali. Mungkin "SI WEI LOON" ini berada paling dekat dalam hati CIKGU FENDY yang sentiasa Wei Loon sayang lagi rindu!

JHaZ KiTaRo said...

salam dari bumi Dublin, Ireland.. tumpang lalu.. :)

fendy_ahmad said...

Salam,

Terima kasih banyak kepada yang menziarah juga yang menumpang lalu di sini.

Moga hidup gembira dan tenang selalu.