Thursday, January 22, 2009

UMNO Tewas: Gagal Mengurus Sentimen

Salam Buat Semua,

1) Barisan Nasional (BN) kecundang di tangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Kuala Terengganu pada tanggal 17 Januari 2009. Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu menyaksikan BN melalui Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

2) BN menguasai kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti 628 undi sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 melalui Allahyarham Razali Ismail. Pada PRU 2004, Razali menang dengan majoriti 1933 undi. Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang mewakili PAS pernah menguasai Perlimen tersebut sewaktu PRU 1999 dengan majoriti 14,448 undi. 4 tahun sebelumnya (PRU 1995), BN merampas kerusi tersebut setelah dipegang oleh pembangkang pada PRU 1990 melalui calon daripada Parti Melayu Semangat 46.

3) Pengundi di Kuala Terengganu sememangnya unik dan sukar dibaca kecenderungan hakiki mereka. Pola pengundian warga Bandaraya Warisan Pesisir Air ini bisa berubah seperti juga gelora pantainya yang sentiasa 'naik dan turun' mengikut musim. Kadang-kadang tenang, ada kalanya pula berubah menjadi 'mini tsunami' yang menggerunkan sesiapa jua. Istimewanya, sewaktu PRU 2008 mereka 'memberikan' kerusi Parlimen tersebut kepada calon BN walhal di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Terengganu, 3 daripada 4 kerusinya 'diamanahkan' kepada pembangkang.

4) BN melalui UMNO kelihatannya semakin ditolak pengundi, itulah realiti secara kasar yang menjadi konklusi banyak pihak. Para penyokong Pakatan Rakyat semestinya 'terhibur' dengan 'gugurnya' Wan Ahmad Farid di tangan Abdul Wahid. Wan Ahmad Farid sememangnya bukan tandingan Abdul Wahid yang telah 5 penggal menguasai salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri di dalam Parlimen Kuala Terengganu. Abdul Wahid juga pernah menjadi Exco sewaktu PAS berkuasa di Terengganu selepas PRU 1999. Nyatanya, Abdul Wahid memang sudah bertapak dengan kukuhnya di Kuala Terengganu dan namanya cukup dikenali lagi disenangi oleh kebanyakan rakyat di sana. Wan Ahmad Farid pula lebih banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur mahupun Putrajaya dek kerana komitmen tugas rasminya.

5) Wan Ahmad Farid adalah pilihan yang cukup silap lagi 'memakan diri' UMNO itu sendiri. Di kala persepsi dan pandangan rambang rakyat menjadi faktor penentu akan lambang apa yang akan dipangkah maka awal-awal lagi BN telah tertewas dengan agak mudah dengan menyenaraikan Wan Ahmad Farid sebagai calonnya. Ada 'bisik-bisik' politik mengatakan yang Wan Ahmad Farid dipilih sendiri oleh Perdana Menteri, di kala Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Terengganu sendiri pada hakikatnya tidak 'senang' dengan keputusan tersebut.

6) Wan Ahmad Farid mungkin bolehlah diibaratkan sebagai mangsa tidak bersalah. Dia mungkin seorang yang berkaliber dan intelek. Kemungkinan itu tidak dapat dinafikan kerana pada usia awal 40an beliau telah membawa label dirinya sebagai seorang yang pernah bergelar Timbalan Menteri dan Senator. Sebelumnya, beliau pernah memegang peranan sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

7) Menurut persepsi rakyat kebanyakan, Wan Ahmad Farid adalah antara individu yang termasuk di dalam kumpulan 'Budak Tingkat 4' di Jabatan Perdana Menteri di sepanjang 4 tahun pertama pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi (November 2003 - awal 2008). Istilah 'Budak Tingkat 4' ini dikaitkan dengan sekelompok 'bijak pandai' lulusan universiti ternama luar negara yang diketuai Khairy Jamaluddin, menantu lelaki tunggal Perdana Menteri. Itu adalah persepsi 'panas' yang menjadi 'sebutan dan kepercayaan' masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

8) Nama Wan Ahmad Farid juga agak 'terhitam' dek kerana nama abangnya iaitu Wan Hisham Wan Salleh (bekas Adun Ladang yang tewas di PRU 2008) yang cukup sinonim dengan isu 'Monsoon Cup.' Persepsi ramai ialah dua beradik ini ditafsirkan sebagai 'kroni' kepada Khairy dan juga usahawan bernama Patrick Lim yang dikatakan 'membolot' banyak projek pembangunan di Terengganu di zaman Idris Jusoh menjadi Menteri Besar (2004-2008). Imej Wan Ahmad Farid dan abangnya juga tercemar kerana mereka turut dilihat sebagai 'gandingan' Idris yang dikaitkan dengan penguasaan hasil kekayaan negeri melalui manipulasi pentadbiran wang royalti yang dikenali sebagai wang ehsan untuk tempoh di antara tahun 1999 dan 2008. Maka tidak hairanlah di kala BN masih mampu bertahan dengan selesa di Terengganu sewaktu PRU 2008 tetapi Wan Hisham yang juga Exco negeri di zaman Idris tersungkur tewas.

9) Wan Ahmad Farid tidak bersalah (mungkin) dan segala yang 'dituduh' terhadapnya tidaklah terbukti dengan nyata, jauh sekali dapat menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang korup mahupun lemah. Wan Ahmad Farid mungkin menjadi mangsa keadaan, beliau berada di tempat yang salah dan menghadapinya di masa yang salah. Wan Ahmad Farid menjadi mangsa sentimen rakyat.

10) Pelajaran yang perlu diterima oleh UMNO khususnya dan BN amnya ialah supaya lebih serius dalam menghadapi sentimen rakyat. Calon yang dipilih seharusnya bukan sahaja wajib bersih keperibadiannya tetapi wajar juga kelihatan bersih di mata masyarakat. Buat masa ini, rakyat secara majoritinya masih belum mampu berfikiran positif dan bersih apabila nama-nama seperti Khairy Jamaluddin dan Abdullah Ahmad Badawi disebut. Sebarang cubaan untuk 'menaikkan' sesiapa jua yang mempunyai 'hubungan mahupun kaitan' dengan dua nama itu sememangnya akan dipandang dengan sebelah mata sahaja oleh rakyat. Ini samalah seperti apa yang dialami oleh John McCain yang tewas di tangan Barrack Obama sewaktu pemilihan Presiden Amerka Syarikat yang ke 44 pada tahun 2008. McCain bukanlah tidak baik tetapi McCain ditolak rakyat kerana beliau ada 'bau' George W. Bush yang cukup tidak disenangi ramai di akhir pentadbirannya.


Neba2020: Keadaan kadang-kadang kelihatan tidak adil apabila persepsi menjadi raja kehidupan, akal menjadi rujukan semata-mata di kala senggang. Tapi ada kalanya persepsi terhasil daripada akal yang telah berusaha sedaya upaya untuk mencerakinkan keadaan dan pemikiran sebaik mungkin. Mungkin akal kita yang masih lemah ataupun kita sendiri yang dikuasai nafsu hingga akal tertolak ke belakang ....

5 comments:

wei^loon said...

Salam,

1. Merujuk kepada perenggan ke-4, Mohd Abdul Wahid Endut telah menguasai DUN Wakaf Mempelam selama 5 penggal. Hebat sungguh beliau!

2. Saya setuju 100% dengan isu-isu yang dicoretkan oleh Mr Fendy pada Perenggan ke-5. Itu hakikat sebenarnya!

3. Buat BN, pilihlah calon yang sesuai untuk pilihanraya akan datang. FIkir dan laksanakanlah cara yang sepatutnya untuk memenangi hati rakyat jelata!

Rozailin-Rahman said...

salam to..

satu sudut dilihat yang menjadi kasihan dalam 2 kes PR kecil Permatang Pauh dan KT, kekalahan kedua - dua nya memberi impak yang negatif kepada DS Najib dalam perjalanan dia menuju tampok no 1 negara. parti komponen dan pembangkang serta orang ramai telah mula memang dah lama pun mula mempertikaikan kredibiliti beliau. sama-sama kita tunggu dan lihat!

Nurul Aizam Zaini said...

arrr politik?? politik bagus tapi orang politik yang tak bagus...

politik hari ini dan siasah islam dahulu sangat jauh beza... pls do some research for ur own understanding of siasah islam that I mean :)

Anonymous said...

Walaupun Datuk Najib turun ke padang sendiri pun, BN tetap kalah di KT. Bukankah ini antara penunjuk bahawa majoriti pengundi di sana juga tidak berapa menyenangi TPM itu sendiri?

El-Zaffril said...

Jangan lupa... 1st activity rocket ok... hehehehehe...