Friday, November 28, 2008

Merindui Saat-Saat Itu

Salam Buat Semua,

1) Selain daripada penguasaan teori dan prestasi peperiksaan yang baik, saya suka melihat pelajar yang 'aktif' dan 'spontan' pemikirannya.

2) Pelajar yang cemerlang bagi saya adalah individu yang mampu untuk berfikir secara kritis dan sentiasa peka kepada persekitarannya.

3) Pelajar seperti ini sentiasa berani untuk 'berkata-kata' dan tidak malu pada tanggapan khalayak / pendengar terhadap dirinya.

4) Sifat kritis, peka dan berani itu apabila tergabung akan menyebabkan tuan punya diri itu berasa yakin dan sentiasa bersedia untuk melontarkan pendapat apabila ditanya, tidak gentar berhadapan dengan pendengar dan kelihatan asli ('natural') ketika berkomunikasi. Gaya percakapannya tidak akan kelihatan 'terpaksa,' pendengar akan memberikan perhatian kepadanya, intonasinya cukup lancar, bahasanya segar di dengar dan ayat-ayatnya mudah difahami ramai.

5) Saya terkenangkan zaman sewaktu menjadi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan pengkhususan Perbankan dan Kewangan dahulu (2002-2004). Kelas tersebut merangkumkan tidak sampai 50 orang pelajar. Walaupun bilangannya agak kecil tetapi 'ahli-ahlinya' kelihatan 'aktif' lagi 'spontan' pemikirannya.

6) Cheng Kuen, Jasmine Chua dan Jing Hui, tiga orang pelajar wanita berbangsa Cina yang berada di 'posisi akademik' yang cukup cemerlang tidak sesekali bersifat seperti 'robot.' Mereka ini tiada humornya ketika berkomunikasi tetapi apabila tiba waktu pembentangan ('presentation') hasil tugasan di hadapan kelas pastinya menjadi cukup profesional, suara yang cukup jelas, penerangan semestinya mantap dan memiliki penguasaan 'pentas' yang amat terpuji.

7) Kami juga memiliki karektor saperti Shanmugam, Banggaly Soumah, 'Labu', Ng Rhu Ann, Edwin, Wee Han dan Md. Najib yang cukup bersahaja ketika berkomunikasi di hadapan kelas. Pemikiran mereka juga tidak ada unsur-unsur 'robot' kerana sentiasa mampu mengeluarkan fakta-fakta dan pandangan peribadi yang cukup unik lagi asli. Keupayaan mereka menceriakan kelas dengan gaya pembentangan yang 'unik' sentiasa mampu menghiburkan seisi kelas.

8) Badrul, Shafiq dan Nurul Syafinaz pula adalah tiga individu yang memiliki penguasaan bahasa Inggeris yang cukup bagus. Ketiga-tiga individu ini berada di landasan umpama 'pegawai komunikasi korporat' yang serius bicaranya, skop pemikiran yang melangkaui batasan pelajar universiti dan bijak mengalunkan suara dengan gaya badan yang bisa membuatkan mata si pendengar mengikuti setiap pergerakan mereka.

9) Sekurangnya-kurangnya 20% daripada 'warga' kelas tersebut layak diklasifikasikan sebagai 'tukang cakap' yang bagus, tidak membosankan, tidak terlalu fanatik terhadap teori dan 'isi buku' dan sentiasa 'rela juga bersedia' untuk memberikan pendapat secara spontan apabila ada soalan diajukan para pengajar.

10) Saya merindui saat-saat itu ! Adalah menjadi idaman andainya ada kelas-kelas di bawah kendalian saya yang memiliki sekurang-kurangnya 20% pelajar yang boleh diklasifikasikan sebagai 'jurukomunikasi' yang 'aktif' dan 'spontan' selalu.

Neba2020: Penguasaan teori yang cemerlang ialah keupayaan menterjemahkan dan mengaitkan segala teori kepada kehidupan dan persekitaran, membawa keuntungan jangka masa panjang kepada mereka yang berani mengaplikasikannya. Penguasaan teori semata-mata untuk menjawab soalan peperiksaan hanyalah membawa keuntungan jangka masa pendek untuk si pengamalnya ....

Wednesday, November 26, 2008

Wawasan 2020

Salam Buat Semua,

1) Antara kenangan indah sewaktu zaman sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Gemereh, Segamat, Johor) ialah aktiviti menyanyikan lagu-lagu patriotik sebelum kelas bermula di pagi hari dan juga ketika waktu rehat.

2) Aneka jenis lagu patriotik akan berkumandang di seluruh kawasan sekolah. Keadaannya adalah cukup santai dengan para pelajar bebas untuk bernyanyi sama ada sewaktu berjalan, menikmati juadah di kantin, bermain kejar-kejar mahupun duduk-duduk mengambil angin di bawah pokok. Kadang-kadang di sebalik bilik tandas juga akan kedengaran suara anak-anak kecil menyanyikannya, comel dan sungguh menggelikan hati !

3) Seisi sekolah menjadi bersemangat, semuanya menjadi 'pencinta negara' dan terasa betapa bangganya menjadi rakyat kepada sebuah negara yang bernama Malaysia.

4) Tahun 1991 (saya berada di Darjah Tiga), Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) memperkenalkan terma Wawasan 2020. Niat akhirnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Lagu Wawasan 2020 menjadi 'buah hati' dan setiap pagi saya menjadi begitu 'ghairah' andainya pihak sekolah memutarkan lagi tersebut di corong pembesar suara.

5) 17 tahun sudah berlalu, tidak sampai 12 tahun lagi tahun 2020 akan muncul tiba. Adakah anak-anak kecil yang cukup bersemangat berbelas tahun dahulu sewaktu menyanyikan lagu Wawasan 2020 itu masih tinggi semangatnya ? Adakah cita-cita Dr. Mahathir itu masih di landasan yang betul ? Adakah pengganti Dr. Mahathir sudah melaksanakan penerusan idea dan gerak kerja yang mantap sepanjang 5 tahun yang telah berlalu ?



Wawasan 2020

Bendera berkibar di angkasa
Lambang negara jaya
Rakyat sepakat sehati sejiwa
Dengan berbakti dengan megah

Hadapi cabaran masa muka
Penuh tenaga murni
Bakti dicurah sehara-sehala
Dengan wawasan yang suci

Wawasan meningkat kemajuan
Tiada lagi kepincangan
Kemewahan rasa-dirasai
Bersama kita nikmati

Wawasan 2020
Satu pandangan jauh
Bukan impian malah kenyataan
Bersama kita jayakan
Neba2020: Wawasan akan tinggal wawasan andai manusia mudah penat dan senang merasa puas dengan apa yang sedang dilalui. Wawasan juga akan hanyut menjadi impian silam andai manusia sentiasa mahukan perubahan segera dan hilang kesabaran dalam meneruskan sesuatu yang memerlukan perancangan jangka masa panjang. Wawasan adalah satu siri usaha dan kesabaran yang tiada hentinya ....

Monday, November 24, 2008

Emak Dan Mee Goreng Panas

Salam Buat Semua,

1) Pagi tadi (24 November, 2008) Emak masak mee goreng yang cukup sedap.

2) Selepas solat Suboh saya 'menidurkan ' diri ini semula. Rancang untuk bertolak balik ke Melaka pada jam 11 pagi.

3) Saya tersedar semula daripada 'tidur tambahan' itu pada kira-kira jam 9.30 pagi.

4) Tatkala melihat saya sudah ke bilik air, emak bergegas ke dapur. Dari dalam bilik air sewaktu leka 'menghiburkan diri,' kedengaran bunyi kuali dan senduk saling berlagaan.

5) Saya faham sungguh perangai emak saya. Dia akan masak hidangan sarapan apabila saya sudah bersedia untuk menikmatinya.

6) Encik (ayah) juga seakan maklum, andai saya ataupun abang berada di rumah maka sarapan akan disediakan mengikut sistem 'just-in-time' menurut 'waktu' bujang-bujang bangun daripada tidur.

7) Maka mee goreng yang saya nikmati itu kelihatannya cukup 'panas dan segar.'

8) Mee goreng itu berencahkan udang, sotong dan sayur sawi. Sos tomato turut tersedia di atas meja.

9) Lawan mee goreng yang kelihatan basah itu adalah air kopi istimewa berjenama 'Kluang Station' yang sejak akhir-akhir ini menjadi kegemaran kami sekeluarga. Emak menemankan saya makan sambil kami berborak-borak mesra. Apa sahaja boleh kami borakkan, tiada batasan tiada kekangan.

10) Mee goreng dan air kopi daripada 'air tangan' Emak saya itu cukup membuatkan saya bercakap keseorangan di dalam kereta di sepanjang perjalanan pulang daripada Segamat ke Melaka. Betapa sayangnya Emak kepada saya dan saya berdoa kepada Tuhan supaya perasaan kasihnya saya kepada Emak dan Encik akan bertambah menggunung untuk setiap detik yang baru.

Emak dan Encik, Jumaat petang ataupun Sabtu pagi akan datang ini, saya akan pulang ke kampung semula ! Setiap minggu adalah HARI RAYA bagi kami sekeluarga !

Neba2020: Kadang-kadang kita menjadi menyampah dengan perangai segelintir manusia yang menangis bagaikan orang gila tidak siuman tatkala mengadap jenazah / mayat si ibu mahupun ayahnya yang telah meninggal dunia. Ratapannya cukup menghibakan sesiapa jua yang melihat tetapi apabila diselidik perjalanan hidupnya, 'liat' dan 'payah' sungguh untuk memperuntukkan masa bagi membahagiakan si ibu dan ayah sewaktu mereka masih hidup di dunia ini. Alahai, 1001 alasan pasti akan diberikan generasi moden yang memiliki Diploma dan Ijazah itu ! Semakin bijak manusia rupanya semakin bijak juga mereka beralasan dan bersandiwara ....

Thursday, November 20, 2008

Lain Orang Lain Pandang : Saya Semakin 'Berisi' ?

Salam Buat Semua,

1) Seorang pelajar (lelaki) menegur lalu mengatakan bahawa saya kelihatan bertambah kurus, cengkung muka ini katanya. Dia bertanya sama ada saya sakit ataupun sedang berhadapan dengan bebanan kerja yang banyak. Saya menafikannya dan tertawa kecil.

2) Esok harinya, seorang rakan sekerja (wanita) yang berbeza bahagian menegur dan membawakan persoalan yang hampir sama tetapi berbeza pandangan. Dia dengan gembiranya mengatakan bahawa saya kini kelihatan lebih 'berisi' dan ceria. Katanya muka saya kelihatan agak 'penuh' dan wajah lebih berseri-seri. Dia mengusik saya dengan membuat konklusi mudah bahawa saya kini mungkin sedang bahagia dengan seseorang. Sekali lagi, saya menafikannya sambil tertawa kecil.

3) Hari ini, seorang rakan sekerja (lelaki) yang berbeza kampus tiba-tiba menegur saya sambil tersenyum. Dia bersungguh mengatakan bahawa saya kelihatan lebih kurus daripada beberapa minggu dahulu sewaktu kali terakhir kami bersua. Dia melihat saya sudah lebih 'kering' daripada dahulu.

4) Dua minggu lepas, seorang kenalan (wanita) yang saya temui di pusat membeli-belah dengan selambanya memperli saya dengan perkataan 'debab.' Dia dengan tegas mengatakan yang wajah saya kelihatan 'penuh' dan umpama seorang yang sudah mula bertambah selera makannya. Katanya pipi saya jelas tidak seperti dua atau tiga bulan dahulu. Saya yang agak kehairanan semestinya hanya mampu menafikan lalu tertawa bersama-samanya.

5) Empat individu secara tanpa diundang telah membuat 'analisa' tentang fizikal saya. Mereka melihat ada perbezaan, lantas mengemukakannya kepada saya. Uniknya, yang lelaki mengatakan saya semakin kurus dan lebih 'kering' berbanding dahulu manakala yang wanitanya merasakan saya kini sudah mula 'berisi.' Lain orang lain pandang ? Mungkin juga, lelaki dan wanita berbeza pandangannya ?


Neba2020: Manusia penuh dengan perbezaannya yang cukup susah untuk difahami secara menyeluruh ....

Tuesday, November 18, 2008

Harga Minyak Turun - Pak Lah dan Anwar Dalam Kenangan

Salam Buat Semua,

1) Harga petrol di pasaran Malaysia kini RM2.00 seliter. Ianya jauh lebih rendah berbanding kenaikan 'ganas' ke paras RM2.70 seliter pada Jun, 2008. Kemungkinan untuk harganya turun ke tahap asal iaitu RM1.92 dalam masa terdekat ini tidak boleh diragukan sama sekali.

2) Rakyat gembira dan bebanan hidup sekurangnya semakin beransur pulih. Kalau tidak jadi lebih mewah pun tidak mengapa, sekurangnya tidak terus menjadi papa kedana.

3) Terasa pelik juga apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim kini kelihatan banyak berdiam diri dan tidak 'seligat' lima bulan pertama selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum pada 8 Mac, 2008. Terasa berminat pula untuk mendengar Anwar membuat kenyataan 'andai hari ini Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, esok harga minyak jadi RM1 seliter.' Pakatan Rakyat pula kini seakan beransur-ansur hilang taringnya. Momokan 'membina' kerajaan baru rupa-rupanya satu penipuan langsung yang dihalalkan. Itu namanya 'politik cara Anwar Ibrahim.'

4) Kita juga tentunya masih ingat akan 'kedegilan' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara mengejut mengumumkan kenaikan 'menggila' harga bahan api pada bulan Jun walhal beberapa hari sebelum itu Datuk Shahrir Abdul Samad selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah menyatakan bahawa kenaikan hanya akan berlaku di sekitar bulan Ogos.

5) Andai Pak Lah dapat bersabar dan tidak mudah panik maka sudah tentu harga majoriti produk dan perkhidmatan di pasaran tidak akan mengalami kenaikan berganda seperti yang dirasai rakyat ketika ini. Menjelang Ogos, harga minyak di pasaran dunia telah mula menguncup dan stabil kembali. Akibatnya kini, harga minyak sudah kembali stabil dan rendah tetapi harga barangan lainnya masih 'liat' untuk turun kembali. Tolak dan tambah, rakyat masih kesempitan walaupun sedikit kesyukuran tetap hadir. Lega dan berterima kasih sahajalah !

Neba2020: Cakap memang mudah, buat belum tentu mudah. Berhujah memang senang, melaksana belum pasti sempurna. Menghentam memang enak diluah, mengiktiraf belum tentu sanggup dibuat kerana manusia penuh egonya ....

Saturday, November 15, 2008

Cuba - Cuba Dulu Sebelum Nikah ?

Salam Buat Semua,

1) Seorang kenalan membuat kenyataan 'berani mati' bahawa dia pernah melakukan seks dengan beberapa orang wanita sejak berusia 19 tahun. Katanya, sepanjang 3 tahun yang berlalu, tiga wanita pernah 'ditakluknya.'

2) Menurutnya, wanita-wanita itu adalah bertaraf teman istimewanya, maka amalan seks bebas yang dilakukan itu adalah satu perkara biasa bagi sepasang kekasih. Dua daripadanya telah menjadi sejarah dan wanita nombor tiga itu kini adalah kekasih hatinya untuk setahun yang terakhir ini.

3) Kenalan itu mengatakan bahawa tiada paksaan daripada pihaknya tetapi 'aktiviti' itu dilakukan secara suka sama suka dan demi kepuasan bersama.

4) Dia katakan bahawa untuk mencari seorang wanita muda 20-an atau akhir belasan tahun yang masih dara pada masa kini adalah amat sukar dan tidak perlu dikesali andai kita ditemukan jodoh dengan seorang yang sudah 'ditebuk tupai' sebelumnya.

5) Beliau membuat analogi sendiri bahawa ada kemungkinan lapan daripada sepulah wanita muda telah tiada daranya menjelang umur 25 tahun. Penampilan luaran yang kelihatan sopan, beriman dan ayu bukanlah jaminan bahawa wanita itu masih 'suci.'

6) Saya hanya mampu tersenyum mendengarkan 'pendedahan' kenalan itu. Jauh di sudut hati kecil ini sememangnya saya meragui fakta-fakta yang dikeluarkannya itu. Saya kira majoriti manusia dewasa ini belumlah 'sehina' itu lagi !

7) Saya yakin bahawa majoriti wanita masih lagi dara sebelum menjejak alam perkahwinan. Saya yakin bahawa seorang lelaki yang bijak dan teguh dalam mempertahankan 'kesuciannya' sebelum menempuh alam perkahwinan yang halal juga akan ditemukan dengan wanita yang mulia dan masih lagi berstatus 'dara.'

8) Kenalan saya itu mungkin juga tidak silap jika andaian faktor persekitaran / jaringan sosial diambil kira di sini. Apabila dia sendiri memilih 'jalan hidup' sedemikian rupa maka sudah pastilah wanita-wanita yang berjaya 'ditakluk' mahupun 'didampinginya' juga adalah individu-individu yang sepemikiran dan sekelakuan dengan spesisnya itu juga.

9) Apabila kenalan itu mengatakan bahawa saya tidak perlu rasa kecewa seandainya bakal isteri kelak sudah hilang status gadis sunti sebelum bernikah, dengan pantas saya menempelaknya dan mengatakan bahawa 'lelaki suci sudah semestinya inginkan wanita yang suci.'

10) Persoalannya, siapa yang sanggup mengaku bahawa dia mempunyai 'memori hitam' mahupun 'pengalaman haram' sebelum menemui anda? Andai pengakuan dibuat, mampukah anda menjadi seorang yang mulia dengan sanggup memaafkannya dan menganggap itu hanyalah sesuatu yang bersifat 'sejarah silam' semata-mata?

Neba2020: Perkahwinan dan percintaan bukan umpama ingin membeli kereta baru, enjin kereta boleh diuji dahulu kerana ianya adalah ciptaan manusia yang serba kekurangan sifatnya tetapi manusia adalah ciptaan Tuhan yang cukup istimewa lagi mulia sifatnya ....

Tuesday, November 11, 2008

Obama, Bush, Clinton dan Abdullah ....

Salam Buat Semua,

1) George W. Bush (Parti Republikan) muncul sebagai Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2000. Dia menewaskan Al Gore daripada Parti Demokrat. Sebelum itu, Bill Clinton menjadi Presiden negara 'Uncle Sam' itu selama 8 tahun. Clinton adalah daripada Parti Demokrat.

2) Bush berjaya mengekalkan kedudukannya sewaktu pemilihan tahun 2004. Dia menewaskan John Kerry dengan jayanya, faktor 'keselamatan' Amerika Syarikat selepas peristiwa 11 September, 2001 dikatakan menjadi penyumbang kepada 'pengekalan' Bush sebagai ketua negara bagi penggal kedua.

3) Penggal terakhir pentadbiran Bush (sistem di Amerika Syarikat hanya membenarkan seseorang menjadi Presiden selama 2 penggal sahaja) dipenuhi dengan keangkuhannya yang masih berpegang kuat kepada misi 'memerangi pengganas' sehingga ramai rakyatnya sendiri menjadi mangsa terutamanya para anggota tentera.

4) Bush juga semakin tidak menumpukan kepada pengurusan ekonomi negara. Dua tahun terakhir pentadbirannya telah menjerumuskan Amerika Syarikat ke lembah kemelesetan ekonomi dan 'gangguan' sistem kewangan yang cukup kritikal.

5) Barack Obama daripada Parti Demokrat telah dipilih sebagai Presiden baru kuasa besar ekonomi dunia itu. Beliau akan mengangkat sumpah jawatan pada Januari, 2009 ini.

6) John McCain yang mewakili Parti Republikan tewas bukan semata kerana Obama terlalu hebat ataupun Parti Demokrat terlalu diyakini rakyat. McCain tewas kerana dia membawa 'bebanan' warisan Bush yang terlalu berat.

7) McCain tersungkur kerana majoriti rakyat telah tidak senang dengan segala tindak-tanduk Bush semenjak diberi mandat ke dua pada tahun 2004. Mereka merasakan mengundi McCain samalah seperti menghalalkan segala dasar Bush kerana mereka berdua datang daripada parti yang sama.

8) Obama ternyata bijak menggunakan segala 'kelemahan dasar' Bush sebagai aset untuk dia menuju ke 'White House.' Motto kempen Obama menjurus kepada mengajak rakyat melakukan perubahan, lari daripada segala huru-hara yang dicipta pentadbiran Bush.

9) George Bush walaupun di akhir pentadbirannya cukup merudum popularitinya tetapi mampu juga bertahan di tahap maksima sebagai Presiden Amerika Syarikat (8 tahun). Sekurangnya dia lebih berjaya berbanding ayahnya (George H.W. Bush) yang menjadi Presiden pada tahun 1988 menggantikan Ronald Reagen tetapi tewas di tangan Clinton empat tahun berikutnya.

10) Di Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mampu bertahan sebanyak dua kali pilihan raya. Bezanya, Abdullah akan melepaskan jawatan pada Mac, 2009 iaitu sewaktu usia penggal ke dua pemerintahannya baru menjengah angka satu tahun. Bush pula berjaya melengkapkan pemerintahannya selama dua penggal penuh dan tidak pernah didesak untuk melepaskan jawatan seperi Clinton yang pernah 'diasak' akibat 'skandal Monica Lewinsky' dahulu.

Neba2020: Obama diharap membawa perubahan kepada cara dan gaya Amerika Syarikat 'melihat' dunia. Bush dilabel sebagai 'pengganas sebenar' dunia dan 'hero' tidak diundang yang suka menunjuk lagak di mana-mana. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya kerana sejarah menunjukkan betapa sudah banyak Presiden Amerika Syarikat yang kelihatan cukup 'sopan dan santun' di awalnya tetapi semakin lama kuasa di tangan semakin kuat pula menunjukkan kuasa umpama 'polis dunia' dan 'hakim alam' ....

Friday, November 7, 2008

Ketuanan Melayu

Salam Buat Semua,

1) Isu ketuanan Melayu seakan 'laris dan hangat' didebatkan sepanjang tahun 2008 ini. Ketuanan Melayu dan hak istimewa Melayu / Bumiputera adalah dua entiti yang berbeza dan masing-masing mempunyai takrifan dan pengamalan tersendiri. Ramai juga yang 'berdebat' sebenarnya tidak cukup layak kerana gagal memahami terma tersebut. Ketuanan Melayu merujuk kepada kedudukan Raja-Raja yang semuanya berketurunan Melayu sebagai ketua negeri (9 negeri) disamping Tuan Yang Dipertua Negeri (4 negeri yang tidak mempunyai Raja). Selain itu, ianya juga membawa pengertian Yang Dipertuan Agong sebagai ketua negara Malaysia ini.

2) Ini mengesahkan status bahawa bangsa Melayu / Bumiputera adalah 'pembuka' tanah dan pihak yang memulakan tamadun di sini. Perlu difahami juga bahawa pada asalnya, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunai, selatan Thailand dan selatan Filipina adalah satu gugusan yang diistilahkan sebagai Nusantara. Pihak tertentu pasti cuba mengatakan bahawa Orang Asli adalah 'pembuka tanah' yang sebenarnya. Takrifan penduduk asal sesuatu negara yang banyak diguna pakai di seluruh dunia lebih merujuk kepada pihak / bangsa yang memulakan kerajaan / tamadun di sesuatu kawasan itu.

3) Nusantara bolehlah diertikan sebagai satu gugusan yang banyak persamaan daripada segi agama, budaya, bahasa dan cara hidupnya. Orang Cina asalnya di gugusan tanah besar China manakala orang India, Bengal, Sikh, Pakistan pula di gugusan benua kecil India.

4) Apabila ada pihak yang mengatakan bahawa bangsa Melayu adalah 'pendatang' kerana mereka datangnya daripada tempat selain daripada 'semenanjung Tanah Melayu' maka ianya adalah silap dan sungguh menyimpang daripada pemahaman sejarah dan struktur geografi.

5) Gugusan bolehlah diibaratkan sebagai 'benua kecil.' Komunitinya mempunyai kaitan yang cukup kuat dan tidak jauh bezanya dalam pelbagai aspek. Gugusan juga memiliki keadaan iklim yang serupa. Nusantara beriklim Khatulistiwa secara majoritinya. Benua kecil India merangkumi India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka. Benua kecil China merangkumi China, Taiwan, Macau, Mongolia dan Tibet. Eropah juga boleh dibahagikan kepada beberapa gugusan.

6) Mobiliti (pergerakan) secara bebas dan rawak penduduk-penduduk asal beratus-ratus tahun dahulu adalah normal di dalam gugusan masing-masing. Mereka bukan pendatang dan proses penyesuaian berlaku dengan mudah lagi segera.

7) Apabila zaman bertambah moden dan 'akal' manusia semakin bijak dan mudah memikirkan 'kepentingan' puak-puak sendiri, maka gugusan menjadi semakin tidak penting dan mereka mula memikirkan konsep negara bangsa. Maka gugusan terpecah-pecah kepada beberapa negara yang berbeza, menjadi lebih fokus dan kompleks.

8) Gugusan Nusantara kini terbahagi kepada negara-negara spesifik seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunai Darussalam, Thailand dan Filipina.

9) Ketuanan Melayu bukan bermaksud Melayu adalah 'tuan (bos)' dan kaum yang asalnya bukan daripada Nusantara adalah 'kuli.' Ketuanan Melayu bermaksud memperakui bangsa Melayu dan Bumiputera lainnya sebagai penduduk asal gugusan Nusantara ini yang memulakan tamadun, membuka tanah dan memulakan penempatan juga kerajaan awal yang berstruktur sempurna. Akibatnya, ia memudahkan proses penghijrahan bangsa-bangsa yang datang daripada gugusan luar daripada Nusantara ini.

10) Ketuanan Melayu tidak bermaksud untuk mencurigai mahupun menzalimi warga Malaysia yang bukan berstatus Melayu / Bumiputera. Ketuanan Melayu patut dimengertikan sebagai satu proses 'tanggungjawab' bangsa Melayu itu sendiri untuk memastikan Malaysia ini kekal aman dan damai sentiasa agar semua rakyatnya sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan Sikh (dan banyak lagi) terjamin keselamatannya. Melayu adalah ketua negara, Melayu juga yang sanggup lagi rela untuk memenuhkan jawatan-jawatan seperti tentera, polis dan bomba. Maka, Melayu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan aktiviti-aktiviti perniagaan, pendidikan dan perkilangan dapat berjalan dengan stabil dan selamat selalu. Itulah ketuanan Melayu yang selalu disalahertikan.

Neba2020: Hormatilah 'tuan' sebagai sahabat kerana 'tuan' tidak pernah memandang yang lain sebagai 'kuli' mahupun 'hamba.' 'Tuan' tanpa disedari banyak memberi kelonggaran kepada sahabat yang lain untuk meraih kesenangan juga kemewahan sejak berzaman di bumi 'tuan' ini. 'Tuan' yang satu ini amat susah untuk dicari di tempat lain kerana 'tuan' di tempat lain biasanya amat pantang untuk melihat sahabatnya menjadi lebih kaya lebih senang lebih pandai. 'Tuan' yang satu ini cukup liberal, cukup pemurah dan cukup mudah mengalah demi menjaga hati sahabatnya. Sahabat dan 'tuan' biarlah terus berbaik dan wajarlah 'dibunuh' sesiapa yang cuba mencipta kebencian di antara keduanya itu ....

Wednesday, November 5, 2008

Hitam Putih Kehidupan

Salam Buat Semua,

1) Ada orang berkata bahawa hidup ini amat pendek riwayatnya. Singkat dan pantas tak terkejar perubahannya. Kita harus menggunakannya semaksima mungkin, laluinya dengan kegembiraan dan keriangan yang berterusan. Tidak perlu bersusah hati dan tidak perlu terlalu memikirkan masalah-masalah di persekitaran kita.

2) Ada orang percaya bahawa hidup ini adalah satu perjalanan yang panjang. Setiap detik yang didepani perlulah diambil kira dengan serius lagi berhati-hati. Sekali tersilap kesannya berzaman, sekali terlanjur maka berdekad lama pula akan terpalit buruknya. Anggaplah hidup sebagai sesuatu yang serius sentiasa dan buanglah istilah sambil-lewa sejauhnya.

3) Ada orang yakin bahawa hidup ini adalah satu rentetan masalah dan sentiasa penuh dengan cabaran dan halangan yang tiada hentinya. Terlalu sedikit yang boleh digembirakan dan amat susah pula untuk mempertahankan kebahagiaan juga kesenangan. Sebaliknya, kesusahan dan kegusaran begitu mudah muncul. Kelihatannya hidup ini sentiasa tidak adil kepada kita.

4) Ada orang merasakan yang hidup ini adalah satu pentas lakonan. Manusia adalah pelakon-pelakon yang pelbagai ragam dan aksinya. Kita tidak boleh mempercayai sesiapapun di tahap maksima, sentiasa perlu berwaspada dengan orang-orang di sekeliling dan usah menaruh harap kepada insan lain. Hanya kita sahaja yang boleh 'dipercayai' diri sendiri dan hanya kita sahaja yang boleh 'membetulkan' diri sendiri.

5) Ada orang menafsirkan hidup ini sebagai satu siri amanah yang berterusan dan mempunyai matlamat tersendiri. Hidup ini adalah satu rangkaian tanggungjawab yang perlu diselesaikan sebaik mungkin. Hidup ini adalah satu ujian yang akan menentukan 'siapa kita' dan 'di mana kita' di satu kehidupan lain selepas dunia. Hidup adalah satu percampuran antara yang positif dan negatif, pergaulan antara masalah dan kegembiraan dan juga percambahan antara yang mulia dan yang hina.


HITAM PUTIH KEHIDUPAN

Lihatlah sekitar alam
Dunia luas terbentang
Langit tinggi kebiruan
Pohon-pohon kehijauan
Hembusan bayu yang menyegarkan

Dengarkan di sana-sini
Beburung riang menyanyi
Berbunga aneka warna
Sumber kedamaian jiwa
Mensyukuri nikmat Maha Esa

Begitu berharga kehidupan ini
Bagi mereka yang tahu menghargai
Mengapa terdorong oleh perasaan
Kalau turutkan hati diri menjadi korban

Tiada yang dapat lari dari masalah diri
Hadapi lah dengan tenang
Tiap cabaran yang datang
Atasinya dengan keimanan

Sekadar buat renungan
Untukmu teman tersayang
Hitam putih masa depan
Sendirian menentukan
Hidup ini usah persiakan

Nyanyian : Datuk Sheila Majid
Lagu Ciptaan : Adnan Abu Hassan
Lirik Nukilan : Habsah Hassan
Neba2020: Kerana hidup ini adalah sesuatu yang sukar untuk diprogramkan secara jelas maka sebaiknya kita mengamalkan kesederhanaan dalam tindakan, kesederhanaan dalam pemikiran dan juga kesederhanaan dalam pergaulan. Hidup bukan diciptakan Tuhan untuk membawa kesusahan, kegusaran mahupun kepayahan kepada kita. Hidup adalah indah, satu pemberian Tuhan yang istimewa kepada makhluknya tetapi jangan pula sampai kita lupa kepada yang mengurniakannya. Bergembiralah dengan kehidupan tetapi jangan lupa kepada Tuhan yang pada bila-bila masa boleh menarik kegembiraan itu daripada kita. Bersyukurlah dengan kehidupan ....

Sunday, November 2, 2008

Anwar Memusuhi Najib ?

Salam Buat Semua,

1) Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sentiasa dijadikan sasaran Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 2 tahun kebelakangan ini.

2) Mohd. Najib dikatakan terlibat dengan wanita Mongolia bernama Altantunya. Mohd. Najib dikatakan mempunyai skandal dengan bekas model itu.

3) Isteri Mohd. Najib dikatakan terlibat secara langsung dengan pembunuhan ngeri Altantunya yang dibom mayatnya bagi menghilangkan bukti.

4) Mohd. Najib sewaktu menjawat jawatan Menteri Pertahanan dikatakan terlibat dengan pengambilan komisen untuk rundingan pembelian jet pejuang mahupun helikopter yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia.

5) Pendek kata, Mohd. Najib sungguh tercela di mata Anwar dan PKR. Mohd. Najib dipotretkan Anwar dan PKR sebagai seorang yang rendah moralnya, pemakan rasuah dan pelbagai label negatif lainnya.

6) Akhirnya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil keputusan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Mohd. Najib menjelang akhir Mac, 2009.

7) Peralihan kuasa itu adalah jauh lebih awal daripada yang dirancang (Jun, 2010). Anwar dan PKR sebolehnya 'mahu' Abdullah terus menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO sehingga musim Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 (sekitar tahun 2012 dan 2013) kelak. Tanpa Abdullah, 'sukar' untuk PKR menjadi lebih 'hebat.'

8) Anwar mengidam untuk menjadi Perdana Menteri menjelang 16 September, 2008. Anwar gagal. Dia beria-ia sangat untuk mencapai cita-citanya. Anwar tidak mahu 'baton' Perdana Menteri beralih tangan ke Mohd. Najib.

9) Kenapa Anwar sebok menyerang Mohd. Najib sejak 2 tahun lepas? Kenapa Abdullah bukan sasarannya? Kenapa bukan orang UMNO mahupun Barisan Nasional yang lain? Anwar juga tidak kuat lagi menyerang Tun Dr. Mahathir Mohamad.

10) Jawapannya adalah cukup mudah. Mohd. Najib adalah manusia yang akan menyukarkan misi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Mohd. Najib adalah halangan terakhir Anwar. Mohd. Najib adalah jauh lebih 'kuat' daripada Abdullah. Mohd. Najib bukan seperti Abdullah yang gaya pentadbirannya menjadi 'aset' besar PKR dan rakan-rakannya yang lain untuk menang banyak kerusi Parlimen sewaktu Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu.

Neba2020: Musuh politik kadang-kadang adalah aset berharga kepada si pemain politik. Kawan politik kadang-kadang adalah musuh sebenar seseorang ahli politik itu. Politik adalah satu seni strategi yang cukup kompleks dan sukar dibaca secara jelas. Yang jelas rupanya kabur, yang kabur kadang-kadang penuh tersurat di luaran tanpa disangka ....