1) Menteri Kewangan, Mohd. Najib Abdul Razak pada 21 Oktober, 2008 mengumumkan bahawa kerajaan akan 'meminjam' wang sejumlah RM5 Billion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Wang tersebut akan disalurkan kepada Value Cap Sdn. Bhd. bagi membeli saham-saham di Bursa Malaysia yang sedang berada di bawah nilai sebenarnya.
2) Value Cap adalah sebuah agensi pelaburan milik kerajaan di bawah pengawasan Kementerian Kewangan. Syarikat tersebut ditubuhkan 5 tahun lepas dengan fokus utamanya untuk melabur di Bursa Malaysia bagi menambah nilai syarikat-syarikat yang saham-sahamnya berada di bawah daripada nilai sebenarnya walaupun memiliki keupayaan perniagaan yang cukup baik dengan prospek masa depan yang positif.
3) Ketua Pembangkang, Anuar Ibrahim dan juga Ketua Pemuda PAS iaitu Sallahuddin Ayub telah mengeluarkan kenyataan betapa tindakan Mohd. Najib dan juga kerajaan itu adalah satu tindakan yang tidak tepat. Secara ringkasnya, mereka menyifatkan ianya adalah umpama 'satu rompakan' kepada duit simpanan rakyat di dalam KWSP. Mereka kelihatan cukup 'prihatin' akan kemungkinan duit tersebut 'lesap' dan ianya digunakan ke jalan yang tidak baik dengan motif untuk menyelamatkan syarikat-syarikat berstatus 'kroni.' Tahniah buat dua 'pemimpin rakyat' ini !
4) Rakyat perlulah diberikan kefahaman bahawa KWSP kini mempunyai dana berjumlah kira-kira RM300 Billion. Secara puratanya, KWSP hanya mampu memberikan dividen di dalam lingkungan 5 dan 6 peratus setahun kepada para pencarum. Para pencarum mengharapkan dividen yang dibayar sentiasa meningkat.
5) KWSP bukannya pengeluar produk mahupun penjual perkhidmatan / servis. KWSP banyak terlibat secara langsung sebagai 'pemilik' kepada pelbagai syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia melalui pemilikan saham secara langsung. Baik prestasi syarikat-syarikat tersebut maka banyaklah dividen yang akan dimiliki KWSP. Kesan akhirnya, para pencarum berkemungkinan besar untuk menikmati dividen daripada KWSP yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
6) Tetapi di dalam keadaan ekonomi global yang cukup parah sepanjang tahun 2008 ini, KWSP menghadapi dilema untuk mengekalkan prestasi dividennya, sekurangnya dapat menyamai rekod tahun sebelumnya jika tidak lebih tinggi. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pasaran saham tempatan turut menerima tempias negatif yang datang daripada henjutan negatif pasaran saham global, semuanya berpunca daripada ketidaktentuan ekonomi global dewasa ini.
7) Dipercayai lebih daripada 80 peratus dana simpanan tersebut sebenarnya tidak disentuh oleh KWSP. Jumlah simpanan 'hari tua rakyat ' yang diguna-pakai KWSP untuk tujuan pelaburan bagi memberi pulangan positif kepada semua adalah agak terhad dengan perspektif betapa duit-duit tersebut tidak boleh dihadapkan dengan 'risiko' yang terlalu luas sehingga menjejaskan para pencarumnya di kemudian hari.
8) Dengan dana terkumpul yang berjumlah beratus billion itu, maka adalah sewajarnya sebahagian kecilnya digunakan untuk 'mengaktifkan pasaran saham tempatan.' Majoriti daripada syarikat yang berhadapan dengan keadaan harga semasa yang agak 'rendah' dengan mengalami situasi 'jatuh' yang berterusan sebenarnya mempunyai nilai asas ('fundamental value') yang cukup bagus dan perniagaan strategiknya adalah masih berdaya saing dengan risiko kegagalan yang cukup kecil.
9) Kejatuhan tersebut bukanlah didasarkan kepada kegagalan perniagaan yang nyata tetapi hanyalah kerana 'tempias sentimen' di pasaran global yang agak negatif berikutan keadaan ekonomi Amerika Syarikat yang tidak stabil mutakhir ini. Adalah tidak adil jika pasaran saham tempatan khasnya dan ekonomi negara ini amnya 'dibenarkan' untuk mengalami rantaian kejatuhan dek kerana sentimen-sentimen buruk para pelabur antarabangsa yang 'takut dan cemas' dengan situasi di negara Uncle Sam itu hingga secara drastiknya menarik balik semula pelaburan mereka di Malaysia ini.
10) Berdasarkan keadaan yang dinyatakan di atas maka Value Cap akan menjadi 'pelabur ekspress' yang akan membeli saham-saham yang 'terkurang nilai' itu bagi meningkatkan harganya sekaligus mampu menaikkan indeks-indeks petunjuk prestasi Bursa Malaysia seperi Emas dan Komposit. Indeks-indeks yang 'positif' akan memberikan cerminan yang juga 'positif' kepada para pelabur terutamanya yang berada di luar daripada Malaysia. Selagi kaunter-kaunter saham tersebut yang majoritinya dipanggil sebagai 'blue-chip' masih rancak dengan aktiviti perniagaannya sama ada di Malaysia mahupun di luar negara maka kemungkinan untuk wang RM5 Billion itu 'hangus' adalah cukup tidak signifikan. Akhirnya, yang untung bukannya Mohd. Najib Abdul Razak mahupun kerajaan semata-mata tetapi seluruh pencarum KWSP yang berjumlah berjuta-juta orang itu melalui keupayaan KWSP untuk sekurangnya mengekalkan nilai dividen tahunannya kepada mereka walaupun dunia berhadapan dengan 'krisis.'
Neba2020: Kadang-kadang membangkang itu perlulah dibuat dengan rasa tanggungjawab yang tinggi dan bukan semata-mata untuk menimbulkan kontroversi dan kebencian kepada pihak lainnya. Jangan juga kita membangkang dengan mengutarakan sebab-musabab yang ringkas saja dengan menyentuh hanya permukaan sesuatu isu tersebut tanpa melihat jauh ke dasarnya, mengapa dan bagaimana sesuatu isu tersebut berlaku ....
3 comments:
Apakah saranan saudara penulis bagi Malaysia berusaha untuk meningkatkan harga pasaran komoditi yang sekarang berada di tahap agak membimbangkan, jika tidak kritikal?
menarik2, baru tahu pasal hal ni...kalau camni taknak la melabur dalam kwsp...
risau weh risau!
Salam,
Secara ringkas hukum jual beli berjalan di sini. Kurangnya permintaan daripada pengusaha teruatamanya di Amerika Syarikat dan Eropoh (juga Jepun, China dan India) maka harga komoditi akan berterusan jatuh kerana lambakan akan berlaku andai permintaan terus merosot dengan harga yang sama.
Saya kira, para pengeluar komoditi sedunia perlu sepakat dalam menetapkan harganya (penetapan lingkungan harga minima dan maksima berdasarkan permintaan dunia) boleh dilaksanakan secara berperingkat agar ianya tidak mengggangu ekonomi negara pengeluar dan pada masa yangs ama dapat mengelakkan turun naik harga-harga produk lainnya.
Post a Comment