Tuesday, October 7, 2008

26 Tahun: Yang Negatif, Yang Positif !

Salam Buat Semua,

1) Terasa seolah baru sahaja ulang tahun kelahiran yang ke 25 diraikan juga disyukuri seadanya, 8 Oktober muncul kembali. Pantas sungguh masa beredar, kadang-kadang terasa terlalu banyak yang hendak dilakukan masih jauh daripada 'titik permulaannya' juga tidak terkejar dek kemampuan diri sendiri.

2) Apabila umur menginjak naik, semakin kuat jiwa 'bertengkar' dengan diri sendiri. Kehendak diri mula melakukan penilaian spontan terhadap 'pencapaian-pencapaian' semasa untuk usia-usia yang telah ditinggalkan. Seterusnya, pelbagai agenda 'masa hadapan' mula direncanakan tentang cara dan kaedah yang terbaik untuk 'memanfaatkan' usia seterusnya yang baru muncul. Itulah yang normal berlaku di dalam kehidupan kita yang bernama manusia ini. Setiap tahun, rutin tersebut tanpa kita sedari akan menguasai diri sendiri.

3) 8 Oktober 2008 adalah permulaan fasa ke enam dalam penitian hidup saya. Andainya diri ini disamakan dengan Malaysia tercinta, maka bermakna saya sedang berada di garisan permulaan 'Rancangan Malaysia ke Enam - RMK 6.' Semestinya kehidupan ini akan memberikan kita sesuatu yang berbeza dan berlainan susun atur juga program-programnya sewaktu kita melalui fasa-fasa yang berbeza. 5 tahun bolehlah dijadikan penanda aras kepada 'program-program pembangunan dan pembaikan' yang dilaksanakan untuk diri sendiri.

4) Proses penilaian diri sendiri, mengenal pasti tentang sifat-sifat positif juga negatif yang 'bersarang' di dalam keperibadian sewajarnya dijadikan 'titik permulaan' kepada segala bentuk 'RMK' yang hendak digubal buat panduan diri sendiri dalam menuju 1001 kebaikan mahupun kejayaan yang diidam-idamkan itu.

5) Sifat-Sifat Negatif Saya

- Mudah merasa rendah diri - Tidak berani untuk mencuba sesuatu yang baru - Sentiasa merasakan orang akan mengeji atau memandang rendah kepada diri ini jika membuat kesilapan atau tidak setara dengan pencapaian orang lain - Malu untuk bergaul dengan orang-orang yang baru dikenali juga berkedudukan -Tidak suka kepada aktiviti-aktiviti luaran yang bersifat fizikal dan kemahiran - Terlalu percaya kepada seseorang yang mahir di dalam bidangnya sehingga tidak yakin untuk melakukan apa yang mereka buat tanpa kehadiran mereka - Lebih berminat memikirkan kesudahan yang negatif berbanding membayangkan satu kesudahan yang positif - Sikap berjaga-jaga / berwaspada yang ekstrim sehingga amat sukar membuat keputusan - Sukar mempercayai kebolehan orang lain di dalam perkara yang diri sendiri dapat kuasai dengan baik - Mudah sensitif dengan kata-kata dan juga aksi orang-orang di sekeliling.

6) Sifat-Sifat Positif Saya

- Sentiasa yakin kepada kebolehan dan kemampuan sedia ada yang dimiliki diri ini - Tidak mudah mengalah dengan kritikan juga hentaman yang diterima akibat daripada pendapat mahupun idealisme peribadi - Bercita-cita untuk memakmurkan bangsa, agama dan negara - Tidak pernah mengimpikan kehidupan kaya-raya, juga langsung tidak terniat untuk menjadi tokoh korporat - Sentiasa memikirkan kesan perbuatan dan hala tuju kehidupan yang diambil terhadap perasaan juga restu daripada ibu dan ayah - Mempunyai nilai-nilai patriotik yang memuaskan, berasa betapa Negara dan bangsa adalah satu amanah Tuhan yang perlu dijaga rapi seadanya - Mudah kasihan kepada mereka yang tidak bernasib baik di dalam kehidupannya - Sentiasa tersedar diri apabila mahu membuat sesuatu yang tidak baik.

7) Seterusnya, ke mana kamu di dalam tempoh 5 tahun yang mendatang ini? Tepuk dada, bukalah mindamu wahai Fendi, cantumkan segala sifatmu yang 'pahit lagi masin' itu dengan aneka sifat yang 'manis juga berlemak' buat membina satu resipi yang cukup rasanya buat menghadirkan senyuman penuh bermakna di kemudian hari nanti ! Yakin boleh, Tuhan sentiasa membantu !

Nota-Nota Istimewa Sempena Ulang Tahun Kelahiran:

8) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diramalkan akan mengundur diri sebagai Perdana Menteri selewatnya pada Mac 2009 sekaligus tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO. Semestinya ini adalah hadiah hari jadi yang cukup berharga buat saya ! Saya tidak pernah membenci Abdullah Ahmad Badawi tetapi saya tidak yakin masa depan bangsa dan negara saya akan terbela di bawah pentadbirannya, itu sahaja.

9) Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatannya semakin 'merapu' dengan 1001 alasan dan kata-kata indah tentang peralihan / 'rampasan' kuasa yang ditajanya melalui Pakatan Rakyat. Anwar yang pada mulanya kelihatan 'logik' kini sudah mula kelihatan memualkan sekaligus membuatkan satu negara 'letih dan penat' dengan drama-drama yang dicetuskannya tanpa henti. 'Kegagalan' Anwar untuk merealisasikan cita-citanya juga merupakan hadiah manis buat saya pada tahun ini.

10) Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tanpa disedari kelihatannya telah cuba 'dipinggirkan' oleh pihak-pihak tertentu selama hampir 5 tahun akhirnya mula mendapat semula 'keramatnya.' Doa saya kepada Tuhan agar Negarawan ulung ini tidak terpinggir dan tidak terhina seolah ada 'petunjuknya.' Dr. M kini telah mula 'didengari' dan dihormati selayaknya. Ini adalah hadiah paling besar buat saya di permulaan usia 26 ini !

Neba2020: TERIMA KASIH TUHANKU, Nikmat KurniaanMU Kepadaku Tak Terbilang Dek Jemari, Seandainya Helaian Rerambutku Di Kira Satu-Persatu Sekalipun, Maka KebaikanMU Terhadapku Untuk 25 Tahun Yang Telah Berlalu Itu Adalah Beribu Ganda Jumlahnya Daripada Helaian-Helaian Tersebut. Moga Aku dan Keluargaku Sentiasa Di Bawah Naungan Nikmat Dan RahmatMU ... Moga Bangsa, Agama dan Negaraku Ini Sentiasa Kau Lindungi Dan Peliharai Pada Setiap Detik Dan Ketika ...

6 comments:

Muhammad Hazimin Wahab said...

Selamat menyambut hari ulang tahun ! semoga berbahgia sepanjang hayat.... & diberkati Ilahi

makan nasi minyak dgn org kuantan, jgn lupa ajak... kalau tak ada pengapit, itu boleh diatur.. hehe

Anonymous said...

Many happy returns to Mr Noor Affandi.
May this year brings joy, happiness and prosperity.

P/S - Makan nasi minyak dengan orang Kuantan ? Apakah ??

Anonymous said...

Dari Jauh Ku Sampaikan, Merentas Selat Melaka Menyusuri Banjaran TitiWangsa Melagkaui KL, Ucapan Teristimewa Selamat Menyambut Hari Berbahagia yang kali ke 26 Tahun Ini. Semoga Tahun-tahun Mendatang Lebih Membawa Keberkatan dan Kenikmatan

P/S - Kuantan tu Pahang lah... hehehe

-nad- said...

happy birthday sir... :)

suraya said...

Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki,dan dicepatkan walimahnya.

Semoga diberkati. :)

rasyd said...

selamat hari lahir abg fendy.semoga impian abg menjadi salah seorang menteri dalam kabinet tercapai.Amin~~

sorry x sms raya n birthday sbb contact number dalam hp sy suma dh ilang.hp baru lpas repair sbb x boleh on.