Friday, October 31, 2008

RM5 Billion 'DIROMPAK' Daripada KWSP ?

Salam Buat Semua,

1) Menteri Kewangan, Mohd. Najib Abdul Razak pada 21 Oktober, 2008 mengumumkan bahawa kerajaan akan 'meminjam' wang sejumlah RM5 Billion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Wang tersebut akan disalurkan kepada Value Cap Sdn. Bhd. bagi membeli saham-saham di Bursa Malaysia yang sedang berada di bawah nilai sebenarnya.

2) Value Cap adalah sebuah agensi pelaburan milik kerajaan di bawah pengawasan Kementerian Kewangan. Syarikat tersebut ditubuhkan 5 tahun lepas dengan fokus utamanya untuk melabur di Bursa Malaysia bagi menambah nilai syarikat-syarikat yang saham-sahamnya berada di bawah daripada nilai sebenarnya walaupun memiliki keupayaan perniagaan yang cukup baik dengan prospek masa depan yang positif.

3) Ketua Pembangkang, Anuar Ibrahim dan juga Ketua Pemuda PAS iaitu Sallahuddin Ayub telah mengeluarkan kenyataan betapa tindakan Mohd. Najib dan juga kerajaan itu adalah satu tindakan yang tidak tepat. Secara ringkasnya, mereka menyifatkan ianya adalah umpama 'satu rompakan' kepada duit simpanan rakyat di dalam KWSP. Mereka kelihatan cukup 'prihatin' akan kemungkinan duit tersebut 'lesap' dan ianya digunakan ke jalan yang tidak baik dengan motif untuk menyelamatkan syarikat-syarikat berstatus 'kroni.' Tahniah buat dua 'pemimpin rakyat' ini !

4) Rakyat perlulah diberikan kefahaman bahawa KWSP kini mempunyai dana berjumlah kira-kira RM300 Billion. Secara puratanya, KWSP hanya mampu memberikan dividen di dalam lingkungan 5 dan 6 peratus setahun kepada para pencarum. Para pencarum mengharapkan dividen yang dibayar sentiasa meningkat.

5) KWSP bukannya pengeluar produk mahupun penjual perkhidmatan / servis. KWSP banyak terlibat secara langsung sebagai 'pemilik' kepada pelbagai syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia melalui pemilikan saham secara langsung. Baik prestasi syarikat-syarikat tersebut maka banyaklah dividen yang akan dimiliki KWSP. Kesan akhirnya, para pencarum berkemungkinan besar untuk menikmati dividen daripada KWSP yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

6) Tetapi di dalam keadaan ekonomi global yang cukup parah sepanjang tahun 2008 ini, KWSP menghadapi dilema untuk mengekalkan prestasi dividennya, sekurangnya dapat menyamai rekod tahun sebelumnya jika tidak lebih tinggi. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pasaran saham tempatan turut menerima tempias negatif yang datang daripada henjutan negatif pasaran saham global, semuanya berpunca daripada ketidaktentuan ekonomi global dewasa ini.

7) Dipercayai lebih daripada 80 peratus dana simpanan tersebut sebenarnya tidak disentuh oleh KWSP. Jumlah simpanan 'hari tua rakyat ' yang diguna-pakai KWSP untuk tujuan pelaburan bagi memberi pulangan positif kepada semua adalah agak terhad dengan perspektif betapa duit-duit tersebut tidak boleh dihadapkan dengan 'risiko' yang terlalu luas sehingga menjejaskan para pencarumnya di kemudian hari.

8) Dengan dana terkumpul yang berjumlah beratus billion itu, maka adalah sewajarnya sebahagian kecilnya digunakan untuk 'mengaktifkan pasaran saham tempatan.' Majoriti daripada syarikat yang berhadapan dengan keadaan harga semasa yang agak 'rendah' dengan mengalami situasi 'jatuh' yang berterusan sebenarnya mempunyai nilai asas ('fundamental value') yang cukup bagus dan perniagaan strategiknya adalah masih berdaya saing dengan risiko kegagalan yang cukup kecil.

9) Kejatuhan tersebut bukanlah didasarkan kepada kegagalan perniagaan yang nyata tetapi hanyalah kerana 'tempias sentimen' di pasaran global yang agak negatif berikutan keadaan ekonomi Amerika Syarikat yang tidak stabil mutakhir ini. Adalah tidak adil jika pasaran saham tempatan khasnya dan ekonomi negara ini amnya 'dibenarkan' untuk mengalami rantaian kejatuhan dek kerana sentimen-sentimen buruk para pelabur antarabangsa yang 'takut dan cemas' dengan situasi di negara Uncle Sam itu hingga secara drastiknya menarik balik semula pelaburan mereka di Malaysia ini.

10) Berdasarkan keadaan yang dinyatakan di atas maka Value Cap akan menjadi 'pelabur ekspress' yang akan membeli saham-saham yang 'terkurang nilai' itu bagi meningkatkan harganya sekaligus mampu menaikkan indeks-indeks petunjuk prestasi Bursa Malaysia seperi Emas dan Komposit. Indeks-indeks yang 'positif' akan memberikan cerminan yang juga 'positif' kepada para pelabur terutamanya yang berada di luar daripada Malaysia. Selagi kaunter-kaunter saham tersebut yang majoritinya dipanggil sebagai 'blue-chip' masih rancak dengan aktiviti perniagaannya sama ada di Malaysia mahupun di luar negara maka kemungkinan untuk wang RM5 Billion itu 'hangus' adalah cukup tidak signifikan. Akhirnya, yang untung bukannya Mohd. Najib Abdul Razak mahupun kerajaan semata-mata tetapi seluruh pencarum KWSP yang berjumlah berjuta-juta orang itu melalui keupayaan KWSP untuk sekurangnya mengekalkan nilai dividen tahunannya kepada mereka walaupun dunia berhadapan dengan 'krisis.'

Neba2020: Kadang-kadang membangkang itu perlulah dibuat dengan rasa tanggungjawab yang tinggi dan bukan semata-mata untuk menimbulkan kontroversi dan kebencian kepada pihak lainnya. Jangan juga kita membangkang dengan mengutarakan sebab-musabab yang ringkas saja dengan menyentuh hanya permukaan sesuatu isu tersebut tanpa melihat jauh ke dasarnya, mengapa dan bagaimana sesuatu isu tersebut berlaku ....

Thursday, October 30, 2008

Apa Yang Ada Jarang Disyukuri

Salam Buat Semua,

1) Sewaktu belum bekerja, kita cukup mengharapkan agar mendapat kerja yang setara dengan kelulusan.

2) Gembira tak terkata apabila mendapat khabar kita diterima bekerja. Pelbagai azam dibuat, kata-kata kesyukuran tak lekang daripada bibir sepanjang masa.

3) Semakin lama bekerja, kita merasakan kerja itu tidak dapat menghadirkan kepuasan yang maksima. Bermacam-macam ketidakpuasan kita luahkan, segalanya berbau negatif tentang pekerjaan mahupun majikan juga persekitarannya. Pendek kata, kita tak selayaknya berada di situ, kita selayaknya berada di tempat yang lebih sesuai dan 'memahami' kita sepenuhnya.

4) Tetapi kita tak sedari betapa ada orang-orang 'di luar' daripada pekerjaan kita itu, cukup menghargai juga berasa betapa bagusnya pekerjaan kita itu. Mereka 'berharap' juga untuk 'memilikinya.'

5) Kita terlalu memandang sesuatu yang sedang dimiliki daripada sudut negatif, positifnya seolah 'kosong' sahaja. Persoalannya, kita ini cukup positif sangatkah untuk keadaan menjadi positif demi kita?



ANTARA DUA CINTA

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidakku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cinta-Mu kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh


Lagu Ciptaan : Nazrey Johani
Lirik Nukilan: Pahrol Md. Juoi
Nyanyian Asal: The Zikr
Versi Nyanyian Semula: Raihan, Saujana dan Datuk Sharifah Aini


Neba2020: Telusurilah lagu ini sedalamnya, moga kita dapat melihat 'jauh' ke dalam diri kita. Rupa-rupanya kita ini terlalu 'jauh' daripada menjadi seorang yang positif jiwa dan sempurna akal pemikirannya ....

Sunday, October 26, 2008

Khairy Jamaluddin - Terus Bersinar Atau Malap ?

Salam Buat Semua,


1) Khairy Jamaluddin bolehlah diibaratkan sebagai bintang yang bersinar secara tiba-tiba umpama dipaksa-paksa tanpa diminta. Beliau mendaki puncak populariti sebagai ahli politik tanpa perlu mengeluarkan 'peluh' yang banyak.

2) Khairy yang dilahirkan pada 10 Januari 1976 di Bandaraya Kuwait, Kuwait adalah anak tunggal kepada Dato' Jamaluddin Abu Bakar (bekas diplomat) dan Dato' Rahmah Abdul Hamid.

3) Pengajian menengahnya adalah di Singapura sebelum berjaya memperoleh Ijazah Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Oxford (Kolej St. Hugh). Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dengan penjurusan teori undang-undang dan politik daripada UCL.

4) Kerjaya awal Khairy di penghujung 1990-an adalah sebagai penulis bagi majalah 'The Economist' sebelum bertugas sebagai pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia (Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi).

5) Khairy menikahi anak Abdullah iaitu Nori pada bulan Oktober, 2001.

6) Beliau menang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 2004 (berusia 28 tahun !) tanpa bertanding. Dunia politik Malaysia masih ingat lagi betapa kesemua calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut seolah-olah telah 'digari' dan 'terpasung' segalanya, gagal meraih pencalonan yang cukup dan dikuatkan lagi dengan 'suara-suara ghaib' yang memujuk supaya mereka berundur diri serta menyerah kalah awal-awal. Khairy umpama disediakan 'karpet merah' secara automatik untuk mengisi jawatan tersebut.

7) Di atas kapasitinya sebagai orang nombor dua Pemuda UMNO, beliau diberikan tiket untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Umum 2008 bagi Parlimen Rembau, tempat asal-usul keluarganya. Kini Khairy bergelar Yang Berhormat Rembau. YB KJ !

8) Kini Khairy mengidamkan jawatan Ketua Pemuda UMNO. Beliau 'WAJIB' menang jawatan tersebut untuk meneruskan 'survival' politiknya. Beliau masih muda, bakal berusia 33 tahun pada tahun 2009. Sudah semestinya Khairy 'mengidamkan' sesuatu yang lebih 'besar' untuk masa hadapannya. Benar atau tidak, ada cakap-cakap politik yang mengatakan bahawa Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini juga menaruh harapan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sebelum mencecah usia 40 tahun !

9) Tapi kali ini Khairy tidak disediakan 'karpet merah' secara automatik. Bapa mentuanya sendiri telah diketahui umum tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus membawa erti bahawa 'title' beliau sebagai menantu Perdana Menteri juga akan terhakis menjelang Mac 2009 nanti. Sentimen 'terpaksa' menyokong Khairy sudah kelihatan mula beransur pulih.

10) Khairy bakal berdepan dengan seorang anak bekas Perdana Menteri yang semakin lama semakin menjadi pilihan juga kesayangan masyarakat. Datuk Mukhriz Tun Mahathir kelihatan cukup berhati-hati dalam membina kerjaya politiknya. Beliau jelas muncul melalui proses evolusi dan bukannya revolusi seperti Khairy. Mukhriz kelihatan cukup bersederhana, di awalnya lebih dikenali dengan kerja-kerja amal dan kemudiannya dikenali sebagai tokoh muda UMNO yang berani 'menentang arus' demi mengatakan yang benar lagi selari dengan 'kehendak dan perasaan' masyarakat umum. Mukhriz kini tergambar di mata ramai sebagai tokoh politik yang bukan daripada kelompok 'pak turut', mudah berdamping dengan golongan bawahan dan bijak mengatur kata-kata juga personaliti dirinya sehingga tidak kelihatan ada sifat 'bongkak diri.'

Mac 2009 akan menyaksikan sama ada Khairy akan terus 'bersinar' atau ditunjukkan jalan yang 'malap'

Neba2020: Kadang-kadang hidup ini kita perlu banyak bersabar dan tidak terlalu gopoh dalam mengejar matlamat diri. Hidup ini perlu diraikan dengan mencari 'keredhaan' orang di sekeliling kita kerana ada masanya mereka akan kita perlukan untuk kita terus 'laju berlari' meraih cita-cita pada masa mendatang ....

Friday, October 24, 2008

Generasi Robot Vs Generasi Pemikir

Salam Buat Semua,

1) Sebagai 'cikgu' saya mengidamkan anak murid yang bebas daripada sindrom menjadi robot, taksub dengan kepercayaan bahawa belajar di universiti adalah semata-mata untuk mengejar CGPA 4.0, mendapat A, berjaya menghafal nota-nota, bijak mengingat 1001 formula dan jatuh cinta dengan buku teks.

2) Si robot adalah jenis pelajar yang menepati segala kriteria yang dinyatakan itu. Si robot ini akan meletakkan fokus utamanya datang ke kelas semata-mata untuk mendapatkan penerangan tentang topik yang tercetak di atas nota-nota yang telah disediakan 'cikgu.'

3) Si robot merasakan 2 jam di dalam kelas adalah masa baginya untuk jatuh cinta 100% dengan isi kandungan nota itu sahaja. Aplikasi sebenar topik tersebut bukan masalah beliau, realiti sebenar nota tersebut dengan keadaan semasa kewangan mahupun ekonomi negara juga tidak menjadi keharusan untuk difahami.

4) Lebih menyedihkan, ada di kalangan robot-robot ini merasakan bahawa 'cikgu-cikgu' yang suka membawakan realiti sebenar 'dunia di luar nota-nota' itu sebagai satu situasi yang membuang masa, tidak berfaedah dan umpama cakap-cakap kosong.

5) Robot-robot merasakan bahawa selagi kisah-kisah realiti juga aplikasi itu tidak berkaitan dengan PEPERIKSAAN dan CGPA mereka maka ianya adalah merugikan masa dan kehadiran mereka di kelas tersebut.

6) Robot-robot juga mengharapkan 'cikgu' di universiti berkelakuan seperti 'cikgu' di TABIKA mahupun sekolah rendah. 100% isi kandungan nota perlu diterangkan secara terperinci walaupun si 'cikgu' sudah mengatakan bahawa ianya adalah tidak relevan. Di universiti, 'tidak relevan' itu boleh membawa maksud ianya tidak sesuai dengan situasi di Malaysia, tidak berapa digunakan di dunia realiti sekaligus tidak penting untuk tujuan peperiksaan.

7) Berikut adalah 4 komentar yang 'agak panas' yang saya terima daripada pelajar-pelajar bagi subjek 'Corporate Finance' dan 'Financial Management II' untuk Trimester 1 sessi 2008/2009 (komentar adalah di dalam Bahasa Inggeris dan tiada sebarang editan dibuat terhadap gaya bahasa mahupun tatabahasa) :

- By the way you teach us, we believe that you are not a very qualified lecturer to teach finance. You don't really know how to relate what you teach with your example given and always throw in your personal opinion instead of giving us good and effective opinions. Those slides that you don't really know or don't know how to explaine it, then you will tend to say that it's not important and skip it. Your overall teaching is not as good as expected, some even lose hope on you. Basically students go for class just for the attendance.

- some time talk too much outside topic during the lecture.

- He is a "dirty minded" lecturer, likes to talk rubbish in class. Besides, he talks more on political issues rather than focus on syllabus, this is no a political class!

- He always talks nonsense during the lecturer class. When the time almost finish, then he just skip the slides...or he do not explain just only read through the slides.Because he waste many time talk nonsense until he cant finish teaching...

8) Sebagai perimbangan, berikut pula komentar-komentar yang berbaur positif yang saya kira dapat 'menjawab' serba sedikit apa yang 'diluahkan' 4 pelajar di atas :

- A very friendly lecture..he is able to conduct the class in a way where we dont feel bored...Hope to get him as my lecture again in my upcomming subjects...

- Your lectures have been one of the most entertaining classes I've been to....& also refreshingly honest! Keep it up! Thank you so much for being an understanding lecturer.

- he is the good lecture for me. i can understand this subject. he able to deliver his teaching efficiently. always give good example during classes related to the economy nowdays. he give me a lot of knowledge. i'm happy because get the opportunity to be your student.tq sir=D

- Lively teaching and very well informed of the current issues.

- Able 2 give relevant eg.. ppl may think he's talking nonsense in class but 4me its da best way..

- very kind and funny lecturer... always talk about the current issues with us

- He makes lecture to be more interesting and relaxing...

- Way to go sir, i like the way he teach cuz he can freshen up the class, eventhough the class is early in the morning. I also like the general information that he sometimes gave to me, becuz indeed that is one important thing for me to jump into society.

- i like ur attitude,very closed with students and motivated ur students ~chaiyo,sir effandi..~

- Mr Effandi has teach this subject well. He manages to explain the terms and concept that the students not understand until the students completely understand. Good job!

- good lecturer. like to share the current issue in the class. he will relate the topic to the current issue.

- Sir, your teaching style is very creative and make us not feel boring in class.

- Hi, you are a good lecturer, when there is your class, stress up, but really learn a lot of things, thank you.

- he is an excellent lecturer, who knows what to teach and how to deliever his ideas to us. In addition, he links every weeks lecture with what is happeneing in the real business world. i am glad to have him in my study trip.

9) Setiap 'cikgu' pasti mempunyai objektif dan gaya pengajarannya yang tersendiri. Dengan segala kelemahan diri dan juga kekangan ilmu yang masih belum cukup mantap saya tetap cuba 'menyahut seruan masa depan' untuk melahirkan pelajar yang bisa menjadi 'generasi pemikir' dan bukannya 'generasi robot.'

10) Pengajian di universiti bagi saya adalah satu proses pendidikan, bukannya pengajaran semata-mata. Mendidik dan mengajar adalah dua aspek yang berbeza. Mengajar motif utamanya adalah untuk menghabiskan silibus dan menyediakan para pelajar untuk bersiap-sedia menghadapi peperiksaan akhir. Mendidik pula mempunyai niat untuk menghasilkan pelajar yang mampu untuk berfikir di luar langkauan skop silibus, tahu mengaitkan nota-nota dengan dunia realiti, bijak melontarkan idea juga pendapat dan bersedia untuk berhadapan dengan 'dunia luar' universiti yang penuh dengan cabaran.


Neba2020: CGPA adalah pemudah cara untuk mendapatkan pekerjaan yang pertama, lambat ataupun cepat juga bergaji kecil, sederhana ataupun besar sedikit. Seterusnya, hanya keupayaan berfikir, menganalisa, pengeluaran idea, komunikasi dan disiplin dalam bekerja sahaja yang akan menentukan masa depan di dalam dunia kerjaya ....

Monday, October 20, 2008

Abdullah Ahmad Badawi - Sudah Terlambat !

Salam Buat Semua,

1) Abdullah Ahmad Badawi hanya senyap membisu apabila beliau 'diasak' Dr. Mahathir Mohamad buat pertama kalinya pada Jun 2006. Dr. Mahathir secara terbuka menyatakan bahawa beliau telah 'tersilap pilih' penggantinya dan Abdullah telah 'merosakkan' banyak perkara. Dr. Mahathir bertindak sedemikian apabila secara tiba-tiba Abdullah seakan 'tunduk' kepada Singapura dengan 'tergesa-gesa' membatalkan projek 'jambatan bengkok' bagi menggantikan Tambak Johor di sebelah Malaysia.

2) Lebih mengejutkan apabila Abdullah melakukan 'penipuan terbuka' dengan mengatakan bahawa rakyat Johor yang tidak menyukai projek terbabit.

3) Sultan Johor (DAULAT TUANKU SULTAN KESAYANGAN RAKYAT JOHOR !) secara terbuka dihadapan rakyat jelatanya (juga dihadapan Abdullah !) bertitah bahawa sudah tiba masanya Tambak Johor dirobohkan dan digantikan dengan sebuah jambatan bagi mengurangkan pencemaran dan memperbaiki aliran air yang tersekat. Baginda Sultan bertitah sedemikian secara spontan sewaktu merasmikan Koridor Pembangunan Iskandar (kini dikenali sebagai Iskandar Malaysia). Sehingga ke hari ini Abdullah gagal menghuraikan 'penipuan' tersebut.

4) Kini selepas lebih 2 tahun, Abdullah sudah mula 'pandai menjawab' dan seakan berani lagaknya. Abdullah menyelar secara sinis tentang 'peranan' Dr. Mahathir yang dikatakannya cuba berlagak sebagai 'pengarah' di dalam proses pencalonan pemilihan UMNO yang berjalan selama sebulan sehingga 9 November 2008.

5) Abdullah dengan tegas menyatakan bahawa Dr. Mahathir tidak layak untuk bercakap tentang UMNO dan Presiden UMNO ke 5 itu disifatkannya sebagai mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian.

6) Abdullah juga buat pertama kalinya 'mengkritik' Muhyiddin Yassin yang disifatkannya sebagai penggesa utama kepada proses mempercepatkan pelan peralihan kuasa daripadanya kepada Mohd. Najib Abdul Razak. Abdullah juga 'menuduh' Muhyiddin sebagai seorang yang takut kepada 'reform' (perubahan) yang ingin dilaksanakannya.

7) Kemarahan Abdullah kepada bekas Menteri Besar Johor itu amat terserlah apabila dia menyifatkan Muhyiddin sebagai sudah tidak sabar untuk bergelar Timbalan Presiden UMNO. Abdullah turut memperli Muhyiddin dengan berkata bahawa anak jati Muar itu hanya akan mencapai jawatan tersebut jika memperoleh sokongan. Belum tentu orang akan memilih Muhyiddin !

8) Jelaslah betapa Abdullah lebih mengidamkan calon 'kesayangannya' iaitu Mohd. Ali Rustam untuk mengisi posisi kedua tertinggi UMNO itu dengan melahirkan kesedihannya dengan gesaan sesetengah pihak yang mahukan Ketua Menteri Melaka merangkap Naib Presiden UMNO itu berundur daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden kerana Muhyiddin kelihatan lebih diterima akar umbi UMNO. Sudah terang lagi bersuluh betapa Mohd. Ali adalah antara penyokong setia Abdullah di dalam apa jua situasi selama ini selain daripada Mohd. Nazri Aziz, Muhammad Mohd. Taib, Azalina Othman, Mahdzir Khalid dan Annuar Musa.

9) Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya sudah terlambat segalanya. Dia patut kelihatan 'berani' melawan hujah Dr. Mahathir sejak pertengahan 2006 itu lagi, menjawab segala persoalan Dr. Mahathir tentang isu-isu melibatkan jambatan bengkok, penjualan MV Augusta dengan nilai satu Euro, penguasaan ganjil ECM Libra (si tikus) terhadap Avenue Capital (si gajah), kehebatan Scomi dalam meraih kontrak-kontrak perniagaan dan peranan terbuka Khairy Jamaluddin terhadap pentadbiran negara. Jika Abdullah 'berani' bersuara sejak dahulu, ada kemungkinan rakyat masih menyokong beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia dan tidaklah martabatnya kelihatan cukup rendah di mata kebanyakan rakyat Malaysia sehingga menyebabkan 49% daripada pemilih tidak sudi untuk mengundi Barisan Nasional pada 8 Mac 2008 yang lalu.

10) Abdullah mahu menggunakan sisa-sisa pentadbirannya selama 5 bulan ini (Oktober 2008 - Mac 2009) untuk melakukan pelbagai 'reform' (perubahan). Niatnya memang kelihatan baik dan terpuji. Malangnya, rakyat bukan mudah untuk dipermainkan dengan kata-kata manis penyedap hati. Abdullah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada tanggal 31 Oktober 2003. Selama 5 tahun ditampuk kekuasaan, beliau cukup mengecewakan rakyat jelata. Adakah Abdullah mempunyai kuasa AJAIB untuk melakukan segalanya yang terbaik di dalam tempoh 5 bulan ? Kepada Tuhan kita berserah ....

Neba2020: Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak perlu menjauhkan dirinya daripada 'sindrom Badawi.' Sindrom suka bersenyap diri, malas mengulas, cakap berubah-ubah, keputusan tidak tetap dan baik tidak bertempat kepada golongan oportunis. Andai Najib mahu kehadirannya dibanggai dan dirasai oleh rakyat juga digeruni dan dikagumi lawan maka janganlah segan silu untuk mencampurkan resipi 'sindrom Razak' dan 'sindrom Mahathir' disamping 'rencah-rencah' ciptaannya sendiri. Tidak salah meniru apa yang baik daripada berlagak 'bodoh sombong.' !

Friday, October 17, 2008

4 Tahun Menjadi Pendidik di MMU

Salam Buat Semua,



1) Tidak pernah walau sekali saya berkongsi 'wajah-wajah' diri ini sejak InspiRasi 1982 ~~ mula 'bercerita' di akhir tahun 2006. Bukan niat mahu menyombong diri ataupun segan diri tidak cukup 'manis dan comel' tetapi biarlah para pembaca juga pengunjung lebih mengenali 'pemikiran dalaman' saya berbanding dengan 'fizikal luaran' yang tidak seberapa ini.

2) 18 Oktober 2004, saya mulakan penitian sebagai seorang pendidik, berusia 22 tahun 10 hari sewaktu mula melapor diri sebagai pekerja di Multimedia University (MMU).

3) Gambar pertama diambil di hari konvokasi ijazah sarjana muda pada 25 Julai, 2004.

4) Gambar di tengah diambil pada 23 Mac 2004 di hadapan bangunan Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang, MMU Melaka. Di sebelah kiri sekali ialah Malcolm Teo (Johor Bahru) dan diikuti Najib (Kluang), Wee Han (Kuching) dan Shanmugam (Seremban). Kesemuanya adalah rakan-rakan sekelas yang cukup rapat lagi mesra.

5) Gambar terakhir pula diambil pada tanggal 6 Januari, 2004. Lokasinya adalah di tepi padang MMU, Melaka.

Di sini ianya bermula, dan saya masih di sini ...

Neba2020: Kami guru Malaysia, Berikrar dan berjanji ... Mendidik dan memimpin, putera puteri negara kita ... Pada Seri Paduka, kami tumpahkan setia ... Rukun Negara kita, panduan hidup kami semua ... Di bidang pembangunan, kami tetap bersama ... Membantu, membina, negara yang tercinta ... Amanah yang diberi, kami tak persiakan ... Apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan ...

Thursday, October 16, 2008

Kisah-Kisah Wei Loon 'besar' & Wei Bing 'zirafah'

Salam Buat Semua,


1) Goh Wei Loon si budak Kuala Terengganu yang kelihatan jauh lebih sihat daripada 'cikgu' kesayangannya ini, Ho Wei Bing si budak Seremban pula cukup terserlah ciri-ciri zirafahnya sehingga 'abang' tak sedarah berlainan bangsanya ini terasa amat tidak cukup tinggi.

2) Seorang menuntut bidang Perbankan dan Kewangan di MMU, Melaka manakala seorang lagi meneruskan alam ijazahnya di MMU, Cyberjaya di dalam bidang Kewangan dengan Multimedia. Mereka berdua adalah 'budak-budak' nakal (nakal tapi bijak juga baik hatinya ...) lepasan SPM yang saya didik di alam Pengajian Asas, MMU pada pertengahan ke 2 tahun 2006.

3) Seperti akhir semester lepas, Wei Bing 'turun' lagi ke Melaka dan berterusan menjadikan agenda untuk menemui 'bekas pensyarahnya' yang seorang ini sebagai satu kewajipan. Saya seakan menjadi 'abang' bagi jejaka Cina ini, tempat berkongsi segala macam kisah suka mahupun duka tanpa berselindung apa jua. Saya bebas membidas, memerli, memuji mahupun mengeluarkan sebarang idea kepadanya. 2 tahun mengenali Wei Bing, semakin saya memahami perangai juga pemikirannya ! Dalam nakal-nakal, lembut jiwanya. Dalam bergaya ala-ala model, berisi juga otaknya.

4) Si Wei Loon ini pula seakan sudah menjadi 'peminat setia' Cikgu Fendi ! Setahun setengah sebelum dia memulakan 'projek tahun akhir,' Cikgu Fendi sudah ditempah untuk menjadi 'Tuan Penasihat.' Dia kuat berusaha, makin lama semakin kuat saya lihat semangatnya untuk menjadi 'pakar kewangan !' Cikgu amat bangga dengan kamu ! Kamu juga terlalu banyak mendoakan melalui kata-kata supaya Cikgu kamu ini menjadi Pak Menteri suatu hari nanti ! Kelakar sungguh anak murid saya yang seorang ini.

5) Sebelum kami makan tengahari bersama, ada ayat daripada mulut Wei Loon yang sungguh memberikan kesan kepada saya ...

6) 'Saya tak makan sushi, tak boleh masuk ... Tapi saya punya mulut boleh makan asam pedas, yang pedas-pedas makan, Melayu punya semua boleh !'

7) Selepas makan tengahari, Wei Bing membuatkan saya tersenyum dalam hati dan bersyukur kepada Tuhan. Jam ketika itu menunjukkan sedikit melebihi angka 2. Sewaktu kami hampir berpisah, saya mengatakan yang saya mahu pulang ke rumah. Dia terus mengeluarkan kata-kata ...

8) 'Sudah sembahyang ke belum, biasanya waktu macam ini Muslim pergi sembahyang. Masa saya dekat Khidmat Negara dulu, tengok semua Melayu pergi sembahyang lepas makan tengahari. Setiap hari macam itu. Jadi saya tahu waktu kamu semua kena sembahyang.'

9) Saya katakan pada Wei Bing waktu Zohor bermula kira-kira jam 1 tengahari lebih sedikit dan akan tamat pada jam 4 petang lebih sedikit. Saya biasanya akan lakukannya sebelum jam 3 dan tidak mengapa terlewat sedikit andai ada sebab yang sepatutnya. Saya dapat bayangkan betapa andai dia menjadi bos besar suatu hari nanti, sensitiviti penganut agama Islam akan dijaganya sebaik mungkin. Wei Bing, tahniah ! Tahniah juga kepada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) !

10) Buat Wei Loon dan Wei Bing, kita menjadi rapat bukan semata-mata kerana kita ditemukan sebagai anak murid dan gurunya pada tahun 2006 itu tetapi kita menjadi rapat kerana kita buktikan bahawa perpaduan kaum mahupun perkongsian itu bukan sekadar di papan tanda ataupun di bibir ahli-ahli politik. Kita menjadi akrab, mesra dan bebas bergaul tanpa sedikitpun rasa prejudis juga segan silu kerana kita saling memahami dan menghormati keistimewaan bangsa dan agama masing-masing ! Hidup Malaysia !

Neba2020: Saya sayang anak-anak didik saya ! Semuanya harapan bangsa dan agama ! Andai Cikgu sampai ke pencen sekadar mampu menjadi pensyarah biasa di universiti tetapi kalian pula nanti berjaya menjadi CEO, Menteri, Jutawan, Pakar Kewangan dan Ekonomi mahupun Pengurus terbilang, itulah kebanggaan besar manusia yang kamu panggil Mr. Fendi / Sir Fendi ini sewaktu di MMU ....

Wednesday, October 15, 2008

Ringkas Saja .... : Peperiksaan Akhir

Salam Buat Semua,

1) Para pelajar saya sedang menjalani peperiksaan akhir semester (Trimester I sessi 2008 / 2009), semuanya sedang bertungkus-lumus belajar sebaik mungkin dengan pelbagai matlamat.

2) Ada yang ingin mencapai tahap cemerlang lagi terbilang, mendapat gred A dalam semua subjek sekaligus berada di tahap kelas pertama.

3) Ada yang ingin mengekalkan kedudukan 'CGPA 3' dan ke atas, puratanya memperoleh gred B untuk setiap subjek yang diambil.

4) Ada juga golongan yang mempunyai matlamat untuk lulus sahaja, tiada gagal dalam mana-mana subjek sekaligus dapat menamatkan pengajian dalam tempoh 'kebiasaan' yang disyorkan universiti. Untuk lulus, hanya gred C yang diperlukan iaitu memperoleh peratusan minima sebanyak 50% bagi setiap subjek.

5) Kerana ikhtiar dan matlamat pelajar adalah berbeza maka terjadilah 3 kelompok tersebut. Masing-masing mempunyai 'tekanan tersendiri' dalam mencapai 'impian' di hati.

Neba2020: Ikhtiar dan matlamat sendiri bukanlah penentu utama kepada tercapainya apa yang diidamkan. Ingatan kepada Tuhan, restu ayah juga ibu dan semangat diri juga wajar diambil kira dalam proses mencapai apa yang diinginkan itu ....

Saturday, October 11, 2008

Ringkas Saja .... : Pilihan-Pilihan (UMNO)

Salam Buat Semua,

1) Bersempena dengan musim pencalonan untuk jawatan-jawatan tertinggi UMNO di 191 bahagian serata Malaysia (kecuali Sarawak yang UMNO tidak bertapak) yang berjalan selama sebulan bermula 9 Oktober 2008, berikut adalah pilihan InspiRasi 1982 ~~ :

Presiden - Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak (Pahang)

Timbalan Presiden - Tan Sri Muhyiddin Yassin (Johor)

Naib Presiden - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Johor), Datuk Seri Dr. Rais Yatim (Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Dr. Mohd. Zahid Hamidi (Perak)

Ketua Pemuda - Datuk Mukhriz Mahathir (Ahli Parlimen Jerlun, Kedah)

Naib Ketua Pemuda - Razali Ibrahim (Ahli Parlimen Muar, Johor)

Ketua Wanita - Tan Sri Rafidah Aziz (Perak)

Naib Ketua Wanita - Datuk Seri Shahrizat Jalil (Wilayah Persekutuan)

2) Nama-nama 'besar' yang diharapkan tidak tersenarai terus di dalam sebarang jawatan UMNO di bawah era Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kelak - Tan Sri Muhammad Mohd. Taib (kini Ketua Penerangan), Datuk Seri Nazri Aziz (kini Ahli Majlis Tertinggi), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (kini Naib Presiden), Datuk Seri Mahdzir Khalid (kini Pengerusi Perhubungan Kedah), Khairy Jamaluddin (kini Naib Ketua Pemuda), Datuk Zaid Ibrahim (bekas Ketua UMNO Kota Bahru yang pernah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin), Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad (Pemenang jawatan Naib Presiden pada pemilihan tahun 2000 dengan undi tertinggi tetapi didapati bersalah mengamalkan politik wang), Datuk Seri Mohd. Zulhasnan Rafique (kini Pengerusi Perhubungan Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kini Setiausaha Agung), Datuk Mohd. Azim Zabidi (kini Bendahari) dan Tan Sri Annuar Musa (kini Pengerusi Perhubungan Kelantan).

Neba2020: UMNO akan bangkit ! Kepada barisan kepimpinan baru kelak, telesurilah sedalamnya dengan penuh keinsafan akan cogan kata 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' itu ....

Thursday, October 9, 2008

Abdullah Ahmad Badawi - Di Hujung Garisan

Salam Buat Semua,

1) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akhirnya berada di bumi yang nyata dengan mengambil keputusan bijak untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO di pemilihan parti tersebut yang dijadualkan pada Mac 2009. Secara automatiknya, beliau akan mengosongkan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang secara tradisinya dipegang oleh Presiden UMNO sekaligus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia tercinta ini.

2) Pak Lah adalah aset kepada pembangkang dan kehadiran beliau sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri telah memberikan sinar harapan yang cukup besar kepada gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP. Barisan 3 parti tersebut kini secara tidak rasminya dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

3) Kejayaan Pakatan Rakyat yang berjaya menguasai 6 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) dan menafikan BN majoriti 2 pertiga di Parlimen sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac 2008 sebenarnya banyak bergantung kepada penolakan rakyat terhadap pelbagai polisi dan 'pendekatan tidak popular' yang dipraktiskan Pak Lah selaku Perdana Menteri.

4) Majoriti daripada rakyat adalah terdiri daripada golongan 'di atas pagar' yang mengundi berdasarkan sentimen semasa dan bukan merupakan penyokong tegar (kuat) kepada mana-mana 'mazhab politik.' Golongan ini dipercayai menguasai hampir 50% daripada jumlah pengundi di Malaysia, mengundi bukan kerana menyokong parti politik tetapi mengundi berdasarkan keadaan semasa negara juga melihat kepada keadaan diri sendiri mahupun keluarga.

5) BN ditolak oleh 49% pengundi (disokong oleh 51% rakyat) kerana tahap 'meluat' dan tidak senang hatinya mereka kepada prestasi juga cara kerajaan BN sejak berakhirnya PRU 2004. Pilihan raya tersebut dijalankan semasa Pak Lah baru sahaja menjadi Perdana Menteri, 1001 harapan dan janji-janji manisnya berjaya meresapi jiwa para pengundi sehinggakan parti-parti pembangkang kelihatannya mencecah situasi 'gulung tikar.'

6) 4 tahun berlalu, Pak Lah seakan semakin hilang arah dengan gaya pentadbirannya yang penuh dengan hura dan hara, tiadanya konsistensi dalam membuat keputusan, kurangnya inisiatif untuk mendekati hati dan perasaan rakyat, sikap terlebih mesra dan mudah diperdaya oleh sektor korporat, gagal mengekalkan era Malaysia yang 'berani bersuara', kurangnya sensitiviti Pak Lah terhadap masalah golongan pertengahan, kelemahan beliau dalam mengurus imej peribadi mahupun ahli keluarganya dan pergantungan yang terlebih-lebih kepada individu-individu tertentu dalam membuat keputusan. Inilah faktor-faktor yang berjaya menjunamkan imej Pak Lah sebagai Perdana Menteri sekaligus membawa kepada peralihan rakyat kepada alternatif lain iaitu dengan mengundi parti selain BN yang ketuanya bernama Abdullah Ahmad Badawi.

7) Pak Lah juga seakan lupa kepada tugasnya sebagai Presiden UMNO. Beliau lupa bahawa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia adalah di atas kapasitinya sebagai Pengerusi BN yang secara mutlaknya adalah Presiden UMNO selaku ketua kepada parti terbesar di dalam komponen BN itu.

8) Presiden UMNO bermakna 'ketua' kepada bangsa Melayu kerana majoriti orang Melayu adalah pendokong UMNO dan UMNO adalah satu-satunya parti yang berani mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah parti untuk orang Melayu. Maknanya, Pak Lah mempunyai tanggungjawab dan amanah yang besar untuk 'menjaga, memelihara dan memartabatkan' Melayu secara keseluruhannya. Budaya Melayu wajib dijaga Pak Lah, agama Islam wajib diutamakan Pak Lah, kedaulatan Melayu wajib dipelihara Pak Lah, masalah Melayu wajib ditangani Pak Lah, masa depan anak-anak Melayu yang gemilang wajib disemai Pak Lah dan kedaulatan Raja-Raja Melayu wajib Pak Lah semarakkan selalu. Paling penting, sensitiviti Melayu wajib dikawal rapi Pak Lah !

9) Apabila Pak Lah selaku Presiden UMNO gagal menjalankan tugasnya dengan cemerlang kerana terlalu dihenjut oleh kepercayaannya bahawa 'Saya adalah Perdana Menteri' dan 'Rakyat menyokong saya,' maka Pak Lah telah kehilangan sokongan asasnya iaitu bangsa Melayu itu sendiri. Pemahaman tentang asas-asas berdirinya seseorang itu sebagai Perdana Menteri ini adalah wajib ditelusuri sebaiknya oleh pengganti beliau kelak. Tiang seri jawatan Perdana Menteri itu adalah Pengerusi BN manakala cerucuk utama bagi jawatan Pengerusi BN itu pula adalah Presiden UMNO. Tiang seri akan runtuh andai cerucuknya tidak kukuh apabila tanah-tanah di sekeliling cerucuk mula menolaknya kerana merasakan cerucuk itu tidak tahu 'menjaga hati' tanah-tanah yang mengelilinginya !

10) Apabila teras sokongan itu tidak berjaya dikawal juga dibajai dengan baik maka jadilah Pak Lah seorang Perdana Menteri yang tidak kukuh kedudukannya, tidak digeruni, tidak dipercayai dan tidak diyakini rakyat jelata. Lebih menyedihkan, Pak Lah selalu sahaja dijadikan bahan jenaka untuk ditertawakan segelintir rakyat yang secara sinis mengaitkan beliau dengan kata-kata seperti 'kaki tidur, malas membaca, cepat letih, 'flip-flop' dan ketua boneka.'

Neba2020: Presiden UMNO ke 7 akan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 6, kepada Tuhan kita berserah. Ketentuan Tuhan tiada siapa yang mampu mengatakan tidak dan tiada siapa pula mampu menafikannya ...

Tuesday, October 7, 2008

26 Tahun: Yang Negatif, Yang Positif !

Salam Buat Semua,

1) Terasa seolah baru sahaja ulang tahun kelahiran yang ke 25 diraikan juga disyukuri seadanya, 8 Oktober muncul kembali. Pantas sungguh masa beredar, kadang-kadang terasa terlalu banyak yang hendak dilakukan masih jauh daripada 'titik permulaannya' juga tidak terkejar dek kemampuan diri sendiri.

2) Apabila umur menginjak naik, semakin kuat jiwa 'bertengkar' dengan diri sendiri. Kehendak diri mula melakukan penilaian spontan terhadap 'pencapaian-pencapaian' semasa untuk usia-usia yang telah ditinggalkan. Seterusnya, pelbagai agenda 'masa hadapan' mula direncanakan tentang cara dan kaedah yang terbaik untuk 'memanfaatkan' usia seterusnya yang baru muncul. Itulah yang normal berlaku di dalam kehidupan kita yang bernama manusia ini. Setiap tahun, rutin tersebut tanpa kita sedari akan menguasai diri sendiri.

3) 8 Oktober 2008 adalah permulaan fasa ke enam dalam penitian hidup saya. Andainya diri ini disamakan dengan Malaysia tercinta, maka bermakna saya sedang berada di garisan permulaan 'Rancangan Malaysia ke Enam - RMK 6.' Semestinya kehidupan ini akan memberikan kita sesuatu yang berbeza dan berlainan susun atur juga program-programnya sewaktu kita melalui fasa-fasa yang berbeza. 5 tahun bolehlah dijadikan penanda aras kepada 'program-program pembangunan dan pembaikan' yang dilaksanakan untuk diri sendiri.

4) Proses penilaian diri sendiri, mengenal pasti tentang sifat-sifat positif juga negatif yang 'bersarang' di dalam keperibadian sewajarnya dijadikan 'titik permulaan' kepada segala bentuk 'RMK' yang hendak digubal buat panduan diri sendiri dalam menuju 1001 kebaikan mahupun kejayaan yang diidam-idamkan itu.

5) Sifat-Sifat Negatif Saya

- Mudah merasa rendah diri - Tidak berani untuk mencuba sesuatu yang baru - Sentiasa merasakan orang akan mengeji atau memandang rendah kepada diri ini jika membuat kesilapan atau tidak setara dengan pencapaian orang lain - Malu untuk bergaul dengan orang-orang yang baru dikenali juga berkedudukan -Tidak suka kepada aktiviti-aktiviti luaran yang bersifat fizikal dan kemahiran - Terlalu percaya kepada seseorang yang mahir di dalam bidangnya sehingga tidak yakin untuk melakukan apa yang mereka buat tanpa kehadiran mereka - Lebih berminat memikirkan kesudahan yang negatif berbanding membayangkan satu kesudahan yang positif - Sikap berjaga-jaga / berwaspada yang ekstrim sehingga amat sukar membuat keputusan - Sukar mempercayai kebolehan orang lain di dalam perkara yang diri sendiri dapat kuasai dengan baik - Mudah sensitif dengan kata-kata dan juga aksi orang-orang di sekeliling.

6) Sifat-Sifat Positif Saya

- Sentiasa yakin kepada kebolehan dan kemampuan sedia ada yang dimiliki diri ini - Tidak mudah mengalah dengan kritikan juga hentaman yang diterima akibat daripada pendapat mahupun idealisme peribadi - Bercita-cita untuk memakmurkan bangsa, agama dan negara - Tidak pernah mengimpikan kehidupan kaya-raya, juga langsung tidak terniat untuk menjadi tokoh korporat - Sentiasa memikirkan kesan perbuatan dan hala tuju kehidupan yang diambil terhadap perasaan juga restu daripada ibu dan ayah - Mempunyai nilai-nilai patriotik yang memuaskan, berasa betapa Negara dan bangsa adalah satu amanah Tuhan yang perlu dijaga rapi seadanya - Mudah kasihan kepada mereka yang tidak bernasib baik di dalam kehidupannya - Sentiasa tersedar diri apabila mahu membuat sesuatu yang tidak baik.

7) Seterusnya, ke mana kamu di dalam tempoh 5 tahun yang mendatang ini? Tepuk dada, bukalah mindamu wahai Fendi, cantumkan segala sifatmu yang 'pahit lagi masin' itu dengan aneka sifat yang 'manis juga berlemak' buat membina satu resipi yang cukup rasanya buat menghadirkan senyuman penuh bermakna di kemudian hari nanti ! Yakin boleh, Tuhan sentiasa membantu !

Nota-Nota Istimewa Sempena Ulang Tahun Kelahiran:

8) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diramalkan akan mengundur diri sebagai Perdana Menteri selewatnya pada Mac 2009 sekaligus tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO. Semestinya ini adalah hadiah hari jadi yang cukup berharga buat saya ! Saya tidak pernah membenci Abdullah Ahmad Badawi tetapi saya tidak yakin masa depan bangsa dan negara saya akan terbela di bawah pentadbirannya, itu sahaja.

9) Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatannya semakin 'merapu' dengan 1001 alasan dan kata-kata indah tentang peralihan / 'rampasan' kuasa yang ditajanya melalui Pakatan Rakyat. Anwar yang pada mulanya kelihatan 'logik' kini sudah mula kelihatan memualkan sekaligus membuatkan satu negara 'letih dan penat' dengan drama-drama yang dicetuskannya tanpa henti. 'Kegagalan' Anwar untuk merealisasikan cita-citanya juga merupakan hadiah manis buat saya pada tahun ini.

10) Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tanpa disedari kelihatannya telah cuba 'dipinggirkan' oleh pihak-pihak tertentu selama hampir 5 tahun akhirnya mula mendapat semula 'keramatnya.' Doa saya kepada Tuhan agar Negarawan ulung ini tidak terpinggir dan tidak terhina seolah ada 'petunjuknya.' Dr. M kini telah mula 'didengari' dan dihormati selayaknya. Ini adalah hadiah paling besar buat saya di permulaan usia 26 ini !

Neba2020: TERIMA KASIH TUHANKU, Nikmat KurniaanMU Kepadaku Tak Terbilang Dek Jemari, Seandainya Helaian Rerambutku Di Kira Satu-Persatu Sekalipun, Maka KebaikanMU Terhadapku Untuk 25 Tahun Yang Telah Berlalu Itu Adalah Beribu Ganda Jumlahnya Daripada Helaian-Helaian Tersebut. Moga Aku dan Keluargaku Sentiasa Di Bawah Naungan Nikmat Dan RahmatMU ... Moga Bangsa, Agama dan Negaraku Ini Sentiasa Kau Lindungi Dan Peliharai Pada Setiap Detik Dan Ketika ...