Monday, March 30, 2009

Parti dan Rakyat Menguasai Kerajaan

Salam Buat Semua,

1) UMNO sudah memiliki Presiden baru. Mohd. Najib Abdul Razak kelihatannya 'berbeza' dengan Presiden yang ke 6. Dia seakan memahami siapa dirinya yang sebenar.

2) Mohd. Najib sedar dan insaf betapa dia adalah Presiden UMNO, UMNO itu bererti Parti Kebangsaan Melayu Bersatu.

3) Mohd. Najib dengan jayanya 'menimbulkan' semula terma parti menguasai kerajaan. Ungkapan ini seakan 'tenggelam jauh' selama 5 tahun setengah Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) mengetuai saf kepimpinan UMNO.

4) Mohd. Najib berikrar untuk merealisasikan konsep parti menguasai kerajaan. Mudah kata, UMNO menguasai kerajaan dan UMNO mengepalai pentadbiran negara.

5) Zaman Pak Lah menyaksikan konsep tersebut diterbalikkan tanpa disedari. Kerajaan menguasai parti, paksi menjadi lemah dan akhirnya kerajaan hampir tersungkur.

6) Presiden UMNO sewajarnya mengutamakan parti dan kehendak rakyat yang mendokong parti. Presiden UMNO patut sedar bahawa dia menjadi Perdana Menteri kerana dia adalah Presiden UMNO dan UMNO itu adalah parti yang mewakili bangsa Melayu. UMNO juga adalah parti terbesar keahliannya di Malaysia dengan sokongan padu lebih 3 juta anggota berdaftar.

7) Presiden UMNO wajar mengutamakan sensitiviti ahli-ahlinya secara khusus dan bangsa Melayu secara amnya. Apabila beliau berjaya 'menjaga hati dan perasaan' bangsa Melayu maka penguasaan parti terhadap kerajaan akan menjadi kuat.

8) Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kuat (suka mahupun tidak) datangnya daripada parti UMNO yang kuat lagi berkarisma di mata pendokongnya. MCA, MIC, GERAKAN dan keseluruhan parti-parti komponen BN akan mendapat 'tempias' yang baik apabila tunjangnya (BN) menjadi kuat.

9) Mohd. Najib kini menambahkan terma 'RAKYAT' kepada ungkapan parti menguasai kerajaan itu. Mohd. Najib kelihatannya akan cuba memahami kehendak dan perasaan rakyat. Menang menawan sanubari rakyat (masyarakat Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya) maka UMNO akan menjadi kuat, kerajaan BN juga secara automatik menjadi kukuh dan tidak mudah digoyahkan sesiapa.

10) Kuatnya kerajaan BN maka segala program pembangunan menuju Misi Nasional mahupun Wawasan 2020 akan dapat dijalankan dengan lebih kemas, aman, sentosa dan teratur.

Neba2020: Bersatu, Bersetia, Berkhidmat ... Perpaduan Teras Kejayaan, Bersatu Menuju Wawasan Demi Malaysia Tercinta ...

No comments: