1) Penyelia PhD. saya memperoleh ijazah tertingginya di Jepun. Dia ini suka memberikan saya semangat dan cukup menghormati setiap pandangan anak muridnya ini. Keyakinannya terhadap saya adalah tinggi dan dia mahu segalanya pantas. Saya dapat 'hidu' betapa dia banyak terikut dengan cara kerja orang Jepun.
2) Tuan Professor pertama yang mengendalikan kelas 'Research Methodology' (Kaedah Penyelidikan) memperoleh PhD. di Britain (UK). Pemikirannya cukup menyeluruh, semuanya di lihat daripada aspek 360 darjah. Dia cukup teliti dalam berfikir, tidak sesekali menjadikan waktu sebagai sesuatu yang perlu dikejar. Tuan Professor ini mudah 'menghentam' idea-idea saya, hentaman yang membina dan bagus juga untuk perkembangan pembelajaran saya. Malangnya, dia agak sukar untuk menerima pendapat saya yang 'kerdil' ini.
3) Tuan Professor kedua yang mengemudi kelas tersebut adalah lulusan PhD. keluaran Amerika Syarikat (US). Dia seorang yang fleksibel, berpemikiran terbuka, tidak taksub kepada sesuatu cara tertentu dan mudah dibawa berbincang. 'Keluaran' negara Uncle Sam ini nampaknya tidak begitu serius luarannya dan cukup menyenangkan, terasa tiada jarak pemisah yang kuat di antara seorang penuntut PhD. dengan dirinya yang bergelar Professor Doktor dengan pengalaman mengajar mencecah 20 tahun.
4) Saya baru sahaja memulakan perjalanan mengejar ijazah doktor falsafah, sesuatu yang terlalu kerap diangankan sejak di bangku sekolah lagi. Ketika itu saya terlalu seronok dan bangga mendengar nama-nama seperti 'Dr. Mahathir Mohamad, Dr. Zeti Aziz, Dr. Fadzillah Kamsah, Dr. Haron Din dan Dr. Mashitah Ibrahim' begitu popular lagi dihormati ramai. Saya fikir saya juga mahu bergelar 'Dr. Fendy.' Terasa bahagia sangat andai saya dapat membuatkan Emak dan Encik (ayah) tersenyum melihat anak bongsu mereka ini mengecap status taraf pendidikan tertinggi itu.
5) Program PhD. saya hanyalah berjalan di sebuah institusi pendidikan tempatan sahaja. 'Universiti kampung' sahaja. Saya tidak menyesal dan langsung tidak pernah kepingin untuk 'lebih' daripada itu. Menarik untuk saya renungkan betapa penitian awal PhD. saya di institusi tersebut telah menemukan diri ini dengan tiga individu berpengalaman yang mendapat PhD. mereka di 3 negara yang berbeza. Setiap satunya, berlainan cara dan berbeza pendekatan. Walau saya hanya membuatnya di Malaysia tetapi saya mendapat acuan cara dan gaya daripada 3 negara yang hebat. Kerja mesti laju seperti cara Jepun, berfikir mesti serius dan utamakan kualiti seperti cara UK dan pemikiran mesti stabil, tenang selalu dan pentingnya fleksibiliti dalam mengolah minda seperti cara US.
Neba2020: Kadang-kadang satu cara itu betul, tapi banyak masanya satu cara itu tidak berapa betul ....
No comments:
Post a Comment