1) Saya percaya akan ada sinar baru buat UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. UMNO belum kalah, masih mendapat sokongan majoriti bangsa Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya. UMNO cuma mengalami masalah 'sokongan yang terhakis' dan kelihatan goyah di bawah kepimpinan yang hambar lagi kekurangan karisma peribadi di antara tempoh 2004 dan 2008.
2) Mohd Najib bukan seorang yang lemah, dia bijak berkomunikasi dan ada karismanya yang tersendiri. Mohd Najib juga mempunyai sokongan padu daripada pencinta istimewanya. Majoriti anggota tentera, bekas tentera, cikgu-cikgu era 1990an, peneroka-peneroka FELDA dan masyarakat di Pekan, Pahang cukup menyanyangi Mohd Najib. Para pengkagum Tun Abdul Razak juga berada di belakang Mohd Najib. Jutaan manusia daripada kelompok-kelompok inilah yang setia di belakang Mohd Najib dan sentiasa mendoakannya.
3) Kerana 'takut dan gentar' kepada karisma Mohd Najiblah, pakatan pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu mencemburui Mohd Najib.
4) Maka misi untuk 'menamatkan' kerjaya politik Mohd Najib dijalankan Anwar dan konco-konconya. Anwar khasnya dan PKR amnya memang tidak mahu Mohd Najib 'tertabal' sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dia mahukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) terus menjadi Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti (sekitar 2012). Pak Lah adalah 'aset' berharga Anwar, kepimpinan BN di bawah Pak Lah sudah pasti akan menjadi sebab kepada ternobatnya Anwar sebagai Perdana Menteri ke 6 seusai PRU 13 nanti !
5) Maka Anwar dan konco-konconya melakukan serangan bertubi-tubi kepada Mohd Najib di sepanjang tempoh 2006 dan awal 2009. Pelik bin ajaib, Pak Lah tidak diserang walhal dia adalah Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Strategi Anwar memang licik dan penuh taktikal. Dia 'sayangkan' Pak Lah tetapi dia sedar betapa Mohd Najib bukan seperti Pak Lah.
6) Anwar sedar betapa Mohd Najib adalah pemimpin yang bijak, berwawasan, pandai mengambil hati rakyat dan memiliki 'nama' yang agung (ehsan bapanya, Tun Abdul Razak).
7) Lihat kembali kepada sejarah UMNO. Anwar sebenarnya sejak dahulu lagi telah menghidu sekaligus mengiktiraf keupayaan dan juga bakat politik Mohd Najib. Dia sebenarnya hormat dan yakin kepada Mohd Najib.
8) Mohd Najib adalah insan yang direstui Anwar untuk menggantikannya sebagai Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1987. Anwar merestui Mohd Najib untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO selepas dia mengambil keputusan untuk bertanding ke jawatan Naib Presiden.
9) Pada tahun 1993 sewaktu Anwar mengambil keputusan untuk mencabar Tun Abdul Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, siapakah yang disokong sebagai orang kanannya di dalam Pasukan Wawasan? Jawapannya ialah Mohd Najib. Anwar menyokong Mohd Najib untuk meraih kedudukan sebagai Naib Presiden parti. Mohd Najib jugalah yang dipercayai akan dipilih Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri andai Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan 'takhta' Perdana Menteri kepadanya.
10) Anwar sebenarnya sudah lama mengetahui kekuatan, keupayaan dan populariti menggunung Mohd Najib. Dia sedar dan dia cukup memahaminya. Lantaran itu, dia menjadi ketua kepada 'pasukan khas' untuk meranapkan karier politik dan imej peribadi Mohd Najib. Anwar bukan bodoh, dia adalah manusia yang cukup bijak berstrategi, baik ataupun buruk ....