Thursday, January 1, 2009

2009 : Umur Yang Bertambah Atau Umur Yang Mengurang ?

Salam Buat Semua,

1) 2009 muncul, satu lagi tahun akan dijalani dan dihadapi. Tahun baru sebenarnya tiadalah apa-apa yang istimewa. Tahun baru hanyalah sambungan kepada hari-hari biasa yang ditempuhi sebelum 1 Januari, tiada pertambahan minit dan tiada juga sebarang perbezaan mendadak yang berlaku kepada perjalanan hidup kita.

2) Istimewanya tahun baru mungkin timbul apabila majoriti di antara kita yang menjadikannya sebagai detik terbaik untuk menanam azam dan juga kesempatan paling bermakna untuk melakukan perubahan juga pembetulan terhadap diri sendiri. Apa yang tidak betul selama ini cuba dibetulkan dan apa yang tidak berapa manis sebelum ini cuba pula dimaniskan !

3) Secara peribadi, saya tidak mempunyai sebarang azam yang spesifik untuk tahun 2009 ini.

4) Tahun 1997, saya mula tahu erti menanam azam. Ingin mendapat 8A di dalam PMR. Saya tutup tahun 1997 dengan rasa penuh 'terhormat' dan gemilang. Gagal mendapat keputusan penuh A sewaktu UPSR tidak bermakna saya akan gagal lagi.

5) Azam tahun 1999 ialah untuk memperoleh Aggregat 6 di dalam SPM. Tetapi menjelang pertengahan tahun, saya seakan sedar betapa 'kudrat dan upaya' diri tidak mampu untuk mengejarnya. Saya cukup aktif dengan aktiviti-aktiviti 'cakap-cakap' seperti pertandingan Forum Remaja dan Debat Ala Parlimen. Persediaan untuk bertanding dari peringkat daerah ke negeri dan seterusnya kebangsaan sememangnya cukup menguji 'daya tahan' diri sendiri. Di antara minat dan persediaan untuk SPM, terpaksalah kesemuanya dihadapi dengan penuh sabar dan yakin diri yang kuat.

6) Sewaktu di Tingkatan 5 jugalah saya menjadi Pengerusi Tingkatan, Pengerusi Kelab Pengguna, Timbalan Pengerusi Kelab Pengerusi-Pengerusi Tingkatan dan A.J.K Persatuan Sains.

7) Tidak cukup dengan Forum Remaja yang 'membawa' saya ke 'pertarungan' peringkat kebangsaan dan Debat Ala Parlimen yang 'kandas' di peringkat separuh akhir negeri Johor, kenangan zaman akhir sekolah menengah itu ditambah juga dengan mewakili sekolah ke pertandingan Kuiz Pengguna, Kuiz Perdana, Kuiz Sains dan Kuiz Agama. Kuiz Perdana, Kuiz Sains dan Kuiz Agama membawa kemenangan peringkat daerah manakala Kuiz Pengguna pula 'rezekinya' di bawah sang juara. Kuiz Agama membawa saya ke peringkat negeri Johor, Kuiz Perdana dan Kuiz Sains pula senyap sepi khabar tentang pertandingan peringkat negeri. Cikgu di sekolah berkata mungkin ditiadakan pertandingannya kerana situasi ekonomi yang meleset ketika itu. Kalau diadakan juga, tidak tahulah bagaimana caranya untuk saya memberi fokus kepada SPM !

8) Kenangan terindah tahun 1999 semestinya apabila diri ini dipilih sebagai personaliti pelajar pilihan di dalam majalah tahunan Sekolah Tinggi Segamat, Ophir namanya. Keputusan SPM dengan pencapaian Aggregat 8 semestinya cukup memberi kepuasan peribadi. Saya sedar, saya tidak mampu untuk mendapatkan sesuatu yang lebih cemerlang kerana saya terlalu rajin 'mengumpul' koleksi pencapaian lain. Saya tetap bersyukur dengan apa yang termampu digapai.

9) Masuk universiti tahun 2000, saya berazam untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti tambahan lainnya. Saya fikir, cukuplah kenangan tahun 1999 itu untuk mengajar saya untuk menjadi 'manusia' yang bukan umpama 'robot' mahupun 'daun kering' semata-mata. Saya berazam untuk sentiasa memperoleh keputusan GPA melebihi 3.5 dan ingin menamatkan ijazah pertama dengan rekod kepujian kelas pertama pada tahun 2004. Doa dan azam yang berlarutan selama 4 tahun itu 'dihadiahkan' penamat yang positif oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Syukur.

10) 2005 saya berazam untuk memiliki kereta sendiri dan menyambung pengajian di peringkat sarjana. Saya mulakan pengajian di dalam bulan April dan saya miliki kereta nasional yang dibanggakan di akhir Oktober.

11) 2006 saya berazam untuk menamatkan pengajian sarjana dengan CGPA yang lebih cemerlang daripada CGPA di peringkat ijazah pertama. Pengajian tamat menjelang akhir tahun dan saya peroleh apa yang dihajati. Terima kasih Tuhanku !

12) 2007 saya berazam untuk menjadi Pensyarah di peringkat ijazah pertama dan juga membuat 'kira-kira' tentang menyambung pengajian Ph.D pula pada tahun 2008. Azam pertama kesampaian di pertengahan 2007, malangnya azam yang ke dua hanya tinggal azam kerana saya tidak cukup serius membuat 'kira-kira' itu. Mulut bercakap, hati berdetik tetapi semangat belum cukup membara ! Azam untuk memikirkan topik kajian yang sesuai dengan minat diri terbengkalai tak berhasil.

13) Tahun 2008, saya mulakannya dengan pendekatan baru. Saya tidak mahu menanam sebarang azam. Saya tidak mahu terikat dengan kemahuan dan kegilaan terhadap sesuatu. Saya mahukan hidup yang tenteram dan bahagia. Hidup yang bersederhana, ingat Tuhan, ingat ibu dan ayah, sayang keluarga, sayang persekitaran dan tenang selalu.

14) 2009 sudah menjelma, tiada azam baru dan tiada apa yang ingin saya tetapkan sebagai yang terpenting. Saya hanya mahu menjadi seorang hamba Tuhan yang tahu bersyukur, anak yang sentiasa ada masa buat ibu dan ayahnya, cikgu yang tidak mengajar sambil lewa dan seorang yang tidak menjadi kebencian orang lain.

15) Semoga 2009 menjadi tahun yang sempurna buat kita semua, penuh dengan kebahagiaan dan lengkap dengan jiwa sayang menyanyangi. Selamat menempuh 2009 !

Neba2020: 365 hari tidaklah lama, 12 bulan sekejap saja akan berlari pergi. Ada yang merasa umur semakin bertambah dan ada juga yang percaya bahawa ketibaan 1 Januari bermaksud umur kita di dunia ini semakin pendek, merapati titik penamatnya ....

1 comment:

Anonymous said...

Apa yang pasti, semakin umur bertambah, kita mengharapkan kematangan turut bercambah...

Moga kita sama-sama bersemangat untuk menggalas dalam mengajar dan mendidik anak bangsa di tahun baru ini...