Thursday, December 18, 2008

'Cucu Pawang Usop Mesti Boleh Jadi Doktor !'

Salam Buat Semua,

1) Encik (ayah) terlalu kerap 'berangan-angan' untuk melihat anak bongsunya ini bergelar 'doktor.'

2) Sejak kecil lagi Encik begitu tekun dan rajin menasihatkan si bongsu ini agar menjadi seorang doktor perubatan.

3) Encik dikenali sebagai 'Mat Pawang' di kalangan rakan-rakan daerah juga masyarakat kampung tempat kami sekeluarga berteduh. Panggilan 'pawang' itu terbit kerana ayah beliau adalah seorang pengamal perubatan tradisional yang cukup terkenal di daerah Segamat sekitar tahun 1940-an dan 1950-an.

4) Kedudukan Tok Usop (Encik kepada Encik) di kira cukup penting. Segala jenis penyakit luaran mahupun dalaman yang melibatkan masyarakat kampung dan kawasan sekitarnya dapat dirawati dengan baik dan berkesan. Sakit fizikal, sakit jiwa, sakit misteri mahupun gangguan mistik semuanya boleh diusahakan untuk dirawati dengan bantuan Tuhan Yang Maha Kuasa.

5) Pawang Usop cukup terkenal di seluruh Segamat. Encik mengatakan bahawa Tok Usop memang sentiasa sebok dengan undangan mengubat pesakit di siang hari mahupun di kala 'dunia sudah kelam dan gelap.' Rumah kediaman si pawang terkenal itu juga seakan menjadi 'hospital' yang sentiasa meriah dengan para pesakit yang mendambakan kepakarannya. Tok Usop meninggal dunia pada tahun 1960 sewaktu Encik baru berusia 11 tahun.

6) Sewaktu kecil, kerap sekali Encik berkata kepada si bongsu ini, 'Tok Usop keturunan Bugis. Orang Bugis keturunannya kalau buat baik-baik akan jadi sama ada pawang, pahlawan ataupun pemimpin kat mana juga dia berada.' Tinggi sungguh nilai motivasi 'ayat keramat' itu bagi saya.

7) 'Encik nak Andi jadi doktor. Cucu Pawang Usop belum ada yang jadi doktor. Anak Mat Pawang mesti boleh jadi doktor.Cucu Pawang Usop mesti boleh jadi doktor !' Berpuluh kali rasanya ayat-ayat ini didengari si bongsu Encik Ahmad Bin Md. Yusof ini di waktu menginjak alam awal remaja dahulu.

8) Semakin saya membesar, saya tidak merasa bahawa bidang perubatan adalah arena yang boleh menjadi minat diri ini. Bermula di alam sekolah menengah, minat saya lebih terarah kepada isu-isu pentadbiran negara, pengurusan kewangan, pembangunan ekonomi dan politik bangsa.

9) Tapi sewaktu di pertengahan sekolah menengah pernah saya katakan pada Encik, 'Andi takkan jadi doktor perubatan tapi Andi akan jadi doktor lain yang lagi tinggi daripada doktor perubatan. Cucu Pawang Usop akan jadi doktor jugak nanti.' Saya lihat Encik tersenyum, saya pasti itu adalah 'restu' daripadanya.

10) Hari ini, 18 Disember 2008 saya mendapat panggilan daripada Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Teknikal Malaysia. Setelah 4 bulan menanti akhirnya jawapan kepastian diterima. Kertas cadangan penyelidikan ('research proposal') akhirnya diluluskan. Saya akan mendaftar pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di universiti tersebut pada tanggal 22 Disember, 2008. Ianya hanyalah satu permulaan bagi 'jejak-jejak' yang penuh liku dan cabaran.

Semoga Tuhan Memberikan Saya Kemampuan dan Kekuatan Untuk Merealisasikan Harapan Encik Untuk Melihat Cucu Pawang Usop Bergelar Seorang Doktor. Niat Saya Adalah Semata-Mata Untuk Encik dan Emak ....

Neba2020: Ph.D bukan segalanya, pencapaian akademik bukanlah jaminan akan kehebatan seseorang insan itu. Kehebatan akan lahir dengan sendirinya andai insan itu dapat menyumbang kepada pembinaan diri insan lain yang positif dan bermatlamat. Insan yang hebat adalah manusia yang mulia jiwanya dan positif perspektifnya terhadap persekitaran. Biar tiada Ph.D asalkan ikatan kekeluargaan adalah rapat dan biar tiada Ph.D asalkan hidup sentiasa tenang penuh kebahagiaan sentiasa ....

6 comments:

Anonymous said...

sir da x mengajar lagi ke?

KJ said...

***Biar tiada Ph.D asalkan ikatan kekeluargaan adalah rapat dan biar tiada Ph.D asalkan hidup sentiasa tenang penuh kebahagiaan sentiasa .... ***

Terasa benar...uhuk uhuk

Idan said...

Salam Fendi...

Tahniah!!! tahniahh!!! saya doakan perjuangan Fendi.

lynda said...

~congrats!!!!~then sir x ajar kat mmu lagi ker???

Helmy Ahmad said...

TAHNIAH!! TAHNIAH!! TAHNIAH!! TAHNIAH!! TAHNIAH!! TAHNIAH!!. Tak sangka akhirnya setelah mendapat 'segulung' master. Fendi menjejakkan lagi satu tapak ke paras 'segulung' Ph.D. Kalau masa di kampus dulu. Ph.D di'akronim'kan dengan Permanent Head Damage. Tapi harap-harap jangan lah terlebih sampai tahap itu. Sekadar gurauan sahaja.

TAHNIAH!!! Kawan kita maju setapak lagi...

fendy_ahmad said...

Salam Buat Semua,

Terima kasih buat anak-anak didik yang mengikuti blog ini, Idan sahabat 'team forum dan debat' di zaman Sekolah Tinggi Segamat dan juga buat Helmy rakan serumah selama 4 tahun di zaman ijazah pertama dahulu...

Anda semua adalah inspiRasi saya !

Buat KJ, walau saya (mungkin juga kita?)'kepingin' PhD tapi saya tidak akan 'gadaikan' masa-masa 'emas' bersama keluarga kerana keluarga adalah segalanya :)Apa sangatlah nilai PhD kalau nak dibandingkan dengan sata-saat tenang dan bahagia bersama keluarga ....