Thursday, December 25, 2008

Azam 2008 : Apa Sudah Jadi ?

Salam Buat Semua,

1) Apa sudah jadi pada koleksi azam tahun 2008 kita? Ingat lagikah kita pada azam-azam tersebut? Mungkin juga azam hanya tinggal azam?

2) Tercapai semuanya? Andai semua yang kita harapkan telah menjadi kenyataan maka seharusnya kita bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa kerana mengizinkan dan memudahkan perjalanan hidup kita sekaligus berjaya meraih segala yang diharapkan untuk dicapai pada tahun 2008.

3) Kita selalu berdoa dan berharap kepada Tuhan supaya kita mencapai apa yang diingini. Malangnya tanpa kita sedari rupa-rupanya kita ini selalu terlupa untuk bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Tuhan apabila kita telah mencapai apa yang kita impikan itu. Sombong sungguh !

4) Mungkin juga kita tidak berjaya merealisasikan 100% yang diazamkan setahun yang lepas tetapi ada juga yang termampu dicapai. Maknanya, kita tidaklah gagal sepenuhnya dalam merancang tetapi mungkin belum sampai masanya rezeki berpihak kepada kita. Jawapannya, teruslah berusaha dan teruslah memasang impian dan cita-cita. Hidup ini andainya tidak mempunyai 'angan-angan' samalah seperti daun-daun kering yang berterbangan ditiup angin. Menurut dan mengikut tanpa arah, tanpa tujuan !

5) Ada juga di kalangan kita yang 100% azamnya tidak tercapai seperti yang diimpikan. Malang sungguh bunyinya ! Apa yang harus dibuat? Cuba-cubalah kita merenung jauh ke dalam diri dan imbas kembali akan usaha-usaha mahupun strategi-strategi yang telah dilakukan demi 'meraih' segala azam yang direncanakan itu. Seriuskah kita dalam berusaha? Betulkah niat kita dalam mengejar keinginan tersebut? Pernahkah kita mendapat restu ibu dan ayah sebelum 'mengejar' cita-cita itu? Bagaimana pula hubungan kita dengan Tuhan dan masyarakat sekeliling?

JUMPA LAGI DI TAHUN 2009 ....

Neba2020: Selamat tinggal tahun 2008, moga segala kenangan indahnya akan menjadi azimat juga sumber kekuatan untuk kita melangkah dengan lebih 'gagah juga yakin' di tahun 2009. Segala kekurangan juga kenangan kurang enak di tahun 2008 jadikanlah pengajaran dan ingatan kepada diri kita agar menjadi lebih tertib, 'berakal' dan sentiasa berwaspada pada tahun 2009. Hidup ini mudah lagi indah tetapi hidup juga penuh dengan 'pertarungan dan strategi.'

Wednesday, December 24, 2008

Tentang Kebebasan Bersuara, 13 Mei dan Kontrak Sosial

Salam Buat Semua,

1) Pelajar saya berbangsa Cina diberi peluang berdebat tentang topik berkaitan kebebasan bersuara di Malaysia. Aktiviti tersebut di bawah seliaan saya untuk subjek 'Managerial Communication' (Komunikasi Pengurusan). Saya sengaja memberikan satu topik yang kelihatan kontroversi kerana saya mahu mereka berfikir secara kritis dan melakukan kajian yang mendalam sebelum 'berkata-kata.' Saya percaya kepada konsep betapa 'memahami itu adalah bagus.'

2) Sekumpulan pelajar menjalankan kajian yang cukup mendalam. Mereka menemui pelbagai fakta dan 'kisah-kisah' yang hampir diketepikan ramai rakyat Malaysia pada hari ini.

3) Pelajar Cina saya itu mengatakan bahawa kebebasan bersuara tidak wajar dibenarkan secara meluas di Malaysia ini. Mereka sepakat merasakan bahawa kebebasan bersuara haruslah dibatasi dengan peraturan-peraturan tertentu bagi membendung penamat yang tidak baik. Kebebasan bersuara tanpa batasan bagi mereka hanya akan mendatangkan banyak mudarat kepada kestabilan hubungan pelbagai kaum di Malaysia ini.

4) Mereka berkata peristiwa 13 Mei 1969 adalah manifestasi langsung akibat daripada kebebasan bersuara yang telah disalahgunakan ahli-ahli politik berbangsa Cina pada ketika itu yang telah menimbulkan kemarahan kaum majoriti Malaysia iaitu Melayu. Kisah seorang remaja Cina yang memperlekehkan umat Islam melalui kes 'Negarakuku' juga sepatutnya dijadikan iktibar untuk semua pihak di Malaysia agar sensitif dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

5) Kontrak sosial yang menjadi teras pembentukan negara ini juga disentuh oleh pelajar terbabit. Mereka faham setelah mereka mengkaji asal-usul kontrak sosial tersebut. Mereka sepakat merasakan bahawa generasi baru wajar didedahkan dengan logik dan sebabnya kontrak tersebut dipersetujui dahulu.

Neba2020: Pendedahan secara baik dan penerangan secara mendalam dengan diawasi konsep berhati-hati dan jujur selalu akan memberikan hasil yang baik. Sejarah perlu didedahkan dengan penuh kejujuran dan berniat baik. Hasilnya pasti akan melahirkan satu kelompok masyarakat yang saling hormat-menghormati, tidak berprasangka buruk terhadap sahabatnya dan tahu 'di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.'

Tuesday, December 23, 2008

'Kepala Babi' Mengguris Melayu !

Salam Buat Semua,

1) Malaysia adalah negara Islam. Islam sendiri diperakui sebagai agama rasmi negara ini.

2) Andainya ada yang tidak berapa 'selesa' dengan sebutan bahawa Malaysia adalah negara Islam sekurangnya mereka terpaksa menerima hakikat bahawa negara ini didiami oleh kira-kira 60% warganegara yang beragama Islam.

3) Komposisi 40% lagi rakyat Malaysia adalah terpecah kepada pelbagai kelompok agama seperti Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lainnya.

4) Sepanjang 2008 ini, 'kepala babi' seakan menjadi duri dalam daging yang cuba mengguris perasaan dan kesabaran orang Melayu di daerah Alor Gajah, Melaka.

5) 'Kepala babi' diletakkan di pinggiran pantai Pengkalan Balak.

6) 'Kepala babi' diletakkan dihadapan rumah seorang Islam.

7) 'Kepala babi' diletakkan di atas kain rentang memaparkan aktiviti yang dibiayai oleh pertubuhan Islam.

8) Ada juga laporan yang tidak dihebahkan di media massa bahawa ada 'kepala babi' diletakkan di kawasan perkuburan Islam.

9) Kesabaran orang Islam dan bangsa Melayu masih di tahap yang cukup membanggakan walaupun hakikatnya ada 'penggembala babi' yang telah melanggar syarat-syarat kebenaran penternakan yang dibenarkan kerajaan. Jumlah ternakan yang diusahakan adalah berganda lebih besar daripada yang diluluskan lantas mengakibatkan gangguan nyata kepada alam sekitar dan berlakunya pencemaran air dan udara yang cukup menyedihkan. 'Mereka' diberi amaran, malangnya ada segelintir daripada 'mereka' yang cuba bertindak 'lebih.'

10) Isu 'kepala babi' ini jika gagal dibendung dengan sebaiknya dikhuatiri akan menbawa kepada natijah yang menakutkan sedikit masa lagi. Kesabaran orang Islam dan sensitiviti Melayu diharapkan dapat difahami oleh rakan-rakan senegara yang lain. Kita tidak mahu suatu hari nanti 'kuasa majoriti' mula 'mengaum dan membaham' sesuka hati apabila rakan-rakan yang disayangi terlebih 'mengada-ngada' dan 'kurang ajar.' Bertindaklah dengan menggunakan akal, bukannya menggunakan 'kepala lutut.' Negara aman, rakyat sentosa !

Neba2020: Melayu sensitif dengan istilah babi dan anjing. Melayu mudah naik geramnya andai babi dan anjing dijadikan bahan permainan oleh sesiapa juga. Melayu akan hilang sabarnya nanti andai babi dan anjing kerap sangat 'dihadiahkan' kepada mereka ....

Saturday, December 20, 2008

'Berblog' Di Kampung ...

Salam Buat Semua,

1) Zaman semakin maju, gaya hidup manusia juga pantas berubah.

2) 'Posting' ini 'ditulis' melalui telefon bimbit Nokia Navigator yang sudah berusia 1 tahun 5 bulan. Applikasi 'blog' ini tidaklah dapat saya manfaatkan sepenuhnya. Hanya yang 'asas-asas' sahaja dapat digunakan tatkala melayari Internet di skrin telefon. Dalam dunia teknologi yang laju 'berlari,' jangka hayat melebihi setahun sudah boleh dikira 'tua' dan menanti masa untuk diketepikan.

3) Saya sedang duduk bersandar di tepi pintu rumah yang sengaja di buka seluasnya supaya terang.

4) Encik (ayah) sedang membaca akhbar Utusan Malaysia dan Harian Metro sambil mulutnya ligat 'berkomentar.' Semestinya saya di tepi pintu ini menjadi pemberi respon kepada ulasan Encik.

5) Topik-topik yang menarik perhatian Encik melalui pembacaannya hari ini ialah kisah seorang ibu di Amerika Syarikat melahirkan anaknya yang ke 18, Sukan Universiti Asean, khabar angin Christiano Ronaldo mungkin meninggalkan Manchester United, isu penswastaan Institut Jantung Negara, kisah pernikahan Mawi dan harga minyak dunia.

6) Di luar rumah, emak kelihatannya sedang membakar sampah. Cuaca panas tapi dia kelihatan bersemangat lagi rajin membersihkan kawasan di belakang rumah.

7) Akhir tahun 2000 sewaktu saya mula memakai telefon bimbit, ianya akan dimatikan sahaja apabila pulang ke rumah ini dek kerana tiadanya sebarang 'signal' liputan perkhidmatan. Hanya di akhir tahun 2002 barulah liputan komunikasi menjadi lebih luas di sini.

8) Saya hanya mula 'celik' Internet sewaktu usia hendak menjejak angka 18. Sepanjang di alam persekolahan, komputer dan Internet adalah dua perkataan yang hanya saya temui melalui pembacaan di akhbar mahupun majalah semata-mata.

9) Keadaan di kampung tenang sentiasa. Tiada hiruk-pikuk, tiada kesesakan, tiada rumah yang rapat umpama kembar berbaris dan tiada kepanasan yang melampau.

10) Zaman sentiasa berubah dan manusia juga bisa berubah dengan berkembangnya teknologi dan ilmu. Apa yang pasti, ketenangan dan kepuasan berada di kampung dengan mengisi masa melihat pergerakan harian Encik, emak, kucing-kucing dan pohon-pohon menghijau adalah sesuatu yang indah lagi membahagiakan.

Neba2020: Ada anak Felda, anak estet, anak kampung, anak 'flat' dan anak setinggan yang merasa 'asal-usul' diri sendiri adalah tidak menarik, tidak ada kelas dan tidak terpuji. Malu dan rasa rendah diri ! Mengapa jadi begitu ?

Thursday, December 18, 2008

'Cucu Pawang Usop Mesti Boleh Jadi Doktor !'

Salam Buat Semua,

1) Encik (ayah) terlalu kerap 'berangan-angan' untuk melihat anak bongsunya ini bergelar 'doktor.'

2) Sejak kecil lagi Encik begitu tekun dan rajin menasihatkan si bongsu ini agar menjadi seorang doktor perubatan.

3) Encik dikenali sebagai 'Mat Pawang' di kalangan rakan-rakan daerah juga masyarakat kampung tempat kami sekeluarga berteduh. Panggilan 'pawang' itu terbit kerana ayah beliau adalah seorang pengamal perubatan tradisional yang cukup terkenal di daerah Segamat sekitar tahun 1940-an dan 1950-an.

4) Kedudukan Tok Usop (Encik kepada Encik) di kira cukup penting. Segala jenis penyakit luaran mahupun dalaman yang melibatkan masyarakat kampung dan kawasan sekitarnya dapat dirawati dengan baik dan berkesan. Sakit fizikal, sakit jiwa, sakit misteri mahupun gangguan mistik semuanya boleh diusahakan untuk dirawati dengan bantuan Tuhan Yang Maha Kuasa.

5) Pawang Usop cukup terkenal di seluruh Segamat. Encik mengatakan bahawa Tok Usop memang sentiasa sebok dengan undangan mengubat pesakit di siang hari mahupun di kala 'dunia sudah kelam dan gelap.' Rumah kediaman si pawang terkenal itu juga seakan menjadi 'hospital' yang sentiasa meriah dengan para pesakit yang mendambakan kepakarannya. Tok Usop meninggal dunia pada tahun 1960 sewaktu Encik baru berusia 11 tahun.

6) Sewaktu kecil, kerap sekali Encik berkata kepada si bongsu ini, 'Tok Usop keturunan Bugis. Orang Bugis keturunannya kalau buat baik-baik akan jadi sama ada pawang, pahlawan ataupun pemimpin kat mana juga dia berada.' Tinggi sungguh nilai motivasi 'ayat keramat' itu bagi saya.

7) 'Encik nak Andi jadi doktor. Cucu Pawang Usop belum ada yang jadi doktor. Anak Mat Pawang mesti boleh jadi doktor.Cucu Pawang Usop mesti boleh jadi doktor !' Berpuluh kali rasanya ayat-ayat ini didengari si bongsu Encik Ahmad Bin Md. Yusof ini di waktu menginjak alam awal remaja dahulu.

8) Semakin saya membesar, saya tidak merasa bahawa bidang perubatan adalah arena yang boleh menjadi minat diri ini. Bermula di alam sekolah menengah, minat saya lebih terarah kepada isu-isu pentadbiran negara, pengurusan kewangan, pembangunan ekonomi dan politik bangsa.

9) Tapi sewaktu di pertengahan sekolah menengah pernah saya katakan pada Encik, 'Andi takkan jadi doktor perubatan tapi Andi akan jadi doktor lain yang lagi tinggi daripada doktor perubatan. Cucu Pawang Usop akan jadi doktor jugak nanti.' Saya lihat Encik tersenyum, saya pasti itu adalah 'restu' daripadanya.

10) Hari ini, 18 Disember 2008 saya mendapat panggilan daripada Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Teknikal Malaysia. Setelah 4 bulan menanti akhirnya jawapan kepastian diterima. Kertas cadangan penyelidikan ('research proposal') akhirnya diluluskan. Saya akan mendaftar pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di universiti tersebut pada tanggal 22 Disember, 2008. Ianya hanyalah satu permulaan bagi 'jejak-jejak' yang penuh liku dan cabaran.

Semoga Tuhan Memberikan Saya Kemampuan dan Kekuatan Untuk Merealisasikan Harapan Encik Untuk Melihat Cucu Pawang Usop Bergelar Seorang Doktor. Niat Saya Adalah Semata-Mata Untuk Encik dan Emak ....

Neba2020: Ph.D bukan segalanya, pencapaian akademik bukanlah jaminan akan kehebatan seseorang insan itu. Kehebatan akan lahir dengan sendirinya andai insan itu dapat menyumbang kepada pembinaan diri insan lain yang positif dan bermatlamat. Insan yang hebat adalah manusia yang mulia jiwanya dan positif perspektifnya terhadap persekitaran. Biar tiada Ph.D asalkan ikatan kekeluargaan adalah rapat dan biar tiada Ph.D asalkan hidup sentiasa tenang penuh kebahagiaan sentiasa ....

Wednesday, December 17, 2008

' Putih dan Bersih '

Salam Buat Semua,


1) Anak-anak kecil diibaratkan seperti kain yang putih. Terserahlah kepada kebijaksanaan ibu dan ayah untuk mencorakkan mahupun mewarnakan 'kain putih' itu mengikut cara dan kepercayaan masing-masing.

2) 'Kain putih' itu membesar dengan 'warna-warni' hasil lakaran si ibu dan si ayah. Ada yang membesar dengan penuh undang-undang yang ketat untuk mendisiplinkannya dan ada juga yang membesar dengan penuh kelonggaran juga kebebasan dengan alasan pengembangan minda juga pemikiran kreatif.

3) Ada 'kain putih' yang diasuh dengan tradisi adat dan kuat jati diri turun-temurun, ada juga yang dididik dengan kaedah aplikasi moden agar menjadi watak-watak masa depan yang sentiasa ke hadapan, maju bervisi harapnya.

4) Terdapat juga 'penjaga' yang memilih untuk mencorakkan 'kain putih' itu dengan unsur-unsur agama yang ketat supaya kehidupan sentiasa direstui Tuhan Yang Maha Kuasa. Di sebalik itu, sesetengah 'kain putih' dibesarkan dengan orientasi kebaratan yang penuh dengan semangat kemodenan, kritikal dalam berfikir dan sentiasa menjadikan kemajuan sebagai tema kehidupan.

5) Corak-corak awal 'si kain putih' boleh direncanakan mengikut kehendak dan kesukaan si penjaga kerana di peringkat permulaan 'kain putih' itu belum mempunyai autonomi / kuasa terhadap dirinya sendiri dan pergaulannya belum bebas, 'dunia' masih belum dikenal sepenuhnya.

6) Apabila 'kain putih' makin membesar, ibu dan ayah semakin 'hilang taringnya.'

7) 'Kain putih' mula bijak 'bereksplorasi' dan 'berimaginasi,' ibu dan ayah semakin gagal 'berkuasa' terhadap kehidupannya. Jurang generasi mula kelihatan, nyata dan jelas.

8) 'Kain putih' akhirnya mula menjarakkan diri daripada tempat membesarnya kerana komitmen pendidikan mahupun kerjaya, ibu dan ayah semakin 'jauh' daripada ingatannya. 'Ketakutan' kerana terpaksa mengikut segala 'doktrin' juga 'kaedah' rekaan ibu dan ayah semakin berkurangan sedikit demi sedikit.

9) Rupa-rupanya hidup ini adalah umpama 'kain putih' yang bisa bertukar corak dan gaya. Manusia itu sendirilah yang akhirnya akan menguasai 'corak-corak' yang disukainya, bebas ataupun terkurung, luas pemikirannya mahupun sempit akalnya dan untuk mendekati 'kebaikan' atau merapati 'syaitan-syaitan dunia.'

10) Pada dasarnya, hidup ini selalu 'putih dan bersih.' Putih itu bermakna telus dan ikhlas. Putih juga bermaksud suci dan mulia. Putih juga menggambarkan kembalinya kita kepada asas-asas kehidupan iaitu sentiasa berbuat baik terhadap persekitaran, positif dalam berfikir dan menjauhkan minda daripada tempias-tempias pemikiran jahat yang merugikan.

Neba2020: InspiRasi 1982 ~~ kini kelihatan lebih putih, lebih segar. 'Lebih putih' untuk sama-sama berkongsi idea tanpa rasa prejudis dan takut dan 'lebih segar' untuk sama-sama memperoleh sedikit 'inspirasi' bersama-sama dengan khalayak semuanya ....

Monday, December 15, 2008

Rakyat Malaysia Harus Pilih Sendiri Perdana Menteri ?

Salam Buat Semua,

1) Di Amerika Syarikat, Presidennya dipilih secara langsung oleh rakyat. Dua parti terbesar iaitu Demokrat dan Republikan akan memilih calon masing-masing untuk bertanding ke jawatan utama itu. Pemilihan peringkat parti juga diadakan secara mini pilihan raya di kalangan ahli-ahli parti.

2) Di Indonesia, rakyatnya mengundi sebanyak dua kali iaitu pengundian untuk memilih ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Presiden negara. DPR bolehlah disamakan dengan sistem Parlimen di Malaysia.

3) Pemilihan Presiden Indonesia melibatkan dua pusingan sekiranya tiada calon yang memperoleh undi minimum sebanyak 50%. Pusingan penentuan akan melibatkan dua calon yang mendapat undi tertinggi di pusingan awal itu. Kaedah ini turut dipraktiskan di Russia dan Filipina.

4) Malaysia mengamalkan sistem yang 'berorientasikan Komanwel.' Sistem pilihan raya dan kaedah pemilihan Perdana Menteri di sini adalah serupa dengan kebanyakan negara-negara Komanwel seperti United Kingdom, Australia, Kanada, New Zealand, India, Pakistan dan Singapura. Negara bukan Komanwel seperti Jepun dan Thailand juga mengamalkan sistem tersebut.

5) Sistem 'berorientasikan Komanwel' ini menggunakan kaedah sistem tunggal pilihan raya di mana rakyat memilih wakil rakyat kawasan masing-masing yang mewakili parti-parti politik tertentu. Pemenang pilihan raya akan menjadi ahli Parlimen untuk jangka masa antara 4 dan 5 tahun.

6) Seterusnya ketua parti yang memperolehi jumlah ahli Parlimen terbanyak akan dilantik sebagai Perdana Menteri. Ringkasnya, rakyat tidak terlibat secara langsung di dalam pemilihan Perdana Menteri tetapi logiknya ialah Perdana Menteri itu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen daripada partinya sendiri yang diundi rakyat jelata. Kesimpulan secara mudah ialah rakyat menyokong ketua parti yang mereka undi sewaktu pilihan raya umum.

7) Seandainya Perdana Menteri ataupun Presiden dipilih secara langsung terdapat kemungkinan yang beliau datangnya daripada parti yang tidak memiliki ahli Parlimen terbanyak. Kes seperti ini berlaku di Indonesia di mana Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang memenangi pemilihan Presiden pusingan ke dua pada tahun 2004 tetapi partinya bukanlah parti terbesar di Parlimen Indonesia (DPR).

8) Perdana Menteri yang dipilih secara langsung oleh rakyat walaupun dengan majoriti kecil sekalipun adalah kuat kedudukannya. Dia tidak perlu takut kepada kemungkinan untuk kehilangan jawatan akibat daripada kebarangkalian ahli-ahli Parlimen partinya 'melompat' masuk ke parti pembangkang. Aktiviti 'lompat-melompat' sama sekali tidak akan menjejaskan kedudukan Perdana Menteri dan juga Kabinetnya. Pentadbiran akan berjalan dengan lancar dan 'huru-hara politik' dapat diminimakan.

9) Perdana Menteri yang dipilih secara langsung oleh rakyat akan kekal selamat dan stabil untuk seluruh penggal pentadbirannya sehinggalah pilihan raya seterusnya. Dia juga bebas daripada 'sindrom takut' kepada parti-parti komponen di dalam 'barisan mahupun pakatan' kendaliannya yang suka 'menggugut' dan 'meminta lebih' sama ada peruntukan kerusi pilihan raya, keperluan kaum masing-masing dan cubaan untuk mencabar polisi sedia ada. Dia dilantik oleh rakyat dan bukannya anggota-anggota Parlimen lainnya.

10) Rakyat sebenarnya akan menjadi lebih berkuasa dan bertanggungjawab melalui sistem ini. Rakyat bebas untuk melakukan 'pemisahan dan pembezaan' di antara ketua pentadbir negara dan wakil kawasan yang mereka sukai dan percayai. Perdana Menteri yang dipilih rakyat juga bebas daripada tekanan partinya, pembangkang dan juga institusi Raja. Dia adalah wakil langsung kepada majoriti rakyat Malaysia !

Neba2020: Melalui sistem pemilihan langsung Perdana Menteri, rakyat akan 'berpolitik' secara aktif hanya sekali dalam tempoh 4 atau 5 tahun, selebihnya adalah masa untuk bekerja dan bersatu demi negara tercinta. Pihak yang tewas akan menumpukan kepada proses menjadi 'pembangkang' yang matang dan berguna kepada pembangunan negara, bukannya pembangkang yang sentiasa cuba 'meraih kuasa' melalui jalan belakang ....

Wednesday, December 10, 2008

Peguam Wajib Lancar Berbahasa Kebangsaan !

Salam Buat Semua,

1) Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Malaysia. Perkara 152 Perlembagaan Malaysia telah memaktubkannya secara jelas. Bahasa Malaysia pula adalah adaptasi langsung sepenuhnya daripada Bahasa Melayu. Bahasa Melayu rasmi yang diguna-pakai di Malaysia ini adalah bertunjangkan Bahasa Melayu Johor-Riau.

2) Sistem dwi-bahasa masih dipraktiskan di mahkamah-mahkamah negara ini. Proses perbicaraan yang merangkumi segmen pertuduhan dan pembelaan masih membenarkan Bahasa Inggeris digunakan.

3) Malaysia sudah hampir 52 tahun mencapai kemerdekaannya. Bahasa Malaysia juga sudah berpuluh tahun dijadikan bahasa rasmi di sekolah-sekolah seluruh negara. Timbul persoalan mengapakah kita masih 'takut dan was-was' untuk mengenepikan bahasa selain daripada Bahasa Malaysia daripada 'bersuara' di dalam mahkamah negara ini.

4) Majlis Peguam yang cukup hebat lagi selalu menjadi 'jagoan dan ayam jantan' dalam pelbagai isu yang mereka fikirkan sebagai 'keadilan dan kesaksamaan' untuk semua pihak nampaknya seperti menutup sebelah mata tentang peri pentingnya untuk memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara ini sekaligus menjadi bahasa tunggal di mahkamah. Kelonggaran penggunaan Bahasa Inggeris sepatutnya hanya diberikan apabila kes yang dibicarakan adalah melibatkan bukan warganegara. Apa logiknya jika pihak yang dituduh, menuduh, mendakwa, membela dan menghakimi adalah rakyat Malaysia tetapi bahasa Inggeris yang 'bersuara' ?

5) Alasan segelintir peguam dan pengamal undang-undang kononnya 'bahasa keadilan' lebih mudah difahami apabila menggunakan Bahasa Inggeris adalah satu alasan yang cukup dangkal lagi cetek pemikirannya. Alangkan terma-terma sains, teknologi, agama dan falsafah sudah berzaman boleh dibicarakan melalui medium Bahasa Malaysia, semestinya tiada yang mustahil juga untuk 'meMelayukan' sepenuhnya pengucapan di dalam mahkamah.

Neba2020: Hendak 1000 daya, tak hendak 1000 dalih. Bila isu dapat memenuhi kepentingan diri sendiri maka sensitiviti majoriti diketepikan, bila isu tidak dapat memuaskan diri sendiri maka perkara yang jelas termaktub cuba dipinggirkan umpama tidak terasa kewujudannya ....

Thursday, December 4, 2008

Sekolah Malaysia - Tiada Lagi SK, SRJK dan SRK ...

Salam Buat Semua,

1) Datuk Mukhriz Mahathir cadangkan di Parlimen supaya Malaysia mempraktiskan sistem persekolahan yang seragam, satu sistem dan tidak beraneka ragam seperti yang kelihatan kini.

2) Idea Mukhriz kelihatannya ditentang oleh individu-individu yang 'berjawatan' di dalam parti-parti politik.

3) Atas nama bahasa Tamil dan juga bahasa Cina, ahli-ahli politik bukan Melayu sama ada di dalam Barisan Nasional mahupun yang 'mendiami' Pakatan Rakyat telah menentangnya dengan nyata.

4) Hairannya, mereka ini juga yang 'sekuat hati' menyatakan bahawa untuk mewujudkan 'bangsa Malaysia' yang bersatu dan negara Malaysia yang adil maka 'konsep-konsep' seperti Dasar Ekonomi Baru, ketuanan Melayu dan 'hak perundangan Islam' perlulah dihapuskan.

5) Mukhriz sama sekali tidak menyatakan bahawa bahasa Cina dan bahasa Tamil perlu diketepikan daripada sistem pendidikan negara ini. Beliau mengesyorkan supaya Malaysia mengamalkan sistem pendidikan rendah mahupun menengah yang berpaksikan kepada satu konsep yang sekata untuk semua pihak.

6) Atas nama perpaduan nasional dan permulaan kepada pembinaan 'bangsa Malaysia' yang sejati maka anak-anak muda Malaysia wajarlah dipertemukan di dalam satu sistem pendidikan yang seragam. Tiada lagi dasar melabelkan sekolah-sekolah tertentu sebagai eksklusif untuk bangsa tertentu, istimewa untuk bahasa tertentu.

7) Bahasa Cina dan bahasa Tamil akan terus diajar di sekolah rendah, masyarakat berbangsa Cina mahupun India akan terus dapat memilih untuk menguasai bahasa ibunda mereka secara formal. Bangsa Melayu sebagai kaum majoriti Malaysia pula akan berpeluang untuk belajar bahasa Cina juga bahasa Tamil secara formal, ini sebenarnya adalah satu penghormatan kepada sahabat-sahabat berbangsa Cina dan India.

8) Sekolah satu sistem akan menyediakan satu landasan yang cukup unik untuk semua bangsa bergaul mesra, mengenal budaya masing-masing dan memahami sensitiviti kepercayaan mahupun adat sahabat-sahabat senegara. Prejudis jahat yang lahir akibat daripada kitidakupayaan untuk memahami sensitiviti masing-masing seperti yang wujud pada hari ini pastinya akan dapat disingkirkan jauh-jauh daripada sanubari juga kepercayaan rakyat Malaysia.

9) Ahli-ahli politik yang mempertikaikan idea tersebut sebenarnya adalah individu-individu yang masih 'kuat' sentimen perkaumannya. Mereka inilah yang sebenarnya adalah perosak negara yang jahat pemikirannya. Mereka takut kepada bayang-bayang diri sendiri, gusar akan kehilangan sokongan dan susah hati perjuangan politik mereka akan kehilangan idea suatu hari nanti.

10) Sedikit waktu dahulu isu Sekolah Wawasan pernah menimbulkan polemik hangat di negara ini. Di kala Malaysia sudah hampir 52 tahun meraih kemerdekaan malangnya usaha untuk 'mendekatkan' sesama rakyat melalui sistem pendidikan masih dicurigai segelintir pihak.

Andai mereka ini berterusan 'berniat jahat' dengan idea penyatuan pendidikan demi survival politik masing-masing maka janganlah pula berani mengatakan mereka dianiya, diperas dan diketepi selama ini kerana usaha-usaha awal untuk 'penyatuan' rakyat telah ditolak mentah-mentah !
Neba2020: Perpaduan bukan boleh dibentuk melalui ucapan ahli politik, bacaan majalah, nyanyian lagu-lagu dan tontonan dokumentari semata-mata. Perpaduan adalah satu proses memahami nilai-nilai keperibadian masing-masing yang berjalan secara perlahan-lahan melalui pergaulan dan komunikasi yang kerap. Perpaduan juga tidak akan terhasil andai sikap curiga-mencurigai terus berleluasa di dalam sanubari masing-masing ....

Monday, December 1, 2008

Antara Mohd. Najib dan Abdul Razak

Salam Buat Semua,

1) Dengan izin Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana, akhir Mac 2009, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 6.

2) Rekod bakal tercipta, beliau adalah anak kepada seorang Perdana Menteri yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Di Amerika Syarikat, George W. Bush (2000-2008) adalah anak kepada Presiden Amerika iaitu George Herbert Walker Bush yang berkuasa selama 4 tahun sehingga tahun 1992. Bush 'senior' menjadi Presiden sewaktu berusia 65 tahun manakala Bush 'junior' berada di tampuk kekuasaan ketika usianya mencecah angka 55 tahun.

3) Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1970 sewaktu berusia 48 tahun. Anak sulungnya iaitu Mohd. Najib akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 di kala usianya menjejak 56 tahun. Beza antara Bush 'senior' dan Abdul Razak ialah seorang dapat menyaksikan sendiri anak lelakinya mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negara yang pernah dirasai diri sendiri manakala seorang lagi sudah lama meninggal dunia dan hanya namanya sahaja yang masih harum menemani 'perjalanan' negara bertuah ini.

4) Ada persamaan di antara cara Mohd. Najib dan Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Abdul Razak mengambil alih pentadbiran negara dek kerana 'peristiwa berdarah 13 Mei' yang menyebabkan hubungan antara kaum di Malaysia menjadi cukup 'tegang dan hangat.'

5) Berlaku penolakan jelas kepada pemerintahan Tunku Abdul Rahman selepas kejadian itu. Tunku 'terpaksa' melepaskan kuasanya secara 'tidak nyata' kepada Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai Abdul Razak. Parlimen digantung sejak Mei 1969 dan Tunku melepaskan kuasa 'secara nyata' apabila berundur diri daripada jawatan Perdana Menteri pada tahun 1970 untuk memberi laluan kepada Abdul Razak 'membaik-pulih' negara.

6) Mohd. Najib akan mengambil alih jawatan daripada Perdana Menteri ke 5 iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga seakan 'terpaksa' melepaskan jawatannya menjelang Mac 2009 akibat daripada 'rangkaian desakan' berterusan yang sebenarnya adalah refleksi kegagalannya mentadbir negara ini secara telus, tidak teguh pendirian dan kurang sensitif kepada 'masalah rakyat.'

7) Seperti bapanya, Mohd. Najib ternyata akan mewarisi pentadbiran yang 'kucar-kacir' dan ketiadaan 'belang.' Umpama episod Abdul Razak juga, Mohd. Najib akan menjadi Perdana Menteri yang tiada masa untuk 'bersenang-senang' dan 'berbangga-bangga' dengan kedudukan yang dinikmati. Sebaik mengangkat sumpah jawatan kelak, Mohd. Najib perlu berdepan dengan aneka isu kritikal yang perlu ditanganinya.

8) Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri di era kemerdekaan baru diperoleh. Semuanya indah belaka ketika itu. Tun Hussein Onn pula meraih jawatan selepas Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut di London. Hussein tidak berada dalam keadaan tertekan kerana segalanya cukup ideal ketika itu. Dia hanya meneruskan segala agenda Abdul Razak yang telah 'tersusun rapi.'

9) Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri apabila Hussein berundur kerana masalah kesihatan. Awal 1980-an keadaan Malaysia cukup 'bersederhana' dan Mahathir sebenarnya telah lama dianggap sebagai 'Perdana Menteri sedang menunggu' kerana tatkala menjadi timbalan Hussein beliaulah yang selalu 'ditonjolkan' Hussein sebagai si 'pembuat kerja.'

10) Sewaktu Abdullah mengambil alih jawatan daripada Dr. Mahathir, semuanya tenang dan tiada sebarang 'faktor kritikal' yang perlu dihadapinya. Abdullah sebenarnya diharapkan akan berfungsi seperti Hussein yang hanya perlu mengurus-selia segala perancangan rapi yang telah dihasilkan pemimpin sebelumnya tanpa perlu bersusah-payah 'menggubal' hala tuju baru. Abdul Razak dan Mahathir disifatkan sebagai pemimpin 'luar biasa' yang bijak lagi berpemikiran jauh. Hussein dan Abdullah (Abdullah sebelum menjadi Perdana Menteri) pula dilihat sebagai pemimpin yang tidak gelojoh, tidak mementingkan nama dan tidak tamak kuasa. Abdul Razak dan Mahathir adalah perancang yang hebat, Hussein dan Abdullah (sebelum menjadi Perdana Menteri) adalah pengurus yang bagus. Malangnya, Abdullah tidak bijak menggunakan kekuatan dirinya. Dia seakan cuba mengubah keupayaan dirinya dengan cuba menjadi si perancang pula. Akibatnya, dia 'termakan diri' dan episod penamat kuasanya tidaklah semanis Hussein. Mohd. Najib WAJIB memahami 'kisah-kisah' tersebut supaya penamat beliau tidak menjadi seperti Tunku dan Abdullah !

Neba2020: Sejarah mampu memberikan kita hikmah dan pengajaran yang cukup berharga. Bijak menggunakan sejarah pasti akan menjadikan kita satu watak yang akan disayangi di dalam sejarah masa depan. Sebaliknya, salah tafsiran terhadap sejarah bakal menjadikan kita watak yang 'negatif' pula di dalam lipatan sejarah yang mendatang ....

2 Tahun Bersama InspiRasi 1982 ~~

Salam Buat Semua,

1) 1 Disember 2006, InspiRasi 1982 ~~ mula 'bersuara.'

2) Kadang-kadang kelihatan serius, kadang-kadang kelihatan kontroversi. Kadang-kadang kelihatan santai juga menenangkan, kadang-kadang kelihatan berat lagi memeningkan.

3) Ada kalanya menyentuh politik, ada waktunya seperti pemberi motivasi dan sesekali berbicara tentang keluarga dan ketuhanan.

4) Selalu juga menyentuh tentang alam pendidikan, suka dan duka seorang pendidik dihurai serba ringkas buat perkongsian bersama.

5) Silap dan kurang mohon dimaafkan, si penulis hanyalah insan biasa yang masih banyak perlu dipelajari dan ilmunya pula hanyalah secebis cuma.

TERIMA KASIH DI ATAS SOKONGAN PADU ANDA SEMUA SELAMA 2 TAHUN INI !

Neba2020: Sesuatu Yang Dicari dan Ditemui Adalah Untuk Menjana Sesuatu Yang Belum Tercapai.... Sesuatu Yang Masih Belum Ditemui Adalah Suatu Misteri Yang Hanya Akan Terungkai Dengan Izin Dan Ilmu Yang Diperoleh Daripada Tuhan Yang Maha Kuasa ....