Thursday, December 28, 2006

Selamat Tinggal 2006... Selamat datang 2007 ???

Salam Buat Semua,

Ketika saya menitipkan kata-kata buat renungan kita bersama pada kali ini, jam menunjukkan hampir ke pukol 7.30 malam, 28 Disember 2006 ... Apabila saya mengira detik-detik yang tinggal untuk tahun 2006 ini, rupanya dalam jangka masa kira-kira 76 jam lagi, 2007 akan mula menghadirkan dirinya sekaligus membuka satu lagi lembaran baru dalam kehidupan kita seharian.

Lembaran baru? Selalu kedengaran kata-kata seperti;

*Tahun baru adalah lembaran baru dalam kehidupan kita
*Tahun baru adalah masa terbaik untuk memulakan sesuatu yang baru dalam hidup kita
*Tahun baru adalah permulaan kepada semangat baru

Tetapi kita jarang sekali memikir kebelakang terhadap apa yang telah berlaku pada diri kita dan juga di sekeliling kita pada tahun yang telah tamat ini. Dalam kes bicara kita kali ini ialah; Sejauh manakah kita masih INGAT terhadap perkara-perkara yang telah berlaku sepanjang 2006 ini ? Tidak wajar rasanya andai kita hanya memandang ke depan dan dengan mudahnya kita melupakan (atau buat-buat lupa) terhadap isu,masalah, kisah dan cerita, kesengsaraan, kebodohan, ketidakcekapan, penyelewengan dan apa jua yang telah berlaku sepanjang 365 hari di dalam satu tahun yang dipanggil 2006 itu !

Ucapan Selamat Tahun Baru akan 'bertukar-tangan' dan menjadi satu pengucapan yang hilang nilai dan harganya menjelang detik malam 1 Januari 2007. Dengan mudah dan cepat, ucapan Selamat Tahun Baru akan diucap melalui telefon, sms mahupun e-mel. Ada yang gembira kerana merasakan dirinya diingati dan disayangi oleh orang ramai sama ada dekat mahupun jauh beribu batu.

Selamat Tahun Baru...... Ia adalah seperti satu doa dan satu kepastian bahawa tahun baru yang disambut itu adalah satu keraian / pesta / sambutan yang mendatangkan kegembiraan, kesenangan hati dan kemudahan kehidupan harian yang bermula pada detik 12 tengah malam, 1 Januari itu sendiri.

Masalahnya, kita harus lihat semula sepanjang 2006 ini betapa gaya hidup kita secara kita sedar mahupun tidak telah BERUBAH atau mungkin TERPAKSA DIUBAH. Renung semula HADIAH yang kita terima sepanjang 2006 ini....

* Kenaikan harga PETROL / DIESEL yang sungguh SEKSI nilainya
* Kenaikan tarif elektrik dan air yang sungguh MANJA bunyinya
* Kenaikan MAJORITI barangan keperluan harian yang sungguh EKSTRA belaiannya
* Kenaikan kadar pinjaman (bunga/interest) di institusi-institusi kewangan

Dan hadiah baru lagi terkini yang akan diterima oleh penduduk Lembah Klang khasnya menjelang 1 Januari ini ialah KENAIKAN HARGA TOL Lebuhraya yang sungguh IKHLAS diumumkan.

Sepastinya pengharapan kita sebagai RAKYAT biasa adalah untuk memiliki PEMIMPIN yang memimpin dan membantu meringankan beban kehidupan dan bukannya mengharapkan RAKYAT untuk memimpin dan membantu KERAJAAN untuk mengurangkan bebannya.

Implikasi ekonomi sepanjang 2006 telah dapat dilihat... Di kala pihak yang berkuasa mengatakan bahawa Malaysia masih mantap dan kuat ekonominya.. Kita menyaksikan betapa pelabur asing semakin 'malu-malu' untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Kita dapat lihat betapa projek Multimedia Super Coridor yang diilhamkan mantan Perdana Menteri, Bapa Pemodenan Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir juga kini semakin sukar untuk mendapatkan pelaburan baru di lokasinya...


Isu INFLASI yang kelihatan KRONIK tetapi nilainya seperti telah dimanipulasi ( bagaimana inflasi diisytiharkan kurang daripada 4% sedangkan RAKYAT yang tidak belajar makroekonomi sendiri dapat merasakan kenaikan harga majoriti barangan harian adalah melebihi 10 % ! )
Isu Jenayah yang semakin menjadi-jadi di negara Islam Hadhari ini juga semakin meruncing dan menakutkan. Hidup seperti sudah tidak selamat lagi. Adakah teori yang mengatakan bahawa jenayah akan menjadi-jadi apabila sesebuah negara itu mengalami masalah sara hidup yang kronik dan rakyatnya makin sengsara sosio-ekonominya boleh dipakai dalam isu yang semakin ekstrim masa kini???
Tidak dilupakan juga bagaimana cara KEPEMIMPINAN terkini menghadapi isu yang ditimbulkan oleh bekas PERDANA MENTERI adalah cukup memalukan dan telah menjatuhkan maruah pihak pentadbir sendiri apabila GAGAL menjawab persoalan ikhlas yang diutarakan BAPA PEMODENAN MALAYSIA itu. Lebih memalukan apabila PERDANA MENTERI seperti mengHALALkan tindakan segelintir ahli KABINETnya yang MENGHINA seorang BAPA PEMODENAN MALAYSIA yang telah berusia lebih 80 tahun itu. Sungguh biadap dan tidak mencerminkan keperibadian Melayu tulen ! Kegagalan menangani isu kritikan ini telah menyebabkan kerajaan hilang punca dan memberi satu cerminan negatif kepada pelabur asing....
Di kala kita menuju 50 tahun Merdeka pada 2007 ini, sepanjang 2006 masih kedengaran isu-isu perkauman yang sememangnya MALU untuk dibincangkan. Masih ada ahli politik parti bukan Bumiputera yang cuba mempertikaikan Keistimewaan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan dan Kontrak Sosial yang dipersetujui oleh bapa-bapa Merdeka kita dahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Tun V. T Sambanthan, Tun Tan Cheng Lock dan lain-lain
Berdasarkan kepada senario 2006 maka kita tidak pasti sama ada UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU wajar diucapkan ataupun tidak kerana kita tidak tahu;
*Apa yang kita selamat pada tahun 2007 ini?
*Gembirakah kita dengan keadaan semasa sepanjang 2006?
*Terjaminkah gaya hidup dan sosio-ekonomi kita sekeluarga pada 2007?
*Mampukah kerajaan melunaskan tangungjawabnya sebagai pembantu Rakyat dan bukan
sebaliknya?
*Akan terbebankah lagi Rakyat dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pada 2007
sedangkan tangga gaji adalah sama dan jika ada kenaikan sekalipon, belum setara dengan
peratusan kenaikan harga barangan / perkhidmatan?
*Sejauhmanakah polisi dan dasar-dasar baru kerajaan akan dapat membuahkan kesenangan kepada rakyat?
Andai anda dapat memberikan JAWAPAN POSITIF kepada semua PERSOALAN di atas maka SAYA UCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2007 kepada anda :)
Andai anda adalah sama seperti saya, tidak dapat MEMPOSITIFKAN semua persoalan tersebut maka dengan rasa sedih dan kecewa saya menitipkan kata-kata; TIADA UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU 2007 buat kita :(
Terima kasih kepada anda semua yang memberi sokongan padu kepada blog InspiRasi 1982 yang telah berusia kira-kira 1 bulan.....
Sebagai penutup 2006, saya mengakui di sini bahawa segala apa yang baik daripada penulisan saya adalah datangnya secara TOTAL dengan Berkat Tuhan Yang Esa dan yang buruk dan silap adalah datangnya secara TOTAL daripada kecetekan ilmu dan pengetahuan saya.....
Salam InspiRasi ~~
Hingga Bertemu lagi di tahun 2007...

Saturday, December 23, 2006

Malapetaka, Bencana... Hikmah di Sebalik Banjir

Salam Buat Semua,

Lebih seminggu saya menyepikan diri daripada melontarkan idea dan menulis sesuatu di sini. Dalam masa seminggu ini juga rasanya negara sedang 'dikejut' dan 'dihantui' dengan berita-berita berkaitan dengan bencana banjir besar yang melanda dengan seriusnya di selatan Semenanjung.

Saya juga sebenarnya dalam keadaan sedih dan sentiasa memikirkan tentang malapetaka alam yang hadir secara mengejut tak terjangka di akhir 2006 ini.

Bukan niat untuk meraih simpati tetapi secara langsung, keluarga saya terlibat dan terperangkap dalam bencana kali ini. Sedih bila memikirkan bahawa rumah saya di Segamat, Johor dilanda banjir dan tenggelam hampir melebihi 1 Meter, cukup untuk memusnahkan sedikit harta yang amat bernilai bagi kami sekeluarga. Emak dan abang menuruti jejak beratus-ratus orang di kampung saya (rindu pula pada kampung halaman tempat saya membesar iaitu Kampung Alai, Mukim Gemereh di Segamat) yang disatukan di tempat penempatan mangsa banjir di sekolah yang pernah menyaksikan saya menjadi anak muridnya (Terbayang pula kenangan masa kecil di Sekolah Kebangsaan Gemereh, Segamat yang letaknya hanya 5 minit berjalan kaki dari rumah saya).

Lebih mengharukan, ayah saya yang dipanggil encik (menurut ayah saya, panggilan 'encik' adalah tradisi keluarga kami yang berasal daripada kelompok Bugis) pula berada di Singapura dan tidak boleh pulang ke Segamat kerana perkhidmatan bas dan keretapi tergendala dek kerana bencana yang muncul secara mendadak ini. Saya sendiri yang telah merancang untuk balik ke kampung selama 4 hari sempena musim Krismas ini dengan rasa berat hati terpaksa membatalkan saja hajat kerana banyak aliran jalan dari Melaka - Segamat yangs aya lalui seperti di Jasin, Melaka dan Tangkak dilaporkan terputus dan belum pulih sepenuhnya ditenggelami air yang melimpah.

Sejuk badan saya apabila membaca laporan berita bahawa beberapa orang telah meninggal dunia di Segamat akibat daripada bencana yang satu ini. Bertambah gementar apabila saya sendiri terputus hubungan dengan emak saya selama 2 hari. Tuhan saja yang tahu perasaan saya selama 2 hari yang lepas. Alhamdulillah, emak saya menghubungi saya semalam (petang Jumaat) dan mengatakan bahawa dia dan abang saya dalam keadaan baik, cuma sedih mengenangkan rumah dan barang-barang di dalamnya yang pastinya akan merungsingkan kami sekeluarga di kemudian hari untuk menghadap dan mencari gantian baru. Tapi, kesyukuran terbesar bagi saya adalah apabila mendengar suara emak saya yang masih ceria, sehat dan dalam keadaan baik. Alhamdulillah..............

Malapetaka dan bencana datang tanpa kita sedari dan tidak pernah diundang.....
Hanya ketabahan yang mampu direncana dan doa dititip pada Yang Maha Esa semoga semuanya pulih seperti sedia kala dalam masa yang segera.....
Pastnya setiap yang berlaku ada hikmah dan pengajaran yang boleh mengajar kita erti kehidupan dan insaf bahawa kita ini adalah insan yang kerdil dan Tuhan juga yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.....

Thursday, December 14, 2006

Kontroversi Dalam Kehidupan.....Yang Hangat dan Yang Suam

Salam Buat Semua,
Melihat kembali perjalanan kehidupan kita, dalam sedar atau tidak... Kita tidak dapat mengelak daripada berada dalam situasi yang menimbulkan ' KONTROVERSI.... '
* Kontroversi dalam percakapan yang menimbulkan suasana hangat di kalangan rakan-rakan
* Kontroversi dalam pencapaian diri yang tidak cemerlang dan tidak menepati kehendak ramai
* Kontroversi dalam memulakan hubungan dengan seseorang
* Kontroversi dalam cara penampilan diri yang tidak disenangi oleh segelintir pihak
* Kontroversi dalam tingkah laku kita yang dipandang jelek oleh individu lain
Pendek kata, walaupun kita bukanlah seorang personaliti yang dikenali ramai (ahli politik, artis, jutawan, warga media massa, kerabat ..... ) TETAPI hambatan ' KONTROVERSI ' tetap ada mengejar dan menjerat kita walau mungkin tidak disiar di dada akhbar dan memasuki ruangan gossip di majalah, tabloid mahupun forum sembang Internet.
Di sini saya perturunkan beberapa ' KONTROVERSI ' yang dekat di hati kita dan telah membawa 'TANDA - TANYA' kepada masyarakat marhaen (biasa) dan mengundang keadaan 'BERGELORA' di dalam negara sepanjang 2006 ini ....
* Apabila seorang bekas PERDANA MENTERI yang mengemudi proses pemodenan Malaysia selama 22 Tahun secara terbuka mengkritik PENGGANTINYA dan mengakui bahawa si pengganti itu sebagai 'mengkhianatinya' dan 'menikamnya dari belakang.'
* Kontroversi juga timbul apabila sesetengah MENTERI bertindak 'lebih sudu dari kuah' dengan 'membelasah' TUN DR MAHATHIR MOHAMMAD melalui media massa hingga mengatakan BAPA PEMODENAN MALAYSIA dan PERINTIS WAWASAN 2020 itu sebagai sudah nyanyuk, ingin berkuasa semula, mengalami sindrom ingin berkuasa semula. Sikap TERLAMPAU mereka ini yang lahir dari niat untuk 'mempertahan' Perdana Menteri telah membawa implikasi lebih buruk apabila majoriti rakyat menjadi muak dan menyampah keterlanjuran mereka yang dilihat seperti 'monyet kelaparan pisang.' Ada yang merasakan bukannya berjaya mempertahankan imeh Yang Berhormat Perdana Menteri tetapi sebenarnya memburukkan lagi imej P.M dan kabinetnya di mata rakyat kebiasaan
* Kontroversi juga timbul apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam satu temu-ramah yang disiarkan T.V 3 dengan yakinnya mengatakan bahawa tiada syarikat Malaysia yang telah terjual kepada pihak negara luar dan anaknya tidak terlibat dengan bisnes di dalam negara TETAPI dalam jangkamasa pendek dibuktikan bahawa syarikat Parkway Holdings (Singapura) telah menguasai Pantai Holdings (Malaysia) yang memegang kontrak pembekalan bahan perubatan kepada KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA dan dibuktikan pihak tertentu bahawa syarikat yang dimiliki sahamnya oleh KAMALUDDIN ABDULLAH juga ada menerima kontrak langsung melibatkan projek yang berkepentingan kerajaan
* Kenaikan harga minyak (petrol dan diesel) secara mendadak dan mengejut secara berterusan dan mencapai tahap MAKSIMANYA pada Februari, 2006 dengan alasan untuk menngurang beban subsidi kerajaan dan dikatakan penjimatan RM4 Billion akan digunakan untuk memperbaik dan memoden lagi pengankutan awam. Akhirnya, senyap sepi.....
* Penyanyi nombor satu Malaysia, Siti Nurhaliza (kini Datuk) dijerat dengan keberatannya untuk mengaku bahawa beliau memang intim dengan Datuk Khalid Mohd. Jiwa (jutawan bisnes) sehingga ditafsir oleh umum sebagai hipokrit dan berbohong
* Tidak ketinggalan kisah-kisah CERAI-BERAI dan MAHKAMAH melibatkan selebriti popular seperti YUSRY-ERRA FAZIRA dan Datuk Seri Effendi Norwawi - Datin Seri Farida Effendi (kini Datin Seri beralih ke Tiara Jacquelina si 'Puteri Gunung Ledang moden.'
* Bintang meningkat naik, SHARIFAH AMANI yang diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Malaysia melalui filem GUBRA dan bertambah popular melalui filem CINTA membuat kenyataan 'terlebih bijak' apabila mengeluarkan kenyataan " i sound stupid if i speak in Malay.." ketika menerima anugerah PELAKON WANITA TERBAIK di Festival Filem Malaysia 2006 yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara. Apapun alasannya, Amani tetap dipersalah dan dalam hal ini tindakan Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menempelak Amani amatlah disokong dan tiada kompromi dalam isu-isu seperti ini
* Isu beberapa wakil rakyat bertaraf Ahli Parlimen dan ADUN yang menyalahguna kuasa atau membuat kelakuan / tindakan yang menimbulkan kontroversi turut mendapat liputan besar dan mereka sebenarnya telah memalukan institusi pentadbiran dan menghancurkan harapan masyarakat umum yang 'MENGANGKAT' mereka ke jawatan tersebut sewaktu pilihanraya
* Isu Mat Rempit dan Minah Rempit juga menimbulkan suasana hangat apabila PEMUDA UMNO dengan bangganya mahu menghimpun REMPIT-REMPIT ini dengan tujuan untuk menunjukkan kepada mereka bahawa mereka tidak dilupakan. Hasil program tersebut masih menjadi '1001 tanda dan tanya' yang pening untuk difikirkan
Banyak lagi 'KONTROVERSI' yang kadang-kadang memualkan kita TETAPI adakalanya mampu menghiburkan kehidupan kita dengan 1001 persoalan, misteri, jenaka dan ketidaksiuman manusia yang tiada noktahnya.
Adakah HIPOKRASI manusia itu sendiri yang menimbulkan 'KONTROVERSI' ?
ATAU
Adakah sikap telus dan suci itu juga kadang-kadang menghadirkan 'KONTROVERSI' ?
Sehingga berjumpa lagi,
Salam InspiRasi ~~

Tuesday, December 12, 2006

Pencarian Idola : Antara Ahli Politik , Penyanyi, Ahli Perniagaan dan Ahli Sukan....

Salam Buat Semua,

Andai kita ingat dan sedar, kita selalu ditanya satu soalan normal ketika masih berada di alam persekolahan mahupun alam institusi pengajian tinggi dahulu...

SIAPAKAH IDOLA AWAK?
Timbul persoalan, siapakah yang wajar diangkat sebagai IDOLA untuk anak anak ataupun remaja yang sedang terkapai kapai mencari identiti diri dan mengalami gejolak jiwa yang serius akibat daripada perkembangan zaman yang semakin rencam dan 'pelbagai' tanpa boleh dibaca...
Dalam membicarakan soal ini, saya menolak ketepi jawapan seperti
- Idola saya ialah Nabi Muhammad S.A.W ataupun tokoh tokoh agama masing-masing
- Idola saya ialah ibu dan bapa saya
Bagi saya, Nabi mahupun ibu-bapa adalah IDOLA wajib bagi setiap insan dan mereka tidak wajar disama tarafkan dengan Idola-idola lain yang pastinya taraf mereka adalah lebih bawah daripada Nabi dan ibu-bapa kita....
Maka, siapakah yang wajar diMARTABATKAN dan diANGKAT untuk diketengahkan sebagai IDOLA kepada anak anak mahupun remaja?
--> AHLI POLITIK ?
--> PENYANYI?
--> AHLI PERNIAGAAN?
--> AHLI SUKAN?
Persoalan seterusnya....
AHLI POLITIK..
--> ada yang dengan mudahnya menunjukkan kesamsengannya, mengajar generasi muda untuk menjadi kurang ajar kepada orang yang lebih tua daripada kita (yang telah berjasa pada kita di wakti terdahulu) .... Saya merujuk kepada kebiadapan seorang dua ahli politik bertaraf Menteri yang dengan tanpa segan silu merendahkan martabat bekas Perdana Menteri sedikit masa dahulu... Ini tidak termasuk kes penyelewengan dan 'korupsi..'
PENYANYI..
--> hanya dengan memenangi pertandingan realiti T.V, wajarkah itu ditakrifkan sebagai idola terkini...Hairan sungguh apabila ada kerajaan negeri yang dengan mudahnya mengangkat pemenang ciptaan realiti T.V sebagai Duta Remaja Negeri... Saya tidak pasti dimana tahap keintelektualan pemimpin negeri tersebut atau dia sebenarnya terpengaruh untuk menjadikan pentadbiran negeri juga seperti rancnagan realiti yang 'glamor..'
AHLI PERNIAGAAN..
--> Media massa Malaysia amat payah untuk menjadi kreatif mengangkat mana mana ahli perniagaan berjaya yang banyak berbakti dan telus untuk dijadikan bahan motivasi kepada remaja dan anak anak. Rasanya hanya sekelumit anak anak dan remaja yang tahu akan kisah perit jerih orang orang seperti Tan Sri Loh Boon Siew, Tan Sri Lim Goh Thong dan Tan Sri Mohktar Al-Bukhary dalam membina empayar perniagaan mereka yang akhirnya bernilai Billion Ringgit.
AHLI SUKAN..
--> Sukar pula untuk mencari ahli sukan Malaysia yang berjaya dan mampu untuk menjadi seorang ahli sukan berjaya yang konsisten pencapaiannya. Baru hendak 'diangkat,' dia sudah tenggelam semula. Contoh terdekat ialah bagaimana Hafiz HAshim yang unggul menjadi Juara All-England dan Sukan Komanwel pada 2002, tiba tiba tenggelam terkulai selepas itu. Mutakhir ini, Nicol David dirasakan layak untuk 'diangkat' sepenuhnya..Tetapi, media lebih gemar mengangkat bintang nyanyian realiti TV sebagai jagoan remaja....Alahai media.....
Seterusnya, saya serahkan kepada anda semua untuk memikirkan persoalan ini....
Untuk saya....siapakah idola saya.... ???
Saya masih teringat dipertengahan tahun 1997, saya pernah menulis sebuah esei yang membawa tajuk CITA-CITAKU YANG MEMBARA (esei tersebut menjadi juara pertandingan esei sekolah menengah peringkat Daerah)..... Di dalam satu perenggan, saya menulis yang inspirasi saya hadir melalui 3 pemimpin ini :
SAYA INGIN MENJADI SEORANG PEMIMPIN YANG BIJAK DAN BERPANDANGAN JAUH SEPERTI DATUK SERI DR MAHATHIR MOHAMMAD, BIJAK BERBICARA DAN HEBAT KETRAMPILANNYA SEPERTI DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DAN TENANG JIWANYA DAN TINGGI PEKERTINYA SEPERTI DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI...MEREKALAH IDOLA SAYA....
Itu adalah idea dan pegangan saya pada tahun 1997 ketika berada di Tingkatan 3... Ketika itu Dr Mahathir adalah Perdana Menteri, Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Abdullah adalah Menteri Luar yang baru saja memperoleh semula jawatan Naib Presiden UMNO yang dia tewas pada 1993....
Tapi kini..... segalanya adalah sejarah.... Yang Pasti, ada antara mereka yang membuatkan saya sudah tidak menganggap mereka adalah idola saya.... Hanya satu saja yang akan tetap saya martabatkannya sebagai IDOLA saya selamanya.... Dia adalah seorang yang KONSISTEN dalam tindakan dan sikapnya.... ITULAH sifat WAJIB seorang IDOLA..... Sentiasa sama cara dan pemikirannya..Bukannya seorang yang bersikap 'SEKALI AIR BAH, SEKALI PANTAI BERUBAH :)
Jumpa Lagi, Salam InspiRasi....

Friday, December 8, 2006

Cinta..Sebuah Kisah Tentang Kasih....

Salam CInta dan KAsih Sayang,

Selaku anak Melayu, saya tidak pernah menjadi anak Melayu yang 'negatif' terhadap filem mahupun muzik Melayu.... Selaku anak Melayu yang lahir di era 80-an dan membesar di era 90-an, saya dapat melihat betapa 'agak ramai' juga di kalangan anak Melayu yang 'berpendidikan' dan dibesarkan dalam suasana moden menjadi satu golongan yang agak 'negatif terhadap muzik dan filem yang berorientasikan Melayu...

Selalu kedengaran:
* Ahh..cerita Melayu?? Bosanlah... Takde kualiti
* Lagu Melayu??? Iskkk, geli lah...lemah lentok, meleret-leret....
* Sorrylah nak tengok filem Melayu, ntah apa apa... Bodoh jek !
Sedeh dan kecewa apabila ada kalangan Melayu sendiri yang suka memperlekehkan sesuatu yang Melayu itu sendiri.....

Berbalik kepada tajuk saya kali ini......

CINTA...Sebuah Kisah Tentang Kasih.....
Filem edaran Grand Brilliance Sdn Bhd yang diarahkan oleh Khabir Bhatia dengan skrip nukilan isteri tersayang iaitu Mira Mustaffa ini adalah filem yang wajar ditonton oleh golongan 'negatif' terhadap sesuatu yang berorientasikan Melayu itu sendiri.....
Kekuatan skrip, teknik fotografi yang unik, paparan plot cerita yang kemas, muzik latar yang menarik dan logik serta pengisian nilai murni yang menyeluruh dengan penghayatan lakonan yang hebat di sepanjang filem yang berdurasi 2 jam ini cukup untuk membuktikan kepada khalayak semua bahawa..FILEM MELAYU ada kekuatannya dan tidak semuanya harus dilabelkan sebagai BOSAN, JIJIK, BODOH mahupun TIADA MATLAMAT......
Saya selalu menonton filem di pawagam sama ada filem luar (filem yang datang dari pelbagai arena sama ada Hollywood, England, Jepun, Hong Kong, Korea, Indonesia, Thailand) mahupun filem tempatan sendiri.... Bagi saya kepompong pemikiran bukan setakat boleh dijana oleh melalui pembacaan buku, menghadiri kuliah, dokumentari atau seumpamanya sahaja TETAPI filem juga mampu mencorak minda dan mendidik jiwa seandainya disalurkan matlamat menonton filem itu ke arah yang betul dan membina.
Filem CINTA ini telah mengundang saya menontonnya sebanayk 2 kali di pawagam dan kemunculan CD nya nanti pasti akan membuatkan saya menontonnya untuk kali ketiga pula....
Sedari ini saya mengerti bahawa filem CINTA ini mengajar saya bahawa:
* Kasih sayang adalah sesuatu yang sellau datang tetapi jarang kita raikannya
* Kasih sayang melampaui definisi cinta antara pasangan kekasih semata mata
* Kasih sayang tidak datang secara tiba tiba dan tanpa sebab....
* Kasih sayang sentiasa memerlukan pengorbanan dan cabaran
Masih terngiang-ngiang di telinga saya bait-bait kata watak Makcik Rubiah lakonan Fatimah Abu Bakar:
* Kadang-kadang Orang yang paling kita sayanglah yang paling susah untuk disayangi....
Bait-bait kata watak Cikgu Ilyas lakonan Dato' Rahim RAzali yang cukup bermakna:
* Isteri bukannya hak milik tetapi adalah anugerah....
Sebagai pendidik, bait-bait kata seorang doktor di hospital yang ingin membantu cucu Cikgu Ilyas membiayai perbelanjaan datuknya sudah pasti mebuatkan hatis aya sebak:
* Kalau tidak kerana Cikgu Ilyas, saya tidak akan jadi doktor....
Harapan saya, moga banyak lagi filem-filem tempatan selepas ini akan menjadi satu karya yang boleh dibanggakan..Kalau tidak dibanggakan oleh orang luar, cukuplah sekiranya ianya tidak lagi dicemuh dan diperlekeh oleh anak bangsa sendiri......
......Selain CINTA... saya bangga melihat hasil karya seperti Pontianak Harum Sundal Malam II, Fenomena, Ali Setan, Embun, Laila Isabella,Baik Punya Cilok, Leftenan Adnan..... Berbeza genrenya tetapi masing amsing ada kekuatan dan motif yang tersendiri......

Tuesday, December 5, 2006

Proton Kini DI Afrika Selatan... dan Percubaan "Membunuh Proton"

Salam InspiRasi,

November 2006 mencatat sejarah tersendiri buat produk kebanggaan Malaysia, ProTon....

Pasaran terbesar kenderaan di benua Afrika iaitu Afrika Selatan kini menjadi destinasi terbaru pelebaran sayap Proton....

4 model Proton yang akan menguji pasaran Afrika Selatan ialah:

* Satria Neo
* Gen - 2
* Savvy
*Arena

Isu yang hendaks aya timbulkan di sini ialah 'Proses Pembunuhan Proton' yang seakan sedar tidak sedar sedang berlaku sejak berleluasanya pemberian AP (Approved Permit) daripada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) yang diketuai oleh Y.B Rafidah Aziz.....

Pemberian AP yang berleluasa untuk kenderaan yang menjadi 'direct competitor' kepada Proton terutamanya yang datang daripada Korea Selatan dan Jepun adalah amat menyedehkan....

Walaupun ramai yang beranggapan persaingan adalah baik untuk masa depan Proton TETAPI harus diingat supaya kita jangan bertindak terlalu 'memandai.'

Korea Selatan sebagai contoh, walaupun telah jauh kedepan dari pada segi teknologi dan kemantapan pasaran keretanya, MASIH MELINDUNGI PASARAN KERETA TEMPATANnya.... Hingga hari ini, amat susah untuk pengeluar kereta luar memasuki pasaran kereta penumpang bajet sederhana (1300CC- 1800CC) di Korea Selatan kerana kerajaannya berpendapat bahawa produk keluaran tempatan harus dilindungi dan diutamakan...

Hal yang sama turut berlaku di negara yang JAUH lebih maju daripada Malaysia seperti Jepun dan Taiwan...

Bukanlah saya cuba untuk menjadi Pejuang Nasionalisme TETAPI kita harus ingat bahawa 'spin-over' atau 'kesan luahan' yang telah dibawa PROTON dalam pengembangan ekonomi Malaysia bukannya harus dilihat daripada segi KERETA itu sendiri tetapi ianya telah membawa kepada pengembangan sektor lain:

* Industri hiliran lain berkembang maju - pembekal komponen, aksesori, tayar dan getah, aluminium...
* Industri sokongan - baik pulih, pengedaran, insurans, kewangan

Walau ramai yang beranggapan bahawa Perodua, Naza dan Inokom juga telah diberi status pengeluar kenderaan bertaraf nasional.... Tetapi 'nilai dan semangat' yang dibawa oleh Proton adalah berbeza.....
Sehingga hari ini... Perodua, Naza dan Inokom sebenarnya hanyalah 'pemasang semula model-model kenderaan luar' dan dinamakan semula mengikut citarasa Malaysia..Lahirlah Kancil,Kelisa,MyVi,Naza Ria, Naza Citra, Naza Sutera, Atos Prima, Matrix dan sebagainya..... Proses pasang semula tidak menyumbang kepada peningkatan taraf kejuruteraan negara untuk masa depan dan tidak juga menyumbang kepada kepakaran R&D (Kajian dan Pembangunan) teknologi kenderaan.....

Harus diingat, Proton telah berjaya menjadi pengeluar kenderaan yang datang daripada idea anak anak Malaysia sendiri dan bukannya dibantu oleh otak dan pemikiran mat saleh mahupun mat Jepun.....2 fakta unggul yang menjadi sejarah negara yang bernama Malaysia melalui Proton ialah:

* Rekaan bentuk kereta pertama daripada anak Malaysia - Pelancaran Proton Waja pada tahun 2000
* Rekaan bentuk dan enjin (100% kereta ciptaan Malaysia) - Pelancaran Proton Gen-2 pada 2004

Kerana itu, Proton adalah InspiRasi saya :)






Gabung dan Cantum : Utusan + NST

Pemerhati sekelian,

Mutakhir ini ada disebut bahawa Utusan Malaysia Berhad akan digabungkan dengan NSTP Berhad....

Alasan yang diberikan oleh pihak yang mencadang:

1) Menguatkan struktur kewangan kumpulan NSTP
2) Mengukuhkan pengedaran akhbar NST yang sejak 10 tahun lepas kecundang di tangan The Star
3) Mengurangkan persaingan sesama akhbar Melayu (Berita vs Utusan dan Metro vs Kosmo)
4) Pembahagian pasaran yang lebih menjurus kepada memahami kekuatan masing-masing (Utusan Malaysia
difokuskan untuk market Utara Semenanjung dan Pantai Timur) manakala Berita Harian difokuskan untuk
market Selatan Semenanjung dan Metropolitan)

Walau bagaimanapun alasan yang cuba dicari.... Saya amat tidak bersetuju dengan penggabungan 2 entiti besar ini...Kedua dua syarikat pada dasarnya adalah milik UMNO (Lebih kurang 52% saham Utusan adalah milik UMNO dan 47% saham NSTP dimiliki oleh Media Prima Berhad yang juga adalah proksi UMNO).... Mengapa saya lebih kepada menidakkan idea ini:

1) Seandainya gabungan dibuat, maka bermulalah proses pembuangan kakitangan syarikat atas alasan untuk
mengurangkan kos operasi
2)Andainya Utusan dan Berita menjadi entiti di bawah payung yang sama, maka hilanglah identiti masing
masing dan paparan berita dan liputan akan menjadi statik dan tidak berinovasi
3) Persaingan yang kurang akan menyebabkan kualiti menurun
4) Star Publications Berhad yang memiliki akhbar THE STAR (majoriti saham milik MCA) sebenarnya sudah
mempunyai lesen untuk menerbitkan akhbar harian berbahasa Melayu sejak 1997 lagi tetapi ditangguhkan
permulaan penerbitannya kerana gusar dengan persaingan bersama Berita Harian dan Utusan Malaysia.
Andainya Berita bergabung dengan Utusan maka sudah pasti Star Publications akan melancarkan akhbar
Melayu miliknya kerana sudah kurang persaingan. Dikhuatiri, agenda 'merubah pemikiran' bangsa akan
berlaku secara senyap...... " Biarlah minda Melayu dibentuk daripada pemikiran dan niat ikhlas Melayu sendiri "

Apapon, tahniah saya ucapkan pada 43 orang ahli Majlis Tertinggi UMNO yang membangkang penggabungan ini dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada petang Jumaat 1 Disember 2006. Malangnya, ada 5 yang menyokong.....Apa agenda mereka agaknya?
Kepada Perdana Menteri, ini satu mesej yang jelas dan terang.......

Sunday, December 3, 2006

Kebebasan Perdagangan ? Renung dan FIkirkan.....

InspiRasi saya, negarawan Mahathir Mohammad pernah menyatakan bahawa 'GLOBALISASI bukanlah sesuatu yang semestinya diterima bulat bulat.'

Saya tetap merasakan bahawa 'GLOBALISASI' adalah rekaan barat yang sebenarnya dicipta berlandaskan prisip dan cara yang berat ke arah memenuhi keperluan dan kehendak mereka atas nama :

1) Dunia tanpa sempadan
2) Kebebasan perdagangan
3) Tiada kawalan politik dalam perdagangan
4) Tiadanya kekangan yang merencatkan aktiviti perdagangan....

Setelah FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) antara Malaysia dan Jepun yang berlaku sebelum ini telah mendapat satu tempikan HEBAT banyak pihak apabila dipermainkan dengan kata kata " Adakah SETARA untuk membenarkan CUKAI BARANGAN ELEKTRONIK daripada Jepun diminimakan/dihapuskan sama sekali dengan GANTInya adalah PISANG daripada Malaysia juga diminamakan/dihapuskan cukainya ketika memasuki pasaran Jepun "

Rasanya tokoh besar seperti Rafidah Aziz wajar tidak terperangkap dengan 'SANDIWARA' yang dibesarkan atas erti kata 'GLOBALISASI PASARAN dan PERDAGANGAN'

Telusurilah, makna makna tersirat berita dibawah yang saya petik melalui BERNAMA :



Rafidah harap pasaran dorong FTA AS-Malaysia

PHILADELPHIA 29 Nov. – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz berharap perundingan FTA AS-Malaysia akan lebih didorong pasaran berbanding dorongan secara politik.

“Ia akan lebih berjaya jika kita hapuskan matlamat-matlamat politik dan kesimpulannya berasaskan kepada aspek-aspek didorong pasaran,” katanya di dalam ucapan beliau pada satu seminar mengenai “Peluang-peluang Perniagaan di Malaysia,” di sini semalam.

Rafidah mengetuai satu misi perdagangan dan pelaburan 36 anggota ke AS dari 26 November hingga 6 Disember, meliputi tiga bandaraya Philadelphia, Chicago dan Phoenix.

Misi itu dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Beliau berkata, adalah sukar untuk bersetuju sekiranya perundingan meninggalkan kesan ke atas dasar-dasar dalam negara sedangkan ia akan lebih mudah jika perundingan-perundingan didorong pasaran.

Sambil memahami keghairahan masyarakat perniagaan AS terhadap bakal kesan perdagangan dan pelaburan FTA, katanya sektor perniagaan di Malaysia juga berkongsi sentimenb yang sama tetapi negara itu masih perlu meneruskan dasar-dasarnya bagi pembangunnya yang mampan dan bagi memenuhi matlamat-matlamat sosial.

Beliau menegaskan bahawa adalah perlu bagi negara (Malaysia) meneruskan sesetengah matlamat sosial dan ekonomi yang disasarkan kepada pembangunan negara bangsa dalam satu masyarakat berbilang kaum.

Sementara itu, tiga pusingan perundingan AS-FTA telah diadakan setakat ini dengan yang keempat dijadual pada bulan Januari tahun depan di San Francisco.

Daripada laporan-laporan yang diterima daripada pasukan-pasukan perunding, katanya kedua-dua belah pihak telah mencapai satu tahap kefahaman yang tinggi terhadap keperluan-keperluan satu sama lain.

“Jika AS terus menunjukkan tahap kelonggaran yang sama yang dilihat di dalam pusingan ketiga, saya yakin bahawa satu perjanjian yang memberi manfaat bersama adalah mungkin dalam masa yang amat dekat ini,” kata menteri itu.

– Bernama

Saturday, December 2, 2006

1 DisembEr 2006....Lihat Kebelakang

Salam InspiRasi,

1 Disember menjelang sudah, rasa seperti begitu cepat putaran masa dan ketika berlaku... Tepat sebulan lagi, menjelanglah 1 Januari....

Apabila masukknya bulan terakhir untuk dimensi 2006 ini... Sewajarnya kita bertanya pada diri sendiri...

1) Masih ingatkah pada resolusi di awal 2006?
2) Apakah pencapaian diri terhadap segala resolusi yang telah ditetapkan diawalnya?
3) Sejauh manakah kita berbeza antara 2005 dan 2006?
4) Apa yang boleh dibanggakan terhadap diri sendiri sepanjang 2006 ini?
5) Apa pula yang boleh dimalukan terhadap perbuatan dan pencapaian sepanjang 2006?
6) Bagaimana pula dengan hubungan kita sesama ibu bapa, keluarga, rakan dan sebagainya?

Dan yang paling utama sekali,

Sudahkah Kita Bersedia Untuk Menjejaki Dimensi 2007 Seadanya ?
ATAU
Adakah Kita Berasa Bahawa Peralihan Tahun Adalah PErkara Biasa Sahaja?
" Lihatlah Kebelakang Kerana Dari Belakang Itu Kita Akan Dapat Merencana Semula Arah Haluan Di Hadapan....... "
" Jangan Biarkan Tahun Demi Tahun Meninggalkan Kita Tanpa Kita Mampu Menghasilkan Sesuatu Yang Boleh Dibanggakan Diri Sendiri dan Memberi Nilai Tambah Kepada Perwatakan Dan Pemikiran "

Friday, December 1, 2006

InspiRasi 'Bloggers'

Salam Buat Semua,

InspiRasi 1982 secara rasminya saya lancarkan pada jam 10.09 malam 30 November 2006....Setelah memerhatikan pergerakan dunia 'bloggers' Malaysia yang nampaknya semakin rancak sejak awal 2006 ini, saya merasakan 'tergerak hati' untuk memeriahkan lagi komuniti ini. Apalagi sejak kebelakangan ini rutin harian saya semakin rapat dengan idea idea dan pelbagai isu yang diuatarakan oleh 'bloggers' bertaraf 'heavyweight' seperti The Scribe A. Kadir Jasin , Sang Kelembai, Rocky' Bru dan Jeff Ooi's Screenshots.Pasti ada yang bertanya kenapa label blog ini berbunyi ' InspiRasi 1982?' ... Mudah saja jawapannya, Itulah tarikh paling istimewa untuk hidup saya.....

" Bermulanya tangga kehidupan yang masih dalam perjalanan mencari dan menggapai impian dan harapan melalui inspirasi yang tidak pernah bernoktah....."

Salam PeRmuLaaN InspiRasi.....

Salam Perkenalan Buat Semua,


InspiRasi Adalah Satu Daya Kekuatan Yang Datang Secara Tidak Sedar Walaupun Diundang Adakalanya....

InspiRasi Membawa Satu Tenaga Yang Luar Biasa Kepada Empunya Diri Walau Ia Tidak Didokong Oleh Pengaruh Mahupun Paksaan Unsur Luaran....

InspiRasi Mampu Merubah Pemikiran dan Hala Tuju Manusia Andai Ditelusuri Sedalamnya dan Sentiasa Tersemat Dalam Keyakinan Diri dan DIlayari Dengan Unggul....

InspiRasi Tidak Untuk Dibangga , Bukan Untuk Berkuasa.....

Kerana InspiRasi Adalah Satu Manifestasi Kepada Si Empunya Diri Bahawa Hidup Ini Perlu Wawasan... Perlu Tujuan... Perlu Harapan... Perlu Motivasi Pemangkin Destinasi Dituju.....

Salam inspiRasi Buat Semua ....