Friday, April 30, 2010

Abang Saya

Salam Buat Semua,


1) 1 Mei ini genap satu tahun abang saya bergelar suami orang. Dia bernikah pada 1 Mei, 2009. 1 Mei juga adalah 'hari jadi' kepada perkahwinan Emak dan Encik (ayah). 6 Mei pula ialah tarikh usia Abang akan meningkat satu angka lagi. 23 April 2010, Jumaat jam 8.11 malam adalah saat istimewa untuk dia kerana mula bergelar Encik kepada seorang bayi perempuan. Isterinya anak jati Terengganu, dia anak watan Johor dan anaknya pula di tengah-tengah iaitu 'bayi Pahang.'

2) Saya hanya ada dia sebagai abang. Tiada adik, tiada akak. Noor Hamidi Bin Ahmad itulah satu-satunya adik-beradik yang saya miliki di dunia ini. Jarak usia kami agak jauh, 8 tahun.

3) Ketika kecil dia suka membuli saya. Selalu dia marah-marah pada saya. Kalau Emak dan Encik tiada di rumah maka saya akan dijadikan 'sasaran lagak heronya.'

4) Ketika itu saya cukup tidak suka pada dia. Menyampah yang amat dan terfikir kenapa ada dia selain saya di rumah itu.

5) Semakin masa menginjak ke hadapan dan semakin usia mematangkan saya sedikit demi sedikit, mulalah saya berasa bersyukur memiliki dia sebagai seorang abang. Pernah dia mengambil cuti kerja semata-mata untuk menguruskan kereta saya yang rosak, menemani adiknya ini ke bank sekaligus menjadi penjamin untuk urusan pinjaman pelajaran saya di peringkat ijazah Sarjana dan mengikuti saya ke Sintok, Kedah bagi urusan konvokesyen merangkap pemandu solo dari Johor hingga ke hujung Semenanjung Malaysia.

6) Sewaktu saya memasuki universiti pada tahun 2000, dialah yang secara sukarela memberikan duit beratus Ringgit untuk saya membeli buku teks di semester pertama. Semester seterusnya saya menggunakan duit biasiswa yang diterima (Terima kasih buat Yayasan Telekom Malaysia!). Sejak daripada semester pertama sehinggalah semester terakhir di universiti, saya tidak pernah 'mencetak rompak' buku teks. Saya suka membeli buku yang asli dan rasa bersalah kalau 'mencetak rompak' hasil kerja orang lain.

7) Telefon bimbit saya yang pertama juga dibelikan oleh Abang pada tahun 2000. Harganya lebih kurang RM800. Ketika itu Abang saya hanyalah seorang Juruteknik biasa. Semestinya jumlah sebanyak itu bukanlah kecil baginya.

8) Sewaktu Abang ambil keputusan untuk mengambil Diploma sewaktu usianya sudah mencecah 29 tahun (akhir 2003) saya gembira bukan kepalang. Saya bangga dengan perkembangan itu.

9) Februari 2007 sewaktu dia berkonvokasi Diplomanya di Kolej Latihan Telekom (kini dikenali sebagai Kolej Multimedia), air mata saya mencurah-curah keluar tanpa dipaksa. Gembiranya saya sewaktu itu jauh dan amat jauh sekali lebihnya berbanding sewaktu saya menerima ijazah pertama dan ijazah sarjana.

10) Tatkala dia bersalam dengan imam untuk upacara pernikahannya, air mata saya laju berderaian. Saya rasa 'kehilangan' kerana dia akan mula dimiliki oleh orang lain pula dan mempunyai komitmen untuk keluarga barunya juga. Selepas setahun berlalu, tafsiran saya tidak betul. Kami masih rapat dan sentiasa bersua, paling lamapun dua minggu sekali!

Neba2020: Hargai apa yang kita ada kerana itu juga yang akan menghargai kita secara jujur dan sepenuh hati di saat susah mahupun senang....

Tuesday, April 27, 2010

Bila Kalah: SPR Salah, BN Rasuah ...

Salam Buat Semua,

1) Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor tamat sudah. Barisan Nasional (BN) melalui MIC berjaya menawan kembali kerusi tersebut daripada Pakatan Rakyat (PR) yang diwakili PKR. Mac 2008, PKR tewaskan BN dengan majoriti 198 undi dan April 2010 menyaksikan BN menang dengan kelebihan 1725 undi.

2) Calon 'impot' PKR iaitu Zaid Ibrahim nampaknya tidak dapat menerima hakikat kekalahan. Bekas ahli Parlimen Kota Bahru, Kelantan (2004-2008) melalui tiket BN (UMNO) ini mendakwa beliau tewas di PRK Hulu Selangor kerana faktor berlakunya penipuan dan rasuah yang dijalankan BN. Zaid turut 'menghentam' Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwanya lemah dan sistemnya penuh dengan masalah. Menurut Zaid, itulah sebab kekalahannya!

3) Zaid ini mungkin sudah 'sedikit nyanyuk' ataupun sengaja seperti biasa cuba mempotretkan dirinya sebagai 'orang yang selalu betul.' PRK Hulu Selangor adalah PRK yang ke 10 semenjak Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 pada Mac, 2008. Rekod menunjukkan 7 kemenangan telah berpihak kepada PR (Permatang Pauh, Penanti, Permatang Pasir - Pulau Pinang, Kuala Terengganu - Terengganu, Bukit Gantang - Perak, Bukit Selambau - Kedah dan Manek Urai - Kelantan) manakala cuma 3 menyebelahi BN (Batang Ai - Sarawak, Bagan Pinang - Negeri Sembilan dan Hulu Selangor - Selangor). 10 PRK itu menyaksikan 8 daripadanya mencatatkan keputusan tidak berubah (PR kekal di 7 kawasan dan BN dengan 1 kerusi). Zaid perlu mengambil iktibar di PRK Kuala Terengganu di mana PAS berjaya menawan kerusi tersebut pada Januari, 2009 walaupun BN menguasainya di PRU 2008. Menarik juga bagaimana SPR yang 'tidak betul' itu telah mengelolakan satu PRK yang menghasilkan keputusan positif buat PR.

4) Mungkin Zaid perlu berhujah di mana logiknya sistem yang bermasalah itu boleh pula 'meruntuhkan' kekebalan BN sehingga hilang majoriti 2 pertiga di Parlimen? 'Sistem' yang tidak telus itu jugalah nampaknya yang telah menyebabkan BN hilang kuasa di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan turut gagal di Kuala Lumpur.

5) Zaid selaku professional Melayu yang berpendidikan tinggi, liberal dalam berfikir, seorang jutawan dan sentiasa kelihatan berani dalam bertindak selama ini wajarlah bersikap lebih matang dan tidak menurutkan sangat rasa kecewanya itu. Zaid bukanlah kalah 100%, walaupun dia orang Kelantan tetapi nampaknya lebih 20000 pengundi di Hulu Selangor 'suka dan selesa' dengannya. PRU ke 13 tidaklah lama mana, Zaid masih ada peluang untuk 'kembali' ke Parlimen. Mungkin ada baiknya dia memberi perhatian kepada orang Kota Bahru yang lebih kenal dan lebih mudah didampinginya, jadilah dia ahli Parlimen semula kelak jika diizinkan Tuhan.

Neba2020: Ada baiknya dalam hidup ini kita melihat jauh ke dalam diri sendiri, apa silap dan apa lemahnya diri sendiri andai kejayaan atau kebahagiaan hidup masih belum 'lekat' walaupun sudah penat usaha dilakukan ....

Thursday, April 22, 2010

Umrah, Hulu Selangor dan Anak Saudara Pertama

Salam Buat Semua,

UMRAH

1) Semalam (21 April), sahabat sepengajian waktu ijazah pertama dahulu menelefon saya.

2) Namanya Khairul Azhar Bin Isa. Dia orang Johor seperti saya juga tetapi berasal dari Muar, sebelah daerah kelahiran saya sahaja (Segamat).

3) Sahabat saya ini sekarang seorang eksekutif di sebuah bank pelaburan.

4) Azhar menelefon saya kerana mahu memberitahu yang dia akan menunaikan Umrah ke Mekah pada bulan hadapan. Saya sungguh terharu bercampur gembira mendengar khabaran itu. Pertama kali dalam hidup saya seorang sahabat lama membuat 'pengumuman' mahu pergi ke Mekah menunaikan Umrah (ada orang panggil ianya sebagai Haji kecil).

5) Azhar mohon maaf andainya ada silap dan salah dibuatnya sepanjang 4 tahun kami bergelar rakan sekuliah yang memang rapat dahulu. Dia minta saya halalkan apa jua yang sepatutnya.

6) Azhar ini banyak menyumbang kepada perjalanan hidup saya 'menuju' ke jawatan pensyarah di universiti.

7) Sewaktu di alam ijazah dahulu, dia kerap datang ke rumah saya untuk belajar. Dia menyewa rumah dengan seorang lagi rakan sekelas kami yang merupakan pelajar 'kelas pertama.' Sahabat itu juga umpama seorang 'guru' kepada rakan-rakan sekelas. Selalu buat 'tuisyen' secara percuma di rumahnya.

8) Azhar lebih senang 'bercikgukan' saya. Dia kata, saya lebih memahami masalah 'budak-budak' yang lemah dan susah mahu faham. Kebiasaannya, sebelum Azhar datang ke rumah, saya akan 'mengajar' diri saya dahulu. Saya mahu pastikan dia akan faham sepenuhnya apa yang saya 'ajar' itu.

9) Lebih menarik lagi adalah sikap Azhar yang suka pergi ke rumah sewaan saya dahulu sebelum ke kampus untuk menghadapi ujian. Dia kata mahu dapatkan ketenangan dan dapatkan 'restu cikgu.' Kelakar sungguh bila saya kenangkan detik-detik itu. Apabila dia ada masalah dan terasa jiwanya kacau , semestinya saya jugalah yang dicarinya. Jadilah saya seorang kaunselor yang tidak bertauliah.

10) Azhar akan menjejakkan kakinya ke bumi Mekah yang suci lagi mulia. Moga Tuhan memberkati niat baiknya itu. InsyaALLAH.

HULU SELANGOR

1) Ahad ini (25 April) akan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor.

2) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) akan cuba mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada tahun 2008 itu. PKR akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) daripada MIC. Tahun 2008, PKR menang dengan majoriti kecil 198 undi sahaja. Menariknya, BN menang di ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen Hulu Selangor itu.

3) Jika dicampur undi majoriti di kesemua DUN itu, BN menang dengan kelebihan kira-kira 6000 undi. 2 kerusi DUN dimiliki oleh UMNO dan satu di pihak MCA. Unik, pengundi yang sama tetapi keputusan undiannya adalah berbeza! Ini namanya, pengundi yang penuh taktikal dan strategi.

4) Ada yang kata, BN tewas di Parlimen kerana orang Hulu Selangor yang majoritinya Melayu sudah bosan dengan calon MIC iaitu G. Palanivel dan pada masa yang sama PKR meletakkan Dr. Zainal Abidin Ahmad yang pernah menjadi Timbalan Menteri Besar sewaktu masih bernaung di bawah 'payung' UMNO. Dr. Zainal Abidin memang dikenali dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dengan orang Selangor terutamanya masyarakat desa.

5) PKR meletakkan Zaid Ibrahim, 'impot' dari Kota Bahru, Kelantan. BN pula letakkan P. Kamalanathan, anak jati Selangor yang memang jiwanya dan dirinya 'sentiasa dekat' dengan kawasan itu. Orang Hulu Selangor bukannya orang Pulau Pinang, Kuala Lumpur ataupun Petaling Jaya. Cara mereka memilih wakil rakyat cukup berbeza. Jelas, PKR seperti 'terlalu yakin' hingga lupa bahawa orang desa tidak berapa 'berkenan' dengan calon yang bila berjabat tangan riak mukanya seperti 'datuk-datuk' dan tidak cukup 'kecoh' bila berborak bertanya khabar.

ANAK SAUDARA

1) Sehari dua lagi, saya akan bergelar bapa saudara.

2) Malam tadi (21 April) emak memberitahu saya melalui telefon bahawa Kak Aida (isteri abang) akan masuk hospital sama ada hari ini ataupun esok. Maknanya, bila-bila masa sahaja daripada sekarang, dia akan melahirkan anak sulungnya itu.

3) Abang saya berkahwin pada 1 Mei tahun lepas. Tarikh itu juga adalah ulang tahun perkahwinan Emak dan Encik (ayah).

4) Abang berkahwin agak lewat. Menjelang usia 36 tahun nampaknya barulah dia bergelar seorang bapa, InsyaALLAH.

5) Kelahiran bayi ini amatlah dinanti-nantikan keluarga kecil kami (saya, Emak, Encik dan Abang). Encik sudah berusia 60 tahun, sememangnya dialah yang kelihatan cukup 'bersemangat' menantikan 'kehadiran' cucu sulungnya itu. Kadang-kadang saya lihat Encik lebih teruja daripada Abang pula. Maklumlah, kali terakhir rumah kami 'bingit' dengan suara bayi menangis siang dan malam ialah sewaktu saya lahir dahulu. Sudah hampir 28 tahun berlalu!

Neba2020: Hidup ini banyak sebenarnya peristiwa dan kenangan yang boleh kita raikan sewajarnya. Kadang-kadang ada orang menyifatkan hidupnya sebagai tidak bererti, tidak bahagia, tidak ceria, tidak seronok dan tidak ada apa yang boleh digembirakan. Masalahnya ialah apabila kita sendiri cuba mengecilkan ruang lingkup kehidupan diri sendiri, tidak memanfaatkan insan-insan yang bernama keluarga itu dan mungkin kita yang terlalu cerewet dan tidak pandai bergaul dan memainkan peranan yang sewajarnya sebagai seorang manusia ciptaan TUHAN....

Tuesday, April 20, 2010

Putus Terpaksa - Vokal, Melodi dan Lirik Yang Cukup Mantap

Salam Buat Semua,



PUTUS TERPAKSA

Seringkali kau menepis tiap persoalan
Ada sesuatu kau sembunyikan
Dari pengetahuanku
Dapat aku merasakan
Ketara perubahan
Setelah jelas terbukti
Sesuatu yang terlarang
Menjadi teman hidupmu
Selain aku...

Demi masa hadapan kita
Aku merayu
Kuncikan keinginanmu
Bernafaslah dalam sejahtera
Ku pasti ruang untuk mu
Masih ada...
Sudah puas ku menghimpun doa
Agar kau berubah
Berpaling membentuk impian hidup kita
Namun tiada oh kudratku untuk
Halang keinginan
Suaraku tak berdaya
Menentang kemahuanmu

Sia-sia belaka aku
Berkorban kasih ku padamu
Sekiranya kau
Masih tak ubah pendirian
Yang hanya menjanjikan
Pemergian ngeri
Yang tak memberi erti
Demi masa hadapan kita
Tak sanggup aku
Bertemankan oh kasihmu
Yang penuh dengan fantasi
Terpaksa jua ku undur diri...
Terpaksa jua ku undur diri...

Neba2020: Lagu ini muncul pada tahun 1993, cukup popular dan 'hangat' sekali di antara tahun 1993 dan 1995. Sebelum 'kelahiran' Siti Nurhaliza menggegarkan persada muzik Malaysia pada tahun 1996, Ziana Zain adalah 'ratu hati' pencinta lagu-lagu Melayu ...

Thursday, April 15, 2010

Tingkatan 5 Tahun 1999

Salam Buat Semua,

1) Hari ini (15 April, 2010) negeri Melaka bercuti sempena sambutan Hari Melaka Bandaraya Bersejarah. Entah mengapa tiba-tiba memori saya 'terundur' ke tahun 1999 sewaktu berada di Tingkatan 5. Saya cuba menguji ingatan spontan tentang apa yang saya lakukan 11 tahun lepas.

2) Saya adalah Pengerusi Tingkatan untuk kelas 5A di Sekolah Tinggi Segamat (STS), Johor. Jawatan itu saya pegang sejak di Tingkatan 2A pada tahun 1996.

3) Tahun itu adalah tahun 'keramat' bagi saya kerana itu adalah tahun mengambil SPM! Maka sudah pastinya hidup majoriti daripada 'kanak-kanak' kelahiran tahun 1982 adalah terarah kepada SPM, SPM dan SPM di sepanjang tahun 1999 itu.

4) Saya tidak suka kepada kelas tambahan yang cukup 'glamor' dengan panggilan 'tuisyen' itu. Emak dan Encik (ayah) memang sudah maklum dengan pendirian saya itu. Sejak musim saya hendak mengambil UPSR dan PMR lagi mereka selalu sangat 'mendesak' saya supaya pergi 'ambil tuisyen.' Saya memang tidak suka 'tuisyen' sebab 'cukup-cukuplah' pergi ke kelas untuk belajar.

5) Tidak suka pergi 'tuisyen' tidak bermakna saya tidak suka belajar. Saya suka membaca bersendirian di rumah. Maka, amat banyaklah bajet yang terpaksa Emak dan Encik peruntukkan untuk si bongsu mereka ini membeli buku-buku rujukan dan latihan tambahan. Setiap subjek biasanya saya akan memiliki 3 atau 4 buku rujukan tambahan daripada penerbitan yang berbeza. Seingat saya, antara jenama penerbitan yang jadi pilihan ialah Sasbadi, Preston, Fajar Bakti dan Pelangi.

6) Kelas tambahan yang pihak sekolah sediakan secara percumapun saya tidak turut serta. Nasib baik ianya tidak dibuat secara 'paksaan.' Kelas tambahan itu dibuat di sebelah petang. Alasan saya, badan sudah penat dan tidak larat 'bertapa' di sekolah seharian daripada pagi hingga ke lewat petang. Saya lebih selesa duduk di rumah, baca sehingga faham koleksi buku rujukan dan latihan tambahan yang jumlahnya boleh mencecah 100 hasil daripada kombinasi 10 subjek SPM yang diambil.

7) Tahun 1999 itu juga saya pegang jawatan Pengerusi Kelab Pengguna, Timbalan Pengerusi Kelab Pengerusi-Pengerusi Tingkatan dan AJK Kelab Sains.

8) 'Kegilaan' saya dalam bercakap membawa saya ke kancah Forum Remaja dan Debat Ala Parlimen.

9) Forum Remaja saya bertindak sebagai Pengerusi Forum dan 3 sahabat lain 'berlagak' sebagai ahli panel yang membincangkan isu tertentu yang diuji.

10) Pasukan STS jadi juara daerah Segamat. Selepas itu jadi juara negeri Johor pula. Terasa indah sangat detik-detik itu kerana Segamat yang diwakili sekolah harian biasa dapat tewaskan daerah lebih 'popular' seperti Johor Bahru dan Muar yang masing-masing diwakili Sekolah Tun Fatimah dan Sekolah Sains Muar yang sememangnya memiliki nama yang 'besar.'

11) Seterusnya, peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban telah 'menuliskan' riwayat 'kemaraan' STS hingga ke tahap separuh akhir sahaja. Apapun, sijil menjadi juara Johor dan 'finalis' Malaysia itu tetap rapi tersimpan sehingga ke hari ini! STS si 'sekolah biasa' berpeluang bertanding sepentas dengan nama-nama 'popular' seperti Maktab Tentera Diraja (Kuala Lumpur), MRSM Jasin (Melaka), Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah (Pahang) dan Sekolah Sains Tuanku Ja'afar (Negeri Sembilan).

12) Bagi Debat Ala Parlimen, saya bertindak sebagai 'ketua' pendebat sekolah. Kononnya menjadi 'Perdana Menteri' andainya pasukan menjadi pencadang dan memegang karektor 'Ketua Pembangkang' pula jika 'terundi' menjadi pembangkang tajuk perdebatan.

13) Pasukan STS tewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat di pertandingan akhir peringkat daerah. Juara Daerah lagi! Saya pula 'bertuah' diberikan hadiah Pendebat Terbaik Segamat tahun 1999. Syukur dan syukur. Maju ke peringkat negeri Johor pula sekadar ke tahap separuh akhir sahaja. Kami kecundang di tangan pasukan Sekolah Sains Kluang. Di peringkat suku akhir, Sekolah Sains Muar dapat ditewaskan. Apapun, STS adalah antara 4 sekolah terbaik di negeri Johor untuk acara 'berlawan cakap ala-ala Parlimen Malaysia' bagi penutup abad ke 20!

14) Selain aktiviti 'bercakap,' saya juga mewakili sekolah ke peringkat daerah untuk pertandingan berbentuk 'ujian otak' seperti Kuiz Perdana (berkaitan dengan sejarah dan isu-isu pentadbiran negara) , Kuiz Sains dan Kuiz Agama. Semuanya jadi juara. Satu lagi ialah Kuiz Pengguna yang keputusannya sedikit 'kecil' sedikit iaitu menjadi Naib Johan. Zaman sekolah dahulu, saya memang aktif dengan kegiatan berbentuk 'perjuangan hak-hak pengguna.' Mahu jadi 'juara rakyat' kononnya!

15) Tidak cukup dengan deretan pertandingan yang saya sertai, banyak juga aktiviti sekolah yang saya turut serta. Sebagai Pengerusi Tingkatan, saya secara suka ataupun tidak perlu 'memimpin' rakan-rakan kelas semuanya untuk memeriahkan Bulan Bahasa dan Bulan Kemerdekaan.

16) Sempena Bulan Kemerdekaan 1999, kelas kami menjadi juara Pertandingan Menghias Kelas berunsurkan tema patriotik dan cintakan negara. Tingkatan 5A penuh dengan bendera kecil di setiap meja pelajarnya, cetakan kata-kata patriotik juga motivasi penuh di dinding, sudut pameran barang-barang antik di belakang kelas, langsir kelas yang bercirikan warna-warni Malaysia dan gambar-gambar tokoh-tokoh negara juga terpampang megah. Sedikit kecewa kerana kami tidak dapat jadi juara Pertandingan Persembahan Patriotik. 'Sedih' juga kerana 'satu kelas' berlatih berlakon teater selama hampir sebulan! Sayalah yang menjadi 'Tuan Pengarah' secara amatur merangkap juru cerita.

17) Tingkatan 5A juga menjadi juara keseluruhan Pertandingan Bulan Bahasa. Menarik juga untuk dikenang kerana kelas-kelas di peringkat Tingkatan 6 Bawah dan Tingkatan 6 Atas 'tertewas' dengan 'budak-budak' Tingkatan 5. Saya dilarang daripada turut serta dalam apa jua pertandingan sama ada yang berbentuk forum, debat, syarahan, menulis esei, sajak dan koir. Saya terima dengan penuh positif sebab ada baiknya kawan-kawan lain juga dapat mengumpul sijil.

18) Saya tidak bertanding tetapi bertindak sebagai 'ketua strategi' bagi kelas kami. Apa yang saya tahu, saya mahu kelas kami jadi juara keseluruhan walaupun saya tidak akan dapat sebarang hadiahpun!

19) Sepanjang tahun 1999 itu jadual kehidupan saya cukup padat. Latihan berforum dan berdebat sememangnya mengambil masa yang cukup panjang. Bayangkanlah, untuk Forum Remaja sahaja ianya mengambil masa sebulan penuh berlatih dan membuat kajian bahan-bahan tambahan terhadap berbelas topik yang mungkin diuji sewaktu hari pertandingan. Kalau peringkat daerahnya sudah sebulan penuh 'memerah tenaga,' bagaimana pula dengan peringkat negeri dan kebangsaannya pula? Begitu juga dengan Debat Ala Parlimen. Persiapan lengkap selama 2 bulan telah 'diambil' untuk pertandingan di peringkat daerah hinggalah ke peringkat negeri. Bulan Mac hinggalah bulan Julai, 1999, hidup saya penuh dengan latihan bercakap, pencarian fakta dan 'pengembaraan' dari satu destinasi ke satu destinasi lainnya sebagai pengerusi forum dan ketua pasukan debat Sekolah Tinggi Segamat yang amat disayangi. Itu tidak termasuk lagi dengan 'proses membaca dan mencari' bahan-bahan rujukan tambahan untuk menyertai 4 pertandingan kuiz yang saya turut 'memeriahkan suasana.'

20) November 1999 saya menduduki peperiksaan SPM. Persiapan saya memang banyak 'terganggu' dek kerana aktif sangat 'bercakap' dan 'berkuiz' ke sana ke mari tetapi tidak bermakna saya tidak fokus kepada SPM yang penting itu. Saya tidak pernah merasakan bahawa aktiviti tambahan itu mengganggu pelajaran. Saya memang minat 'bercakap' dan saya cukup berterima kasih kepada Cikgu-Cikgu yang memilih saya mewakili sekolah. Mereka nampak kemampuan saya rupanya di kala saya sendiri pada awalnya tidak sedar yang diri ini boleh 'bercakap' di atas pentas.

Kesimpulannya, apabila kita membuat sesuatu itu dengan penuh minat dan tidak terpaksa, ianya pasti tidak akan mengecewakan di akhirnya. Raihlah sokongan ibu dan ayah, percayalah kepada Tuhan, yakinlah kepada rahmatNYA ....


Neba2020: Ayuh Neba2020, kamu boleh mengulang sejarah 1999 itu .... Dulu dan sekarang sama sahaja ....

Wednesday, April 14, 2010

PRK Hulu Selangor - BN jadi PR, PR jadi BN ?

Salam Buat Semua,

1) Dulu, Barisan Nasional (BN) suka saja meletakkan calon bukan anak tempatan di mana-mana kawasan Parlimen yang dirasakan sesuai. Alasannya, yang penting calon itu boleh berkhidmat dan boleh diterima oleh penduduk setempat.

2) Ada juga alasan 'tersembunyi' BN untuk menyelamatkan individu tertentu daripada tidak bergelar ahli Parlimen walhal mereka adalah orang besar parti komponen di bawah BN. Contohnya, 2 bekas Presiden MCA iaitu Dr. Ling Liong Sik dan Ong Ka Ting adalah bukan anak jati Johor tetapi bertanding di Johor, selamat dan pasti boleh menang. Kini, DAP sendiri mengamalkan konsep tersebut. Lim Guan Eng bukan orang Pulau Pinang tetapi sekarang dia adalah Ketua Mneteri Pulau Pinang yang menang di sana sewaktu Pilihan Raya Umum 2008. Dia lahir di Johor, bersekolah di Selangor, Johor dan Melaka. Apa peluang Guan Eng kalau bertanding di Johor agaknya?

3) Parti-parti di bawah Pakatan Rakyat (PR) dulu lebih suka meletakkan calon anak tempatan untuk menentang calon BN. Alasannya, anak tempatan lebih mudah diterima masyarakat setempat, lebih memahami masalah akar umbi dan faham keadaan sesuatu kawasan itu. Kecuali di beberapa kerusi Parlimen di Kelantan, mereka ternyata mementingkan anak tempatan di tempat-tempat lain.

4) Itu dahulu. Merujuk kepada situasi terkini menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor (25 April, 2010), keadaan sudah berbeza. BN bersungguh mahu meletakkan calon di kalangan anak tempatan manakala PR pula mengambil pendekatan untuk menurunkan calon yang berasal dari Kelantan.

5) Tanpa disedari, selepas 'Tsunami politik 2008,' BN sedikit-sebanyak telah 'belajar' daripada PR. PR pula 'tanpa dipaksa' telah mula 'meniru' apa yang BN buat dahulu. Biasalah politik, apa yang dulu tidak bagus bisa saja 'dibaguskan' menurut kehendak dan keperluan semasa parti masing-masing.

Neba2020: 1Malaysia, 1Negara... 1Perlembagaan... 1Matlamat... 1001Suara, 1001Ragam...

Friday, April 9, 2010

Siti Nurhaliza

Salam Buat Semua,

1) Siti Nurhaliza diiktiraf sebagai Bintang Paling Popular buat kali yang ke 7 di Anugerah Bintang Popular (ABP) 2009 yang berlangsung pada malam 4 April, 2010 di Genting Highlands, Kota Keriangan.

2) Dia pernah diangkat sebagai artis paling popular di Malaysia ini bagi tahun 1997, 1998, 1999, 2000, 2001 dan 2004. Tahun 2002 dan 2003, gelaran tersebut diraih masing-masing oleh Rosham Nor dan Saiful Apek. Mawi bergelar yang terpopular selama tiga tahun berturutan bermula pada edisi 2005 sebelum dimiliki oleh 'Raja Lawak' Nabil untuk tahun 2008.

* Artis Paling Popular / Bintang Paling Popular

1990/1991 - AISHAH
1991/1992 - ZAINAL ABIDIN
1992/1993 - EMAN MANAN
1993/1994 - SOFEA JANE
1994/1995 - M NASIR
1995/1996 - ZIANA ZAIN
1996/1997 - SITI NURHALIZA
1998 - SITI NURHALIZA
1999 - SITI NURHALIZA
2000 - SITI NURHALIZA
2001 - SITI NURHALIZA
2002 - ROSHAM NOR
2003 - SAIFUL APEK
2004 - SITI NURHALIZA
2005 - MAWI
2006 - MAWI
2007 - MAWI
2008 - NABIL
2009 - SITI NURHALIZA

3) Sesuatu yang hebat untuk dicatatkan ialah kemampuan Siti untuk terus bergelar sebagai Penyanyi Wanita Popular di ABP selama 13 tahun berturut-turut (1997-2009) walaupun 'ratusan' penyanyi baru telah 'datang dan pergi' di sepanjang tempoh itu. Mungkin ada yang tidak meminati Siti, tidak suka kepada personaliti Siti, merasakan Siti adalah penyanyi bertaraf 'kampung,' Siti perempuan hipokrit, Siti artis yang berpura-pura dan 1001 macam alasan lainnya. Hakikat yang harus diterima ramai ialah terlalu banyak pula orang yang meminati, menyenangi dan menyanyangi insan bernama Siti Nurhaliza Taruddin ini. Sekelumit manusia yang tidak suka padanya, mungkin juga jutaan pula yang cukup setia lagi senang hati untuk mengikuti perjalanan karier seninya itu.

4) Siti Nurhaliza mula 'melangkah' ke arena muzik Malaysia selepas bergelar juara pertandingan pencarian bakat baru di RTM iaitu Bintang HMI (Hiburan Minggu Ini) pada tahun 1995. Dia berada di Tingkatan 4 persekolahannya ketika itu.

5) Beliau muncul dengan album pertamanya pada tahun 1996 dan namanya terus 'meledak' di dalam industri hiburan Malaysia selepas lagu dendangannya yang berjudul Jerat Percintaan meraih gelaran utama Anugerah Juara Lagu 1996. Tahun 1997 nama beliau terus menjadi 'kegilaan' ramai apabila 2 lagunya 'menguasai seluruh Malaysia' iaitu Aku Cinta Padamu dan Cindai. Segalanya selepas itu adalah sejarah cukup unik lagi indah bagi anak jati Pahang Darul Makmur ini.

Neba2020: Meraih populariti lebih mudah daripada mempertahankan populariti.... Kita boleh popular dengan publisiti murahan tetapi kita tidak boleh terus bergantung kepada 'benda-benda murahan' untuk terus disukai dan disayangi ramai....

Friday, April 2, 2010

Saya Di Negara Arab Atau Saya Di Bukit Beruang, Melaka, Malaysia?

Salam Buat Semua,

1) Saya kira jumlah pelajar berbangsa Arab di universiti yang 'hadir' ke masjid untuk menunaikan fardhu Jumaat berjemaah tidaklah mencecah 20% daripada jumlah keseluruhan yang hadir.

2) Pandangan kasar menunjukkan jumlah pelajar berbangsa asing berjaya membentuk kira-kira 20% daripada kapasiti keseluruhan jemaah tetapi bukanlah 100% daripada mereka itu adalah berbangsa Arab. Ada juga yang 'orang kita' sebut Arab tetapi mereka itu tidaklah faham bahasa Arab.

3) Majoriti besar yang hadir semestinya berbangsa Melayu. Dianggarkan 80% adalah rakyat Malaysia daripada keturunan Melayu yang semestinya faham bahasa Melayu. Ada juga yang boleh dikategorikan sebagai rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu tetapi hadir juga kerana mereka juga adalah penganut agama Islam. Peratusan mereka ini tidaklah besar, mungkin sekitar 1 ataupun 2% sahaja.

4) Tidak lupa ialah para pelajar mahupun pensyarah juga pekerja-pekerja kontrak yang datang dari negara seberang, Indonesia. Mereka ini secara kasarnya tidak mempunyai masalah untuk faham bahasa Melayu asas. Peratusan mereka mungkinlah sekitar 4-5%.

5) Seorang yang berbangsa Arab diberikan 'keistimewaan' untuk membaca khutbah. Maka khutbah pertama disampaikan di dalam bahasa Arab. Panjang sungguh. Sisi positif ialah beliau cukup bersemangat dan teruja sekali. Keseriusan dan penegasan gaya bahasanya cukup bagus dan wajar dipuji. Ini wajar dipelajari dan dicontohi oleh orang kita yang selalunya penyampaiannya cukup 'shahdu dan merdu' sehingga hampir 'separuh' pendengar boleh 'terlelap dan hilang fokus' terhadap apa yang dikeutarakan.

6) Khutbah kedua disampaikan di dalam bahasa nombor satu dunia pula iaitu bahasa Inggeris.

7) Bahasa Arab adalah bahasa Al-Qur'an dan memang kita akui ianya mulia dan wajar disanjung tinggi. Adalah sesuatu yang murni jika kita berusaha untuk mempelajarinya. Masalahnya, mempelajari sesuatu bahasa walaupun secara intensif manapun ianya akan mengambil masa yang lama terutamanya sehingga mampu memahami apa yang dicakapkan secara langsung oleh pengamal bahasa tersebut. Selain itu, bukan mudah untuk 'memahamkan bahasa Arab' di kalangan majoriti antara kita.

8) Bagi jemaah yang tidak memahami bahasa Arab dan juga tidak menguasai bahasa Inggeris, apakah faedahnya yang mereka peroleh daripada 'mendengar' khutbah Jumaat itu? Nampaknya, yang mereka dapat ialah sekadar melepaskan tanggungjawab kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah di masjid. Tiada ilmu baru, tiada ingatan keagamaan baru yang boleh 'dibawa pulang' ke rumah.

9) Tidaklah kita mahu menafikan hak sesiapa jua untuk 'menyumbangkan' ilmu dan melaksanakan perkongsian bijak tetapi biarlah kena pada tempatnya dan mengutamakan khalayak majoriti.

10) Sistem khutbah pertama di dalam bahasa Melayu dan khutbah kedua pula menggunakan bahasa Inggeris bagi sebuah institusi yang memiliki pelbagai aliran juga jenis jemaah rasanya sudah memadai dan dapat memberi ilmu kepada semua yang hadir. Menarik juga untuk kita fikirkan - Adakah pelajar Malaysia kita yang belajar di negara Arab diberikan kesempatan untuk membaca khutbah penuh di dalam bahasa Melayu dikala majoriti besar yang hadir adalah mereka yang berbangsa Arab? Andai ada baguslah tetapi kasihan pula pada 'Pak-Pak Arab' itu yang semestinya mungkin 99% tidak faham bahasa Melayu ....

Neba2020: Tujuan sesuatu itu perlu dilaksanakan seperti mana yang diarahkan oleh TUHAN wajarlah difahami sepenuhnya. Apa sebabnya? Apa faedah yang akan didapati? Apa kepentingannya kepada si pelaku?