Saturday, January 3, 2009

'Gaduh-Gaduh Manja' Tahun 2008

Salam Buat Semua,

1) Tahun 2008 ditinggalkan dengan 1001 kisah dan ceritanya yang tersendiri.

2) Selayaknya saya namakan 2008 sebagai tahun 'gaduh-gaduh manja politik.'

3) Sesiapa jua yang mengenali dan rapat dengan saya, semestinya tidak sah andainya tidak berbicara tentang politik, politik dan politik.

4) Menariknya, saya lebih gemar duduk semeja dan 'gaduh-gaduh manja' dengan kenalan-kenalan yang sedikit berbeza 'ideologi' politiknya. Ada juga yang seakan selari tetapi 'mazhab' pula yang berbeza arah. Menarik sungguh tahun 2008 !

5) Nama-nama personaliti tertentu semestinya seakan cukup 'dicintai' lagi 'disayangi' bagaikan 'intan payung delima salju.' Sehari tidak menyebut nama mereka sewaktu menjamu selera di kedai makan umpama tidak cukup rencah hidangan yang ingin disantap.

6) Terima kasih kepada Anwar Ibrahim kerana menceriakan kehidupan saya dan semua kenalan yang disayangi. Kempen aggresif Anwar menjelang Pilihan Raya Umum 2008, momokan 16 September untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan tuduhan liwat yang dihadapinya sememangnya cukup untuk menyempurnakan 'gaduh-gaduh manja' kami.

7) Sekalung penghargaan juga buat Dr. Mahathir Mohamad yang cukup kreatif dengan 'kuasa kritikan maut' yang dilontarkan melalui weblog peribadinya. 'Cerita-cerita' yang 'diadaptasi' daripada weblog Che Det itu sungguh berkesan menjadi bahan penyedap 'gaduh-gaduh manja' tersebut. Riwayat gempar beliau keluar UMNO juga umpama bom yang menghangatkan lagi 'gaduh-gaduh manja' kami semua !

8) Abdullah Ahmad Badawi dengan sikap membisunya selepas Pilihan Raya Umum dan seakan 'degil' untuk menerima hakikat semestinya menjadi topik sensasi untuk kami 'bergaduh manja.' Daya ketahanan beliau yang agak kuat untuk terus berkuasa selepas prestasi terburuk BN dan kesudiannya 'membenarkan' dirinya menjadi bahan 'kritik dan lawak' masyarakat semestinya cukup menceriakan saya dan rakan-rakan.

9) Seterusnya, 'gaduh-gaduh manja' sepanjang tahun 2008 bolehlah 'cenderamata' khasnya diberikan kepada personaliti-personaliti lain yang turut berperanan dalam menyedapkan lagi setiap episodnya. Mereka sememangnya 'berjasa besar' kepada kehidupan saya dan rakan-rakan di sepanjang tahun 2008 yang telah berlalu itu.

10) Terima kasih daun keladi kepada Mohd. Najib Abdul Razak, Muhyiddin Yassin, Zaid Ibrahim, Raja Petra Kamaruddin, Khairy Jamaluddin, Rosmah Mansor, Lim Guan Eng, Abdul Khalid Ibrahim, Shahidan Kassim, Idris Jusoh, Mukhriz Mahathir, Mohd. Ezam Mohd. Noor dan watak-watak lain yang tidak mampu untuk dihebahkan di sini kerana semuanya cukup 'bijak dan mahir' sama ada dalam mencipta kontroversi, dikejar kontroversi mahupun menjadi mangsa kontroversi.

Neba2020: 'Gaduh-gaduh manja' bukanlah bertujuan meleraikan ukhwah dan ikatan persahabatan. 'Gaduh-gaduh manja' hanyalah 'rencah' yang menyegarkan lagi hubungan dan menghadirkan rasa mesra yang tiada batasan, sudi dikritik juga sudi mengkritik secara bebas tanpa rasa benci mahupun dendam ....

4 comments:

Mr. azmie said...

btl tu..banyak sungguh pertarungan politik yang belum berakhir...huhuh

Anonymous said...

tp sir..ada jugak org yg bila kita berikan pendapat tue trus xnak bertegur sapa..walaupon org tu dl penah berbaik dgn kita..

azlishukri said...

kenapa kita tak lupakan seketika pasai politik? dan tumpukan kepada perniagaan dan ekonomi?

Muhammad Hazimin Wahab said...

sedangkan lidah lagi tergigit, biasalah tu....

rutin seorang insan...