1) Siang, malam rasanya tidak lengkap hidup ini kalau tidak ingatkan Emak dan Encik.
2) Sebelum tidur malam tadi, saya teringatkan Emak dan Encik. Makin diingat makin rasa insaf, bahagia dan tenang.
3) Entah bagaimana mulanyapun saya tidak perasan. Setiap kali membaringkan badan di atas katil, ada 'kuasa' yang 'mewajibkan' diri saya ini untuk berdoa kepada Tuhan. Doa ini menjadi rutin seharian sebelum mata terlelap menjengah 'alam' mimpi.
4) " Ya ALLAH Ya TUHANku, aku mohon dan aku rayu pada diriMU supaya KAU panjangkan umurku, Encikku, Emakku dan Abangku ... aku mohon dan rayu pada diriMU supaya KAU ampunkan dosa aku, Encikku, Emakku dan Abangku dan aku mohon dan rayu pada diriMU supaya KAU kurniakan cahaya keimanan kepada diriku, Encikku, Emakku dan Abangku. Akhir sekali Ya ALLAH Ya TUHANKU, aku mohon dan rayu kepada diriMU agar KAU lindungi dan jauhkanlah diriku, Encikku, Emakku dan Abangku daripada gejala maksiat dan bala bencana terutamanya yang dibawa oleh syaitan yang direjam, hati busuk kami, kecuaian kami, kecuaian orang lain dan hasad dengki orang lain dan Ya ALLAH Ya TUHANku aku mohon dan rayu kepadaMU agar KAU murahkanlah rezeki kami. Ya ALLAH Ya TUHANku, panjangkanlah umurku, Encikku, Emakku dan Abangku ... Ya ALLAH Ya TUHANku, panjangkanlah umurku, Encikku, Emakku dan Abangku .... Amin. "
5) Rasa macam sudah lama tidak jumpa Emak dan Encik. Dikira-kira, rupanya baru 3 malam sahaja. Esok pagi saya akan balik ke Segamat. Walaupun kereta sudah 3 minggu 'tersadai' di bengkel tetapi itu bukan masalahnya. Demi Emak dan Encik bukan masalahnya untuk saya naik bas 'berhenti-henti' dari Melaka ke Tangkak dan seterusnya bertukar pula ke bas dari Tangkak menuju ke Segamat. Sebelum itu, ihsan rakan baik diperlukan untuk menghantar saya ke stesen Melaka Sentral. Setiap detik dan waktu bersama Emak dan Encik adalah terlalu berharga buat saya, redha mereka saya perlukan di dunia dan di akhirat kelak.
Neba2020: Encik Ahmad Bin Md. Yusoff banyak mengajar saya tentang kecintaan kepada emak, agama, bangsa, negara dan anak-anak kecil. Puan Asmah Binti Hassan pula banyak mengajar saya tentang kesabaran, kesederhanaan dan ketenangan jiwa. Terima kasih TUHANku, 'Professor' berdua ini tidak pernah ada ijazah tetapi jiwa dan hati mereka terlalu jauh untuk saya kejar, mahu menyamainyapun masih jauh ....
No comments:
Post a Comment