Monday, May 4, 2009

Encik Saya Adalah Mat Pawang Si Anak Bugis

Salam Buat Semua,

1) Membesar sebagai anak kepada Ahmad Bin Md. Yusoff adalah sesuatu yang cukup berharga bagi saya. Orangnya cukup sentimental, suka merujuk kepada zaman silam dan amat tinggi semangat patriotiknya. Dia seorang yang menggemari sejarah.

2) Ahmad adalah anak kepada seorang Pawang Bugis yang cukup berkebolehan di era 1950an. Adalah sesuatu yang ganjil andainya ada di antara penduduk di Mukim Gemereh khasnya dan di daerah Segamat amnya yang tidak kenal kepada Pawang Usop.

3) Pawang Usop itu umpama 'doktor' berilmu 'batin' yang cukup tinggi tahap kepakarannya. Penyakit zahir mahupun batin, gangguan mistik dan petaka akibat buatan manusia pengkhianat semuanya ada di dalam 'menu perubatan' Pawang Usop.

4) Lantaran hebatnya Pawang Usop, Ahmad 'terpalit' dengan panggilan popular Mat Pawang sehingga kini. Andai tiba saja di Kampung Alai, Mukim Gemereh, Segamat bolehlah bertanya kepada sesiapa akan petunjuk ke rumah si Ahmad dengan menggunakan kata ganti nama Mat Pawang sahaja andainya sukar menemui jalan tuju yang sewajarnya.

5) Mat Pawang itu kuat semangat Melayu Bugisnya. Dia setia dengan 'kata-kata' kepercayaan lama bahawa anak lelaki Bugis hidupnya kalau diatur dengan baik maka akan melahirkan darah si pengubat orang, si pahlawan dan si pemimpin.

6) Mat Pawang pernah membuatkan ibunya menangis 'penuh kegilaan' dek keputusan 'darah mudanya' untuk menjadi seorang askar. Dia telahpun mempunyai pekerjaan sebagai Juruteknik Majlis Daerah di Segamat, kampung halamannya sendiri. Pekerjaan itu di era 1960an dan awal 1970an sudah boleh dianggap sebagai sesuatu yang cukup 'besar' lagi 'dipandang orang kampung' akan statusnya.

7) Mat Pawang nekad untuk menjadi seorang 'pahlawan' negara. Ayahnya sudah menjadi Pawang pengubat orang sakit dan dia pula meneruskan kemegahan darah Bugis dengan menjadi pejuang negara. Menjadi sang askar di era awal 1970an adalah sesuatu yang cukup mencabar kerana ancaman komunis masih berleluasa, cabaran selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan juga konfrontasi daripada negara jiran.

8) Mat Pawang tidak pernah mendidik saya untuk menjadi seorang yang meletakkan WANG RINGGIT sebagai sasaran utama di dalam kehidupan. Dia tidak pernah mengajar saya untuk memiliki cita-cita yang tinggi supaya hidup di kemudian hari menjadi senang dan mewah. Cita-cita tinggi baginya adalah untuk berbakti dan meraih keredhaan Tuhan.

9) Sejak saya kecil lagi Mat Pawang itu selalu sungguh bercerita akan peri pentingnya hidup ini kita usahakan untuk menjadi yang terbaik buat bangsa dan negara. Dia kata kemewahan tidak akan membawa kita ke mana-mana tetapi jasa kepada orang ramai akan membuatkan hidup kita lebih bererti. Jangan sakitkan hati orang, jadilah orang yang disukai dan disenangi semua pihak, cuba membantu dengan sebarang kemampuan yang dimiliki dan sayangilah asal-usul kita.

10) Semakin usia ini meningkat, semakin tinggi rasa sayang saya kepada Mat Pawang itu. Makin banyak saya membaca dan mendalami ilmu motivasi, agama dan gaya berfikir, semakin kuat rasa bangga dan sayang kepadanya. Rupa-rupanya tanpa saya sedari, sejak kecil lagi saya telah diberikan Tuhan seorang pakar motivasi, jaguh patriotik, pencinta sejarah, pahlawan yang tegas dan pengagum adat budaya. Bukan semua insan mempunyai peluang sebegitu rupa ....

Neba2020: Ayah saya adalah Encik, Encik saya adalah Mat Pawang si anak Bugis yang tegasnya ada kalanya amat memeritkan, mesranya cukup menghiburkan dan seriusnya pasti menginsafkan .... Saya sayang Encik !

No comments: