Friday, January 8, 2010

Darjah Satu Melor

Salam Buat Semua,

1) Kalau anda rasa penat dan bosan, jangan kata tidak ada apa yang mampu membuatkan anda tersenyum dan menyegarkan otak semula.

2) Renung dan imbaslah semula kenangan sewaktu bergelar pelajar darjah satu.

3) Sekolah pertama saya itu namanya Sekolah Temenggung Abdul Rahman, Segamat, Johor. Satu Melor ialah nama kelas saya. Sekolah anda? Nama kelasnya pula?

4) Saya di darjah satu pada tahun 1989. Wah, sudah lebih 20 tahun berlalu. Anda pula?

5) Nama guru kelas saya ialah Puan Sharifah Menah. Dia ajar saya Bahasa Melayu. Orangnya kurus, tidak rendah sangat tapi tidaklah terlalu tinggi. Sifat keibuannya cukup tinggi. Ingat lagi nama guru kelas anda?

6) Hari pertama persekolahan, Encik (ayah) yang menghantar saya.

7) Saya takut! Saya memang budak kecil yang pemalu, penakut dan semuanya tidak berani ketika itu.

8) Saya tidak menangis tetapi satu badan saya sejuk. Encik dan banyak lagi ibu bapa menunggu dan memerhati anak masing-masing dari luar bilik darjah. Saya duduk dan diam sahaja. Mata saya sentiasa tajam melihat di mana Encik berada. Badan saya sejuk sepenuhnya.

9) Ada budak yang menangis menjerit-jerit tak mahu duduk di dalam kelas. Ada pula yang 'becok dan kecoh' berborak dan berkenal-kenalan dengan rakan-rakan baru. Mereka ini sungguh bagus pada pandangan saya ketika itu. Berani bercakap, tidak takut dan ceria saja. Saya kagum dengan mereka, saya pula senyap sepi membisu dan diam sahaja.

10) 21 tahun sudah berlalu, tapi memori hari pertama menjejakkan kaki di bangku sekolah akan tetap mampu membuatkan saya tersenyum seorang diri pabila dikenang. Otak yang sedang pening, badan yang sedang lesu dan jiwa yang sedang kacau mampu menemui titik ketenangan kerananya.

Neba2020: Saat terbayang suasana kelas muzik sewaktu menyanyi beramai-ramai sambil diiringi muzik daripada radio kecil cikgu terasa seolah hidup di waktu itu sungguh meriah, penuh kegembiraan dan tiada masalah untuk dihadapi ....

2 comments:

Anonymous said...

aku dah lost memori2 hari pertama pergi sekolah

Anonymous said...

tahun ini tahun mengimbau memori ka?:)