1) Awal 2010 ini seperti serba tidak kena dengan negara Malaysia ini.
2) Kalimah 'ALLAH' yang sedia maklum merujuk kepada TUHAN YANG ESA bagi umat Islam tiba-tiba diberikan kelonggaran untuk diguna oleh satu penerbitan Kristian Katholik. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri telah melarangnya sebelum itu tetapi mahkamah membenarkannya. Undang-undang memang harus dihormati tetapi undang-undang hanya mampu 'membaca' luaran sahaja tanpa mampu 'meramal' kesudahannya kepada khalayak umum secara majoriti. Itu pendapat 'kurang bijak' saya semata-mata.
3) Saya tertanya-tanya, berapa keratkah penganut Kristian di Malaysia ini yang memang merujuk 'ALLAH' itu juga Tuhan mereka?
4) Maka 'bergegarlah' Malaysia. Tidak boleh disalahkan umat Islam di Malaysia andainya mereka 'beraksi' secara tiba-tiba. Isu agama apatah lagi melibatkan perkataan yang merujuk kepada TUHAN YANG ESA itu semestinya akan menghadirkan reaksi spontan seandainya tersentuh dan rasa 'tercabar' itu wujud.
5) Seperti kesan berantai, hangat pula isu cubaan untuk membakar ataupun mengebom gereja Kristian. Maka secara logik ringkas semestinya pihak yang bukan Islam merasakan ini adalah perbuatan pihak Islam.
6) Ada yang kata perpaduan antara kaum di Malaysia semakin rapuh, semakin goyah.
7) Orang yang berkata sedemikian itu sebenarnya dialah yang rasis, dialah yang tidak cukup pergaulan dengan rakan-rakan berbeza agama berlaianan kaum.
8) Majoriti rakyat yang ke pasar malam, pasar basah dan pasar borong masih mampu bergurau-senda, saling ketawa dan usik-mengusik sesama pembeli dan penjual.
9) Majoriti rakyat masih rasa selamat untuk menaiki teksi mahupun bas awam yang pemandunya berbeza kaum juga lain agamanya.
10) Di sekolah-sekolah pula, anak-anak murid masih rasa selesa dan tiada prasangka untuk belajar di bawah kendalian cikgu-cikgu yang tidak sama agama dan berbeza bahasa ibundanya. Anak-anak kecil masih tahu menghormati cikgu-cikgu yang lain bangsanya dengan diri masing-masing.
Neba2020: Perpaduan itu belum runtuh cuma belum cukup kuat 'simennya,' perlu ditambah 'baja' dan diberikan 'tonik' untuk menyegarkannya selalu ....
No comments:
Post a Comment