Wednesday, January 27, 2010

Selamat Tinggal Ayahanda Tuanku Sultan Yang Disayangi ....

Salam Buat Semua,


1) 22 Januari, 2010 semestinya satu tarikh yang cukup menyedihkan saya.

2) Kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan kebanggaan warga Johor Darul Ta'zim adalah sesuatu yang memberi kesan mendalam, hiba lagi menghadirkan rasa kehilangan yang nyata.

3) Secara peribadi, saya memang sejak kecil dididik oleh Encik (ayah tersayang) akan erti menyanyangi Sultan. Encik kata, kalau kita tidak sayang kepada Sultan kita, siapa lagi yang boleh kita harapkan. Kata Encik, tanpa Sultan sudah lama kita ini hidup tidak aman, porak peranda sesama sendiri.

4) Encik cukup berbangga kerana mempunyai 'darah Bugis.' Sultan Johor juga berdarah Bugis, sealiran dengan kami.

5) Sultan Iskandar sentiasa membuatkan kami sekeluarga berbangga dengannya. Baginda terkenal dengan ketegasannya, berani mengeluarkan apa jua titah perintah yang berkaitan dengan kedaulatan negeri dan budaya.

6) Baginda tidak mahu Johor tunduk kepada anasir luar, kedaulatan negeri adalah sesuatu yang berkaitan dengan maruah bangsa dan agama dan budaya Melayu selaku budaya tunjang negeri Johor adalah WAJIB dihormati jua diakui oleh setiap warga negeri yang dinaungi Baginda.

7) Inilah faktor-faktor utama yang membawa kepada rasa kagum, kasih dan hormatnya saya kepada Almarhum.

8) Aura kegerunan orang ramai terhadap Baginda jelas menunjukkan betapa Sultan Johor bukanlah seorang Sultan yang boleh dipandang rendah, titahnya masih berbau 'DAULAT' seorang raja dan gayanya tetap dekat selalu di jiwa anak jati Johor Darul Ta'zim.

9) Sejarah negara juga tertulis tanpa disedari betapa Almarhum Sultan Iskandar adalah satu-satunya Sultan di Malaysia ini yang pernah membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid pilihannya di serata negeri Johor sewaktu sihatnya dahulu. Peristiwa di mana Almarhum menegur teks ucapan yang dibacanya kerana tidak menambah sambungan satu ayat Al-Qur'an supaya lebih jelas maksudnya cukup memberi erti kepada kami warga negerinya tatkala ianya disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Di sebalik aura tegasnya jelas kelihatan kemampuannya sebagai ketua agama Islam buat kami anak-anak Johor.

10) Saya sekeluarga cukup terasa dengan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar. Ayahanda Sultan adalah lambang kebanggaan kami si anak Johor yang berdarah Bugis. Almarhum pastinya bersetuju dengan pernyataan ini:

'Anak Bugis adalah anak-anak berdarah pahlawan, cintanya kepada bangsa, agama dan negara cukup kental. Keturunannya adalah keturunan pahlawan pembela bangsa, pemimpin pentadbir bangsa dan pengubat kesakitan bangsa.Anak-anak Bugis wajiblah menjaga tingkah dan lakunya agar tidak membawa kepada kesengsaraan khalayak'

Neba2020: Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, AL-FATIHAH ....

Friday, January 22, 2010

ALLAH Peliharakan Sultan Johor

Salam Buat Semua,





JOHOR BAHRU: Berikutan kenyataan rasmi Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli:

Jemaah Majlis Diraja Johor memaklumkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar, Sultan Yang di-Pertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim telah dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri Johor Bahru pada 22 Januari 2010 kerana kegeringan.

Dengan itu, Jemaah Majlis Diraja Johor membuat keputusan di bawah pasal 9 (1)(B) dan 9 (2) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1995.

Setelah menerima laporan kesihatan daripada pakar-pakar perubatan, bersetuju melantik Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar, Tengku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja pada hari ini, 22 Januari 2010 bagi menjalankan tugas raja semasa kegeringan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.

Rakyat diminta berdoa supaya keadaan baginda sembuh sebagaimana sedia kala.

Neba2020: Patik Bangga Menjadi Rakyat Negeri Tuanku Sultan Johor !!! DAULAT TUANKU ! DAULAT TUANKU ! DAULAT TUANKU !

Friday, January 15, 2010

Ingatkan Emak, Ingatkan Encik

Salam Buat Semua,





1) Siang, malam rasanya tidak lengkap hidup ini kalau tidak ingatkan Emak dan Encik.

2) Sebelum tidur malam tadi, saya teringatkan Emak dan Encik. Makin diingat makin rasa insaf, bahagia dan tenang.

3) Entah bagaimana mulanyapun saya tidak perasan. Setiap kali membaringkan badan di atas katil, ada 'kuasa' yang 'mewajibkan' diri saya ini untuk berdoa kepada Tuhan. Doa ini menjadi rutin seharian sebelum mata terlelap menjengah 'alam' mimpi.

4) " Ya ALLAH Ya TUHANku, aku mohon dan aku rayu pada diriMU supaya KAU panjangkan umurku, Encikku, Emakku dan Abangku ... aku mohon dan rayu pada diriMU supaya KAU ampunkan dosa aku, Encikku, Emakku dan Abangku dan aku mohon dan rayu pada diriMU supaya KAU kurniakan cahaya keimanan kepada diriku, Encikku, Emakku dan Abangku. Akhir sekali Ya ALLAH Ya TUHANKU, aku mohon dan rayu kepada diriMU agar KAU lindungi dan jauhkanlah diriku, Encikku, Emakku dan Abangku daripada gejala maksiat dan bala bencana terutamanya yang dibawa oleh syaitan yang direjam, hati busuk kami, kecuaian kami, kecuaian orang lain dan hasad dengki orang lain dan Ya ALLAH Ya TUHANku aku mohon dan rayu kepadaMU agar KAU murahkanlah rezeki kami. Ya ALLAH Ya TUHANku, panjangkanlah umurku, Encikku, Emakku dan Abangku ... Ya ALLAH Ya TUHANku, panjangkanlah umurku, Encikku, Emakku dan Abangku .... Amin. "

5) Rasa macam sudah lama tidak jumpa Emak dan Encik. Dikira-kira, rupanya baru 3 malam sahaja. Esok pagi saya akan balik ke Segamat. Walaupun kereta sudah 3 minggu 'tersadai' di bengkel tetapi itu bukan masalahnya. Demi Emak dan Encik bukan masalahnya untuk saya naik bas 'berhenti-henti' dari Melaka ke Tangkak dan seterusnya bertukar pula ke bas dari Tangkak menuju ke Segamat. Sebelum itu, ihsan rakan baik diperlukan untuk menghantar saya ke stesen Melaka Sentral. Setiap detik dan waktu bersama Emak dan Encik adalah terlalu berharga buat saya, redha mereka saya perlukan di dunia dan di akhirat kelak.

Neba2020: Encik Ahmad Bin Md. Yusoff banyak mengajar saya tentang kecintaan kepada emak, agama, bangsa, negara dan anak-anak kecil. Puan Asmah Binti Hassan pula banyak mengajar saya tentang kesabaran, kesederhanaan dan ketenangan jiwa. Terima kasih TUHANku, 'Professor' berdua ini tidak pernah ada ijazah tetapi jiwa dan hati mereka terlalu jauh untuk saya kejar, mahu menyamainyapun masih jauh ....

Tuesday, January 12, 2010

Tak Cukup Berpadu?

Salam Buat Semua,

1) Awal 2010 ini seperti serba tidak kena dengan negara Malaysia ini.

2) Kalimah 'ALLAH' yang sedia maklum merujuk kepada TUHAN YANG ESA bagi umat Islam tiba-tiba diberikan kelonggaran untuk diguna oleh satu penerbitan Kristian Katholik. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri telah melarangnya sebelum itu tetapi mahkamah membenarkannya. Undang-undang memang harus dihormati tetapi undang-undang hanya mampu 'membaca' luaran sahaja tanpa mampu 'meramal' kesudahannya kepada khalayak umum secara majoriti. Itu pendapat 'kurang bijak' saya semata-mata.

3) Saya tertanya-tanya, berapa keratkah penganut Kristian di Malaysia ini yang memang merujuk 'ALLAH' itu juga Tuhan mereka?

4) Maka 'bergegarlah' Malaysia. Tidak boleh disalahkan umat Islam di Malaysia andainya mereka 'beraksi' secara tiba-tiba. Isu agama apatah lagi melibatkan perkataan yang merujuk kepada TUHAN YANG ESA itu semestinya akan menghadirkan reaksi spontan seandainya tersentuh dan rasa 'tercabar' itu wujud.

5) Seperti kesan berantai, hangat pula isu cubaan untuk membakar ataupun mengebom gereja Kristian. Maka secara logik ringkas semestinya pihak yang bukan Islam merasakan ini adalah perbuatan pihak Islam.

6) Ada yang kata perpaduan antara kaum di Malaysia semakin rapuh, semakin goyah.

7) Orang yang berkata sedemikian itu sebenarnya dialah yang rasis, dialah yang tidak cukup pergaulan dengan rakan-rakan berbeza agama berlaianan kaum.

8) Majoriti rakyat yang ke pasar malam, pasar basah dan pasar borong masih mampu bergurau-senda, saling ketawa dan usik-mengusik sesama pembeli dan penjual.

9) Majoriti rakyat masih rasa selamat untuk menaiki teksi mahupun bas awam yang pemandunya berbeza kaum juga lain agamanya.

10) Di sekolah-sekolah pula, anak-anak murid masih rasa selesa dan tiada prasangka untuk belajar di bawah kendalian cikgu-cikgu yang tidak sama agama dan berbeza bahasa ibundanya. Anak-anak kecil masih tahu menghormati cikgu-cikgu yang lain bangsanya dengan diri masing-masing.

Neba2020: Perpaduan itu belum runtuh cuma belum cukup kuat 'simennya,' perlu ditambah 'baja' dan diberikan 'tonik' untuk menyegarkannya selalu ....

Friday, January 8, 2010

Darjah Satu Melor

Salam Buat Semua,

1) Kalau anda rasa penat dan bosan, jangan kata tidak ada apa yang mampu membuatkan anda tersenyum dan menyegarkan otak semula.

2) Renung dan imbaslah semula kenangan sewaktu bergelar pelajar darjah satu.

3) Sekolah pertama saya itu namanya Sekolah Temenggung Abdul Rahman, Segamat, Johor. Satu Melor ialah nama kelas saya. Sekolah anda? Nama kelasnya pula?

4) Saya di darjah satu pada tahun 1989. Wah, sudah lebih 20 tahun berlalu. Anda pula?

5) Nama guru kelas saya ialah Puan Sharifah Menah. Dia ajar saya Bahasa Melayu. Orangnya kurus, tidak rendah sangat tapi tidaklah terlalu tinggi. Sifat keibuannya cukup tinggi. Ingat lagi nama guru kelas anda?

6) Hari pertama persekolahan, Encik (ayah) yang menghantar saya.

7) Saya takut! Saya memang budak kecil yang pemalu, penakut dan semuanya tidak berani ketika itu.

8) Saya tidak menangis tetapi satu badan saya sejuk. Encik dan banyak lagi ibu bapa menunggu dan memerhati anak masing-masing dari luar bilik darjah. Saya duduk dan diam sahaja. Mata saya sentiasa tajam melihat di mana Encik berada. Badan saya sejuk sepenuhnya.

9) Ada budak yang menangis menjerit-jerit tak mahu duduk di dalam kelas. Ada pula yang 'becok dan kecoh' berborak dan berkenal-kenalan dengan rakan-rakan baru. Mereka ini sungguh bagus pada pandangan saya ketika itu. Berani bercakap, tidak takut dan ceria saja. Saya kagum dengan mereka, saya pula senyap sepi membisu dan diam sahaja.

10) 21 tahun sudah berlalu, tapi memori hari pertama menjejakkan kaki di bangku sekolah akan tetap mampu membuatkan saya tersenyum seorang diri pabila dikenang. Otak yang sedang pening, badan yang sedang lesu dan jiwa yang sedang kacau mampu menemui titik ketenangan kerananya.

Neba2020: Saat terbayang suasana kelas muzik sewaktu menyanyi beramai-ramai sambil diiringi muzik daripada radio kecil cikgu terasa seolah hidup di waktu itu sungguh meriah, penuh kegembiraan dan tiada masalah untuk dihadapi ....

Wednesday, January 6, 2010

Blog 'Higher Education in Malaysia'

Salam Buat Semua,

1) Saya telah berkhidmat selama 5 tahun 3 bulan sebagai pendidik di MMU.

2) Saya juga punya ramai sahabat dan kenalan rapat yang berkhidmat di pelbagai institusi pengajian tinggi di serata Malaysia ini.

3) Segala sistem pemarkahan dan peperiksaan di mana-mana universiti di Malaysia ini juga sebenarnya ada 'persamaan' juga 'sistem' yang tersendiri. Sistem dibuat untuk menyeragamkan sesuatu supaya segalanya kelihatan teratur. Pergi dan telitilah banyak universiti ternama di dunia, sistem di Malaysia ini tidaklah 'berbeza' jauh.

4) Apabila ada seorang yang kelihatannya cuba melawan arus dengan alasan berpegang teguh kepada prinsip dirinya yang tidak boleh dijual juga dibeli maka sesuatu perlu dikaji sedalamnya.

5) Kualiti adalah sesuatu yang cukup 'abstrak' untuk ditafsirkan. Bolehkah kualiti graduan dilihat secara terus kepada penggunaan bahasa Inggerisnya semata-mata?

6) Wajarkah kita mengatakan bahawa pelajar undang-undang yang tidak 100% sempurna penulisan bahasa Inggerisnya sebagai 'produk' undang-undang yang tidak bagus?

7) Kalau saya ini seorang pemegang ijazah sarjana muda dengan pengkhususan kewangan dilihat sebagai tidak menguasai penulisan bahasa Inggeris yang sempurna, bolehkah orang menyimpulkan bahawa saya ini tidak bagus langsung dalam berbicara tentang kewangan, ekonomi dan pengurusan?

8) Ada seorang penulis blog yang 'pernah' menjadi pendidik di universiti untuk jangkamasa yang singkat (sekurangnya fakta ini betul untuk perkhidmatannya di MMU dan USIM) mempotretkan dirinya sebagai 'mangsa' kepada sistem yang kejam. Dia juga kelihatan sebagai seorang yang kuat pegangan agamanya, prinsip dirinya cukup tinggi lagi terpuji dan berani menghadapi apa jua rintangan demi menegakkan kebenaran.

9) Tetapi dia juga tidak sedar betapa harga dirinya kelihatan cukup rendah apabila di blognya juga dia mudah memunafikkan manusia lain, me'lesbian'kan seorang perempuan, membangga dirinya tidak bertempat, riak memberitahu 'dunia' bahawa dia cantik dan datang daripada keluarga yang berada dan mudah mengeluarkan kata kutukan mahupun cacian.

10) Saya berbicara tentang siapa? Anda lawatilah blog bernama 'Higher Education In Malaysia' dan buatlah konklusi sendiri.

Neba2020: Janganlah melihat dunia daripada segi yang kotor dan hina, kerana dapatannya ialah sesuatu yang kotor dan hina juga .... Lihatlah dunia daripada segi yang bersih dan suci, nanti dapatannya ialah sesuatu yang bersih dan suci juga .... Lebih prasangka hanya akan menyakitkan jiwa kita sendiri, lebih positif akan membawa kepada hati yang tenteram dan jiwa yang tenang selalu ....