Sunday, August 16, 2009

Kenangan Mula Bekerja: Pagi Wangi, Petang Hapak ...

Salam Buat Semua,

1) Hari ini tepat 5 tahun saya berada di alam pekerjaan. Seperti baru semalam sahaja terasa detik-detik melaporkan diri sebagai pekerja di Menara TM, Kuala Lumpur (16 Ogos 2004).

2) Sebaik sahaja melapor diri sebagai Eksekutif Sandaran di situ, saya diberikan surat arahan penempatan tugasan. Majoriti rakan-rakan diberikan penempatan di bangunan itu juga cuma berbeza-beza unit mengikut bidang yang sesuai dengan kemahiran serta ijazah yang dimiliki.

3) Saya kelihatannya agak 'berbeza' kerana 'terhumban' beberapa belas kilometer daripada bangunan raksasa itu. Kolej Latihan Telekom (kini dikenali sebagai Kolej Multimedia) di Jalan Gurney Kiri menjadi tempat di mana 'ijazah dan kemahiran' saya dipercayai juga dirasakan 'sesuai dan kena' oleh panel penemuduga jawatan (proses temuduga dijalankan kira-kira sebulan sebelum itu).

4) Saya menumpang duduk di rumah ibu saudara di kawasan Kelana Jaya, Petaling Jaya. Proses ke tempat kerja itu memerlukan saya menunggu seawal jam 6.50 pagi untuk menaiki bas perantara ke stesen LRT yang berhampiran. Perjalanan tidaklah jauh tetapi tetap memakan masa hampir 30 minit kerana waktu seperti itu bas semestinya akan kerap berhenti serta ditambah dengan keadaan di jalanan yang sesak.

5) Seterusnya, LRT yang sesak umpama 'tin sardin' itu dinaiki, kira-kira 30 minit juga saya 'terperap' di celah-celah pelbagai jenis manusia itu. Keadaan di pagi hari masih segar lagi menyenangkan. Semuanya wangi dan cukup kemas lagaknya.

6) Turun LRT di Stesen Damai, satu lagi bas perantara LRT perlu saya tunggu. Satu lagi perjalanan yang mengambil masa kira-kira 20 minit perlu dihadapi sebelum destinasi akhir dijejaki. Jarak di antara jalan utama bas berhenti dengan Kolej Latihan Telekom itu adalah kira-kira 250 meter, kebiasaannya saya akan berlari-lari anak memandangkan jam semakin hampir dengan angka 8.30 pagi. Kalau lewat, kad perakam waktu kerja saya akan menjadi MERAH !

7) Waktu pulang kerja, sekali lagi waktu selama satu jam setengah perlu saya habiskan di tempat menunggu bas, di dalam bas, stesen LRT dan di dalam LRT. Sama sahaja dengan waktu pagi.

8) Bezanya, berhimpit-himpit di lewat petang menjelang senja tatkala warga kota raya pulang daripada tempat kerja adalah sesuatu yang 'perit dan payau!'

9) Waktu pagi, semuanya segar dan harum. Lewat petang, semuanya longlai dan 'dilengkapi' dengan aroma badan yang sungguh tidak memberangsangkan.

10) Sebaik sahaja pulang daripada melapor diri di Kolej Latihan Telekom itu, saya mendapat panggilan telefon daripada pihak Universiti Multimedia (MMU). Saya dipanggil untuk temuduga jawatan pendidik di kampus Cyberjaya. Temuduga dijalankan di sana tetapi kekosongan jawatannya adalah di kampus Melaka. Selebihnya adalah sejarah. 18 Oktober, 2004 saya beralih pula bertugas di MMU. Walaupun hanya 2 bulan sahaja bekerja di Kuala Lumpur, kenangan bersesak di dalam bas dan LRT, peritnya hendak 'memboloskan' diri ke dalam bas dan LRT di pagi hari juga di sebelah petangnya adalah sesuatu yang cukup berharga dan banyak mendidik saya betapa hidup ini bukan semuanya indah, prihatin kepada manusia sekeliling dan sabar dalam bertindak.

Neba2020: Rezeki yang halal perlu dicari dengan niat yang bersih dan tindakan yang ikhlas. Halal bukan sahaja pada jenis kerjanya tetapi halal juga perlu dilihat daripada sudut penggunaan masa, penggunaan kelengkapan kerja, kepuasan pihak yang berurusan dengan kita, penyelesaian tugasan seoptimum mungkin dan menjaga nama baik institusi ....

3 comments:

rasyd said...

huhu tak bestnya keje kat kl :(

Muhammad Hazimin Wahab said...

kerja di cyberjaya best :) hahha

Helmy Ahmad said...

Wahh sudah lima tahun usia waktu kita habis berkonvo dan tercari-cari arah untuk menempatkan diri di alam pekerjaan. Satu tempoh yang juga boleh dikenali 'masa mencari platform kukuh' atau 'tapak untuk kita berdikari'. Betapa masa berlalu... Ehh.. kerja di Penang pun best jugak. tiap-tiap hari 'cross over the sea'. Oversea juga kan... hehehe...