Friday, February 27, 2009

" Rasuah Si Anak Haram "

Salam Buat Semua,

1) Rasuah dipersetujui ramai sebagai sesuatu yang jijik dan hina.

2) Jarang sekali kita disedarkan mahupun didengarkan kepada gejala rasuah di kalangan pekerja-pekerja di sektor kerajaan.

3) Parti-parti politik tanpa mengira ideologinya kelihatan lebih berminat berbicara mahupun 'bertempik sorak' tentang rasuah politik, rasuah menteri, rasuah projek mega dan pelbagai bentuk dakwaan penyalahgunaan kuasa si pentadbir / eksekutif.

4) Di kalangan rakyat bawahan, isu rasuah mahupun penyalahgunaan kuasa di kalangan mereka yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan sebenarnya sudah lama menjadi buah mulut ramai.

5) Kita selalu mendengar persepsi negatif masyarakat terhadap pihak polis. Ramai yang mendakwa / merasa betapa rasuah dan polis umpama sudah menjadi 'kisah' normal sejak zaman berzaman. Persepsi buruk ini walaupun boleh dicabar kesahihannya tetap telah 'mencacatkan' imej majoriti warga polis yang bersih lagi beramanah.

6) Persepsi negatif juga 'tersebar' betapa gejala rasuah sudah lama berakar-umbi di Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Pejabat Tanah, Imigresen, Kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Benar atau tidak, persepsi ramai bukanlah sesuatu yang mudah untuk terus dihakis.

7) Rasuah kakitangan awam ini tidak semestinya melibatkan nilaian jutaan Ringgit waima ribuan Ringgit sekalipun. Individu yang 'menerima / meminta' rasuah itu juga tidaklah semestinya datang daripada golongan atasan atau yang eksklusif kedudukannya.

8) Hakikat yang perlu diteliti sedalam-dalamnya sekaligus dipercayai ialah betapa majoriti daripada pengamal rasuah di Malaysia ini adalah terdiri daripada rakyat biasa yang kadang-kadang mereka sendiri tidak SEDAR bahawa mereka hidup dengan memakan WANG HARAM !

9) Rasuah secara kecil yang banyak berlaku (tuduhan atau kebenaran?) di kalangan pekerja-pekerja sektor awam inilah yang memburukkan lagi kualiti perkhidmatan agensi-agensi kerajaan. Majoriti pembayar cukai yang datangnya daripada pekerja-pekerja di sektor swasta semestinya 'meluat, geram dan benci' dengan situasi tersebut.

10) Sudah sampai masanya untuk parti-parti politik tanpa mengira ideologi menjadikan matlamat penghapusan rasuah menyeluruh di kalangan 'penerima rasuah kecil' sebagai agenda penting. Memanglah 'penerima rasuah kecil' memperoleh wang haram yang agak kecil nilainya tetapi dengan bilangan 'anak-anak haram' ini yang cukup banyak berselerakan di seluruh negara di pelbagai agensi kerajaan maka mangsanya juga adalah cukup ramai; Rakyat Malaysia yang tertindas secara paksa tanpa rela ! Kualiti perkhidmatan sektor awam menjadi bahan gadaian murahan yang tiada noktah penamat.

Neba2020: Wang mudah hasil 'kutipan' rasuah yang diperoleh seorang ibu/ayah yang dibelanjakan untuk 'membahagiakan' seisi keluarga pasti membawa kepada pembesaran 'generasi anak haram' yang bijak otak tetapi kurang pedoman, pandai berkata-kata juga menghukum tetapi bodoh memahami jiwa manusia dan comel luarannya tetapi nalurinya penuh berkarat juga hitam kelakuan ....

1 comment:

hamdan al-kandahlawi said...

benar...benar...

arrashi wal murtashi finnar..

Hadis nabi yang mafhumnya : pemberi dan penerima rasuah tempat mereka di Neraka..

clear cut-rasuah satu perkara yang haram,dan tk dpt diterima oleh sume manusia yang waras,dan akan mengakui rasuah adalah penyakit etika yg serius.

rakyat malaysia mesti sama2 menyedarkan perkara ini..tk kira apa pegangan politik mereka,yang pasti ini adalah ISU kehidupan kita sendiri!