Friday, February 13, 2009

Budak Kampung Era 1990an

Salam Buat Semua,

1) Saya dilahirkan sebagai seorang anak kampung di era awal 1980an. Proses pembesaran saya berlaku sepenuhnya di Kampung Alai, Mukim Gemereh, Segamat, Johor. Saya menjejak Darjah Satu di akhir 1980an dan zaman alam sekolah menengah pula tamat di akhir 1990an.

2) Kanak-kanak 1990an majoritinya bolehlah dikategorikan kepada beberapa kelas. Banyak yang boleh diklasifikasikan sebagai 'kanak-kanak taman perumahan' ataupun 'generasi perbandaran.' Tidak kurang juga yang melalui alam pembesaran sebagai 'warga bandar baru' mahupun 'golongan pekan terancang.' Selain itu, visi pembangunan negara membawa pula kepada kewujudan golongan 'kanak-kanak FELDA' dan 'anak-anak setinggan' yang menambahkan lagi variasi jenis kanak-kanak sewaktu itu. Terma 'anak-anak rumah flat' juga kedengaran.

3) Adalah agak sukar untuk mencari kanak-kanak 1990an kelahiran era 1980an yang membesar sepenuhnya di kampung. Budak-budak FELDA dan kampung ada lainnya. Budak kampung 1990an tidak mempunyai rangkaian rakan sebaya setempat yang besar seperti yang berlaku di FELDA-FELDA. Dekad 1990an menyaksikan kampung-kampung mula ketandusan kanak-kanak dan mereka hanya penuh di kampung sewaktu musim Hari Raya ataupun cuti sekolah sahaja. Millenium baru yang bermula pada tahun 2000 menyaksikan 'trend' ini terus berpanjangan dan lebih kritikal.

4) Saya bangga kerana berkesempatan menjadi golongan minoriti yang diistilahkan sebagai budak kampung era 1990an. Di kampunglah saya berpeluang menikmati ketenangan hidup yang cukup sempurna, jauh daripada hura-hara, jiran-jiran yang semuanya umpama keluarga kandung, bunyi ayam-ayam berkokok sabung-menyabung di Suboh hari, kucing jiran-jiran juga adalah kucing saya, ayam ternakan saya juga adalah ayam yang 'dijaga secara bersama' dengan jiran-jiran, pepohon hijau yang berimbun tidak berpenamat dan suasana rumah yang jauh daripada konsep 'semi-penjara' yang jumlah tingkap dan pintunya cukup minima. Malam hari di kampung saya adalah 'seperti' berada di Cameron Highlands dan Suboh harinya pula 'umpama' di Antartika.

5) Kerana kurangnya jumlah budak kampung era 1990an itulah yang membuatkan saya cukup bangga menjadi sebahagian daripada statistiknya. Saya membesar dengan semangat bahawa dengan peluang dan cara yang betul, budak kampung era 1990an juga tidak ada kurang mahupun lemahnya berbanding kanak-kanak era 1990an yang membesar di bandar, pekan, taman perumahan, setinggan mahupun FELDA.

Neba2020: Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Di mana kita bermula, di situlah harus kita gali sumber kekuatan dan petunjuk kehidupan buat membina satu mercu diri yang istimewa lagi tersendiri ....

Berikut adalah artikel yang dipetik secara langsung daripada weblog kendalian Tun Dr. Mahathir Mohamad (siaran 11/02/2009). InspiRasi 1982 ~~ berasa cukup terkesan dengan imbasan kisah-kisah lama yang dicoretkan Perdana Menteri Malaysia ke 4 itu:

ORANG ULU

1. Waktu saya kecik lebih kurang 70 tahun dahulu saya sering jumpa orang ulu (bukan suku kaum Sarawak), tapi orang ulu Kedah.

2. Ada yang terdiri daripada adik-beradik Mak saya. Ada Tok Karin (loghat Kedah - Kaghin), Lebak, Din, Mak Chah, Mak Bedah, Mak Doh. Orang pekan anggap orang ulu ini agak kolot dan lekeh. Mereka jalan kaki, naik perahu untuk ke pekan Alor Setar (Aloq Staq). Tak pakai kasut pun.

3. Bahasa mereka juga lain daripada bahasa kami orang pekan. Sesungguhnya mereka tak tahu apa. Bawak buah sikit, padi huma, beras pulut, sebagai buah tangan. Kadang-kadang mereka tidur di rumah tak perlu katil, hampar tikar sudah cukup.

4. Di sekolah Inggeris ramai juga anak orang ulu belajar bersama saya. Mula kekok sikit tetapi cepat faham dan guna bahasa Inggeris. Nampak tak bodoh sangat orang ulu ini. Kadang-kadang lulusan lebih baik daripada anak orang pekan.

5. Saya ke universiti. Budak Melayu tak ramai. Tapi di antara mereka ada juga anak orang ulu, terutama di Fakulti Sastera. Lulus Bachelor of Arts (B.A. - Sarjana Muda Sastera) mereka sertai Kerajaan, ramai di Kementerian Luar. Jadi second secretary (setiausaha kedua), first secretary (setiausaha pertama) dan kemudian jadi duta.

6. Boleh juga cakap orang putih dengan orang putih, anak orang ulu ni. Boleh berhujah dan bergaya sebagai Pak Duta.

7. Sebenarnya ramai anak orang ulu yang belajar sehingga dapat Phd. (Doktor Falsafah) di universiti luar negara kembali jadi pegawai tinggi Kerajaan.

8. Sekarang anak orang pekan pun susah nak kerja di luar negeri. Tak suka cocktail party kerana segan nak bercakap. Orang asing nak cakap bahasa lain, kerap kali guna bahasa Inggeris. Tetapi ini bukan masalah. Yang jadi masalah di cocktail party orang minum arak. Sebab itu pegawai tak suka pergi cocktail party.

9. Yang suka pergi cocktail party pegawai bukan Melayu. Mereka boleh bergaul dengan orang asing, bercakap dengan mereka bukan main fasih lagi, dan sudah tentu minum arak. Tetapi berguna juga mereka kerana mereka dapat dengar dan faham pendapat duta-duta asing.

10. Nampak sekarang sama saja - anak orang ulu atau anak orang pekan. Dulu kedua-dua boleh, sekarang kedua-dua pun tak boleh.

11. Pada pengalaman saya sejak 70-tahun dahulu, anak orang ulu ada kebolehan, tak kolot, tak lah lekeh sangat. Bila diberi peluang boleh buat. Anak kawan saya, Hassan Nawin (orang ulu dalam kelas saya) jadi pilot Boeing 747. Ada yang jadi doktor, pakar bedah, peguam, duta dan macam-macam lagi.

12. Rupa-rupanya mereka tak begitu lekeh. Janganlah perlekeh orang kampung, orang ulu dan orang luar bandar. Mereka boleh, kalau diberi peluang. Kalau tak percaya, buat kajian. Yang pegang jawatan tinggi, yang cakap bahasa Inggeris macam orang Oxford siapa? Ramai juga orang ulu.

13. Saya sendiri tak mimpi jadi doktor. Zaman saya di sekolah, doktor Melayu yang saya tahu hanya Doktor Arif, Pulau Pinang.

14. Tetapi saya dapat peluang, dapat juga lulus sampai jadi doktor. Kita serba boleh. Tetapi kalau orang sekat peluang saya mana saya nak tahu saya boleh atau tidak.

15. Demikian nasib orang Melayu bandar dan luar bandar. Dulu Mat Salleh (orang putih) anggap orang Melayu bodoh, tak boleh pegang jawatan. Sekarang orang Melayu sendiri anggap Melayu kampung bodoh.

16. Hai lah nasib!

5 comments:

Alias Mohd Yusof said...

lain zaman lain latar belakangnya, latar belakang inilah yang banyak mempengaruhi watak dan jiwa kita.

Anonymous said...

Saya sedikit sebanyak setuju dengan pandangan Tun Dr. Mahathir. Kalau di beri peluang, orang kampung / kurang berkemampuan boleh berdiri sama tinggi dengan yang lain.

Satu isu yang saya ingin tekankan adalah sekolah berasrama penuh. Saya rasa ianya amat wajar untuk memberi keutamaan kemasukan kepada pelajar-pelajar dari golongan terbabit.

Kebanyakkan jika tidak semua, anak-anak dari golongan bandar/berada selalunya dihantar ke sekolah asrama kerana ibubapa tidak mahu mengambil tanggunjawab (kerana ingin melakukan aktiviti peribadi seperti melancong etc.) menguruskan anak, hanya perlu serahkan 100% kepada sekolah.

Saya bukan bercakap tanpa bukti, ini saya dengar sendiri dari guru yang mengajar di salah sebuah sekolah asrama yang terkemuka di Kuala Lumpur.

Kes paksaan sebeginilah yang selalunya memberi masalah kepada sekolah seperti pelajar cuba membuat dajal(merosakkan harta benda sekolah, cuba memulakan kebakaran, etc.) bagi memberi pihak sekolah alasan untuk membuang mereka.

Bukan sahaja ia mengakibatkan kerugian dari segi wang ringgit, tetapi juga masa dan tenaga guru/staf sekolah terbabit, yang, boleh digunakan untuk meningkatkan kecermelangan para pelajar.

aya_id said...

paling best statement yg no 4 tu...indahnyaa........~

nurul said...

Semua Tun cakap tu betul. In fact, dlm quran Allah dah bgtau lama dah...

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah dahulu apa yang ada pada diri mereka.”

kalo dikaji kaji al Quran ni, baca tafsirnya sbb kita x power arab, semua Allah dh bgtau dlm tu... cuma kita ni kurang baca tafsir dari baca buku lain.. hehe. termasuk la sy pun..

Helmy Ahmad said...

Kalau zaman Tun Dr. Mahathit dulu mungkin keadaan tempat kelahirannya jua kawasan di mana ia membesar dan dewasa jauh berbeza dengan suasana persekitaran Alor Star sekarang...

Apabila membaca petikan tulisan Blog Tun Dr. Mahathir, seolah-olah terimbas kembali bagaimana suasananya ketika saya meningkat remaja ketika era 90-an...

Membesar dan menginjak dewasa di bandar yang sederhana besar dengan penduduk yang berbilang kaum tetapi majoritinya Melayu... meninggalkan kenangan indah buat saya...

Namun demikian, Alor Star pun ada bahagian-bahagiannya. Kalau di bahagian utara bandar ini, saya ambil contoh Taman Uda, Taman Lumba Kuda ataupun Jalan Stadium... kawasan itu sudah seperti kawasan 'berpendudukan elit' bagi bandar ini sejak dulu lagi

Memang betul kata Tun, orang Ulu, berasal dari luar bandar Alor Star (seperti Kuala Nerang, Ayer Hitam, Pendang, Yan, Gurun dan sewaktu dengannya) mempunyai karakter yang berlainan. Pernah bergaul mesra dan berkenalan dengan mereka memberi satu pengalaman menarik...

Tetapi 'orang Ulu' ketika itu tidaklah sebegitu 'Ulu' lagi. Mereka sudah maju dan mampu bersaing secara sihat dengan orang 'Bandar'