Friday, February 27, 2009

" Rasuah Si Anak Haram "

Salam Buat Semua,

1) Rasuah dipersetujui ramai sebagai sesuatu yang jijik dan hina.

2) Jarang sekali kita disedarkan mahupun didengarkan kepada gejala rasuah di kalangan pekerja-pekerja di sektor kerajaan.

3) Parti-parti politik tanpa mengira ideologinya kelihatan lebih berminat berbicara mahupun 'bertempik sorak' tentang rasuah politik, rasuah menteri, rasuah projek mega dan pelbagai bentuk dakwaan penyalahgunaan kuasa si pentadbir / eksekutif.

4) Di kalangan rakyat bawahan, isu rasuah mahupun penyalahgunaan kuasa di kalangan mereka yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan sebenarnya sudah lama menjadi buah mulut ramai.

5) Kita selalu mendengar persepsi negatif masyarakat terhadap pihak polis. Ramai yang mendakwa / merasa betapa rasuah dan polis umpama sudah menjadi 'kisah' normal sejak zaman berzaman. Persepsi buruk ini walaupun boleh dicabar kesahihannya tetap telah 'mencacatkan' imej majoriti warga polis yang bersih lagi beramanah.

6) Persepsi negatif juga 'tersebar' betapa gejala rasuah sudah lama berakar-umbi di Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Pejabat Tanah, Imigresen, Kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Benar atau tidak, persepsi ramai bukanlah sesuatu yang mudah untuk terus dihakis.

7) Rasuah kakitangan awam ini tidak semestinya melibatkan nilaian jutaan Ringgit waima ribuan Ringgit sekalipun. Individu yang 'menerima / meminta' rasuah itu juga tidaklah semestinya datang daripada golongan atasan atau yang eksklusif kedudukannya.

8) Hakikat yang perlu diteliti sedalam-dalamnya sekaligus dipercayai ialah betapa majoriti daripada pengamal rasuah di Malaysia ini adalah terdiri daripada rakyat biasa yang kadang-kadang mereka sendiri tidak SEDAR bahawa mereka hidup dengan memakan WANG HARAM !

9) Rasuah secara kecil yang banyak berlaku (tuduhan atau kebenaran?) di kalangan pekerja-pekerja sektor awam inilah yang memburukkan lagi kualiti perkhidmatan agensi-agensi kerajaan. Majoriti pembayar cukai yang datangnya daripada pekerja-pekerja di sektor swasta semestinya 'meluat, geram dan benci' dengan situasi tersebut.

10) Sudah sampai masanya untuk parti-parti politik tanpa mengira ideologi menjadikan matlamat penghapusan rasuah menyeluruh di kalangan 'penerima rasuah kecil' sebagai agenda penting. Memanglah 'penerima rasuah kecil' memperoleh wang haram yang agak kecil nilainya tetapi dengan bilangan 'anak-anak haram' ini yang cukup banyak berselerakan di seluruh negara di pelbagai agensi kerajaan maka mangsanya juga adalah cukup ramai; Rakyat Malaysia yang tertindas secara paksa tanpa rela ! Kualiti perkhidmatan sektor awam menjadi bahan gadaian murahan yang tiada noktah penamat.

Neba2020: Wang mudah hasil 'kutipan' rasuah yang diperoleh seorang ibu/ayah yang dibelanjakan untuk 'membahagiakan' seisi keluarga pasti membawa kepada pembesaran 'generasi anak haram' yang bijak otak tetapi kurang pedoman, pandai berkata-kata juga menghukum tetapi bodoh memahami jiwa manusia dan comel luarannya tetapi nalurinya penuh berkarat juga hitam kelakuan ....

Tuesday, February 24, 2009

Emak, Ibu, Mama, Umi dan Mami ....

Salam Buat Semua,

1) Semua orang mampu untuk meluahkan di lidah perkataan-perkataan seperti 'Aku sayang mak aku,' 'Aku cintakan ibu aku,' 'Aku kasih pada mama,' 'Umi adalah segalanya bagi aku' dan 'Mami cukup penting dalam hidup saya.'

2) Ada orang merasa saya cukup kritikal bila berbicara tentang emak (ibu saya dipanggil 'emak').

3) Saya pernah sedikit 'bertekak' dengan beberapa rakan apabila mengatakan bahawa sesiapa yang menjadi isteri saya kena bersedia menyambut hari raya setiap tahun di kampung saya. Sebelum kahwin saya akan 'mengeluarkan syarat' tersebut. Andai sanggup, boleh kahwin ! Andai tidak sanggup, tiada jodoh namanya.

4) Emak saya hanya mempunyai dua orang anak lelaki. Sesiapa jua tidak akan mampu menjadi penghalang untuk saya membahagiakan emak. Bagaimana dengan ibu kepada isteri saya kelak? Tuhan sediakan kita dengan 365 hari setahun, ada hikmahnya dan banyak sebabnya.

5) Anak lelaki tugasnya menjaga ibu dan ayah manakala si isteri tugasnya menjaga si suami.

6) Saya lihat pada masa kini, warga tua lebih selesa dijaga oleh anak perempuan. Anak perempuan kelihatan lebih prihatin kepada ayah dan emak.

7) Suami pula banyak yang 'dikuasai' isteri. Ibu dan ayah si isteri dijaganya (kerana sudah ramai isteri yang menjadi 'raja' di rumah !) tetapi ibu dan ayahnya sendiri terpinggir tanpa pembelaan.

8) Anak lelaki zaman kini (generasi Y yang sofistikated !) kelihatannya lebih gila mengutamakan perempuan yang dicintai (kekasih pujangga hati, pengarang jantung !), kereta dan masa bersama teman-teman sepemikiran. Mereka teralpa untuk mengutamakan masa bersama-sama ayah dan ibu. Senang cerita, mereka gagal bersikap adil kepada ibu dan ayah sendiri !

9) Saya geli lagi jijik mendengar kata-kata seperti 'Aku tak kerap balik jumpa emak dengan ayah aku tapi tak bermakna aku lupa,' 'Aku tak selalu jumpa emak ngan ayah aku tapi aku tak pernah lupa doakan dia orang,' 'Aku banyak urusan, hujung minggu nak berehat saja,' 'Aku tak balik selalu tapi aku tak lupa kirim duit tetiap bulan' dan 'Mak dengan ayah aku faham kenapa aku jarang sangat balik.'

10) Nilaikan tahap 'ingatan' kita semua pada ibu dan ayah. Adil atau tidak kita kepada mereka berdua? Dunia serba adil, tidak pernah 'menghukum' kita pada yang tidak sewajarnya dihukum. Apa yang dibuat, itu yang dibalas. Jangan nanti kita berasa kesal apabila anak-anak kita sendiri kelak mudah lupa dan sentiasa tidak ada masa untuk kita.

Neba2020: Ingat sebelum kena .... Kelakuan badan itu lebih bererti daripada akuan mulut .... Tiada istilah 'rugi' apabila terpaksa 'membazir' wang Ringgit mahupun 'membuang' tenaga untuk kerap sedikit menjenguk ibu dan ayah .... Tuhan itu tidak zalim dan rezeki Tuhan itu tidak terbatas ....

Ibu Mithali
Nyanyian asal - Nada Murni (Ustaz Asri Rabbani)

Ibu mithali ibu yang sejati
Kasih sayangmu kasih yang suci
Pengorbananmu disanjung tinggi
Jasamu tetap di sanubari

Ibu oh ibu fitrah ku murni
Kelembutanmu menyentuh hati
Semai kasihmu dalam jiwaku
Kau disayangi kerana menyayangi

Ibu oh ibu hatimu suci
Tulus ikhlasmu mendidik daku
Sanggup bersusah dan menderita
Demi kebahagiaan sekeluarga

Ibu oh ibu kau serikandi
Bakti amalmu tidak terperi
Beramal soleh berperibadi
Mentaati Allah juga suami

Friday, February 20, 2009

Isu Bogel: Elizabeth Dan Hak Peribadi

Salam Buat Semua,

1) Elizabeth Wong Keat Ping adalah Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri Selangor bagi kawasan Bukit Lanjan. Dia menang sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan dilantik pula sebagai Exco.

2) Beliau belum berkahwin dan masih berusia 30-an. Muda, cantik, berjawatan dan berkuasa. Di dalam partinya, beliau berperanan sebagai Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR).

3) Gambar separuh bogelnya telah tersebar. Dia mendakwa ianya mungkin dilakukan oleh bekas kekasihnya. Menurut laporan umum, lelaki itu berbangsa Melayu dan lebih muda daripada Elizabeth. Lelaki itu sebelum ini pernah bertugas sebagai Pembantu Khas kepada seorang ahli Parlimen PKR di Selangor.

4) Elizabeth mahu melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco negeri Selangor. Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula 'memujuk' Elizabeth supaya berehat dahulu dan tidak membuat tindakan tergesa-gesa. Andai Elizabeth itu anggota Barisan Nasional (BN), mungkinkah Abdul Khalid dan Anwar akan menitipkan pesanan yang sama ?

5) Elizabeth juga 'mendedahkan' banyak lagi 'serangan' akan dilakukan terhadapnya selepas ini. Beliau berkata akan ada lebih banyak foto lucah dan juga video akan disebarkan oleh pihak-pihak yang cuba menjatuhkannya. Menarik, dia seakan mengesahkan bahawa memang ada gambarnya yang sedang 'beraksi' beserta dengan 'video panas' telah dirakam dengan pengetahuannya !

6) Dia berkata kehidupan peribadinya bukan untuk dikongsi dengan masyarakat. Beliau mahu orang menghormati haknya dan cuba memahami kesukaran yang terpaksa dihadapinya.

7) Elizabeth mungkin seorang idealis. Majoriti penyokong PKR dan pencinta Anwar Ibrahim adalah golongan idealis. Mereka datang daripada sekelompok manusia yang melihat 1 + 1 = 2 dan 2 - 1 = 1. Elizabeth terlupa atau mungkin jahil akan erti sebenar untuk menjadi seorang ahli politik. Dia terbawa-bawa dengan kenangan silam sebagai seorang penggerak badan bukan kerajaan (NGO). Ahli-ahli NGO boleh bersifat idealis sepenuhnya tetapi ahli politik perlu bijak memahami sentimen dan juga peranan imej peribadi.

8) Menjadi ahli politik adalah umpama menjadi seorang selebriti. Ahli politik yang menang pilihan raya menjadi wakil rakyat. Sebaik sahaja 'title' Yang Berhormat itu 'tercetak' di dahi masing-masing maka secara automatiknya akan kehilangan 'privacy' dan masyarakatlah yang 'memiliki' mereka.

9) Bergambar secara bogel dengan rakaman yang bukan dibuat secara sembunyi dengan kepastian bahawa ianya diambil oleh individu lain dengan pengetahuan si empunya badan adalah sesuatu yang cukup hina lagi buruk di kaca mata majoriti rakyat Malaysia yang percaya kepada Tuhan dan moral. Elizabeth belum berkahwin, maka layakkah dia beraksi sebegitu rupa dengan gambarnya diambil oleh seorang lelaki ?

10) Tidak kiralah sama ada Yang Berhormat itu datangnya daripada PKR, DAP,PAS,BN mahupun wakil berstatus Bebas, imej peribadi akan sentiasa diperhatikan masyarakat dan masing-masing wajib mempunyai kesedaran bahawa rakyat 'berhak' untuk mengetahui cara hidup mereka.

Neba2020: Andai tidak mahu hidup menjadi 'hak' masyarakat, janganlah menjadi artis dan pemimpin. Alangkan seorang guru biasa juga boleh dianggap sebagai 'selebriti kecil' dan kerap diperhatikan rakyat, inikan pula seorang yang popular seperti Mawi, Siti Nurhaliza, Teresa Kok dan Karpal Singh ! Segala kata-kata, kelakuan, isu dan imej akan menjadi 'intipan' juga 'menarik minat' orang lain.

Tuesday, February 17, 2009

Formula Satu - Litar F1 Sepang Perlu Dilelong ?

Salam Buat Semua,

1) Malaysia adalah negara Asia yang ke 2 berupaya menjadi hos kepada perlumbaan kereta Formula Satu (F1). Kita mula menjadi hos F1 pada tahun 1999. Jepun selaku kuasa ekonomi nombor satu di Asia menganjurkannya sejak tahun 1976.

2) Selepas Jepun dan Malaysia, F1 mula menjadi perhatian negara-negara lain di Asia untuk menganjurkannya. China dan Bahrain mula menyertai 'kalendar' F1 pada tahun 2004 dan diikuti oleh Singapura pada tahun 2008.

3) Tahun 2009 menyaksikan ia akan diadakan di Abu Dhabi, UAE dan diikuti oleh Korea Selatan dan India pada tahun 2010.

4) F1 adalah program sukan ke 3 yang paling banyak ditonton oleh manusia di seluruh dunia selepas Piala Dunia (bola sepak) dan Olimpik.

5) Perlumbaan F1 kali ke 10 di Litar Sepang pada tahun 2008 menyaksikan kira-kira 34 000 orang penonton antarabangsa hadir menyaksikannya. Setahun sebelum itu, kedatangan 'pelancong sukan' ke Sepang mencecah hampir 35 000 orang. Kehadiran rakyat Malaysia pula secara puratanya mencecah jumlah 90 000 orang bagi setiap edisi kejohanan. Tiket-tiket untuk menyaksikan perlumbaan F1 di Malaysia adalah di dalam lingkungan RM100 dan RM1 950. Harga-harga tersebut adalah antara yang termurah di dunia untuk menyaksikan perlumbaan F1.

6) Setiap acara F1 ditafsirkan akan ditonton oleh kira-kira 600 juta orang di seluruh dunia melalui siaran secara langsung. Nilai promosi dan hebahan terhadap setiap destinasi perlumbaan itu boleh dikatakan 'tanpa sempadan' dan cukup berkesan. Tidak hairanlah, semakin banyak negara-negara di Asia yang 'berebut' untuk mendapatkan hak eksklusif penganjuran F1. Penganjuran F1 tidak dilihat daripada aspek perlumbaan itu semata-mata tetapi telah melangkaui aspek promosi perlancongan, produk-produk tempatan dan hebahan teknologi terkini.

7) Litar F1 Sepang dibina dengan kos mencecah RM350 juta dan selepas 10 tahun sebanyak RM40 juta telah dikeluarkan lagi sebagai dana tambahan kerajaan bagi tujuan pemuliharaan juga penyelenggaraan trek perlumbaan serta kemudahan-kemudahan lainnya. Ada yang merasakan ianya membawa pembaziran dan ada juga yang berpendapat ianya adalah satu bentuk pelaburan strategik.

8) Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa kira-kira 80% daripada penonton antarabangsa tersebut datang ke Malaysia semata-mata untuk menyaksikan perlumbaan F1. Secara purata mereka membelanjakan sebanyak RM3 374 di Malaysia dengan penginapan selama 5 hari. Menurut kajian rasmi Universiti Malaya, penganjuran F1 di Malaysia pada tahun 1999 sahaja telah menerbitkan pelbagai gerakan aktiviti ekonomi yang bernilai RM1.5 Billion dalam masa seminggu.

9) 10 tahun lepas, seorang pemimpin politik kanan sebuah parti pembangkang pernah secara 'sinis' mengatakan bahawa beliau akan melelong bangunan-bangunan mahupun infrastruktur-infrastruktur yang diistilahkannya sebagai 'projek mega' yang membazir andai partinya menjadi kerajaan. Putrajaya, Litar F1 Sepang, KLIA dan Menara Petronas disifatkan sebagai membazir dan tidak membawa faedah kepada rakyat dan negara.

10) Ironinya, selepas 10 tahun; Litar F1 Sepang bukanlah suatu projek yang membazir. Trek tersebut kini bukan sahaja digunakan untuk perlumbaan F1. Litar F1 Sepang turut menganjurkan perlumbaan MotoGP dan Super GT yang masing-masing mampu menarik perhatian kira-kira 50 000 orang untuk hadir menyaksikannya. Sukan motorcross juga mendapat tempat sebagai antara acara menarik yang diadakan di situ. Kini, untuk mendapatkan waktu di siang hari bagi mengadakan acara istimewa mahupun latihan kenderaan di Litar F1 Sepang telah menjadi masalah sehingga pihak pengurusannya terpaksa menyediakan kemudahan sewaan litar pada waktu malam.

Neba2020: Pelaburan perlu dilihat daripada aspek yang cukup mendalam dan skop 'nikmat' di masa hadapan. Kadang-kadang manusia menjadi mudah sentimental dan sensitif dengan tindakan mengejut yang permukaannya kelihatan tidak membawa faedah segera walhal jika dikaji di dasarnya barulah kelihatan kebaikan dan keuntungan yang datang di kemudian hari. Masalah sering timbul apabila manusia malas untuk berfikir dan mudah dipermainkan dengan rasa benci dan rasa ego yang terlalu kronik ....

Friday, February 13, 2009

Budak Kampung Era 1990an

Salam Buat Semua,

1) Saya dilahirkan sebagai seorang anak kampung di era awal 1980an. Proses pembesaran saya berlaku sepenuhnya di Kampung Alai, Mukim Gemereh, Segamat, Johor. Saya menjejak Darjah Satu di akhir 1980an dan zaman alam sekolah menengah pula tamat di akhir 1990an.

2) Kanak-kanak 1990an majoritinya bolehlah dikategorikan kepada beberapa kelas. Banyak yang boleh diklasifikasikan sebagai 'kanak-kanak taman perumahan' ataupun 'generasi perbandaran.' Tidak kurang juga yang melalui alam pembesaran sebagai 'warga bandar baru' mahupun 'golongan pekan terancang.' Selain itu, visi pembangunan negara membawa pula kepada kewujudan golongan 'kanak-kanak FELDA' dan 'anak-anak setinggan' yang menambahkan lagi variasi jenis kanak-kanak sewaktu itu. Terma 'anak-anak rumah flat' juga kedengaran.

3) Adalah agak sukar untuk mencari kanak-kanak 1990an kelahiran era 1980an yang membesar sepenuhnya di kampung. Budak-budak FELDA dan kampung ada lainnya. Budak kampung 1990an tidak mempunyai rangkaian rakan sebaya setempat yang besar seperti yang berlaku di FELDA-FELDA. Dekad 1990an menyaksikan kampung-kampung mula ketandusan kanak-kanak dan mereka hanya penuh di kampung sewaktu musim Hari Raya ataupun cuti sekolah sahaja. Millenium baru yang bermula pada tahun 2000 menyaksikan 'trend' ini terus berpanjangan dan lebih kritikal.

4) Saya bangga kerana berkesempatan menjadi golongan minoriti yang diistilahkan sebagai budak kampung era 1990an. Di kampunglah saya berpeluang menikmati ketenangan hidup yang cukup sempurna, jauh daripada hura-hara, jiran-jiran yang semuanya umpama keluarga kandung, bunyi ayam-ayam berkokok sabung-menyabung di Suboh hari, kucing jiran-jiran juga adalah kucing saya, ayam ternakan saya juga adalah ayam yang 'dijaga secara bersama' dengan jiran-jiran, pepohon hijau yang berimbun tidak berpenamat dan suasana rumah yang jauh daripada konsep 'semi-penjara' yang jumlah tingkap dan pintunya cukup minima. Malam hari di kampung saya adalah 'seperti' berada di Cameron Highlands dan Suboh harinya pula 'umpama' di Antartika.

5) Kerana kurangnya jumlah budak kampung era 1990an itulah yang membuatkan saya cukup bangga menjadi sebahagian daripada statistiknya. Saya membesar dengan semangat bahawa dengan peluang dan cara yang betul, budak kampung era 1990an juga tidak ada kurang mahupun lemahnya berbanding kanak-kanak era 1990an yang membesar di bandar, pekan, taman perumahan, setinggan mahupun FELDA.

Neba2020: Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Di mana kita bermula, di situlah harus kita gali sumber kekuatan dan petunjuk kehidupan buat membina satu mercu diri yang istimewa lagi tersendiri ....

Berikut adalah artikel yang dipetik secara langsung daripada weblog kendalian Tun Dr. Mahathir Mohamad (siaran 11/02/2009). InspiRasi 1982 ~~ berasa cukup terkesan dengan imbasan kisah-kisah lama yang dicoretkan Perdana Menteri Malaysia ke 4 itu:

ORANG ULU

1. Waktu saya kecik lebih kurang 70 tahun dahulu saya sering jumpa orang ulu (bukan suku kaum Sarawak), tapi orang ulu Kedah.

2. Ada yang terdiri daripada adik-beradik Mak saya. Ada Tok Karin (loghat Kedah - Kaghin), Lebak, Din, Mak Chah, Mak Bedah, Mak Doh. Orang pekan anggap orang ulu ini agak kolot dan lekeh. Mereka jalan kaki, naik perahu untuk ke pekan Alor Setar (Aloq Staq). Tak pakai kasut pun.

3. Bahasa mereka juga lain daripada bahasa kami orang pekan. Sesungguhnya mereka tak tahu apa. Bawak buah sikit, padi huma, beras pulut, sebagai buah tangan. Kadang-kadang mereka tidur di rumah tak perlu katil, hampar tikar sudah cukup.

4. Di sekolah Inggeris ramai juga anak orang ulu belajar bersama saya. Mula kekok sikit tetapi cepat faham dan guna bahasa Inggeris. Nampak tak bodoh sangat orang ulu ini. Kadang-kadang lulusan lebih baik daripada anak orang pekan.

5. Saya ke universiti. Budak Melayu tak ramai. Tapi di antara mereka ada juga anak orang ulu, terutama di Fakulti Sastera. Lulus Bachelor of Arts (B.A. - Sarjana Muda Sastera) mereka sertai Kerajaan, ramai di Kementerian Luar. Jadi second secretary (setiausaha kedua), first secretary (setiausaha pertama) dan kemudian jadi duta.

6. Boleh juga cakap orang putih dengan orang putih, anak orang ulu ni. Boleh berhujah dan bergaya sebagai Pak Duta.

7. Sebenarnya ramai anak orang ulu yang belajar sehingga dapat Phd. (Doktor Falsafah) di universiti luar negara kembali jadi pegawai tinggi Kerajaan.

8. Sekarang anak orang pekan pun susah nak kerja di luar negeri. Tak suka cocktail party kerana segan nak bercakap. Orang asing nak cakap bahasa lain, kerap kali guna bahasa Inggeris. Tetapi ini bukan masalah. Yang jadi masalah di cocktail party orang minum arak. Sebab itu pegawai tak suka pergi cocktail party.

9. Yang suka pergi cocktail party pegawai bukan Melayu. Mereka boleh bergaul dengan orang asing, bercakap dengan mereka bukan main fasih lagi, dan sudah tentu minum arak. Tetapi berguna juga mereka kerana mereka dapat dengar dan faham pendapat duta-duta asing.

10. Nampak sekarang sama saja - anak orang ulu atau anak orang pekan. Dulu kedua-dua boleh, sekarang kedua-dua pun tak boleh.

11. Pada pengalaman saya sejak 70-tahun dahulu, anak orang ulu ada kebolehan, tak kolot, tak lah lekeh sangat. Bila diberi peluang boleh buat. Anak kawan saya, Hassan Nawin (orang ulu dalam kelas saya) jadi pilot Boeing 747. Ada yang jadi doktor, pakar bedah, peguam, duta dan macam-macam lagi.

12. Rupa-rupanya mereka tak begitu lekeh. Janganlah perlekeh orang kampung, orang ulu dan orang luar bandar. Mereka boleh, kalau diberi peluang. Kalau tak percaya, buat kajian. Yang pegang jawatan tinggi, yang cakap bahasa Inggeris macam orang Oxford siapa? Ramai juga orang ulu.

13. Saya sendiri tak mimpi jadi doktor. Zaman saya di sekolah, doktor Melayu yang saya tahu hanya Doktor Arif, Pulau Pinang.

14. Tetapi saya dapat peluang, dapat juga lulus sampai jadi doktor. Kita serba boleh. Tetapi kalau orang sekat peluang saya mana saya nak tahu saya boleh atau tidak.

15. Demikian nasib orang Melayu bandar dan luar bandar. Dulu Mat Salleh (orang putih) anggap orang Melayu bodoh, tak boleh pegang jawatan. Sekarang orang Melayu sendiri anggap Melayu kampung bodoh.

16. Hai lah nasib!

Tuesday, February 10, 2009

Lompat Jangan Tak Lompat: Karpal Singh Si Pendurhaka !

Salam Buat Semua,

1) Karpal Singh si Pengerusi DAP kelihatannya sedang cuba mancabar maruah bangsa Melayu dan Islam secara rasmi. Dia sebenarnya sudah terlebih layak untuk dipertimbangkan bagi didakwa di bawah Akta Hasutan atau mungkin bolehlah dihadiahkan status dibuang kerakyatannya oleh Majlis Raja-Raja. Jutaan rakyat Malaysia akan menyembah sokong tindakan tersebut andai Raja-Raja memperkenankannya.

2) Karpal pernah cuba 'mengajar' Paduka Seri Tuanku Sultan Azlan Shah dengan peringatan supaya tidak mencampuri urusan pertukaran Pengarah Agama Islam Perak di pertengahan tahun 2008. Dalam masa kurang setahun nampaknya telah dua kali dia cuba 'menyerang' Sultan Azlan Shah !

3) Karpal mungkin buat-buat 'nyanyuk' bahawa Tuanku Sultan adalah Ketua Negeri merangkap Ketua Agama Islam. Walaupun Malaysia mengamalkan konsep Raja Berperlembagaan tetapi Sultan masih berada di tangga istimewa dengan perkenannya akan sentiasa diminta terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan melibatkan pentadbiran negeri dan hal-ehwal Islam diputuskan.

4) Kini Karpal dengan penuh lagak mahu menyaman Tuanku Sultan di atas ketidakpuasan hatinya dengan tindakan bekas Ketua Hakim Negara itu menitahkan Mohd. Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan atau terpecat secara automatik jika ingkar kerana telah hilang sokongan daripada majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

5) Karpal dan juga majoriti penyokong-penyokong DAP, PKR dan PAS menganggap keputusan Tuanku Sultan itu sebagai tidak berlandaskan undang-undang serta kelihatan seperti cuba memihak kepada Barisan Nasional (BN).

6) Bagi pencinta-pencinta Pakatan Rakyat (PR), adalah sesuatu yang adil lagi saksama apabila Tuanku Sultan berpihak kepada PR selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Pada hakikatnya; DAP, PKR dan PAS hanyalah memenangi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berasingan dan tidak bergerak secara rasmi sebagai satu entiti berdaftar (satu nama dan satu lambang). Pada dasar 'rasmi,' BN menguasai DUN Perak selepas PRU 2008 dengan 28 kerusi berbanding dengan DAP, PKR dan PAS dengan masing-masing 'menakluk' kerusi-kerusi DUN sebanyak 18,7 dan 6.

7) Selepas PRU 2008, Tuanku Sultan mengizinkan PR membentuk kerajaan selepas kesemua 31 ADUN-ADUN daripada DAP, PKR dan PAS menyatakan sokongan secara sepakat kepada Mohd. Nizar sebagai Menteri Besar. Tuanku Sultan menolak usul cadangan daripada BN Perak untuk membentuk kerajaan di atas dasar 31 ADUN bukan BN (berbanding BN dengan sokongan 28 ADUN) telah 'sehati-sejiwa' bersetuju untuk menyokong Mohd. Nizar. BN tidak pula menyangkal budi-bicara Tuanku Sultan walhal PR bukanlah satu entiti rasmi.

8) Tuanku Sultan dalam menitahkan Mohd. Nizar melepaskan jawatan bagi memberikan laluan kepada seorang Menteri Besar yang baru daripada BN sebenarnya telah menggunakan pendekatan yang serupa sewaktu memberikan perkenan kepada Mohd. Nizar untuk menjadi Menteri Besar selepas selesainya PRU 2008. Tuanku Sultan dalam menjalankan amanah sebagai Ketua Negeri Perak Darul Ridzuan telah dengan penuh yakin mendapati bahawa Mohd. Nizar pada tanggal 4 Februari 2009 telah kehilangan sokongan majoriti ADUN-ADUN apabila 3 ADUN PR bertindak keluar parti masing-masing dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat berstatus bebas. Mereka tidak menyertai BN tetapi menyatakan sokongan kepada seorang Menteri Besar lain daripada BN. Inilah indikasi utama yang Tuanku Sultan gunakan sebelum mengeluarkan titah perintahnya.

9) Perlembagaan Negeri Perak melalui artikel 16(2)(a) dengan jelas menyatakan bahawa Tuanku Sultan berhak melantik seorang Menteri Besar yang pada hemat baginda berkemungkinan beroleh sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak. Artikel 16(4)pula menyatakan bahawa raja mempunyai budi bicara yang luas untuk menentukan siapa yang harus dilantik sebagai Menteri Besar. Artikel 16(6)Perlembagaan Negeri Perak juga menyatakan bahawa tiada peruntukan yang menghalang sultan daripada menamatkan perkhidmatan seseorang MB jika baginda mendapati bahawa MB itu sudah tidak lagi beroleh sokongan majoriti anggota DUN.

10) Tuanku Sultan Perak telah bertindak adil dan saksama sewaktu memperkenankan Mohd. Nizar sebagai Menteri Besar. Baginda tidak melangkaui peruntukan undang-undang. Melalui kaedah yang sama jugalah Tuanku Sultan telah 'menafikan' kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar dengan memperakui perlantikan Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri besar Perak Darul Ridzuan yang ke 11.

DAULAT TUANKU ! DAULAT TUANKU ! DAULAT TUANKU !

Neba2020: Karpal Singh janganlah cuba berlagak umpama pakar undang-undang bertaraf yang terkebal lagi yang terbijaksana, kononnya dialah saja yang paling hebat dalam menafsirkan undang-undang dan perlembagaan. Karpal Singh secara tidak langsung telah menghina raja-raja Melayu, menghina kedudukan umat Islam, menghasut rakyat meragui kebijaksanaan Tuanku Sultan, menyebarkan dakyah-dakyah keji yang mampu menghadirkan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat dan yang paling penting dia cuba mengajar rakyat supaya DERHAKA kepada konsep 'kesetiaan kepada raja dan negara.'

Friday, February 6, 2009

Lompat Jangan Tak Lompat: Pendirian Ahli UMNO Keahlian 04084783

Salam Buat Semua,

1) Saya adalah ahli UMNO dengan nombor pendaftaran 04084783.

2) Saya masuk UMNO bukan kerana tertarik dengan jawatan, kekayaan mahupun kemasyhuran.

3) Saya percaya pada konsep 'niat dan prinsip.' Saya berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak tersilap arah dan tersilap niat dalam melakukan 'perjuangan kecil' yang cuba dilaksanakan sedikit demi sedikit dengan restu padu emak, encik (ayah) dan abang. Sehingga kini, 'ilham' positif sentiasa menyebelah diri ini. Syukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.

4) Melompat parti bagi saya adalah satu tindakan yang tidak bermoral dan membelakangkan pilihan rakyat.

5) Secara majoritinya, pengundi di Malaysia masih melakukan pilihan wakil rakyat berdasarkan kepada parti yang disukai lagi dipercayai, bukan bersandarkan kepada calon yang dipilih oleh parti untuk bertanding.

6) Walaubagaimanapun, di atas prinsip kedaulatan undang-undang, saya 'terpaksa' menerima hakikat bahawa lompat melompat parti adalah sesuatu yang halal dan diperakui oleh perlembagaan. Semua pihak wajib merelakannya walau berat di hati.

7) Undang-undang wajar digubal supaya kepentingan rakyat jelata / pengundi-pengundi terpelihara. Kesemua parti politik sewajarnya memikirkannya secara positif kerana telah terbukti betapa kegiatan lompat-melompat ini memberikan kesan yang buruk kepada mereka. Parti Bersatu Sabah (PBS) merasai peritnya hilang kuasa pemerintahan negeri pada tahun 1994 akibat daripada ADUN-ADUNnya yang berpaling tadah kepada Barisan Nasional (BN). Pakatan Rakyat yang menggabungkan DAP,PKR dan PAS telah merasa kesannya pada 5 Februari 2009 dengan tumbangnya kerajaan mereka di Perak yang baru berusia 11 bulan. BN pula sentiasa dibayangi ketakutan sepanjang 'fantasi 16 September 2008' yang diterajui Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru negara melalui kaedah 'mencuri' ahli-ahli Parlimen BN.

8) Pilihan SATU - Si pelompat parti secara automatik kehilangan kerusi yang dipegangnya. Sebuah Pilihan Raya Kecil wajar dijalankan semula dan si pelompat itu dibenarkan bertanding semula di atas tiket parti barunya / secara ahli bebas.

9) Pilihan DUA - Si pelompat kehilangan statusnya sebagai wakil rakyat. Pilihan Raya Kecil tidak perlu diadakan, parti asal si pelompat akan terus memegang kerusi tersebut melalui 'proksi' yang berkonsepkan wakil rakyat interim / sementara sebelum tibanya Pilihan Raya Umum. Ini dapat menjimatkan berjuta Ringgit wang rakyat memandangkan mereka telah memangkah simbol parti yang dipercayai untuk memerintah bagi tempoh penggal tersebut.

10) Pilihan TIGA - Si pelompat parti terus kekal sebagai wakil rakyat yang telah berubah parti / ahli bebas tetapi secara automatik hilang kelayakan untuk terus bertanding di dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Pilihan ini dilihat lebih adil kepada semua pihak serta mampu 'memberi ajaran' kepada individu-individu yang mahu mempraktiskan konsep lompat melompat.

Neba2020: Kestabilan negara wajarlah dijadikan pegangan semua ahli politik. Kestabilan negara wajib dilihat daripada aspek perpaduan kaum, ketenteraman situasi semasa, kemajuan ekonomi juga insfraktruktur dan toleransi sesama rakyat ....

Thursday, February 5, 2009

Lompat Jangan Tak Lompat: Najib dan Nizar 'mengumumkan', Tuanku Sultan 'memperkenankan' jua ...

Salam Buat Semua,

Episod SATU (Khamis, 10.30 pagi):

1) 4 Februari 2009 semestinya cukup istimewa buat rakyat Malaysia. Keadaan politik di Perak menjadi tumpuan ramai.

2) Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang terhasil akibat daripada 'kahwin kontrak' di antara DAP, PKR dan PAS akhirnya menemui penamat yang tidak begitu manis untuk dikenang. Baru 11 bulan menikmati 'kuasa' sayangnya mimpi-mimpi indah terungkai menjadi gerhana tanpa disangka.

3) Mohd. Nizar Jamaluddin 'mengumumkan' Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Negeri diadakan. Beliau terpaksa 'mengaku kalah' dengan menerima realiti betapa 'kuasanya' sebagai Menteri Besar akan hanya dapat bernyawa kembali sekiranya Pakatan Rakyat dapat menerima mandat majoriti baru daripada rakyat Perak. 2 ADUN PKR dan seorang daripada DAP telah menjadi ahli yang berkecuali, seorang lagi 'ahli baru' PKR sudah 'rujuk' kembali kepada UMNO. BN kini menguasai 28 kerusi, PR juga selari diangka 28 manakala 3 ADUN menjadikan diri mereka sebagai Yang Berhormat dengan status 'bebas.'

4) Mohd. Najib Abdul Razak pula 'mengumumkan' bahawa BN sudah mampu untuk membentuk kerajaan negeri yang baru setelah kembali memiliki 28 kerusi dengan mendapat 'sokongan' daripada 3 ADUN berstatus 'bebas' itu. Secara ringkasnya, BN mendapat sokongan daripada 31 ADUN manakala PR pula didokong oleh 28 ADUN.

5) Segalanya terpulang kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Baginda berhak untuk memilih sama ada memperkenankan permintaan Mohd. Nizar supaya DUN Perak dibubarkan ataupun memberikan keizinan kepada BN untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru sekaligus menerima Menteri Besar yang baru daripada BN (UMNO).

Episod DUA (Khamis, 2.50 petang):

1) Setelah meneliti sedalamnya pandangan di pihak Mohd. Nizar mahupun Mohd. Najib, dengan kebijaksanaannya dan rasa penuh kasihnya kepada negeri, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak tidak memberi perkenan kepada pembubaran DUN Perak dan menitahkan supaya Menteri Besar meletakkan jawatan atau jika ingkar akan dianggap sebagai kosong secara automatik.

2) Maka berakhirlah secara rasmi 'nikah kontrak' di antara trio DAP,PKR dan PAS di Perak yang hanya mampu bertahan selama 11 bulan semenjak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 yang lalu.

3) Mohd. Nizar akan menjadi pembangkang biasa sahaja selepas ini. Beliau kehilangan jawatan Menteri Besar yang sebenarnya dipegang hanyalah bersandarkan kepada faktor nasib akibat daripada 'ehsan undang-undang' di Perak yang mewajibkan Menteri Besar perlulah daripada keturunan Melayu yang beragama Islam.

4) Ngeh Koo Ham selaku Pengerusi DAP Perak pada hakikatnya adalah 'Menteri Besar' di sebalik tabir selama 11 bulan di atas kapasitinya sebagai 'ketua' kepada 18 ADUN DAP yang sebenarnya adalah majoriti di kalangan 3 parti PR yang bergabung itu. Ngeh sendiri 'ditabalkan' sebagai Exco Kanan, suatu jawatan yang tidak pernah wujud sebelumnya.

5) Kebiadapan DAP dalam 'menguasai' Mohd. Nizar selama 11 bulan yang berlalu sesungguhnya sudah cukup banyak 'mengguris' perasaan Sultan Perak dan Raja Muda Perak. Cukuplah dikatakan di sini bahawa Mohd Nizar dalam membuat ketetapan dan dasar-dasar baru di Perak telah dihantui oleh 'ketakutannya' kepada Ngeh dan DAP (gusar hilang jawatan Menteri Besar andai DAP keluar daripada PR Perak) sehingga terlepas pandang perasaan kaum majoriti negeri Perak dan istana.

Neba2020: Rakyat biasa merancang, Baginda Sultan memperkenankan izinnya ... Tuhan Yang Maha Kuasa jua yang memberi petunjuk, hidayah dan hala yang sebenar ... Kepada Tuhan kita berserah, segalanya telah ditentukanNYA ...

Tuesday, February 3, 2009

Lompat Jangan Tak Lompat : Anwar Mula Panas

Salam Buat Semua,

1) Anwar Ibrahim memulakan sepak terajang idea lompat si katak lompat sebaik sahaja Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 tamat. 11 bulan telah berlalu.

2) Dia berharap akan dapat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 melalui 'jalan belakang.' Dia berusaha keras untuk menarik seramai mungkin ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) supaya berpaling tadah sekaligus mengkhianati suara rakyat majoriti dengan melakukan aktiviti lompat si katak lompat ke dalam parti-parti yang 'bernaung' di bawah label Pakatan Rakyat (PR).

3) Impian Anwar kelihatannya umpama mimpi dalam mimpi. 10 bulan selepas idea 'orang gersang jawatan' itu dijajanya ke serata dunia, jawapan yang sesuai dihalakan kepadanya ialah 'niat jahat akan dibalas dengan kejahatan !'

4) Akhirnya Anwar mendapat sedikit suntikan moral apabila seorang ahli UMNO kecewa yang bernama Nasarudin Hashim (ADUN Bota, Perak) setuju untuk menjadi 'katak' dengan melompat ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

5) Sepak terajang dan percaturan Anwar tiba-tiba terhakis dan seakan tercabar di tahap yang tinggi apabila dua ADUN PKR di Perak 'diumumkan' oleh Speaker Dewan Undangan Negeri sebagai sudah meletakkan jawatan sekaligus dua Pilihan Raya Kecil (PRK) wajar dijalankan. Desas-desus bertiup kencang bahawa ke dua-dua Exco kerajaan negeri Perak itu 'diramalkan' akan menyertai BN sekaligus membawa kepada kemungkinan 'jatuhnya' kerajaan yang dipimpin secara 'sehati sejiwa' di antara Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak.

6) ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu yang 'diumumkan' sudah melepaskan jawatan dengan drastiknya menafikan sudah berbuat demikian. Mereka menyatakan bahawa surat perletakan jawatan tanpa tarikh itu adalah dibuat secara 'paksaan' sebaik selesai PRU sebagai kaedah untuk memastikan wakil-wakil rakyat PR tidak dipancing oleh BN lalu melompat parti.

7) Isu pertama - Terdedah sudah rupa-rupanya parti yang cuba memancing wakil-wakil rakyat BN supaya melompat ke pihaknya 'tergamak' memaksa wakil-wakil rakyatnya sendiri untuk menandatangani surat 'aku janji taat setia' yang pada hakikatnya adalah tidak sah di segi undang-undang.

8) Isu kedua - Kredibiliti Anwar selaku pencatur aktiviti lompat si katak lompat sudah mula boleh dipertikai. Di dalam 'riuh rendah' lagaknya yang sentiasa yakin betapa 'ramai' wakil-wakil rakyat BN yang akan melompat ke dalam PKR khasnya dan PR amnya, dia terlepas pandang kepada 'kesetiaan' orang-orangnya sendiri. Tanpa angin bertiup sepoi-sepoi bahasa sekalipun, secara tanpa disangka keluar pula 'kisah-kisah' kemungkinan adanya orang-orang PKR sendiri yang akan melompat ke dalam UMNO khasnya dan BN amnya.

9) Isu ketiga - Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar yang menyerahkan surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa telah wujudnya kekosongan di dua kerusi Dewan Undangan Negeri Perak sewajarnya telah 'diarahkan' oleh seseorang yang begitu takut akan kemungkinan runtuhnya kerajaan PR di Perak sebelum sempat menyambut ulang tahun pertama 'berkuasa' (Mac, 2009). Semestinya 'surat-surat tidak bertarikh' itu diberikan kepada Sivakumar oleh si penyimpannya yang sewajibnya adalah 'mentor' politik PR yang sedang dilanda sindrom resah dan takut disebalik hajat besar untuk merobek BN yang masih kabur dan tidak diizinkan Tuhan.

10) Isu keempat - Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira ideologi politik 'bersatu dan bersepakat' dalam mencari formula mengatasi kecelaruan politik dan pentadbiran yang terhasil akibat daripada terma lompat si katak lompat ini. Kelihatannya BN, DAP dan PAS seakan tidak berapa 'berkenan' dengan kaedah berkuasa melalui 'jalan belakang' ini. Hanya PKR yang masih 'setia' dengan konsep kesukaan Anwar itu. Masa, wang ringgit dan tenaga cukup banyak terbuang. Khidmat kepada rakyat akhirnya yang menjadi bahan gadaian tidak berpenamat.

Neba2020: Konsep pemilihan Presiden Amerika Syarikat cukup menarik untuk diteliti. Setiap Presiden yang dipilih akan berkhidmat selama 4 tahun tepat. Tiada konsep pembubaran Parlimen seperti yang diamalkan di Malaysia, tiada konsep cantas mencantas mahupun lompat melompat yang dibenarkan. Kempen dan kehangatan politik hanya akan berulang setelah 4 tahun berlalu. Presiden yang memerintah tidak akan bercerita pasal politik selepas selesai pemilihan kerana dia tidak perlu takut kepada situasi kemungkinan kuasanya hilang walaupun sewaktu pemilihan dia hanya menang dengan majoriti yang kecil.