Friday, January 30, 2009

Lompat Jangan Tak Lompat: Antara Kepentingan Peribadi dan Desakan Rakyat?

Salam Buat Semua,

1) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang memenangi kerusi tersebut sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 melalui tiket Barisan Nasional (BN) menjadi 'katak' pertama sejak isu 'lompat-melompat' mula disensasikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Mac 2008. Nasarudin bertukar arah ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).

2) Nasarudin memberi alasan bahawa episod 'cinta beralih arah' itu timbul akibat daripada desakan untuk mencari platform yang lebih berkesan untuk berkhidmat kepada rakyat.

3) Untuk rekod, Nasarudin sebelum Mac 2008 adalah Ahli Parlimen Parit, Perak dan pernah diberi kepercayaan oleh kerajaan sebagai Pengerusi Felcra selama 2 tahun (2006-2008). Kontraknya di Felcra tidak disambung. Khabar angin bertiup kencang bahawa Nasarudin tidak berapa 'gembira' dengan 'penurunan' pangkatnya apabila dipilih BN Perak untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri sewaktu PRU 2008. Beliau seakan 'terasa' betapa kedudukannya sebagai Pengerusi Felcra akan terjejas seandainya tidak lagi bergelar ahli Parlimen, satu jawatan yang lebih bersifat 'nasional.'

4) Nasarudin adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Parit untuk sessi 2004-2008. Sewaktu pemilihan Oktober 2008, beliau cuba menguji 'popularitinya' dengan mencabar jawatan Ketua Bahagian yang disandang oleh Dato’ Hj Mohd. Zaim Hj Abu Hasan. Nasarudin gagal dalam percubaannya untuk 'berkuasa' di Parit. Beliau sebenarnya gelojoh kerana cuba terus melawan ketua sedangkan andainya beliau lebih 'berhati-hati,' jawatan yang lebih selamat untuknya ialah terus kekal sebagai Naib Ketua Bahagian ataupun cuba menawarkan diri untuk kedudukan setangga lebih tinggi iaitu sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit.

5) Selepas Oktober 2008, Nasarudin kelihatan sukar untuk menerima hakikat bahawa beliau hanyalah seorang ADUN biasa yang tiada lagi jawatan di peringkat nasional dan hilang terus kedudukannya sebagai orang penting di dalam UMNO Bahagian Parit. Mungkin juga 'kedudukan' beliau menjadi 'rapuh' selepas terasa menjadi 'mangsa.' Umpama melempiaskan ketidakpuasan peribadinya, beliau menjadikan 'rakyat' sebagai alasan untuk 'melompat.'

Neba2020: 'Lompat si katak lompat, lompatlah tinggi-tinggi ... Tersalah lompat kaki kau terseliuh, tersilap lompat kepala kau tergantung di atas wayar, tergelincir lompat badan kau nanti yang lebam ...'

Monday, January 26, 2009

Selamat Tahun Baru Cina Buat Cikgu ...

Salam Buat Semua,

1) Cikgu Tan Lay Ngoh mengajar saya subjek Alam Dan Manusia dan Matematik sewaktu di Darjah 5. Dia juga adalah guru kelas, tinggi dan ramping orangnya. Cara berpakaiannya seolah seorang eksekutif korporat di Kuala Lumpur. Di bawah 'pentadbirannya' saya buat pertama kalinya dilantik sebagai Ketua Darjah.

2) Cikgu Yap Kim Chuan adalah guru kelas sewaktu saya di darjah 6. Subjek yang diajarnya ialah Bahasa Inggeris dan Ko-Kurikulum. Jasa Cikgu Yap yang terbesar di dalam hidup saya ialah apabila dia membuat 'slot' bercerita secara spontan di depan kelas sewaktu subjek Ko-Kurikulum. Saya 'tiba-tiba' menjadi berani dan bersemangat berdiri di depan kelas dan menjadi penglipurlara ekspress.

3) Cikgu Fong Mun Fatt adalah seorang wanita Cina yang cukup ringkas imejnya. Dia saya kenali tatkala menganjak ke Tingkatan 1 di Sekolah Tinggi Segamat. Cikgu Fong sudah mencecah usia melebihi 50 tahun ketika itu. Dia mengajar subjek Bahasa Inggeris, juga menjadi Guru Tingkatan. Saya amat tidak suka 'duduk' di dalam kelas Bahasa Inggeris kendalian Cikgu Fong. Dia 'terlalu' suka mengamalkan konsep 'soal dan jawab' dan setiap pelajar diwajibkan memberi komen terhadap topik yang dibincangkan daripada buku teks.

4) Pernah sekali kerana takut hendak bercakap, saya meminta izin untuk pergi ke tandas apabila giliran 'kena berdiri' semakin hampir. Kerana takutkan kelas Cikgu Fong, saya mula berjinak-jinak membaca akhbar berbahasa 'orang putih' dan sentiasa menjadi 'pembaca berita' yang tiada pendengar dengan kamus berada di tepi.

5) Cikgu Fong sekali lagi mengajar saya ketika berada di Tingkatan 2. Subjek yang diajarnya berubah pula kepada Matematik. Peliknya, jika saya agak 'benci' kepada beliau setahun sebelumnya tetapi pertemuan seterusnya adalah cukup berbeza. Saya sungguh 'sayang' kepada kelas kendalian Cikgu Fong. Dia menyebabkan saya jatuh cinta kepada subjek Matematik. Seingat saya, papan hitam kelas akan sentiasa penuh dengan coretan angka-angka dan aneka formula. Berulang-ulang dipadamnya lantas dipenuhkan semula. Dia tidak pernah letih bersuara dan kadang-kadang bajunya sendiri menjadi comot dengan sisa-sisa kapur pelbagai warna.

6) Saya bukan pelajar 'A' untuk subjek Matematik sewaktu di Tingkatan 1 tetapi bermula era Tingkatan 2, saya tidak pernah 'tertinggal' untuk meraih markah melebihi 90 untuk subjek tersebut sehingga akhir Tingkatan 5. Cikgu Fong menyebabkan saya bermotivasi untuk menguasai angka dan formula. Mesranya saya dengan beliau sehingga pernah berborak-borak tentang hobinya yang suka berkebun, kungfu, filem-filem Hong-Kong dan kisah-kisah zaman mudanya.

7) Di Tingkatan 3, Cikgu Pang Yin mengemudi subjek Matematik. Orangnya garang dan cukup mudah 'menjerit dan mengamuk' jika pelajarnya tidak menyiapkan kerja rumah dan menggunakan kaedah yang salah ketika menjawab permasalahan yang diberikannya. Peliknya, si 'harimau betina' yang seorang ini cukup dekat di hati saya. Melalui didikannya, saya seolah yakin 100% bahawa saya akan mendapat A di dalam PMR. Tidak perlu kelas tambahan di sekolah dan tidak perlu mengeluarkan duit untuk ke kelas tuisyen.

8) 12 tahun lepas, Cikgu Pang Yin sambil ketawa ringkas pernah berkata, 'Fendi kalau dapat A nanti boleh belanja Cikgu minum teh ya.' Sehingga ke hari ini saya tidak dapat 'menunaikan' gurauannya itu. Dia selalu mengatakan bahawa saya akan menjadi pelajarnya yang mendapat 8A. Saya anggap itu sebagai doa ikhlas daripada seorang guru buat anak muridnya.

9) Cikgu Cher Guan Ann pula mengajar saya subjek Geografi di Tingkatan 3. Dia juga guru rumah sukan untuk pasukan Rajawali yang saya sertai dan juga guru penasihat Saint John Ambulance, persatuan beruniform yang saya tidak 'aktif' melibatkan diri. Orangnya kelihatan sopan dan mesra sekali sewaktu mengajar, sesekali boleh berubah menjadi 'singa' jika anak-anak muridnya 'terkurang ajar.' Dalam lemah lembutnya ada waktu mampu menyinga dan ada masanya boleh bergelak ketawa bersama-sama. Cikgu Cher memang selayaknya dikenang sebagai guru yang kualiti pendidiknya adalah cukup terpuji lagi serba lengkap kemampuannya mengemudi kelas dan anak didik.

10) Buat Cikgu Tan, Cikgu Yap, Cikgu Fong, Cikgu Pang Yin dan Cikgu Cher; Kalian adalah guru-guru yang berbangsa Cina tetapi cukup saya sayangi dan kagumi. Kalian mendidik saya seolah tiada beza agama, bangsa mahupun budaya di antara kita. Kalian membuatkan saya sedar bahawa masih banyak lagi anak-anak Malaysia yang sayangkan perpaduan dan tahu erti hormat-menghormati.

SELAMAT TAHUN BARU CINA BUAT CIKGU-CIKGU YANG BANYAK BERJASA KEPADA SAYA DAN ANAK MALAYSIA LAINNYA ....

Neba2020: Selamat Tahun Baru Cina juga buat anak-anak murid yang saya sayangi lagi ingati selalu. Istimewa buat Goh Wei Loon, Chiang Lin Pin, Lionel Lee, Alex Lim, Chan Kar Hoong, Ho Wei Bing, Chua Hui Ying, Steve Lim, Chan Kai Hoong dan banyak lagi; Anda semuanya adalah harapan negara ini dan Cikgu Fendi amat berbangga memiliki pelajar-pelajar seperti anda semua yang bijak, nakal, mesra, kelakar, baik budi dan memahami erti Malaysia yang sejati ....

Thursday, January 22, 2009

UMNO Tewas: Gagal Mengurus Sentimen

Salam Buat Semua,

1) Barisan Nasional (BN) kecundang di tangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Kuala Terengganu pada tanggal 17 Januari 2009. Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu menyaksikan BN melalui Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

2) BN menguasai kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti 628 undi sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 melalui Allahyarham Razali Ismail. Pada PRU 2004, Razali menang dengan majoriti 1933 undi. Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang mewakili PAS pernah menguasai Perlimen tersebut sewaktu PRU 1999 dengan majoriti 14,448 undi. 4 tahun sebelumnya (PRU 1995), BN merampas kerusi tersebut setelah dipegang oleh pembangkang pada PRU 1990 melalui calon daripada Parti Melayu Semangat 46.

3) Pengundi di Kuala Terengganu sememangnya unik dan sukar dibaca kecenderungan hakiki mereka. Pola pengundian warga Bandaraya Warisan Pesisir Air ini bisa berubah seperti juga gelora pantainya yang sentiasa 'naik dan turun' mengikut musim. Kadang-kadang tenang, ada kalanya pula berubah menjadi 'mini tsunami' yang menggerunkan sesiapa jua. Istimewanya, sewaktu PRU 2008 mereka 'memberikan' kerusi Parlimen tersebut kepada calon BN walhal di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Terengganu, 3 daripada 4 kerusinya 'diamanahkan' kepada pembangkang.

4) BN melalui UMNO kelihatannya semakin ditolak pengundi, itulah realiti secara kasar yang menjadi konklusi banyak pihak. Para penyokong Pakatan Rakyat semestinya 'terhibur' dengan 'gugurnya' Wan Ahmad Farid di tangan Abdul Wahid. Wan Ahmad Farid sememangnya bukan tandingan Abdul Wahid yang telah 5 penggal menguasai salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri di dalam Parlimen Kuala Terengganu. Abdul Wahid juga pernah menjadi Exco sewaktu PAS berkuasa di Terengganu selepas PRU 1999. Nyatanya, Abdul Wahid memang sudah bertapak dengan kukuhnya di Kuala Terengganu dan namanya cukup dikenali lagi disenangi oleh kebanyakan rakyat di sana. Wan Ahmad Farid pula lebih banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur mahupun Putrajaya dek kerana komitmen tugas rasminya.

5) Wan Ahmad Farid adalah pilihan yang cukup silap lagi 'memakan diri' UMNO itu sendiri. Di kala persepsi dan pandangan rambang rakyat menjadi faktor penentu akan lambang apa yang akan dipangkah maka awal-awal lagi BN telah tertewas dengan agak mudah dengan menyenaraikan Wan Ahmad Farid sebagai calonnya. Ada 'bisik-bisik' politik mengatakan yang Wan Ahmad Farid dipilih sendiri oleh Perdana Menteri, di kala Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Terengganu sendiri pada hakikatnya tidak 'senang' dengan keputusan tersebut.

6) Wan Ahmad Farid mungkin bolehlah diibaratkan sebagai mangsa tidak bersalah. Dia mungkin seorang yang berkaliber dan intelek. Kemungkinan itu tidak dapat dinafikan kerana pada usia awal 40an beliau telah membawa label dirinya sebagai seorang yang pernah bergelar Timbalan Menteri dan Senator. Sebelumnya, beliau pernah memegang peranan sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

7) Menurut persepsi rakyat kebanyakan, Wan Ahmad Farid adalah antara individu yang termasuk di dalam kumpulan 'Budak Tingkat 4' di Jabatan Perdana Menteri di sepanjang 4 tahun pertama pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi (November 2003 - awal 2008). Istilah 'Budak Tingkat 4' ini dikaitkan dengan sekelompok 'bijak pandai' lulusan universiti ternama luar negara yang diketuai Khairy Jamaluddin, menantu lelaki tunggal Perdana Menteri. Itu adalah persepsi 'panas' yang menjadi 'sebutan dan kepercayaan' masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

8) Nama Wan Ahmad Farid juga agak 'terhitam' dek kerana nama abangnya iaitu Wan Hisham Wan Salleh (bekas Adun Ladang yang tewas di PRU 2008) yang cukup sinonim dengan isu 'Monsoon Cup.' Persepsi ramai ialah dua beradik ini ditafsirkan sebagai 'kroni' kepada Khairy dan juga usahawan bernama Patrick Lim yang dikatakan 'membolot' banyak projek pembangunan di Terengganu di zaman Idris Jusoh menjadi Menteri Besar (2004-2008). Imej Wan Ahmad Farid dan abangnya juga tercemar kerana mereka turut dilihat sebagai 'gandingan' Idris yang dikaitkan dengan penguasaan hasil kekayaan negeri melalui manipulasi pentadbiran wang royalti yang dikenali sebagai wang ehsan untuk tempoh di antara tahun 1999 dan 2008. Maka tidak hairanlah di kala BN masih mampu bertahan dengan selesa di Terengganu sewaktu PRU 2008 tetapi Wan Hisham yang juga Exco negeri di zaman Idris tersungkur tewas.

9) Wan Ahmad Farid tidak bersalah (mungkin) dan segala yang 'dituduh' terhadapnya tidaklah terbukti dengan nyata, jauh sekali dapat menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang korup mahupun lemah. Wan Ahmad Farid mungkin menjadi mangsa keadaan, beliau berada di tempat yang salah dan menghadapinya di masa yang salah. Wan Ahmad Farid menjadi mangsa sentimen rakyat.

10) Pelajaran yang perlu diterima oleh UMNO khususnya dan BN amnya ialah supaya lebih serius dalam menghadapi sentimen rakyat. Calon yang dipilih seharusnya bukan sahaja wajib bersih keperibadiannya tetapi wajar juga kelihatan bersih di mata masyarakat. Buat masa ini, rakyat secara majoritinya masih belum mampu berfikiran positif dan bersih apabila nama-nama seperti Khairy Jamaluddin dan Abdullah Ahmad Badawi disebut. Sebarang cubaan untuk 'menaikkan' sesiapa jua yang mempunyai 'hubungan mahupun kaitan' dengan dua nama itu sememangnya akan dipandang dengan sebelah mata sahaja oleh rakyat. Ini samalah seperti apa yang dialami oleh John McCain yang tewas di tangan Barrack Obama sewaktu pemilihan Presiden Amerka Syarikat yang ke 44 pada tahun 2008. McCain bukanlah tidak baik tetapi McCain ditolak rakyat kerana beliau ada 'bau' George W. Bush yang cukup tidak disenangi ramai di akhir pentadbirannya.


Neba2020: Keadaan kadang-kadang kelihatan tidak adil apabila persepsi menjadi raja kehidupan, akal menjadi rujukan semata-mata di kala senggang. Tapi ada kalanya persepsi terhasil daripada akal yang telah berusaha sedaya upaya untuk mencerakinkan keadaan dan pemikiran sebaik mungkin. Mungkin akal kita yang masih lemah ataupun kita sendiri yang dikuasai nafsu hingga akal tertolak ke belakang ....

Tuesday, January 20, 2009

Kisah "Jajan" 1989 (Nikmat Transformasi)

Salam Buat Semua,

1) Kalau saya boleh kembali ke tahun 1989 sewaktu di Darjah Satu, saya tidak mahu menyuruh si Yusof dan Hariz membelikan 'jajan' di tepi padang sekolah setelah tamat waktu persekolahan.

2) Sehingga ke hari ini, Encik (ayah) masih ingat dan terus menyebut peristiwa tersebut. Kisah 'bersejarah' itu berlaku apabila penglihatannya 'menangkap' saya yang sedang menyuruh dua sahabat zaman kecil itu membelikan sesuatu.

3) Daripada jauh dia memerhatikan anak kecilnya sedang berjalan-jalan riang seusai waktu persekolahan bersama-sama dengan dua sahabat karib. Tiba-tiba jelas dilihatnya saya menyerahkan duit kepada dua sahabat itu dan berdiri keseorangan buat seketika.

4) Tatkala saya ternampak Encik ada tidak berapa jauh, sepantas kilat Yusof dan Hariz dikejar untuk mengambil semula duit yang telah bertukar tangan sebentar sebelumnya. Seingat saya, bukanlah 'tugas' Encik untuk menjemput saya pulang daripada sekolah kerana jarak sekolah dengan tempat yang perlu dituju tidaklah jauh dan saya tidak keseorangan berjalan kaki. Mungkin tengahari itu, Tuhan ingin 'menyediakan' satu kisah bersejarah yang akan menjadi sebutan dan gelak tawa kami sekeluarga berpuluh tahun kemudiannya.

5) Saya adalah seorang yang cukup 'penakut' sewaktu kecil dahulu. Tidak pernah walau sekali saya cuba untuk membeli makanan di kantin sekolah menggunakan duit yang diberikan Emak. Hanya sebotol air teh 'O' manis yang menjadi 'teman' setia penghilang dahaga. Mungkin kerana Emak tidak pernah lupa untuk memastikan saya bersarapan di rumah sebelum ke sekolah maka 'perut' ini mampu bertahan hingga ke tengahari tanpa perlu 'terdesak' untuk ke kantin di waktu rehat.

6) Saya takut dan saya tidak berani untuk membuka mulut. Saya tidak pandai membeli. Saya tidak tahu menggunakan duit yang diberikan Emak. Saya serba tidak tahu dan serba tidak berani mencuba.

7) Encik sehingga kini tidak melupai 'adegan' yang berlaku dihadapan matanya itu walau telah 20 tahun berlalu.

8) Si kecil yang penakut itu bakal menjejak usia 27 tahun di tahun 2009 ini. Encik ketika itu baru hendak menempuh alam keemasan 40 tahun, kini telah agak lama juga menempuh alam 'pencen.'

9) 20 tahun dulu, si kecil itu tidak tahu menggunakan duit, pada tahun 2004 dia berjaya menamatkan pengajian ijazahnya dengan pengkhususan Perbankan dan Kewangan.

10) 20 tahun dulu, dia adalah seorang budak kecil yang cukup tinggi nilai malunya. Sentiasa malu untuk bercakap dengan orang, sentiasa takut untuk mengeluarkan suara dan sentiasa sejuk badannya apabila dipanggil namanya oleh Cikgu. 20 tahun kemudiannya, dia telah 2 tahun menjadi seorang Cikgu kepada pelajar-pelajar di peringkat ijazah. Sebelum itu, 2 tahun dia mendidik pelajar-pelajar di peringkat pra.

Moga Saya Dijauhkan Daripada Menjadi Hamba Yang Tidak Tahu Bersyukur Kepada Tuhan, Lupa Kepada Segala Nikmat Yang DianugerahiNya dan Sombong Dengan Manusia Sekeliling. Tuhan Terlalu Banyak Mengurniakan 'Nikmat Transformasi' Yang Cukup Berharga Lagi Murni Kepada Diri Ini. Syukur, Syukur, Syukur ....

Neba2020: Encik dan saya akan tertawa bersama apabila 'kisah' ini diulang walaupun telah beratus kali ianya berputar tanpa jemu sejak 20 tahun yang lepas .... Encik masih terasa hairan bagaimana si penakut yang seorang ini boleh jadi tidak takut pula mengajar beratus-ratus anak murid walhal 20 tahun dulu hendak berhadapan dengan makcik kantin sekolah dan 'apek' penjual 'jajan' sekalipun seolah menjadi beban yang besar buatnya ....

Friday, January 16, 2009

Melayu dan AMOK ....

Salam Buat Semua,

1) Orang Melayu mudah hormat dan mudah 'tabik' kepada orang lain.

2) Orang Melayu terkenal dengan sifat merendah diri, tidak suka berkonfrontasi, mudah mengalah dan memendam rasa.

3) Budaya Melayu mengajar anak-anak Melayu supaya tahu menghormati orang, jangan suka mementingkan diri sendiri dan menjauhi sifat sombong walau kepada sesiapa jua.

4) Melayu pada hakikatnya adalah kaum yang kuat bersabar, tidak suka memanjangkan 'cerita-cerita' dan selalu cuba berpemikiran positif kepada bangsa mahupun agama lain.

5) Dewasa ini, Melayu seakan cuba 'diserang dan dibodoh' dan Melayu semakin kerap 'diasak dan dicerca.' Agamanya disentuh, bahasanya diperlekeh, hak istimewanya dipertikai dan pemimpinnya dicaci.

6) Ada pihak yang merasakan sejarah dan peristiwa silam bukanlah sesuatu yang penting, tiada asasnya untuk terus dipertahankan dan bersifat jahat semata-mata.

7) Individu tertentu dan juga organisasi-organisasi yang 'nakal' persepsinya terhadap kedudukan dan hak Melayu sebenarnya adalah perosak negara yang bodoh akalnya dan binatang lagaknya.

8) Melayu masih mampu bersabar dan Melayu belum 'ambil pusing' dengan seriusnya terhadap segala percubaan 'pengkhianatan perjanjian' dan 'pelupusan asal-usul sejarah' yang cuba disemarakkan para perosak perpaduan itu.

9) Hakikat yang harus diterima ialah Malaysia tidak akan mampu menyediakan satu keadaan kondusif 100% untuk setiap etnik mahupun setiap agama. Carilah mana-mana negara di dunia ini yang berkemampuan untuk memuaskan hati semua rakyatnya yang berbeza kaum dan berlainan kepercayaan. Jawapannya ialah mustahil dan membuang masa.

10) Apa yang harus diterima pakai ialah satu bahasa dan satu agama diangkat sebagai teras rasmi negara yang didasarkan kepada kaum majoriti besar yang merupakan etnik asal yang memulakan tamadun. Rakan-rakan yang lain harus menghormatinya dan tidak 'berlebih-lebih' dalam menyakiti perasaan si majoriti besar itu.

Neba2020: Kamus Oxford terpaksa menerima AMOK sebagai perkataan Inggeris yang diadaptasi langsung daripada Bahasa Melayu berdasarkan sifat orang Melayu yang banyak bersabar tetapi apabila rasa geramnya meluap-luap maka dirinya akan 'berubah' sifat untuk mempertahankan hak mahupun maruahnya daripada diganggu-gugat oleh sesiapa. Kita tidak mahu Melayu menggunakan AMOK di tanah airnya sendiri untuk 'memperjuangkan' nasib ....

Tuesday, January 13, 2009

PENGGANAS YAHUDI YANG CELAKA LAGI HARAM !

Salam Buat Semua,

1) Satu dunia sedang 'bising' dengan keangkuhan dan kegilaan PENGGANAS YAHUDI di negara syaitan Israel yang dengan rakusnya MEMBUNUH, MEMBAHAM dan MEMBELASAH si lemah rakyat Palestin di Tebing Gaza.

2) Kita di Malaysia juga sedang geram dan benci melihat malapetaka yang hakikatnya sedang mendapat 'sokongan dan semangat' daripada Amerika Syarikat selaku sahabat karib kerajaan Israel.

3) Ada yang melakukan demonstrasi secara besar-besaran bagi melempiaskan perasaan sedih mahupun meluat terhadap rejim Zionis yang kelihatannya tidak ubah seperti sejarah Nazi di Jerman dahulu.

4) Maka kelihatanlah bendera Amerika dan Israel dibakar hangus, patung-patung Presiden George Bush dan Perdana Menteri Ehud Olmert dihentam lalu diapikan dan aneka kain rentang dengan disertai pekikan celaan sebagai tanda protes kepada tindakan PENGGANAS YAHUDI terhadap rakyat Palestin. Semuanya kelihatan bersemangat umpama pejuang jihad yang tidak takut mati dan sungguh sayangkan rakan-rakan nun jauh di bumi Palestin itu.

5) Gerakan memboikot produk-produk yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat dan Israel juga menjadi gagasan penting bagi meluahkan perasaan benci dan geram itu. Rakyat digesa supaya memboikot, menjauhkan dan 'mengharamkan' diri daripada menggunakan mahupun menikmati barangan tertentu. McDonalds, Coca-Cola, Nestle, L'Oreal, Johnson & Johnson, Brylcream, Kotex, Danone, Nescaffe dan Maggi adalah 10 jenama yang cukup popular, berpaksikan Amerika sekaligus menyumbang kepada kempen PENGGANAS YAHUDI.

6) Hakikatnya, ratusan jenama lagi wajar diboikot tetapi impak penggunanaanya tidaklah cukup besar. Andai 10 produk ini sahaja dapat diboikot secara sekata oleh beratus juta penggunanya di seluruh dunia atau sekurangnya puluhan juta daripada yang beragama Islam, sudah pasti kesannya amat buruk kepada ekonomi dan perusahaan awam negara 'kelahiran' idea-idea keganasan itu.

7) Ada juga yang merasakan bahawa tindakan berdemonstrasi adalah membuang masa dan tidak mendatangkan hasil yang nyata. Akhirnya, kita hanya mendapat penat dan tiada siapapun di luar sana yang mendapat kesan langsung daripada pekikan dan laungan yang dijalankan. Masa, tenaga dan wang ringgit kelihatannya dibazirkan tanpa mendatangkan impak positif.

8) Memboikot pula kelihatannnya seperti satu tindakan 'senapang dua mata yang menembak burung di langit, tanpa disangka sebutir pelurunya tertembak si tuan punya senapang.' Ekonomi domestik negara akan terjejas, rakyat yang bekerja di perusahaan-perusahaan terbabit akan mendapat kesan langsung yang negatif dan majoriti daripada syarikat 'jenama-jenama Amerika' yang beroperasi di Malaysia sebenarnya sudah lama menjadi milik rakyat negara ini akibat daripada pemilikan saham majoriti yang ditetapkan kerajaan sejak berzaman dahulu. Kesudahannya, setiap tindakan biarlah ditetapkan melalui pemikiran yang lebih mendalam dan bersifat 360 darjah. Andai berdemonstrasi tidak mendatangkan hasil dan memboikot pula rupa-rupanya 'membunuh' diri sendiri, maka apakah yang termampu kita lakukan?

9) Cuba 'kongsi' penderitaan rakyat Palestin yang sedang dihambat ketakutan, kelaparan, kesakitan, kehilangan dan kehancuran itu. Andai hari ini kita berbelanja RM10 sehari untuk mengisi perut sendiri, apa kata kita potong perbelanjaan itu sebanyak RM4. Ini adalah seperti kita cuba 'kongsi' rasa lapar dan sakit mereka itu dengan 'memotong' bajet makan malam sahaja tanpa perlu menjejaskan perancangan kewangan bulanan yang lainnya. Lakukan ini selama satu bulan, maka di akhir hari yang ke 30 nanti kita akan memiliki 'tambahan' RM120 di dalam poket sendiri.

10) Jika 10 000 orang menyahut cabaran ini, kita akan dapat mengumpul RM1 200 000. Jika 10 juta rakyat Malaysia menyokong 'usul' ini, dalam masa satu bulan sahaja sebanyak RM1200 000 000 (RM1.2 Bilion) akan dapat dijanakan untuk tujuan membantu rakyat Palestin. Bayangkan jika 'kempen' ini diluaskan lagi kepada rakan-rakan segugusan kita di Singapura, Brunai, Indonesia, Thailand dan Filipina, hebat angkanya ! Membantu bukan sahaja di saat PENGGANAS YAHUDI sedang 'mengaum' tetapi yang lebih penting ialah dapat berbakti untuk tujuan 'pembangunan kekuatan mental, rohani dan fizikal' mereka selepas ini supaya menjadi lebih kuat, lebih bersedia dan lebih terancang dalam membina negara Palestin yang makmur sekaligus bersedia untuk 'menakutkan dan menghadapi' si PENGGANAS YAHUDI yang CELAKA lagi HARAM itu !

Neba2020: Kongsi kesusahan orang lain supaya di saat kita susah nanti Tuhan akan datangkan seseorang yang simpati dengan keadaan kita dan sudi menghulurkan bantuan kerana kehidupan ini adalah ibarat roda yang berpusing-pusing, sekejap di atas dan seketika kemudian beralih pula ke bawah ....

Info Tambahan: Bantuan Kemanusian Palestin.


Jan 12, 2009.

On Dec 28, Gaza Strip was ravaged by a brutal assault by Israeli forces that left most of its 1.5 million people unable to access its most basic rights – including medical supplies. Hospitals, bursting at the seams, find it difficult to cope as infrastructure was destroyed by bombings.

MERCY Malaysia initiated an emergency response assessment team on the 30th December 2008 to Egypt in response to the humanitarian crisis which has killed about 900 people and wounded close to 4,000. One third is children, and the number is rising.

As a result of generous contribution by the public, MERCY Malaysia has to date managed to push through more than 50 tonnes of medicines and medical equipment. MERCY Malaysia has also procured four ambulances and a mobile blood bank unit – expected to be ready between 10 and 14 days. MERCY Malaysia is awaiting permission to send highly-qualified surgeons into Gaza and have 20 volunteer surgeons on standby.

We appeal to concerned Malaysians to send in cash donations.

MERCY Malaysia's basis of assistance to the beneficiaries relies on the support and generosity of individuals such as you to contribute to the PALESTINE RELIEF FUND.

It will support our efforts to procure emergency surgical kits, additional medicine and hospital equipment which will be channeled to the affected communities in Gaza.

PALESTINE RELIEF FUND

Cheque payable to MERCY MALAYSIA :
CIMB Account No : 1424-000-6561053
Cheque payable to MERCY HUMANITARIAN FUND :
MAYBANK Account No : 5621 7950 4126

You can also download our donation form. Download Donation Form
For more information please contact 03-2273 3999 or email us at info@mercy.org.my

Saturday, January 10, 2009

Cikgu Arba'i - Bengis Tetapi Menghiburkan !

Salam Buat Semua,

1) 1 Januari yang lepas saya di kampung. Abang juga bercuti sama. Rutin kami dua-beradik memang selalu sungguh 'lekat' di kampung walaupun bukannya bekerja di daerah tempat membesar (Segamat). Saya di Melaka dan abang di Johor Bahru.

2) Petang itu abang yang baru pulang dari bandar tiba-tiba mengatakan 'Cikgu Arba'i kirim salam kat ko.' Saya tersenyum dan terdiam seketika. Memori lama terimbas tanpa diminta. Cikgu Arba'i memang 'pencinta' rokok yang hebat. Semua anak muridnya faham benar 'kesukaan' beliau itu. Abang memberitahu saya yang Cikgu Arba'i sudah tidak merokok lagi. Tahniah Cikgu !

3) Cikgu Arba'i itu adalah cikgu yang mengajar saya subjek Matematik Tambahan selama 2 tahun (Tingkatan 4 dan Tingkatan 5). Nama penuhnya ialah Arba'i Samingon. Dia sungguh bangga menjadi anak Jawa ! Saya juga bangga berdarah Bugis ! Mungkin anak Johor tercipta untuk tidak malu dengan asal keturunan.

4) Cikgu yang seorang ini adalah guru disiplin yang cukup 'bengis dan menggerunkan' seluruh warga pelajar Sekolah Tinggi Segamat. Jeritannya, rotannya dan tenungannya memang cukup masyhur dan akan diingati sampai bila-bila. Di dalam kelas pula watak Cikgu Arba'i adalah kontra sama sekali. Dia cukup bijak berkomunikasi, pandai berjenaka dan tidak membosankan langsung. Semangatnya ketika mendidik cukup terserlah. Momentum beliau sentiasa di tahap yang unggul lagi memuaskan anak-anak didiknya. Dia bukan jenis yang mengajar sambil lewa, saya pasti beliau akan kepenatan apabila tamat kelas kerana tenaganya sewaktu mengajar seakan digunakan di tahap yang maksima.

5) Cikgu Arba'i sudah 9 tahun tidak saya temui tetapi dia masih ingat kepada saya dan abang. Cikgu, saya mendoakan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa semoga hidup Cikgu dan keluarga sentiasa diberkatiNya, bahagia selalu, murah rezeki dan sihat berpanjangan.

Neba2020: Saya tidak mendapat A1 untuk subjek Cikgu Arba'i tetapi saya banyak belajar daripada cara dan kaedahnya mengajar anak murid. Semangat mesti terserlah, penat jangan ditunjuk, ikhlas perlu terpancar, suara mesti bisa menakluki pendengar, disiplin belajar menjadi keutamaan, humor adalah kesukaan ramai dan bosan mengajar jangan diamalkan ....

Wednesday, January 7, 2009

Anwar Terus Berangan-Angan Mat Jenin ....

Salam Buat Semua,

1) Satu laporan berita rasmi daripada Internet memaparkan tajuk utama yang berbunyi 'Anwar mahu Kuala Terengganu percepat menuju Putrajaya' sememangnya cukup menarik untuk ditelusuri.

2) Figura yang mengeluarkan kenyataan itu adalah seorang yang berstatus Ketua Pembangkang, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), bekas Timbalan Perdana Menteri yang terpecat dan juga bekas Timbalan Presiden UMNO yang terpecat. Dia ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

3) Dia pernah menjual cerita bahawa dia akan menjadi Perdana Menteri Malaysia menjelang 16 September 2008 melalui kaedah 'lompatan' beramai-ramai ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ke dalam Pakatan Rakyat (PR) yang 'bermentorkannya.'

4) Apabila 16 September berlalu pergi, dia mengatakan bahawa usaha menumbangkan BN melalui 'jalan belakang' itu akan direalisasikan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Adha pada awal Disember 2008. Sekali lagi sasaran beliau 'tersasar' jauh keluar daripada realiti planet bumi ini !

5) Anwar terus 'menjual' angan-angan peribadi dirinya sebagai modal untuk meraih simpati rakyat. Beliau juga sebenarnya mencuba sebaik mungkin untuk 'melakar fantasi' ke dalam minda para pengundi 'atas pagar' yang berpotensi untuk memberikan undi mereka kepada calon PAS mahupun UMNO yang merebut kerusi Parlimen di dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 ini.

6) Anwar tetap 'suci dan mulia' di pandangan para penyokong setianya. Anwar pada mereka tidak menipu. Anwar juga tidak melakukan sesuatu yang tidak beretika andainya cuba berkuasa melalui 'sokongan' ahli-ahli Parlimen yang menang di atas kepercayaan rakyat umumnya kepada BN. Apapun keadaannya, Anwar adalah pemimpin hebat yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri Malaysia ini.

7) Pilihan Raya Umum 2008 telah berusia 10 bulan keputusannya. Secara majoriti, rakyat masih menaruh kepercayaan kepada BN dan mutakhir ini sentimen 'ketidakpuasan' pengundi berstatus 'atas pagar' terhadap BN kelihatannya sudah menyurut. Apapun yang berlaku, penyokong tegar PR akan terus menyokong PR manakala para pencinta BN akan selamanya bersama BN. Individu-individu 'atas pagar' inilah yang sentiasa berubah pola pengundiannya. Mereka mengundi dan menyokong berdasarkan kepada keadaan semasa negara, isu-isu kritikal dan gaya kepimpinan atasan negara. Tahun 1995 mereka berpihak kepada BN, 1999 kepada pembangkang (Barisan Alternatif), 2004 ke kem BN dan 2008 meloncat ke pembangkang semula (PR).

8) Anwar sebenarnya sudah hilang sengatnya di mata rakyat-rakyat 'atas pagar' ini. Mereka sudah bosan, letih dan muak dengan retorik ciptaan Anwar ini.

9) Anwar sebagai seorang yang beragama Islam sepatutnya belajar sesuatu daripada John McCain yang tewas kepada Barrack Obama di dalam perebutan jawatan Presiden Amerika Syarikat. McCain yang beragama Kristian itu kelihatannya tahu erti bersabar, tahu erti menerima hakikat dan tahu erti menghormati suara majoriti rakyat. McCain dapat menerima 'takdir !'

10) McCain dalam masa kurang 24 jam setelah keputusan pemilihan diketahui terus menggesa para penyokongnya agar dapat menerima kemenangan Obama dan menasihatkan para penyokongnya supaya menyokong Obama sebagai Presiden mereka semuanya dan bekerja kuat untuk kemakmuran Amerika Syarikat. Rakyat yang menyokongnnya digesa supaya melupakan segala sengketa di sepanjang proses berkempen dan memberikan kerjasama kepada Presiden baru negara itu. Keperibadian dan kematangan McCain nampaknya umpama langit dengan bumi jika hendak dibandingkan dengan Anwar.


Neba2020: Angan-angan itu baik jika dipaksikan kepada realiti sebenar dan faham istilah 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.' Angan-angan akan menjadi buruk apabila ditunjangkan impian peribadi dan dendam kesumat yang tiada hentinya. Angan-angan Mat Kilau dan angan-angan Mat Jenin jauh bezanya, Mat Kilau berangan demi bangsanya manakala Mat jenin berangan hanya untuk kepentingan dirinya ....

Saturday, January 3, 2009

'Gaduh-Gaduh Manja' Tahun 2008

Salam Buat Semua,

1) Tahun 2008 ditinggalkan dengan 1001 kisah dan ceritanya yang tersendiri.

2) Selayaknya saya namakan 2008 sebagai tahun 'gaduh-gaduh manja politik.'

3) Sesiapa jua yang mengenali dan rapat dengan saya, semestinya tidak sah andainya tidak berbicara tentang politik, politik dan politik.

4) Menariknya, saya lebih gemar duduk semeja dan 'gaduh-gaduh manja' dengan kenalan-kenalan yang sedikit berbeza 'ideologi' politiknya. Ada juga yang seakan selari tetapi 'mazhab' pula yang berbeza arah. Menarik sungguh tahun 2008 !

5) Nama-nama personaliti tertentu semestinya seakan cukup 'dicintai' lagi 'disayangi' bagaikan 'intan payung delima salju.' Sehari tidak menyebut nama mereka sewaktu menjamu selera di kedai makan umpama tidak cukup rencah hidangan yang ingin disantap.

6) Terima kasih kepada Anwar Ibrahim kerana menceriakan kehidupan saya dan semua kenalan yang disayangi. Kempen aggresif Anwar menjelang Pilihan Raya Umum 2008, momokan 16 September untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan tuduhan liwat yang dihadapinya sememangnya cukup untuk menyempurnakan 'gaduh-gaduh manja' kami.

7) Sekalung penghargaan juga buat Dr. Mahathir Mohamad yang cukup kreatif dengan 'kuasa kritikan maut' yang dilontarkan melalui weblog peribadinya. 'Cerita-cerita' yang 'diadaptasi' daripada weblog Che Det itu sungguh berkesan menjadi bahan penyedap 'gaduh-gaduh manja' tersebut. Riwayat gempar beliau keluar UMNO juga umpama bom yang menghangatkan lagi 'gaduh-gaduh manja' kami semua !

8) Abdullah Ahmad Badawi dengan sikap membisunya selepas Pilihan Raya Umum dan seakan 'degil' untuk menerima hakikat semestinya menjadi topik sensasi untuk kami 'bergaduh manja.' Daya ketahanan beliau yang agak kuat untuk terus berkuasa selepas prestasi terburuk BN dan kesudiannya 'membenarkan' dirinya menjadi bahan 'kritik dan lawak' masyarakat semestinya cukup menceriakan saya dan rakan-rakan.

9) Seterusnya, 'gaduh-gaduh manja' sepanjang tahun 2008 bolehlah 'cenderamata' khasnya diberikan kepada personaliti-personaliti lain yang turut berperanan dalam menyedapkan lagi setiap episodnya. Mereka sememangnya 'berjasa besar' kepada kehidupan saya dan rakan-rakan di sepanjang tahun 2008 yang telah berlalu itu.

10) Terima kasih daun keladi kepada Mohd. Najib Abdul Razak, Muhyiddin Yassin, Zaid Ibrahim, Raja Petra Kamaruddin, Khairy Jamaluddin, Rosmah Mansor, Lim Guan Eng, Abdul Khalid Ibrahim, Shahidan Kassim, Idris Jusoh, Mukhriz Mahathir, Mohd. Ezam Mohd. Noor dan watak-watak lain yang tidak mampu untuk dihebahkan di sini kerana semuanya cukup 'bijak dan mahir' sama ada dalam mencipta kontroversi, dikejar kontroversi mahupun menjadi mangsa kontroversi.

Neba2020: 'Gaduh-gaduh manja' bukanlah bertujuan meleraikan ukhwah dan ikatan persahabatan. 'Gaduh-gaduh manja' hanyalah 'rencah' yang menyegarkan lagi hubungan dan menghadirkan rasa mesra yang tiada batasan, sudi dikritik juga sudi mengkritik secara bebas tanpa rasa benci mahupun dendam ....

Thursday, January 1, 2009

2009 : Umur Yang Bertambah Atau Umur Yang Mengurang ?

Salam Buat Semua,

1) 2009 muncul, satu lagi tahun akan dijalani dan dihadapi. Tahun baru sebenarnya tiadalah apa-apa yang istimewa. Tahun baru hanyalah sambungan kepada hari-hari biasa yang ditempuhi sebelum 1 Januari, tiada pertambahan minit dan tiada juga sebarang perbezaan mendadak yang berlaku kepada perjalanan hidup kita.

2) Istimewanya tahun baru mungkin timbul apabila majoriti di antara kita yang menjadikannya sebagai detik terbaik untuk menanam azam dan juga kesempatan paling bermakna untuk melakukan perubahan juga pembetulan terhadap diri sendiri. Apa yang tidak betul selama ini cuba dibetulkan dan apa yang tidak berapa manis sebelum ini cuba pula dimaniskan !

3) Secara peribadi, saya tidak mempunyai sebarang azam yang spesifik untuk tahun 2009 ini.

4) Tahun 1997, saya mula tahu erti menanam azam. Ingin mendapat 8A di dalam PMR. Saya tutup tahun 1997 dengan rasa penuh 'terhormat' dan gemilang. Gagal mendapat keputusan penuh A sewaktu UPSR tidak bermakna saya akan gagal lagi.

5) Azam tahun 1999 ialah untuk memperoleh Aggregat 6 di dalam SPM. Tetapi menjelang pertengahan tahun, saya seakan sedar betapa 'kudrat dan upaya' diri tidak mampu untuk mengejarnya. Saya cukup aktif dengan aktiviti-aktiviti 'cakap-cakap' seperti pertandingan Forum Remaja dan Debat Ala Parlimen. Persediaan untuk bertanding dari peringkat daerah ke negeri dan seterusnya kebangsaan sememangnya cukup menguji 'daya tahan' diri sendiri. Di antara minat dan persediaan untuk SPM, terpaksalah kesemuanya dihadapi dengan penuh sabar dan yakin diri yang kuat.

6) Sewaktu di Tingkatan 5 jugalah saya menjadi Pengerusi Tingkatan, Pengerusi Kelab Pengguna, Timbalan Pengerusi Kelab Pengerusi-Pengerusi Tingkatan dan A.J.K Persatuan Sains.

7) Tidak cukup dengan Forum Remaja yang 'membawa' saya ke 'pertarungan' peringkat kebangsaan dan Debat Ala Parlimen yang 'kandas' di peringkat separuh akhir negeri Johor, kenangan zaman akhir sekolah menengah itu ditambah juga dengan mewakili sekolah ke pertandingan Kuiz Pengguna, Kuiz Perdana, Kuiz Sains dan Kuiz Agama. Kuiz Perdana, Kuiz Sains dan Kuiz Agama membawa kemenangan peringkat daerah manakala Kuiz Pengguna pula 'rezekinya' di bawah sang juara. Kuiz Agama membawa saya ke peringkat negeri Johor, Kuiz Perdana dan Kuiz Sains pula senyap sepi khabar tentang pertandingan peringkat negeri. Cikgu di sekolah berkata mungkin ditiadakan pertandingannya kerana situasi ekonomi yang meleset ketika itu. Kalau diadakan juga, tidak tahulah bagaimana caranya untuk saya memberi fokus kepada SPM !

8) Kenangan terindah tahun 1999 semestinya apabila diri ini dipilih sebagai personaliti pelajar pilihan di dalam majalah tahunan Sekolah Tinggi Segamat, Ophir namanya. Keputusan SPM dengan pencapaian Aggregat 8 semestinya cukup memberi kepuasan peribadi. Saya sedar, saya tidak mampu untuk mendapatkan sesuatu yang lebih cemerlang kerana saya terlalu rajin 'mengumpul' koleksi pencapaian lain. Saya tetap bersyukur dengan apa yang termampu digapai.

9) Masuk universiti tahun 2000, saya berazam untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti tambahan lainnya. Saya fikir, cukuplah kenangan tahun 1999 itu untuk mengajar saya untuk menjadi 'manusia' yang bukan umpama 'robot' mahupun 'daun kering' semata-mata. Saya berazam untuk sentiasa memperoleh keputusan GPA melebihi 3.5 dan ingin menamatkan ijazah pertama dengan rekod kepujian kelas pertama pada tahun 2004. Doa dan azam yang berlarutan selama 4 tahun itu 'dihadiahkan' penamat yang positif oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Syukur.

10) 2005 saya berazam untuk memiliki kereta sendiri dan menyambung pengajian di peringkat sarjana. Saya mulakan pengajian di dalam bulan April dan saya miliki kereta nasional yang dibanggakan di akhir Oktober.

11) 2006 saya berazam untuk menamatkan pengajian sarjana dengan CGPA yang lebih cemerlang daripada CGPA di peringkat ijazah pertama. Pengajian tamat menjelang akhir tahun dan saya peroleh apa yang dihajati. Terima kasih Tuhanku !

12) 2007 saya berazam untuk menjadi Pensyarah di peringkat ijazah pertama dan juga membuat 'kira-kira' tentang menyambung pengajian Ph.D pula pada tahun 2008. Azam pertama kesampaian di pertengahan 2007, malangnya azam yang ke dua hanya tinggal azam kerana saya tidak cukup serius membuat 'kira-kira' itu. Mulut bercakap, hati berdetik tetapi semangat belum cukup membara ! Azam untuk memikirkan topik kajian yang sesuai dengan minat diri terbengkalai tak berhasil.

13) Tahun 2008, saya mulakannya dengan pendekatan baru. Saya tidak mahu menanam sebarang azam. Saya tidak mahu terikat dengan kemahuan dan kegilaan terhadap sesuatu. Saya mahukan hidup yang tenteram dan bahagia. Hidup yang bersederhana, ingat Tuhan, ingat ibu dan ayah, sayang keluarga, sayang persekitaran dan tenang selalu.

14) 2009 sudah menjelma, tiada azam baru dan tiada apa yang ingin saya tetapkan sebagai yang terpenting. Saya hanya mahu menjadi seorang hamba Tuhan yang tahu bersyukur, anak yang sentiasa ada masa buat ibu dan ayahnya, cikgu yang tidak mengajar sambil lewa dan seorang yang tidak menjadi kebencian orang lain.

15) Semoga 2009 menjadi tahun yang sempurna buat kita semua, penuh dengan kebahagiaan dan lengkap dengan jiwa sayang menyanyangi. Selamat menempuh 2009 !

Neba2020: 365 hari tidaklah lama, 12 bulan sekejap saja akan berlari pergi. Ada yang merasa umur semakin bertambah dan ada juga yang percaya bahawa ketibaan 1 Januari bermaksud umur kita di dunia ini semakin pendek, merapati titik penamatnya ....