Barisan Nasional atau Barisan Alternatif ?
Wajarkah Barisan Nasional terus diberikan mandat mengemudi negara tercinta ini?
Atau sudah sediakah pencatur-pencatur di Barisan Alternatif untuk menjadi nakhoda?
Barisan Nasional...
Gabungan mantap mewakili segenap bangsa dan kepercayaan seantero negara
Bersedia selalu penuh visi kecemerlangan buat mengisi kemerdekaan yang mulia ini
Barisan Alternatif...
Gabungan suara-suara pejuang berideologi istimewa demi kemakmuran negara
Tidak pernah mengalah pada kekecewaan, berani dan cekal selalu
Antara UMNO dan PAS
Yang di Barisan Nasional bertekad memajukan Bangsa dan memartabatkan Islam ke arah kemajuan sejati
Yang di Barisan Alternatif sepakat menghasilkan Bangsa yang mendaulatkan Islam sejati tanpa mengira masa dan situasi
Antara MCA dan DAP
Yang di Barisan Nasional mahu memelihara kemajuan Bangsa dengan semangat menghormati hak berzaman sahabat yang lain
Yang di Barisan Alternatif tegas ingin menghasilkan satu Bangsa Malaysia kesemuanya yang duduk sama rendah, berdirinya sama tinggi
Antara Keadilan Rakyat dan Gerakan
Yang di Barisan Nasional sekata untuk menjamin hak semua bangsa dengan adil dan berpaksikan kontrak sosial yang berzaman dipelihara
Yang di Barisan Alternatif giat berjuang untuk memelihara keadilan kesemua anak watan di bawah kepemimpinan yang saksama sentiasa
Tidak lupa kepada pencatur-pencatur lainnya yang memeriahkan galaksi politik Malaysia ini...
MIC, PBS, PBRS, UPKO, SUPP, SPDP, PRS, PBB, IPF, PPP dan sebagainya jika wujud....
Juga mereka yang berideologi di bawah paksi nama BEBAS... Tidak mempercayai semangat Barisan Nasional, juga meragui kemampuan Barisan Alternatif...
Terima kasih kerana kalian memeriahkan kehidupan kami anak Malaysia...
Terima kasih kerana anda semua begitu bersemangat untuk membela nasib kami semuanya...
Terima kasih kerana sanggup menawarkan diri untuk berkhidmat demi negara tercinta ini...
Terima kasih kerana rela hati menjadi pejuang kemajuan, kemakmuran juga keadilan...
Terima kasih kerana bersusah payah memikirkan cara dan kaedah untuk membantu rakyat...
Tatapi waspadalah wahai pencatur-pencatur politik sekalian !
Rakyat tidak mudah dilalaikan dengan janji-janji besar yang tidak pasti lagi kebenarannya
Rakyat tidak mudah dibodohkan dengan kata-kata caci nista penuh tipu daya
Rakyat tidak mudah dikhayalkan dengan lagu-lagu lama yang diulang dengar beribu kali
Rakyat tidak mudah dilupakan dengan manifesto lama yang seakan terabai tak tertunai
Rakyat tidak mudah digula-gulakan dengan manifesto pembaharuan yang ganjil tiada logika
Antara Barisan Nasional dan Barisan Alternatif ...
Tepuk dada, bukalah minda ... telesuri sedalamnya ...
Moga Malaysia terus gemilang selamanya !
Neba2020: Politik tidak pernah menjanjikan perubahan drastik umpama hikayat 1001 malam yang indah belaka tanpa gundah dan gelana. Politik tidak pernah menjanjikan kebahagiaan hakiki, tetapi politik juga tidak pernah menjamin kesengsaraan yang mendalam. Politik adalah permainan manusia yang tulus niatnya tetapi bisa menjadi busuk dan hina jika pencaturnya hanya mementingkan kepentingan peribadi dan dibina atas paksi kebencian juga dendam.
No comments:
Post a Comment